Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, November 14, 2019

Aishah dipenjara kerana miliki 12 buku militan ‘buka bab baru’

Aishah dipenjara kerana miliki 12 buku militan ‘buka bab baru’


PETALING JAYA: Tiga tahun lalu nama Siti Noor Aishah Atam, bekas pelajar Universiti Malaya (UM), menjadi sebutan media dan orang ramai kerana didakwa memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan. Ekoran sabitan kesalahan dia dihukum penjara.
Tiga tahun sudah berlalu. Aishah juga telah bebas daripada penjara selepas dituduh di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah dan sedang berusaha sebaik mungkin menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar tirai besi.
Aishah, 32, memberitahu FMT, selepas dibebaskan Dis lalu, dia bekerja sebagai salah seorang perunding kesihatan di sebuah syarikat swasta di Terengganu.
“Selepas dibebaskan, mula-mula saya tunggu sehingga isu melibatkan diri saya reda. Kemudian barulah saya memberanikan diri untuk keluar rumah, memohon pekerjaan.
“Alhamdulillah, tidak ramai yang mengenali siapakah saya. Sekarang ini saya bekerja buat sementara bagi mencari pengalaman.
“Sekarang ini fokus saya adalah bekerja, mencari kestabilan ekonomi, kemudian apabila sudah stabil, barulah fikir sama ada hendak sambung belajar lagi atau tidak. Memandangkan usia pada hari ini bukanlah muda lagi,” kata beliau.
Pada April 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Aishah kerana didapati bersalah atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan. Siti Aishah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Sosma. Mahkamah Rayuan pada Dis 2017 bertindak mengurangkan tempoh hukuman penjara kepada Aishah kepada tiga tahun.
Antara judul buku didakwa dimiliki dia termasuklah Visi Politik Gerakan Jihad, Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan, Dari Usama Kepada Para Aktivis, Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda dan Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru.
Ketika itu, Aishah mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan dan mendakwa buku itu adalah untuk kajian dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di UM pada 2012 hingga 2013.
Selepas ditahan pada Mac 2016, Aishah dibuang UM kerana gagal hadir kelas.
Perasaan ragu dan bimbang
Mengulas lanjut, Aishah berkata, dia akui timbul perasaan ragu dan bimbang dalam sudut hatinya apabila memikirkan mengenai penerimaan dan persepsi majikan apabila mengetahui kisah hidupnya sebelum ini, yang pernah menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.
“Risau juga sewaktu isi borang pekerjaan. Namun saya pasrah sahaja sama ada diterima bekerja atau tidak.
“Namun saya perlu memberanikan diri dan isi sahaja borang berkenaan. Apabila sudah dapat panggilan temu duga, alhamdulillah dapat pula pekerjaan,” katanya.
Namun menurutnya, dia tidak mahu menoleh ke belakang dan terus terperangkap dalam sejarah silam. Sebaliknya mahu bergerak ke hadapan dan hanya akan memikirkan perkara-perkara positif.
“Insya-Allah saya boleh berjaya. Saya fikir positif sahaja. Kalau fikirkan perkara negatif, tidak ke mana saya.
“Bila difikirkan, ada individu lain yang turut dikenakan tuduhan lebih berat daripada saya, mereka tetap boleh hadapi,” katanya.
Kata Aishah lagi, selepas menceburkan diri dalam bidang pemasaran, dia seolah-olah berada di dunia berbeza memandangkan dalam bidang berkenaan dia langsung tidak dikenali, berbeza apabila melibatkan diri dalam bidang pendidikan dan keagamaan.
Bercerita lebih lanjut mengenai tugasnya sebagai perunding kesihatan, Aishah mengakui bahawa dia selesa dengan tugasnya ketika ini memandangkan hanya melakukan susulan terhadap para pesakit tanpa perlu bersemuka dengan mereka.
“Saya selesa dengan pekerjaan ini sebab mereka tidak tahu siapa saya. Hanya kenal saya sebagai Aishah. Saya masih bertatih dalam bidang pemasaran perubatan ini, sebabnya sebelum ini bidang saya lain,” katanya.
Katanya lagi, selepas menceburkan diri dalam bidang perniagaan, secara tidak langsung ruang lingkup pemandangannya semakin luas, tidak hanya terperangkap dalam satu pandangan dan keadaan sahaja, seperti yang berlaku kepadanya sebelum ini.
“Diluaskan lagi cangkupan kemahiran saya, jika dahulu hanya bidang agama sahaja, tidak nampak sesiapa lagi selain orang yang kita ikut, pemandangan jadi lebih luas dan selama ini saya tidak tahu ada perkara lain yang boleh dilakukan.
“Sebenarnya, ilmu tidak akan pernah habis dipelajari. Saya boleh katakan pengalaman hidup saya ‘hebat’, orang lain tidak dapat pengalaman ini. Ia pengalaman yang mahal, namun saya tidak pernah sesekali salahkan takdir, ia pelajaran yang boleh dikongsi,” katanya.
Baik buruk Sosma
Ketika ditanya pandangannya mengenai keputusan Pakatan Harapan yang berjanji memansuhkan Sosma, salah satu daripada enam akta yang dimuatkan dalam manifesto gabungan itu, Aishah berkata terdapat “baik dan buruk” pada akta berkenaan.
Sosma diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 April 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.
Di bawah Sosma polis boleh menangkap dan menahan mana-mana tahanan tanpa waran selama 24 jam dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.
“Saya fikir ada baik dan buruknya. Kalau dimansuhkan kita memanglah gembira tetapi penjenayah yang lebih dahsyat itu, lagilah mereka gembira. Namun saya tidak tahu sejauh mana paras jenayah di Malaysia.
“Dahulu saya setuju Sosma dimansuhkan tetapi sekarang ini ‘clueless’,” katanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej