Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, October 5, 2016

Kenali sejarah awal pengasas ISIS/DAESH

Kenali sejarah awal pengasas ISIS/DAESH

Penyelidik Isis/Daesh bersepakat bahawa pengasas Isis/Daesh adalah Abu Musab Al-Zarqawi ataupun nama sebenarnya Ahmed Fadil Nazzal al-Khalaylah. Beliau dilahirkan pada 30 Oktober 1966 di al-Ruseifah, sebuah kem pelarian Palestin tertua di bandar Zarqa, 21 km dari Bandaraya Amman, Jordan. Beliau berasal dari puak Bani Hassan, yang berhijrah dari Palestin yang mempunyai ahli sekitar 200,000 ahli dengan 12 suku. Ayahnya meninggal dunia pada tahun 1984, tahun yang sama beliau  tercicir dari sekolah. Kehidupannya selepas itu memang bermasalah dan beliau telah ditangkap sebanyak 37 kali oleh polis Jordan kerana melakukan pelbagai kesalahan. Ibunya yang bimbang dengan anaknya itu menghantar beliau untuk mengikuti  kursus agama di Masjid Al-Hussein Bin Ali. Beliau diperkenalkan kali pertama dan terpengaruh dengan fahaman Salafi Wahhabi ketika di masjid ini.  

Pada usia 23 tahun (1989), beliau dikenali sebagai seorang Muslim dengan penampilan Salafi Jihadi dan kemudiannya berangkat untuk menyertai pejuang Mujahidin menentang Soviet Union di Afghanistan. Di Afghanistan, beliau ‘terlambat’, menyaksikan Tentera Soviet telah dikalahkan dan ‘tertutupnya peluang berjihad’. Pada awalnya, beliau tidak dipedulikan oleh Osama Bin Laden dan hanya diberikan  tugas sebagai penyunting ‘newsletter’ Al-Qaeda. Sepanjang di Afghanistan/Pakistan, beliau sempat menghadiri beberapa latihan ketenteraan, termasuk di Sada al-Malahim, yang dianggap sebagai ‘Fort Dix’ kepada Al-Qaeda, sempat belajar agama di beberapa madrasah dan mewujudkan lebih banyak jaringan dengan militan Al-Qaeda dan mujahidin lain sebelum balik ke Jordan pada tahun 1992/1993.

Selepas tiba di Jordan, beliau bergabung dengan Abu Muhammad al-Maqdisi yang ditemuinya sebelum ini di Hayatabad, Afghanistan dan menubuhkan kumpulan paramilitari (al-Tawhid) untuk menumbangkan kerajaan monarki Jordan. Mereka membeli kelengkapan senjata yang ditinggalkan tentera Iraq dalam Perang Teluk Pertama di Kuwait dan merancang siri pengeboman terhadap kerajaan Jordan dan organisasi Barat di Amman. Pada Mac 1994, Agensi Perisikan Jordan (Mukhabarat) menyerbu rumah Abu  Musab al-Zarqawi, menjumpai sejumlah senjata, dan kedua-duanya dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun   di sebuah gurun di Swaqa. Di dalam Penjara, fahaman Salafi Wahhabi beliau semakin berkembang, menjadi lebih ekstrem dan lebih kejam, apatah lagi dibimbing oleh Abu Muhammad al-Maqdisi. Beliau juga sempat mengembangkan pengaruhnya dalam penjara dengam merekrut militan baru. Apabila Raja Abdullah II diangkat sebagai Raja Jordan pada 7 Februari 1999, sekitar 3,000 banduan diberikan pengampunan pada bulan Mac 1999, termasuk mereka berdua.   

Berdasarkan kisah ringkas pengasas Isis/Daesh ini dan kajian penganas khususnya, pengkaji ekstremis agama dan pengganas merumuskan beberapa perkara, antaranya:

1. Faktor utama yang mendedahkan seseorang menjadi pengganas (vulnerabilities) adalah masjid/surau/madrasah/pesantren/usrah/media yang mempromosi dan  menyemai fahaman Salafi Wahhabi. Tangkapan ke atas ahli Jemaah Islamiyyah di Malaysia dan Indonesia serta latar belakang pengebom bunuh diri di Indonesia menunjukkan Salafi Wahhabi merupakan ideologi utama pengganas-pengganas ini. Justeru itu, agensi keselamatan negara perlu memantau masjid/surau/madrasah/NGO/usrah/media di Malaysia yang mempromosi fahaman ini. Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap pelajar di Malaysia yang belajar di beberapa buah pusat pengajian berupa madrasah atau universiti di Afghanistan, Pakistan, India dan Arab Saudi yang dikenalpasti sebagai pusat penyebaran fahaman ekstrim ini amat diperlukan. Setakat ini, enam buah negeri di Malaysia sudah mengeluarkan fatwa menyekat/mengharamkan penyebaran fahaman Salafi Wahhabi di negeri masing-masing.

2. Latihan dan pengalaman ketenteraan juga merupakan faktor utama yang membolehkan seseorang menjadi pengganas. Ini terbukti apabila sebahagian rakyat Malaysia yang menyertai perang di Afghanistan pernah ditahan di bawah ISA, ahli-ahli Jemaah Islamiyyah dan Kumpulan Militan Malaysia yang ditahan juga mempunyai latihan dan pengalaman ketenteraan. Dalam kes tangkapan suspek pengganas Isis/Daesh di Malaysia semenjak 2013, sebahagian yang ditangkap merupakan anggota tentera dan polis (yang memiliki latihan ketenteraan).

3. Ketiganya, sebahagian besar generasi pertama kumpulan pengganas masa kini yang berkaitan dengan Al-Qaeda dan Isis/Daesh, di Timur dan Barat merupakan mantan pejuang di Afghanistan/Pakistan, Chechnya dan Bosnia. Generasi ini mengalihkan sasaran mereka ‘untuk berperang’ ke negara masing-masing selepas berperang di negara-negara tersebut. Dari itu, pemantauan ke atas rakyat Malaysia dan orang asing yang memasuki Malaysia yang pernah belajar atau pernah berperang di negara-negara ini amat penting.

4. Kejahilan dalam agama merupakan faktor penting menjurumuskan seseorang menjadi pengganas. Sebahagian besar suspek militan Isis/Daesh yang ditangkap di Malaysia  merupakan mereka yang jahil dalam agama dan mencari jalan mudah untuk ‘berjuang dan mati syahid’. Justeru itu, ibu-bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan didikan agama yang betul.

5. Pemimpin kumpulan pengganas mengeksploitasi kejahilan pengikut mereka dengan menanam konsep jihad yang salah dan membina ketaksuban dalam kalangan ahli. Kajian menunjukkan ketaksuban masyarakat kepada tokoh agama tertentu adalah ‘merbahaya kepada keselamatan negara untuk jangka panjang’. Ketaksuban menyebabkan pengikut tidak mahu menerima pandangan luar dan hanya menerima pandangan tokoh mereka sahaja serta bertindak berdasarkan arahan tokoh agama ini.

6. Kumpulan pengganas membeli kelengkapan senjata di pasaran gelap untuk diseludup dan digunakan di negara mereka. Ini berlaku dalam kes Isis/Daesh di Malaysia yang membeli senjata/bom di negara jiran dan dibawa masuk ke Malaysia dan kes Abu Sayyaf di Filipina.

7. Penjara boleh menjadikan seseorang lebih ganas atau semakin baik, dan juga menarik mereka yang bukan pengganas menjadi pengganas. Tindakan kerajaan Malaysia untuk menempatkan militan Isis/Daesh di penjara khas amatlah dialu-alukan. 
 
8. Seseorang yang dibesarkan dalam ‘keadaan bermasalah’ dan ‘keluarga bermasalah’ merupakan antara faktor yang mendedahkan seseorang menjadi pengganas. Ini terbukti dalam banyak kes di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Penulis adalah Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah (UKM / University of Pennsylvania USA)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej