Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, January 26, 2016

POINT RINGKAS PERBAHASAN PRESIDEN PAS TENTANG TPPA

(Dikongsi dr FB rasmi TGHH) -

POINT RINGKAS PERBAHASAN PRESIDEN PAS TENTANG TPPA

MENGAPA TPPA WAJIB DITOLAK?

1. Globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia (Americanisation). Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

2. Dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisma atau Sosialisma.

3. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisma, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisma.

4. Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan liberal kapitalisma dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit.

5. Diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah.

6. TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

7. TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisma yang diketuai oleh barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia.

8. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

9. apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing.

10. TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

11. Perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

12. Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisma ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada  mereka.

13. kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut , akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.

14. hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan  –  hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

15. Tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

16. Tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah. 

17. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.

18. Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah.

CADANGAN ALTERNATIF

19. Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama.

20. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, timur dan barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

21. TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

22. Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar.

23. TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini.

24. Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair.

25. Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu  optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej