Larangan Memberontak Dan Adab Menasihati Pemimpin Kaum Muslimin
- Abu Numair Nawawi
- Abu Numair Nawawi
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42:30)
Imam Abu Ja’afar ath-Thahawi rahimahullah berkata: “Kita tidak membolehkan memberontak (membelot) terhadap para imam (pemimpin muslim) dan para penguasa walau pun mereka melakukan kezaliman. Kita tidak menyumpahi (memaki hamun) mereka dan tidak berlepas diri dengan tidak taat kepada mereka. Kita berkeyakinan bahawa mentaati mereka sepanjang dalam ketaatan kepada Allah adalah wajib, selama mana mereka tidak memerintahkan melakukan maksiat. Kita tetap mendoakan kebaikan untuk mereka supaya mereka dikurniakan dengan kebaikan sama ada dari segi fizikal atau pun rohani.”
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang mentaatiku bererti dia mentaati Allah. Sesiapa yang menderhakaiku bererti dia menderhakai Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin, bererti dia mentaatiku. Sesiapa yang menderhakai pemimpinnya, bererti menderhakaiku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2957)
“Seseorang muslim wajib mendengar dan taat, sama ada suka atau pun tidak. Melainkan apabila dia diperintah untuk melakukan maksiat. Bila dia diperintahkan untuk melakukan maksiat, tidak ada lagi istilah mendengar dan taat (dalam urusan maksiat tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2955)
Dari 'Auf bin Malik radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu adalah yang kamu benci dan mereka membenci kamu, yang kamu menyumpahinya dan mereka menyumpahi kamu.”
Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah ketika itu kami boleh memerangi mereka dengan pedang?” Beliau menjawab: “Tidak, selama mereka masih menunaikan solat bersama-sama kamu. Ingatlah, sesiapa yang melihat pemimpinnya melakukan kemasiatan, hendaklah dia membenci kemaksiatannya itu, namun janganlah dia berlepas diri dari mentaatinya”.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1855)
Dalam persoalan prinsip ini, imam Abil ‘Izz al-Hanafi mensyarahkan perkataan imam Abu Ja’afar ath-Thahawi di atas dengan katanya:
“Ada pun kewajiban untuk mentaati mereka (bukan dalam persoalan maksiat) walau pun mereka melakukan kezaliman adalah sesuatu yang disyari’atkan, kerana keluar dari ketaatan kepada mereka (pemerintah/penguasa) akan melahirkan kerosakan yang berlipat kali ganda dibandingkan dengan kezaliman mereka sendiri. Malah, bersabar terhadap kezaliman mereka dapat meleburkan dosa-dosa dan dapat melipat gandakan pahala.
Kerana Allah tidak akan menaikkan penguasa ke atas diri kita melainkan disebabkan oleh kerosakan amal perbuatan kita juga. Ganjaran itu bergantung kepada amal perbuatan. Maka, hendaklah kita bersungguh-sungguh memohon keampunan, bertaubat, dan memperbaiki amal-amal perbuatan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahan).” (Surah asy-Syura, 42: 30)
“Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 129)
(Dengan ini) apabila rakyat ingin selamat dari kezaliman para pemimpin mereka, hendaklah mereka meninggalkan kezaliman itu juga.” (Rujuk: Tahzib Syarh ath-Thahawiyah, jil. 2, m/s. 199-200, Pustaka at-Tibyan)
Larangan Mencerca dan Mempersenda Pemerintah.
Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:
نَهَانَا كُبَرَاؤُنَا مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَسُبُّوا أُمَرَاءَكُمْ وَلَا تَغُشُّوهُمْ، وَلَا تَعْصُوهُمْ، وَاتَّقُوا اللهَ وَاصْبِرُوا، فَإِنَّ الْأَمْرَ إِلَى قَرِيبٍ
“Para ulama besar kami dari sahabat-sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang kami, mereka berkata, “Janganlah kalian mencela (atau memaki-hamun) pemerintah kalian, janganlah kalian menipu (atau mempersendakan) mereka, dan janganlah kalian membenci mereka.
Bertaqwalah kalian kepada Allah dan bersabarlah, kerana sesungguhnya perintah itu adalah dekat.” (As-Sunnah oleh Ibn abi ‘Ashim, no. 1015. Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 7117)
Larangan membenci di sini maksudnya adalah membenci mereka sebatas pada keburukan-keburukan dan kemaksiatan-kemaksiatan mereka, atau pada kezaliman mereka. Berlepas diri pada hal-hal yang menyelisihi syara’ dan jika punya kemampuan hendaklah menasihati mereka dengan kebenaran. Demikianlah sikap seorang yang beriman, mereka tidak akan suka pada kemaksiatan, tidak pada kezaliman, dan tidak pula pada dosa-dosa.
Namun, mereka juga tidak mengambil kesempatan atas kesalahan-kesalahan pemerintah untuk mencerca dan mencela mereka, memburuk-burukkan mereka, mencaci-maki mereka, apatah lagi untuk menjatuhkan dan memerangi mereka.
Dengan itu, jelaslah bagaimana cara menghilangkan kezaliman yang dilakukan oleh para penguasa yang satu kulit dan satu bahasa dengan kita. Caranya, kaum muslimin (umat Islam) mestilah bertaubat kepada Allah, memurnikan aqidah, dan mendidik diri serta keluarga mereka dengan pendidikan Islam secara benar. Perkara tersebut adalah sebagai usaha dengan berpandukan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka.” (Surah ar-Ra’d, 7: 11)
Ijma’ Ahlus Sunnah wal-Jama’ah
Kesepakatan (ijma’) ahlus sunnah wal-jama’ah dalam mentaati pemerintah antaranya disebutkan oleh Imam an-Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Ini adalah sebagaimana berikut:
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وَأَمَّا الْخُرُوج عَلَيْهِمْ وَقِتَالهمْ فَحَرَام بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ، وَإِنْ كَانُوا فَسَقَة ظَالِمِينَ
“Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram berdasarkan kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari:
قال بن بطال في الحديث حجة في ترك الخروج على السلطان ولو جار وقد أجمع الفقهاء على وجوب طاعة السلطان المتغلب والجهاد معه وأن طاعته خير من الخروج عليه لما في ذلك من حقن الدماء وتسكين الدهماء وحجتهم هذا الخبر وغيره مما يساعده ولم يستثنوا من ذلك إلا إذا وقع من السلطان الكفر الصريح
Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakkan (mutaghallib). Dan kita turut diwajibkan berjihad bersama-samanya. Ini kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang jelas nyata.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)
Al-Kirmani berkata, “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) bahawa penguasa yang telah terpilih (sebagai pemimpin) wajib ditaati selagi dia menegakkan solat berjama’ah dan jihad melainkan jika dia melakukan kekufuran yang nyata. Sehingga tidak ada lagi ketaatan kepadanya. Bahkan wajib memeranginya bagi orang yang mampu.” (Syarah Shahih al-Bukhari, 10/ 169)
Asy-Syarqawi berkata, “Larangan (keharaman) memerangi penguasa yang zalim dan fasiq diambil daripada ijma’ para ulama daripada para tabi’in.” (Hasyiyah asy-Syarqawi, 2/398)
al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan berkenaan kesepakatan (ijma’) dalam hal ini setelah mengulas berkaitan biografi dan celaan terhadap perawi yang membolehkan mengangkat pedang (walaupun asalnya perawi tersebut tsiqah):
كان يرى السيف يعني كان يرى الخروج بالسيف على أئمة الجور وهذا مذهب للسلف قديم لكن أستقر الأمر على ترك ذلك لما رأوه قد أفضى إلى أشد منه ففي وقعة الحرة ووقعة بن الأشعث وغيرهما عظة لمن تدبر
“Sebagaimana yang diriwayatkan berkenaan pendapat yang menyatakan bolehnya keluar (khuruj) mengangkat pedang (senjata) terhadap para pemimpin yang zalim (tirani). Maka, ini adalah mazhab salaf qadim (mazhab sebahagian orang-orang salaf terdahulu daripada minoriti sahabat dan tabi’in). Akan tetapi, kemudian ada sebuah ketetapan untuk meninggalkan perkara (kefahaman) tersebut, kerana ia menimbulkan kesan yang jauh lebih buruk. Apa yang terjadi dalam peristiwa al-Hurrah dan Ibnu al-Asy’ats menjadi pengajaran yang baik bagi mereka yang mahu mengambil pelajaran.” (Ibnu Hajar, Tahdzib at-Tahdzib, 2/250)
Peristiwa al-Hurrah di sini merujuk kepada peristiwa pemberontakan ‘Abdullah B. Az-Zubair bersama-sama Ahli Madinah terhadap pemerintahan Yazid B. Mu’awiyah dengan anggapan (atau alasan) bahawa Yazid adalah seorang yang fasiq. Manakala Ibnu al-Asy’ats memberontak kepada pemerintahan ‘Abdul Malik B. Marwan di Iraq.
Keterangan tentang fasa ijma’ ini juga dijelaskan oleh Imam al-Qadhi ‘Iyadh sebagaimana dinukilkan Imam an-Nawawi rahimahullah:
وقال جماهير أهل السنة من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين لا ينعزل بالفسق والظلم وتعطيل الحقوق ولا يخلع ولا يجوز الخروج عليه بذلك بل يجب وعظه وتخويفه للأحاديث الواردة في ذلك قال القاضي وقد ادعى أبو بكر بن مجاهد في هذا الاجماع وقد رد عليه بعضهم هذا بقيام الحسن وبن الزبير وأهل المدينة على بني أمية وبقيام جماعة عظيمة من التابعين والصدر الأول على الحجاج مع بن الأشعث وتأول هذا القائل قوله أن لا ننازع الأمر أهله في أئمة العدل وحجة الجمهور أن قيامهم على الحجاج ليس بمجرد الفسق بل لما غير من الشرع وظاهر من الكفر قال القاضي وقيل أن هذا الخلاف كان أولا ثم حصل الإجماع على منع الخروج عليهم والله اعلم
“Majoriti ulama ahlus sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam, dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya. Tetapi umat Islam wajib untuk menasihati dan menggerunkan hatinya dengan hadis-hadis (yang berbentuk ancaman) berkaitan perkara tersebut.
Al-Qadhi berkata, “Abu Bakar B. Mujahid telah menyatakan adanya ijma’ atas perkara ini, sebahagian ulama telah membantah pernyataan tersebut dengan apa yang dilakukan oleh al-Hasan dan Ibnu az-Zubair, serta penduduk Madinah terhadap bani Umayyah. Juga pertembungan dua kumpulan besar dari kalangan tabi’in dan generasi awal dari umat ini terhadap al-Hajjaj B. Yusuf, bukan kerana sekadar kefasikan, akan tetapi ketika dia telah mengubah sebahagian syari’at dan menampakkan kekufuran.” Al-Qadhi berkata lagi, “Perbezaan ini timbul pada awalnya, kemudian terjadi ijma’ (kesepakatan) yang melarang memberontak kepada pemerintah.” Wallahu a’lam.” (Syarah Shahih Muslim, 12/229)
Mendoakan Pemerintah Dengan Kebaikan
Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata:
ويرون الدعاء لهم بالإصلاح والعطف إلى العدل، ولا يرون الخروج بالسيف عليهم ولا قتال الفتنة، ويرون قتال الفئة الباغية مع الإمام العدل، إذا كان وجد على شرطهم في ذلك
“Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah orang muslim tidak turut serta berperang ketika terjadi fitnah (pertikaian di antara kaum muslimin sendiri) dan mereka juga berpandangan tentang wajibnya memerangi golongan yang zalim yang dilakukan bersama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaian dengan syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (Abu Bakar al-Ismaili, I'tiqad A'immatul Hadits, m/s. 75-76)
Disebutkan oleh imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) daripada Abu ‘Utsman:
فانصح للسلطان و أكثر له من الدعاء بالصلاح و الرشاد بالقول و العمل و الحكم فإنهم إذا صلحوا صلح العباد بصلاحهم
و إياك أن تدعو عليهم باللعنة فيزدادوا شرا و يزداد البلاء على المسلمين و لكن ادع لهم بالتوبة فيتركة الشر فيرتفع البلاء عن المؤمنين
“Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya.
Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukkan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukkan ke atas umat Islam. Tetapi, mintakanlah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan yang buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/26, no. 7401)
Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H):
Jika kamu melihat orang yang berdoa keburukan kepada pemimpin, ketahuilah bahawa ia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah bahawa ia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insyaAllah.
Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikan.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih)
Kita diperintahkan untuk mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh kaum muslimin akan merasakannya. (Imam al-Barbahari, Syarhus Sunnah, Tahqiq Syaikh Khalid bin Qasim al-Roddadiy, Edisi Terjemahan Terbitan Dar El-Hijrah, Cet. Pertama, 1423H/2002M, m/s. 83-84)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
“Doa seseorang muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan, “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.”.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/271, no. 4914)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej