SYURGA TERHASIL DARI PERANAN IBU, BAPA & ANAK YANG TEPAT
Dalam hirarki kepimpinan keluarga Islam, Suami/Bapa ialah Ketua/Imamnya yang paling tinggi. Beliau selaku ABAL HAKAM ataupun ‘bapa hukum’ seharusnya menentukan halatuju bahtera keluarga. Tugasnya yang paling utama ialah keluar mencari nafkah dan menetapkan aturan dalam rumah yang ditinggalkan kepada isterinya (QS;4/34). Itu yang telah Allah tetapkan dan yang wajib kita patuhi jika ingin hidup sejahtera.
Ibu/Isteri lebih kepada pelaksana atau pengurus rumahtangga (amarat) dalam melaksanakan ketetapan dari bapa, khususnya dalam urusan nursing dan hospitaliti. Ini sesuai dengan sifat keibuan wanita yang lemah lembut dan berseni.
“Dan wanita menjadi pemimpin di rumah suaminya, dia akan dipertanggungjawabkan mengenai orang yang diurusnya.” (HR. Bukhari no. 2409)
“Janganlah kalian melarang wanita-wanita kalian dari masjid-masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah; SHAHIH).
“Sesungguhnya wanita adalah aurat. Sehingga ketika ia keluar rumah, ia akan disambut oleh syaithan. Dan kondisi yang akan lebih mendekatkan dirinya dengan Rabbnya adalah ketika ia berada di rumahnya.” (HR. Ibnu Khuzaimah; SHAHIH)
QS:Al-Ahzab-33:33. “Dan hendaklah kamu (para isteri) tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu….”
Jelas sekali Allah perintahkan isteri untuk menetap di rumah dan menjaga harta yang ditinggalkan oleh suami termasuk diri dan anak-anaknya. Wanita tidak diharamkan ke masjid, tapi Nabi SAW katakan lebih dalam berdiamnya wanita di perut rumah, lebih mendekatkan dirinya dengan Allah.
Anak-anak pula adalah rakyat dalam sebuah keluarga yang diibaratkan sebagai sebuah negara kecil itu. Mereka banyak berinteraksi dengan ibu di rumah mereka sepanjang hari. Kerana itu mereka akan merasa lebih dekat secara zahir maupun batin dengan ibu berbanding bapa.
FENOMENA BAPA LALAI, ANAK LIAR
Kami ada banyak rungutan para ibu yang merasa amat tertekan kerana anak-anaknya kurang mendengar kata. Bapa mereka (suaminya) pula tidak perduli dengan perangai anak-anaknya. Akibatnya anak-anak jadi liar dan beliau jadi stress, terutama bila Si Ibu pula dituduh tidak pandai jaga anak. Terlalu banyak juga diperhatikan dari anak-anak yang turut dibawa bertandang berlari keliling kompleks RPWP dan sukar dikawal.
Pengalaman sepanjang kajian RPWP mendapati memang itulah fenomena yang biasa berlaku pada anak apabila bapa tidak ikut turuntangan dalam pembentukan sahsiah mereka. Lebih parah lagi jika bapa tidak berusaha untuk membantu ibu/isterinya dalam membuatkan ketetapan dan tegas memutuskan sesuatu perkara dalam urusan rumahtangganya.
Kami pernah mencuba 2 modul pembentukan sahsiah anak-anak di RPWP. Pertama dengan melibatkan institusi bapa secara langsung dengan memantau pendidikan ibu terhadap sahsiah anak. Ini kami lakukan di peringkat awal dahulu sementara memastikan murobbi dari kalangan nisak faham dengan jelas dalam memainkan peranan mereka.
Modul Kedua ialah dengan membiarkan anak-anak diurus sepenuhnya oleh kaum ibu setelah kami rasakan para murobbi nisak kami sudah faham dengan jelas fungsi dan modul pendidikan yang sewajarnya. Hari ini kami sahkan kaedah ke2 ini didapati kurang berkesan. Jelas sekali sehebat manapun ibu, ia masih memerlukan peranan qowwam institusi bapa. SODAQOLLAH, SODAQORASULULLAH.
Inilah antara analogi Rukun Nikah yang sering terbatal, iaitu apabila fungsi lelaki yang seharusnya QOWWAM tidak berlaku seperti yang Allah telah tetapkan. Fungsi wanita yang sepatutnya tunduk dan taat kepada suami pula dah kena buat kerja suami, cari rezeki di luar untuk membayarkan bil-bil rumah. Ada isteri yang sampai membayarkan ansuran superbike, kereta dan aktiviti outing serta hobi suaminya yang bergaji kecil atau tidak bekerja.
BAPA YANG QOWWAM LEBIH DIGERUNI & DIHORMATI
Dalam Quran kita dapati telah Allah tunjukkan dengan jelas tentang kesesuaian peranan ini bilamana semua kata-kata nasihat untuk anak disalurkan melalui institusi bapa. Yang paling tersohor sekali ialah oleh Lukmanul Hakim. Di situ menampakkan pentingnya PERANAN BAPA/ABAL HAKAM untuk menasihati anak dan isteri. Sila rujuk himpunan ayat berkaitan di pautan berikut.
http://prihatin.net.my/v3/2014/06/04/beberapa-dalil-keutamaan-peranan-bapa-menasihati-anak/
Bapa perlu qowwam (berdiri / tegas), tidak lembik dan boleh dimanipulasi. Itu fungsi seorang bapa selaku ketua, imam dan abal hakam institusi rumahtangga. Hari ini, ada rumahtangga yang telah 10 tahun, BAHKAN ada yang sudah pencen juga runtuh disebabkan bapa/suami yang tidak berfungsi seperti wajarnya.
Sedikit kekeliruan kami temui dalam melaksanakan modul keluarga Islam bilamana hadis berikut ini ada kalanya disalah erti atau disalah guna. Jika hasil dari sunnah itu tidak menjadi, tentunya bukan salah Nabi SAW, melainkan kefahaman kita secara praktikal ada kalanya menyimpang.
Dari Abu Hurairah R.A. ia berkata: “seorang laki-laki datang, menemui Rasullah SAW, kemudian berkata: “Wahai Rosulullah, siapakan orang yang wajib aku perlakukan dengan baik?” beliau menjawab : “Ibumu.” Ia bertanya: “lalu siapa?”. Beliau menjawab: “Ibumu”. Ia bertanya : “lalu siapa?”. Beliau menjawab : “Ibumu”. Ia bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?”. Kemudian Rasul menjawab: “Ayahmu”. (Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim)
Dalam satu sudut, kita lihat bahawa ini satu tuntutan anak untuk berbuat baik terhadap ibu 3 kali ganda berbanding ayah. Ini sesuai dengan pengorbanan si ibu terhadap anak, termasuk melahir dan membesarkannya. Sekali imbas ia turut menampakkan bahawa satu ketidakadilan berlaku terhadap institusi bapa bagi yang tidak memahaminya.
Namun begitu, antara kecelaruan keluarga yang diadukan kepada RPWP ialah si Isteri menggunakan autonomi berlebihan di mana anak perlu ikuti kata ibu berbanding bapa. Maka bapa hilang kuasa kerana hadith popular ini yang disalahgunakannya.
Lebih sulit lagi jika si bapa kurang pengetahuan tentang ayat-ayat Quran yang lain, yang banyak menegaskan fungsi Bapa yang mengatasi keputusan Si Ibu walaupun anak lebih rapat dengan ibu. Bila dikilas semula oleh Si Ibu dengan hadith di atas, masyaAllah jadi terkedu pula si bapa.
Hubungan rapat ibu dan anak sepanjang hari ini banyak membuat anak-anak jadi lali dan boleh ke tahap mempermainkan nasihat ibu. Jadi, apabila sampai 3 kali ibu tegur masih tidak berlaku apa-apa perubahan, maka di situlah diperlukan BAPA. Bapa yang qowwan akan berkata 1 kali sahaja dan ia CUKUP untuk dipatuhi. Kekuatan fungsi Bapa diperlukan sebagai KUASA tertinggi dan kata pemutus. Itulah satu sudut lain tentang memahami keberkesanan hadith ini.
Seperti di sekolah, guru-guru yang mengajar semestinya lebih rapat dengan murid-murid mereka. Ini seringkali diambil peluang untuk pelajar mengambil mudah saja nasihat guru biasa. Ini berbeza berbanding guru besar yang tidak mengajar sebaliknya sekadar membuat ketetapan. Namun, sekali sekala guru besar bersuara, maka semua guru dan murid-murid akan tunduk akur, dan bukan menafikan apa yang guru besar katakan.
Ini satu sudut pandang yang agak asing tetapi tidak salah. Namun ia jarang diberi perhatian oleh ramai. Semuga dengan perkongsian ini boleh mengelakkan hadith popular itu dari sering diambil kesempatan oleh anak-anak untuk merayu izin dari ibunya pula setelah bapanya melarang.
Contohnya, anak minta izin beli handphone pintar, bapa dah tetapkan TIDAK, tetapi anak tahu jika ia merayu kepada ibu lebih mudah lagi. Justeru, setelah ibu izinkan sahaja maka teruslah Si Anak boleh melakukan apa yang dimahukannya walaupun ayahnya tidak mengizinkan pada mula. Hujjahnya mudah... mereka mungkin menyalahgunakan hadith itu.
KESIMPULAN
Jelaslah di sini bahawa dari segi fungsi, bapa tidak banyak berkata kerana apa yang keluar dari mulutnya ialah hukum dan ketetapan yang wajib IBU dan ANAK patuhi.
Apapun, kebijaksanaan Nabi SAW dalam bersabda tidak patut dipertikai. Benar juga jika kita fikirkan yang kita perlu melayani ibu 3 kali melebih bapa disebabkan oleh ENGAGEMENT ibu dengan anak jauh lebih tinggi berbanding Si Bapa. Namun lebih baik lagi jika kita boleh perluaskan amalan sunnah itu selagi ia mampu menambah kesejahteraan dan tidak bercanggah dengan firman.
Nabi Ibrahim a.s. pastinya kurang rapat dengan Nabi Ismail a.s. berbanding ibunya Siti Hajar. Namun, tidak pula sampai Siti Hajar memburuk-burukkan suaminya sepanjang berbelas tahun ditinggalkan di Mekah semasa Nabi Ibrahim tinggal bersama Siti Sarah di Palestin. Walaupun jauh, Siti Hajar tetap memberikan tausiah berterusan tentang adanya bapa yang menetapkan hukum untuk dipatuhi walaupun tanpa kehadirannya.
Kami menyeru agar golongan Bapa akan kembali QOWWAM, Si Ibu kembali berfungsi sebagai ibu/isteri, Si anak taat sebagai anak mengikut fitrah yang Allah tetapkan. Barulah rumahtangga aman bahagia.
Seram juga dengar statistik perceraian Selangor yang mengatakan lebih 30% perkahwinan gagal. Nauzubillah. Allah juga sebaik-baik guru dan nabi sebaik-baik suri tauladan.
Kudap parenting
WARGA PRIHATIN
prihatin.net.my
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej