SIFAT MUNAFIK TERBONGKAR KHIANATI NABI DALAM PERANG UHUD
MUNGKINKAH pedang Rasulullah ini yang diserahkan kepada Abu Dujanah untuk mengalahkan musuh? (Antara pedang Rasulullah yang tersimpan di Muzium Topkapi, Turki).
DISAAT-saat akhir, perang hanya menanti saat dan ketika untuk meletus, 1,000 tentera pihak Islam cuba digugat kekuatan mereka dengan 300 orang daripada mereka keluar barisan. Ia diketuai oleh bapa munafik, Abdullah bin Ubay.
Disifatkan sebagai satu tindakan yang sangat khianat namun Abdullah memberi alasan tindakannya itu disebabkan Rasulullah tidak menghargai dengan pendapat baginda sendiri yang merancang peperangan itu berlangsung dalam Kota Madinah sahaja.
“Malah Muhammad setuju pula dengan pendapat orang lain lalu kami tidak tahu mengapa mesti membunuh diri kami sendiri hari ini,” kata Abdullah.
Tentu Abdullah hanya sekadar memberi alasan kerana sebenarnya kita tahu bahawa menarik diri di saat yang genting itu adalah sengaja untuk mencipta kekacauan dan keresahan dalam pasukan tentera Islam itu sendiri.
Dengan itu akan lebih ramai meninggalkan medan perang kerana tidak mahu mati dengan sia-sia sehingga sisa anggota tentera yang tinggal akan terus hilang kekuatan dan sebaliknya akan meningkatkan semangat di pihak musuh untuk mengalahkan tentera Islam.
Jika hanya kerana tidak setuju dengan perang di luar kota Madinah itu dijadikan alasan tentulah sejak awal-awal lagi Abdullah dan para pengikut munafik yang lain sudah boleh bertindak untuk menarik diri.
Namun kerana sifat kemunafikannya yang tebal itu beliau bertindak belot yang kononnya akan mengembalikan atau mencerahkan semula harapannya untuk menjadi pemimpin di Madinah.
Benar, tidak cukup 300 kalangan pengikut yang munafik itu sahaja yang khianat. Ini kerana pengkhianatan itu turut memberikan kesan kepada dua kumpulan lain, iaitu masing-masing dari Bani Haritsah yang bersama dengan suku Aus dan Bani Salamah yang bersama dengan suku Khazraj turut ingin menarik diri di saat akhir itu kerana ketakutan.
Bagaimanapun, Allah mengembalikan semangat kedua-dua kumpulan ini yang agak tergugat keberanian mereka dek tindakan Abdullah dan para pengikutnya itu.
Ini apabila Allah menurunkan ayat yang bermaksud: Ingatlah ketika dua golongan dari kamu ingin (mundur) kerana takut, pada hal Allah adalah Penolong bagi kedua-dua golongan itu. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang beriman itu bertawakal. (ali-‘Imran: 122)
Sementara itu, Abdullah bin Haram pula, iaitu bapa Jabir bin Abdullah cuba menahan mereka yang belot itu supaya kembali semua ke medan perang dan sama-sama meneruskan perjuangan mengalahkan pihak musuh.
Abdullah mencela mereka dan merayu untuk kembali bergabung.
“Marilah berperang di jalan Allah atau sekurang-kurangnya pertahankanlah negerimu ini daripada ditawan oleh pihak musuh,” kata Abdullah.
Namun belot sudah menjadi sifat orang yang munafik bahawa mereka suka menikam musuh dari belakang di sebalik muka baik yang mereka tunjukkan.
Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud; Dan supaya Allah SWT mengetahui siapa orang-orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: “Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankan (dirimu)”. Mereka berkata: “Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan tentu kami mengikuti kamu.
“Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya”. Dan Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan. (ali-‘Imran: 167)
Walaupun bagai satu tamparan yang cukup hebat apabila baginda kehilangan hampir 300 anggota tentera, namun untuk baginda menyerah tidak sekali-kali!
Maka tinggallah bilangan 700 orang sahaja di pihak Islam yang pada bila-bila masa sahaja lagi akan bertempur dengan seramai 3,000 anggota tentera di pihak musuh.
Lalu baginda segera mengatur semula strategi serangan dan pertahanan untuk peperangan ini.
“Jangan kalian mula menyerang sebelum kami perintahkan menyerang,” kata Nabi Muhammad.
Baginda bertekad meneruskan peperangan walaupun dalam aspek jumlah anggota tentera yang bakal bertempur benar-benar tidak seimbang, yang telah boleh ditentukan pihak mana yang mampu menang dengan mudah.
Kali ini baginda memastikan kedudukan pasukan tenteranya berada dalam kedudukan yang strategik bagi memudahkan serangan terhadap musuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej