PERISTIWA ROMBONGAN NASRANI NAJRAN KE MADINAH DAN PERDEBATAN MEREKA DENGAN NABI SAW
Pada waktu ini, kaum Yahudi di Madinah sedang ramai membicarakan tentang kemajuan dakwah Rasulullah saw. Di waktu ini juga berlaku perbantahan yang hebat antara pendeta mereka dengan Baginda. Kemudian muncul pula kaun Nasrani Najran (Yaman) yang terdiri daripada 60 orang. 14 orang daripadanya adalah golongan bangsawan. 3 orang daripada 14 orang ini adalah yang terkemuka. Al-‘Aaqib (‘Abdul-Masih) sebagai ketua rombongan dan penasihat, As-Sayyid sebagai pegawai kebajikan dan Abu Harithah (seorang Arab dari keturunan Bakr bin Wail) sebagai pembesar, pendeta atau ulama’ tertinggi yang dihormati oleh para raja Rom yang beragama kristian dan telah mendirikan gereja-gereja untuk beliau.
Keadaan mereka kelihatan sangat mewah. Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa mereka tiba dan masuk ke dalam masjid Nabi saw selepas Rasulullah saw menunaikan solat Asar. Mereka berada di situ selama tiga hari.
Ada riwayat menyatakan sesampai mereka di Madinah, mereka terus masuk ke dalam masjid Nabi saw dan menunaikan solat. Ada di kalangan sahabat ingin menegur perbuatan mereka, tetapi dihalang oleh Rasulullah saw seraya bersabda:
“Biarkanlah mereka itu mengerjakan solat cara mereka, yaitu menghadap ke arah Timur.”
Sehabis solat, mereka menghadap kepada Nabi saw sambil menyampaikan bermacam hadiah. Diantaranya ialah sebuah permaidani yang indah dan bergambar. Beberapa buah tikar daripada bulu. Permaidani bergambar tidak diterima oleh Nabi saw, manakala tikar daripada bulu diterima oleh Baginda.
Kedatangan mereka dapat dijangkakan untuk memperbesarkan pengaruh kristian di Jazirah Arab. Selama ini pengaruh mereka terhalang oleh pendeta Yahudi. Mereka ingin mengambil kesempatan sementara berlakunya persengketaan antara kaum Yahudi dengan Nabi saw.
Tiga orang yang termuka itu telah bersoal jawab dengan Rasulullah saw berkenaan dengan ketuhanan Nabi ‘Isa a.s. Ada yang menganggap Nabi Isa a.s adalah anak Allah , ada yang menganggap Nabi ‘Isa a.s itu sendiri sebagai Tuhan, ada yang menganggap ada tiga tuhan (trinity) .Diantara persoalan yang mereka kemukakan ialah; “Siapakah bapa kepada ‘Isa?
Rasulullah saw tidak terus menjawab sebelum meminta petunjuk daripada Allah SWT. Maka turun firman Allah SWT:
إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَۖ خَلَقَهُ ۥ مِن تُرَابٍ۬ ثُمَّ قَالَ لَهُ ۥ كُن فَيَكُونُ (٥٩) ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi ‘Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! Maka menjadilah ia. (59) Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu. (60) –(Aali-‘Imran:59-60)
Mereka percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan kerana wujud keajaiban pada diri baginda iaitu dia boleh menghidupkan semula orang yang telah mati, membolehkan orang yang buta melihat semula, menyembuhkan penyakit kusta, boleh menghidupkan burung yang diperbuat daripada tanah dan dapat memberi tahu tentang makanan yang telah dimakan dan disimpan di rumah seseorang walaupun orang tersebut berada berjauhan dari rumah mereka. Sedangkan seseorang Muslim percaya bahawa semua keajaiban ini adalah mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi ‘Isa a.s oleh Allah SWT sebagai petanda kebenaran kerasulannya. Pada zaman kenabian Nabi ‘Isa a.s, bidang perubatan adalah termasyhur. Oleh itu mukjizat beliau dapat mengatasi kemasyuran itu.
Mereka percaya dan mempersoalkan bahawa Nabi ‘Isa a.s adalah anak Allah kerana dia dilahirkan tanpa bapa. Kemudian dia boleh pula berbicara semasa di dalam buaiyan.
Mereka juga percaya dan mempersoalkan Nabi ‘Isa a.s adalah Tuhan dari tiga Tuhan (triniti) kerana Allah berfirman; “Kami telah memerintahkan, menjadikan dan memutuskan….” Mereka mempersoalkan, jika Allah itu tunggal, sudah tentu Dia menyatakan; “Aku telah memerintahkan, menjadikan dan memutuskan….” Oleh itu ‘Isa dan Allah adalah dari yang tiga (triniti).
Ada beberapa riwayat menyebut bahawa ayat 1 hingga ayat 83 surah Aali-‘Imran ini telah diturunkan mengenai dialog Rasulullah saw dengan rombongan Nasrani Najran yang datang ke Madinah. Penjelasan daripada Rasulullah saw tentang kekeliruan kepercayaan dan kerasulan Baginda adalah jelas. Namun mereka tetap ingin mempertahankan kepercayaan yang mereka pegang selama ini.
Maka dikala itu Allah SWT mewahyukan kepada Rasulullah saw ayat 61-63 iaitu ayat mubaahalah.
فَمَنۡ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ فَقُلۡ تَعَالَوۡاْ نَدۡعُ أَبۡنَآءَنَا وَأَبۡنَآءَكُمۡ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمۡ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمۡ ثُمَّ نَبۡتَہِلۡ فَنَجۡعَل لَّعۡنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلۡڪَـٰذِبِينَ (٦١) إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡقَصَصُ ٱلۡحَقُّۚ وَمَا مِنۡ إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦٢) فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِٱلۡمُفۡسِدِينَ
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta. (61) Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (62) Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan. (63)- (Aali-‘Imran:61-63)
Sehubungan dengan itu, Rasulullah saw mengajak Al-‘Aaqib dan As-Sayyid : “Marilah kita bermubaahalah saja, mudah-mudahan laknat Allah SWT dijatuhkan kepada sesiapa yang berdusta.”
Pada mulanya mereka bersedia untuk bermubaahalah dengan Nabi saw. Tetapi kemudian mereka meminta diberi tempoh untuk berunding dengan penasihat mereka yang tertinggi. Kata mereka; “Yaa Abal-Qaasim! Biarkanlah kami berfikir dahulu tentang urusan kami, kemudian kami akan datang lagi kepada engkau dengan apa yang kami kehendaki, bahawa kami akan mengerjakan apa yang engkau ajakkan kepada kami.”Permintaan mereka ini diperkenankan oleh Nabi saw.
Kemudian mereka meminta pandangan Al-‘Aaqib, penasihat Nasrani yang tertinggi. Kata mereka; “Bagaimana pendapat engkau, Ya ‘Abdal-Masieh tentang bermubaahalah dengan Muhammad?”
Kata Al-‘Aaqib: “Demi Allah, wahai golongan Nashara (Nasrani), sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Muhammad itu seorang Nabi yang diutus, dan sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang jelas dari teman-teman kamu, bukan? Sesungguhnya kamu telah mengerti bahawa tidak ada suatu kaum yang berlaknat-laknatan (bermubaahalah) dengan seorang Nabi, melainkan mereka pasti hancur binasa, tidak akan ada yang ketinggalan orang-orang tua mereka; dan tidak akan ada keturunan mereka, dan sungguh kamu tidak akan menang selama-lamanya jika kamu mengerjakan mubaahalah dengan dia. Maka jika kamu menolak bermubaahalah, lantaran kecintaan kepada agama kamu dan mempertahankan apa yang telah berlaku pada kamu dan temanmu, maka hendaklah kamu meminta diri meninggalkan orang itu(Nabi saw) kemudian kembalilah kamu ke negeri kamu.”
Kemudian mereka datang menghadap Nabi saw lalu berkata; “Ya Abal-Qaasim! Sesungguhnya kami telah berpendapat dan memutuskan bahawa kami jangan sampai bermubaahalah dengan engkau; dan supaya kami meninggalkan engkau di atas agama engkau; dan kami akan kembali mengikut agama kami sebagaimana biasa. Sekalipun demikian, kami memohon kepada engkau sudi apalah kiranya mengutus seorang dari sahabat engkau yang engkau redhai dan engkau percaya untuk kami angkat menjadi hakim di qabilah kami dalam segala urusan yang mengenai harta yang kami perselisihkan dan kami pertengkarkan yang seringkali terjadi dalam kalangan kami. Kerana sesungguhnya engkau itu bagi kami satu kepuasan.”
Permohonan mereka diperkenankan Nabi saw dengan memutuskan supaya Abu ‘Ubaidah bin Al-Jarrah berangkat bersama-sama kaum Nasrani Najran ke qabilah mereka untuk menjadi hakim di sana. Rasulullah saw bersabda: “ Keluarlah (berangkatlah) kamu bersama mereka, maka hukumilah antara mereka itu dengan kebenaran tentang segala sesuatu yang diperselisihkan oleh mereka.”
Mubaahalah ialah mengadakan satu perhimpunan yang besar, dimana para hadirin serentak berdo’a kepada Allah SWT agar menimpakan laknat kepada pihak yang berdusta. Diriwayatkan bahawa Nabi saw telah memilih Saidina Ali dan Fatimah serta dua orang anak mereka iaitu al-Hasan dan al-Husain. Baginda keluar bersama mereka lalu berkata: “Bilamana aku berdoa, hendaklah kamu mengaminkannya.”
Riwayat yang tersebut itu menunjukkan bahawa kaum Nasrani Najran tidak berani menghadapi tetangan bermubaahalah dari Nabi. Dengan demikian jelaslah mereka mengerti akan kebenaran dakwah Nabi dan menginsyafi akan kedustaan mereka sendiri. Sekali pun demikian, mereka telah insyaf dan tertarik pula oleh dasar-dasar keadilan hukum-hukum yang dibawa oleh Nabi,sehingga mereka mengajukan permohonan kepada beliau supaya Baginda mengirim seorang dari sahabat yang dipercayai untuk diangkat menjadi hakim di qabilah mereka untuk memutuskan soal-soal yang mengenai harta benda yang diperselisihkan oleh mereka.
Selepas utusan tersebut enggan bermubaahalah, mereka mengikat perjanjian damai bersama Nabi saw dengan membayar jizyah(ufti) seribu buah baju besi pada bulan Safar dan seribu buah lagi pada bulan Rejab serta sejumlah dirham. Ini juga menunjukkan bahawa kekuatan dan keyakinan mereka terhadap apa yang diperkatakan oleh Rasulullah saw. Ia juga merupakan pengakuan bahawa mereka tiada bukti terhadap apa yang mereka istiharkan.
Menurut riwayat juga, sebelum para pendeta Nasrani Najran kembali ke kabilah mereka, berlaku perkumpulan perdebatan dihadapan Nabi saw antara pendeta Yahudi dan pendeta Nasrani Najran di Kota Madinah. Telah berlaku perselisihan tentang agama Nabi Ibrahim a.s dan ketuhanan masing-masing.
Para pendeta Yahudi berkata; “Nabi Ibrahim itu ialah seorang Yahudi.”
Para pendeta Nasrani Najran berkata: “Nabi Ibrahim itu tidak lain melainkan seorang Nasrani.”
Dikala itu turunlah wahyu;
يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوۡرَٮٰةُ وَٱلۡإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِهِۦۤۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ (٦٥) هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ حَـٰجَجۡتُمۡ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ (٦٦) مَا كَانَ إِبۡرَٲهِيمُ يَہُودِيًّ۬ا وَلَا نَصۡرَانِيًّ۬ا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفً۬ا مُّسۡلِمً۬ا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ (٦٧) إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٲهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang (agama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal? (65) Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya. (66) Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah) dan dia pula bukanlah dari orang-orang musyrik. (67) Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya iaitu umat Islam) dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (68) – (Aali-‘Imran:65-68)
Begitulah penjelasan yang jelas dari Allah SWT. Mengambil kesempatan ini, Rasulullah saw mengajak mereka kembali kepada tauhid yang benar dan beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana tiada Tuhan melainkan Allah SWT.
Namun begitu, kaum Yahudi tetap mempercayai dan menganggap bahawa ‘Uzair itu anak Allah. Kaum Nasrani pula mempercayai dan menganggap ‘Isa itu anak Allah. Dengan itu Baginda Rasulullah saw berseru lagi dengan wahyu yang diterima;
قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ ڪَلِمَةٍ۬ سَوَآءِۭ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابً۬ا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam. (64) – (Aali-‘Imran:64)
Malangnya, perbalahan antara mereka semakin memuncak. Pihak Yahudi mengatakan; “Tidaklah orang-orang Nasrani itu dalam kebenaran sedikitpun.”
Manakala pihak Nasrani berkata; “Tidaklah orang-orang Yahudi di dalam kebenaran sedikit pun.”
Melihatkan keadaan ini, Rasulullah saw memperdengarkan ayat Allah SWT;
وَقَالَتِ ٱلۡيَهُودُ لَيۡسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيۡسَتِ ٱلۡيَهُودُ عَلَىٰ شَىۡءٍ۬ وَهُمۡ يَتۡلُونَ ٱلۡكِتَـٰبَۗ كَذَٲلِكَ قَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ مِثۡلَ قَوۡلِهِمۡۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخۡتَلِفُونَ
Dan orang-orang Yahudi berkata: Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar) dan orang-orang Nasrani pula berkata: Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar); padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. (113) – (al-Baqarah:113)
Begitulah perbalahan antara kaum Yahudi dan Nasrani Najran di hadapan Nabi saw. Masing-masing mempertahankan kebenaran masing-masing walaupun pada hakikatnya adalah bathil. Mereka begitu fanatik dan mengikut kepercayaan orang yang terdahulu daripada mereka secara membuta tuli. Mereka tidak menggunakan akal fikiran yang waras.
Sehingga suatu ketika kaum Yahudi mengatakan; “Orang-orang yang akan mengisi syurga Tuhan kelak tidak lain melainkan kaum Yahudi.”
Pendeta dan para pendeta nasrani pula dengan sombong berkata; “Orang-orang yang akan menjadi pengisi syurga Tuhan kelak tidak ada lain melainkan kaum Nasrani.”
Sangkaan dan anggapan mereka ditolak oleh Allah SWT dengan firman-Nya;
وَقَالُواْ لَن يَدۡخُلَ ٱلۡجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوۡ نَصَـٰرَىٰۗ تِلۡكَ أَمَانِيُّهُمۡۗ قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (١١١) بَلَىٰ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ فَلَهُ ۥۤ أَجۡرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (111) (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (112) – (al-Baqarah:111-112)
Sesungguhnya syurga Allah SWT bukan untuk golongan bangsa atau kaum, tetapi disediakan kepada sesiapa sahaja yang menyerahkan diri kepada Allah SWT, ta’at dan patuh kepada-Nya dengan ikhlas, tidak mempersekutukan dengan sesiapa jua dan berbuat baik menurut jalan dan cara yang telah ditentukan oleh –Nya sebagaimana yang diberi contoh oleh Rasulullah saw.
Wallahu’alam
http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/12/224-peristiwa-rombongan-nasrani-najran.html
Sehingga suatu ketika kaum Yahudi mengatakan; “Orang-orang yang akan mengisi syurga Tuhan kelak tidak lain melainkan kaum Yahudi.”
Pendeta dan para pendeta nasrani pula dengan sombong berkata; “Orang-orang yang akan menjadi pengisi syurga Tuhan kelak tidak ada lain melainkan kaum Nasrani.”
Sangkaan dan anggapan mereka ditolak oleh Allah SWT dengan firman-Nya;
وَقَالُواْ لَن يَدۡخُلَ ٱلۡجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوۡ نَصَـٰرَىٰۗ تِلۡكَ أَمَانِيُّهُمۡۗ قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (١١١) بَلَىٰ مَنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ فَلَهُ ۥۤ أَجۡرُهُ ۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (111) (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (112) – (al-Baqarah:111-112)
Sesungguhnya syurga Allah SWT bukan untuk golongan bangsa atau kaum, tetapi disediakan kepada sesiapa sahaja yang menyerahkan diri kepada Allah SWT, ta’at dan patuh kepada-Nya dengan ikhlas, tidak mempersekutukan dengan sesiapa jua dan berbuat baik menurut jalan dan cara yang telah ditentukan oleh –Nya sebagaimana yang diberi contoh oleh Rasulullah saw.
Wallahu’alam
http://bersamaummualiya.blogspot.com/2012/12/224-peristiwa-rombongan-nasrani-najran.html
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej