Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, March 27, 2015

Membongkar Aliran Islam Liberal


Membongkar Aliran Islam Liberal

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian B: Memintas Fiqh Lintas Agama

Salah satu daripada dasar utama aliran Islam Liberal ialah fahaman bahawa semua agama adalah sama. Fahaman ini masyhur dikenali di sisi mereka sebagai Fiqh Lintas Agama, yang bermaksud kefahaman yang menghubungkan semua agama. Sebelum ini dalam risalah yang berjudul Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama penulis telah mengemukakan dalil-dalil al-Qur’an bahawa Islam tidak mengiktiraf semua agama sebagai sama. Yang diiktiraf oleh Islam hanyalah kehidupan aman damai di antara pemeluk-pemeluk agama yang berlainan.

Di dalam artikel ini penulis akan memintas, yakni menganalisa dan menjawab beberapa ayat al-Qur’an yang lazim dijadikan hujah oleh tokoh-tokoh Islam Liberal untuk membenarkan fahaman Fiqh Lintas Agama yang mereka bawa. Sebenarnya cara mereka berhujah tidak lain adalah mengungkap ayat-ayat al-Qur’an secara berpisah-pisah, asalkan sahaja ia membenarkan fahaman mereka. Ini adalah cara yang tidak benar kerana al-Qur’an adalah sebuah kitab yang perlu dirujuk secara keseluruhannya. Tidaklah ayat-ayatnya berdiri secara berpisah-pisah melainkan setiapnya saling melengkap antara satu sama lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, maksudnya:


إِنَّ الْقُرْآنَ لَمْ يَنْزِلْ يُكَذِّبُ بَعْضُهُ بَعْضًا بَلْ يُصَدِّقُ بَعْضُهُ بَعْضًا.


“Sesungguhnya al-Qur’an tidaklah ia diturunkan dengan sebahagiannya mendustakan sebahagian yang lain, akan tetapi sebahagiannya membenarkan sebahagian yang lain.”[1]

Ayat paling masyhur yang mereka peralatkan ialah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Shabi’en, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [al-Baqarah 2:62]

Senada dengan ayat di atas adalah:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Shabi’un, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. [al-Maidah 5:69]

Berdasarkan dua ayat ini tokoh-tokoh fahaman Fiqh Lintas Agama dari kalangan aliran Islam Liberal mendakwa semua penganut agama seperti kaum Yahudi, Nasrani (Kristian), Shabi’en dan Islam adalah sama dan benar. Dalam konteks yang lebih luas – tambah mereka – agama lain seperti Budha, Hindu dan sebagainya adalah juga sama lagi benar. Para penganutnya boleh dipanggil sebagai orang yang beriman dan mereka akan peroleh pahala atas setiap amal salih yang mereka kerjakan. Demikian hujah tokoh-tokoh Islam Liberal terhadap kedua-dua ayat di atas.


Sejauh manakah kebenaran hujah mereka? Marilah kita mengkaji secara mendalam kedua-dua ayat di atas. Ayat tersebut menyentuh tentang empat umat. Umat yang pertama adalah “orang-orang yang beriman” yang bermaksud umat Muhammadshallallahu 'alaihi wasallam. Mereka disebut sebagai “mukminin (beriman)” kerana keimanan mereka yang besar lagi kuat. Lebih dari itu mereka juga beriman kepada seluruh para nabi yang terdahulu dan kepada hal-hal ghaib yang akan terjadi. Bagi mereka ganjaran pahala terhadap segala amal salih yang mereka kerjakan, tiada kebimbangan kepada mereka dalam kehidupan ukhrawi yang akan datang (Hari Akhirat) serta tiada kesedihan kepada mereka dalam kehidupan duniawi masa kini. Demikian terang Imam Ibn Katsir rahimahullah (774H).[2]

Umat kedua adalah kaum Yahudi yang merupakan umat Nabi Musa ‘alahissalam manakala umat yang ketiga adalah kaum Nasrani yang merupakan umat Nabi ‘Isa ‘alahissalam. Umat keempat adalah kaum Shabi‘en. Para ahli tafsir memiliki beberapa pendapat tentang siapakah mereka. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menerangkan bahawa mereka adalah satu kaum yang pada awalnya menyembah pelbagai patung. Lalu kemudian sampai agama Nasrani di tengah-tengah mereka sehingga akhirnya mereka terbahagi kepada dua golongan, yang pertama adalah mereka yang berada di atas agama yang benar (hanif) serta mentauhidkan Allah manakala yang kedua adalah mereka yang syirik kepada-Nya.[3]

Menarik untuk diperhatikan bahawa dalam ayat 62 surah al-Baqarah mereka disebut sebagai kaum Shabi’en manakala dalam ayat 69 surah al-Maidah mereka disebut sebagai kaum Shabi’un. Perbezaan ini bukanlah kerana kesilapan tatabahasa al-Qur’an tetapi kerana murhafatun lughawi, iaitu perbezaan yang disengajakan guna menarik perhatian orang yang membaca dan mendengarnya.[4]

Tujuan Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah dapat difahami dengan mengkaji ayat-ayat sebelumnya di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menerangkan sikap tercela umat-umat tersebut yang enggan beriman dan beramal dengan ajaran tulen yang dibawa oleh nabi-nabi mereka. Namun di sebalik sikap yang tercela itu AllahSubhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa di kalangan mereka terdapat sebahagian yang tetap beriman dan beramal salih berdasarkan ajaran tulen yang dibawa oleh nabi masing-masing. Kepada mereka inilah Allah Subhanahu wa Ta’ala akan berikan ganjaran pahala terhadap segala amal salih yang mereka kerjakan serta tiada kebimbangan kepada mereka dalam kehidupan ukhrawi mahupun kesedihan dalam kehidupan duniawi. Adapun pada masa setelah pengutusan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallamsebagai Rasul Allah yang terakhir, tiada lagi pilihan kepada kaum-kaum ini kecuali mengikuti ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. [Ali ‘Imran 3:19]

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [Ali ‘Imran 3:85]

Umat Yahudi, Nasrani dan Shabi’en tidak boleh dipanggil sebagai “orang yang beriman” kerana kedua-dua ayat di atas tidak memanggil mereka dengan gelaran sedemikian. Perhatikan terdapat pemisahan yang jelas antara permulaan ayat “Sesungguhnya orang-orang yang beriman” dengan yang sesudahnya: “dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Shabi’en, dan orang-orang Nasrani”. Jelas bahawa ayat ini terbahagi kepada dua bahagian, yang pertama adalah “orang-orang yang beriman” yang hanya khusus ditujukan kepada umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Yang kedua adalah umat Yahudi, Nasrani dan Shabi’en, mereka disyaratkan kepada keimanan yang benar terhadap Allah dan Hari Akhirat serta beramal salih secara tulen sebagaimana yang diajar oleh nabi-nabi mereka. Hanya apabila syarat-syarat ini dipenuhi barulah mereka dapat dipanggil sebagai orang-orang yang beriman. Pada masa kerasulan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam, yakni ketika turunnya ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah, kebanyakan daripada mereka sudah memiliki iktikad yang menyeleweng manakala amalan mereka telah diubahsuai mengikut kehendak mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak lagi dianggap sebagai orang yang beriman kecuali segelintir kecil yang memeluk Islam setelah jelas kepada mereka akan kerasulan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Timbul persoalan, kenapakah ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah hanya menyebut keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat? Adakah memadai dengan dua keimanan ini sahaja? Pakar tafsir Indonesia masa kini, Syaikh Muhammad Quraish Shihab menerangkan sebabnya:

Pensyaratan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat seperti bunyi ayat di atas bukan bererti hanya dua rukun iman itu sahaja yang dituntut daripada mereka, akan tetapi (kerana) kedua-duanya adalah istilah yang biasa digunakan oleh al-Qur’an dan Sunnah untuk makna iman yang benar dan mencakupi semua rukunnya.

Memang akan menjadi sangat panjang apabila semua objek keimanan disebut satu demi satu. Rasulullah s.a.w. dalam percakapan sehari-hariannya sering menyebut sekadar keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat. Misalnya sabda baginda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia menghormati tetamunya.” Di ketika yang lain baginda bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengucapkan kata-kata yang baik atau (jika tidak hendaklah dia) diam” dan masih banyak yang seumpama.[5]

Untuk memantapkan lagi kefahaman para pembaca, berikut ini penulis nukil tafsiran ayat 62 surah al-Baqarah daripada seorang tokoh ilmuan yang terkenal di Timur Tengah, iaitu Syaikh Sa‘id Hawwa rahimahullah (1989M). Beliau sendiri di tempatnya telah terdedah kepada fahaman Fiqh Lintas Agama, sekalipun ia di sana tidak dipanggil dengan nama tersebut, manhajnya tetap sama juga, iaitu kesamaan antara agama. Justeru dalam mengupas tafsiran ayat di atas, beliau bukan sahaja menerangkan maksudnya yang sebenar tetapi juga menjawab serta menolak tafsiran “kesamaan antara agama” yang didirikan daripada ayat tersebut.

Syaikh Sa‘id Hawwa menjelaskan:


Antara yang sedia dimaklumi adalah sesuatu umat tidak mungkin seluruhnya terjebak ke dalam maksiat (derhaka kepada ajaran agama), pasti ada di antara mereka individu yang bersungguh-sungguh dalam ketaatan. Mereka tidak terpengaruh dengan pelbagai kekeliruan yang dilakukan oleh orang lain (daripada kaum mereka). Lalu bagaimanakah kedudukan mereka di tengah umat mereka? Bagaimana nasib mereka terhadap hukuman duniawi dan uhkrawi padahal mereka melaksanakan hak Allah? Ayat ini (al-Baqarah 2:62) menegaskan bahawa keutamaan Allah ‘Azza wa Jalla disempurnakan ke atas orang-orang seumpama mereka dalam setiap umat. Bagi mereka keselamatan daripada hukuman duniawi dan hukuman ukhrawi.

……Wajib diketahui dengan jelas bahawa yang dimaksud dengan orang-orang yang disebutkan dalam ayat di atas (Yahudi, Nasrani dan Shabi’en) adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan kepada Hari Akhirat dengan keimanan yang benar serta melaksanakan agama Allah (sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, inilah maksud firman-Nya): “……sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) Hari Akhirat serta beramal salih……”

Agar tidak terjadi kekeliruan pemahaman, saya tegaskan bahawa sekarang tidak ada lagi orang yang akan selamat, baik dari kalangan Yahudi, Nasrani, Shabi’en, Majusi ataupun yang lainnya kecuali apabila dia beriman kepada Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam atau jika belum sampai kepadanya dakwah (tentang Islam, di mana urusan mereka diserahkan kepada Allah). Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya): “Demi nyawaku yang berada di Tangan-Nya, tidaklah seorangpun dari umat ini yang mendengar (dakwah) saya, baik dari kalangan Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia tidak beriman dengan yang aku diutuskan dengannya (Islam) melainkan dia termasuk penduduk neraka.”

Berdasarkan ini, maka orang Yahudi yang dimaksud dalam ayat di atas adalah orang Yahudi yang hidup sebelum Nabi ‘Isa‘alaihissalam yang tidak ikut mengerjakan maksiat, malah mereka bersungguh-sungguh dalam keimanan. Adapun orang Yahudi yang tidak beriman dengan Nabi ‘Isa setelah baginda diutus maka dia tercela. Yang dimaksudkan dengan orang Nasrani (dalam ayat di atas) adalah orang Nasrani yang hidup sebelum kerasulan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang bersungguh-sungguh dengan keimanan mereka yang sahih serta mengerjakan amal salih dan mereka tidak menyimpang karena mengikuti penyimpangan manusia (orang lain). Adapun setelah kerasulan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallammaka seluruh orang Nasrani tercela apabila mereka tidak memeluk agama Islam (termasuk juga orang Yahudi kerana kedua-dua mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah daripada kalangan Bani Israil). Demikianlah juga orang Shabi’en, mereka selamat sampai diutusnya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam karena (sebelum itu) mereka tidak ikut serta mengerjakan kesesatan yang dilalukan oleh kaumnya. Adapun setelah kerasulan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam maka kesemua mereka yang tidak beriman akan tercela.

Ayat di atas dibuka (dimulai) dengan menyebutkan orang-orang yang beriman, yang dimaksud dengannya adalah umat Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam walaupun mereka datang paling akhir. Hal itu karena mereka beriman dengan seluruh nabi yang diutus sebelumnya dan pelbagai perkara ghaib yang akan datang. Keimanan seperti ini sudah menjadi ciri khusus umat ini.[6]

Oleh itu sebagai kesimpulan perbahasan, ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah tidak berperanan menghukum semua agama sebagai benar, jauh sekali daripada memanggil setiap penganut agama sebagai “orang-orang yang beriman.”Peranan kedua-dua ayat ini adalah untuk menerangkan bahawa di kalangan umat-umat terdahulu, sesiapa yang beriman secara benar kepada Allah dan beramal salih sebagaimana ajaran tulen yang dibawa oleh para nabi mereka, mereka akan diberi ganjaran oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Adapun pada masa setelah pengutusan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam sebagai Rasul Allah yang terakhir, tiada lagi pilihan kepada kaum-kaum ini kecuali mengikuti ajaran Islam yang dibawa oleh baginda.

Selain ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Maidah, terdapat beberapa ayat lain yang juga diperalatkan oleh tokoh-tokoh Islam Liberal untuk menegakkan fahaman Fiqh Lintas Agama. Berikut akan dikemukakan ayat-ayat tersebut diikuti dengan penjelasannya yang benar secara ringkas.

Surah al-Hajj 22:17

Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Shabi’en, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukum-Nya di antara mereka pada Hari Kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

Berdasarkan ayat ini tokoh-tokoh Islam Liberal mendakwa bahawa semua orang, sama ada beragama atau tidak, adalah sama. Siapa yang benar akan diputuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala pada Hari Kiamat kelak.

Penjelasan:

Ayat di atas tidak bermaksud kesamaan antara agama kerana pada ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan bahawa:

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. [Ali ‘Imran 3:19]

Maksud sebenar ayat 17 surah al-Hajj di atas adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa semua umat akan dibawa kepada pengadilan-Nya pada Hari Kiamat kelak. Sesiapa yang beriman kepada agama-Nya yang dibawa oleh para Rasul-Nya secara tulen akan mendapat ganjaran manakala sesiapa yang menentang atau mengubah suai maka dia akan mendapat hukuman. Adapun bagi kaum penyembah berhala seperti orang-orang Majusi dan Musyrik, jika telah sampai dakwah tauhid lalu mereka beriman kepadanya maka mereka akan memperoleh ganjaran Allah. Jika telah sampai dakwah tetapi mereka mengingkarinya maka mereka akan memperoleh hukuman. Jika tidak sampai dakwah maka kedudukan mereka terserah kepada rahmat dan keluasan ilmu Allah.

Surah Ali ‘Imran 3:19

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

Tokoh-tokoh Islam Liberal menafsirkan ayat di atas bahawa kononnya “Islam” yang dimaksudkan adalah “penyerahan diri kepada tuhan” tanpa mengira apa agamanya dan siapa tuhannya. Justeru semua agama adalah benar selagi mana para penganutnya menyerah diri kepada tuhan masing-masing. Demikian kesimpulan mereka terhadap ayat di atas.

Penjelasan:

Tafsiran di atas terbukti salah jika kita mengkaji ayat ke 18 dan 19 secara lengkap. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang yang diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani) tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. [Ali ‘Imran 3:18-19]

Ayat 18 menetapkan keesaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai satu-satunya tuhan yang layak disembah, sekaligus membatalkan dakwaan tokoh-tokoh Islam Liberal bahawa semua tuhan adalah benar. Ayat 19 menerangkan tentang sikap Ahli Kitab, yakni kaum Yahudi dan Nasrani yang sengaja mengingkari kebenaran risalah Islam semata-mata kerana kedengkian sekalipun mereka tahu akan kebenarannya. Sikap kaum Yahudi dan Nasrani ini menyebabkan mereka dihukum sebagai orang yang “kufur ingkar” terhadap ayat-ayat Allah, sekaligus membatalkan dakwaan tokoh-tokoh Islam Liberal kononnya agama Yahudi dan Nasrani atau apa jua agama lain adalah benar.

Lebih dari itu Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman dalam ayat yang lain:

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada Hari Akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [Ali ‘Imran 3:85]

Ayat ini secara jelas menerangkan semua agama adalah tidak sah di sisi Allah kecuali Islam. Tidak wujud apa-apa tafsiran kedua daripada ayat 85 surah Ali ‘Imran ini selain daripada di atas.

Surah al-Baqarah 2:148

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Daripada ayat ini, tokoh-tokoh Islam Liberal bukan sahaja mendakwa semua agama adalah benar tetapi kononnya al-Qur’an menganjurkan agar setiap penganut agama – apa jua agama mereka – berlumba-lumba untuk mengerjakan kebajikan. Amal kebajikan mereka akan diberi ganjaran pahala pada Hari Kiamat kelak.

Penjelasan:

Ayat 148 di atas yang bersifat umum telah diperincikan oleh ayat 177 daripada surah al-Baqarah yang sama:

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan Hari Akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi……

Orang yang tidak beriman kepada Allah tidak akan memperoleh ganjaran pahala, malah amal kebajikan mereka adalah sia-sia sahaja di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah:

Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisab-Nya. [al-Nur 24:39]

Al-Quran tidak mengkafirkan orang bukan Islam?

Tokoh-tokoh Islam Liberal mendakwa bahawa apabila berbicara dengan kaum Yahudi dan Nasrani, al-Qur’an tidak memanggil mereka “Wahai kaum kafir…” tetapi memanggil mereka “Wahai Ahli Kitab…”. Demikian juga apabila berbicara dengan kaum penyembah berhala, al-Qur’an tidak memanggil mereka “Wahai kaum musyrik…” tetapi memanggil mereka“Wahai manusia…”. Ini semua menunjukkan bahawa al-Qur’an tidak menghukum mereka kafir mahupun sebagai ahli neraka.

Penjelasan:

Memang benar bahawa apabila berbicara dengan kaum ahli kitab atau penyembah berhala, al-Qur’an memanggil mereka sebagai “Wahai Ahli Kitab…” dan “Wahai manusia…”. Semua ini tidak lain adalah kaedah hikmah dalam berdakwah sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [al-Nahl 16:125]

Jika kita memanggil orang yang ingin kita dakwah dengan gelaran yang bersifat negatif, pasti ia akan menggagalkan usaha dakwah kita sejak daripada saat yang awal.

Walaubagaimanapun dakwaan tokoh-tokoh Islam Liberal bahawa al-Qur’an tidak mengkafirkan kaum ahli kitab atau penyembah berhala adalah salah. Sila rujuk ayat berikut:

Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. [al-Bayyinah 98:01]

Demikian juga dakwaan mereka bahawa kononnya al-Qur’an tidak menghukum kaum ahli kitab atau penyembah berhala dengan azab neraka. Sila rujuk ayat berikut:

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. [al-Bayyinah 98:06]

Demikian beberapa ayat yang lazim dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam Liberal. Tidak dinafikan bahawa masih terdapat beberapa ayat lain yang mereka pergunakan. Apa jua ayat yang digunakan, manhaj mereka tetap sama iaitu memperalatkan beberapa ayat yang sesuai dengan fahaman mereka sambil mengabaikan ratusan ayat lain yang bertentangan malah membatalkan fahaman mereka.

Sebenarnya fahaman Fiqh Lintas Agama hanya baru dari sudut nama manakala dari sudut manhaj ia sudah wujud lama dahulu. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, para tokoh musyrik Kota Makkah juga cuba untuk “menyamakan” antara agama nenek moyang mereka dengan agama Islam yang dibawa oleh baginda. Terhadap percubaan ini Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menurunkan ayat berikut:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” [al-Kafirun 109:1-6]

Ayat-ayat surah al-Kafirun ini adalah sesuai lagi tepat untuk semua tempat dan zaman, sama ada terhadap tokoh-tokoh musyrik Makkah di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam atau kepada tokoh-tokoh Islam Liberal masa kini.[7]

http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Islam_liberal/B2.htm 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej