Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Saturday, March 14, 2015

Larangan dan tegahan benci membenci

Surah 5, Surah al-Ma'idah (Hidangan) : 120 ayat.
Bismillahi al-Rahman al-Rahim (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani).
5-1: Wahai orang yang beriman! Sempurnakanlah janji-janji. Dihalalkan bagi kamu binatang ternak kecuali yang akan dibacakan kepada kamu, dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum menurut apa yang Dia (Allah) kehendaki.
5-2: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar (batas-batas) Allah, dan jangan pada bulan-bulan haram, jangan pada binatang korban, jangan pada binatang-binatang yang ditandakan lehernya (untuk korban), jangan pada orang yang berkunjung ke Baytu’l-Haram (Baytu’llah), yang mengharapkan kurnia dan keredaan Rab (Tuhan) mereka. Dan apabila kamu sudah ‘tahalul’ (selesai mengerjakan ibadah haji), maka bolehlah kamu berburu. Dan janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum lantaran mereka pernah menghalang kamu daripada Masjidi’l-Haram menyebabkan kamu melampaui batas. Dan bertolong-tolonganlah kamu pada kebaikan dan takwa dan jangan pada (perkara) dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras azab-Nya (azab Allah).
5-3: Diharamkan bagi kamu bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih untuk yang selain Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati terjatuh, yang mati ditanduk, sisa binatang buas, kecuali yang (sempat) kamu sembelih, dan (diharamkan juga memakan binatang) yang disembelih untuk berhala dan (seterusnya diharamkan juga) kamu  mengundi nasib dengan anak panah, yang demikian itu adalah fasik. Pada hari ini telah berputus asa orang kafir pada (menentang) al-din (agama) kamu, lantaran itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada Aku (Allah). Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan al-din (agama) kamu bagi kamu, dan Aku (Allah) telah lengkapkan nikmat-Ku (nikmat Allah) ke atas kamu, dan Aku (Allah) telah reda Islam menjadi al-din (agama) kamu. Maka sesiapa terpaksa (memakan apa yang telah diharamkan itu) kerana kelaparan bukan kerana sengaja mahu berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
5-4: Mereka bertanya kepada engkau (mengenai) apakah yang dihalalkan bagi mereka. Katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu apa yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang pemburu yang dilatih untuk berburu, yang kamu melatihnya menurut apa yang diajarkan Allah kepada kamu. Maka (bolehlah) kamu memakan tangkapannya setelah kamu menyebutkan nama Allah atasnya (sewaktu melepaskan binatang pemburu itu). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu sangat cepat (membuat) perkiraan.
5-5: Pada hari ini dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan makanan (sembelihan) orang yang diberi kitab itu halal kamu dan makanan kamu halal bagi mereka. Dan (dihalalkan kamu mengahwini) perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya daripada kalangan Mukminat (yang beriman) dan perempuan-perempuan yang memelihara kehormatannya daripada kalangan mereka yang diberi kitab sebelum kamu, (iaitu) setelah kamu berikan mas kahwin mereka (dengan tujuan) mengahwininya bukan (bertujuan) berzina dan bukan (juga) sebagai perempuan simpanan. Dan sesiapa menolak keimanan maka sia-sialah amalannya, dan di akhirat kelak dia termasuk golongan orang yang rugi.
5-6: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu hendak mendirikan solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga ke siku kamu, dan sapulah kepala kamu, dan (basuhlah) kaki kamu hingga ke dua mata kaki; dan jika kamu sedang berjunub (berhadas besar) maka bersucilah (mandi junub); dan jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau datang dari tempat pembuangan air (jamban), atau kamu telah menyentuh perempuan, sedang kamu tidak memperolehi air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang bersih (dengan) menyapu muka kamu dan tangan kamu dengannya (tanah itu). Allah tidak berkehendak menyusahkan kamu, tetapi Dia (Allah) berkehendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya (nikmat Allah) atas kamu, agar kamu bersyukur.
5-7:  Dan ingatlah nikmat-Nya (nikmat Allah) atas kamu dan perjanjian-Nya (perjanjian Allah) yang Dia (Allah) telah janjikan kepada kamu ketika kamu mengatakan: “Kami dengar dan kami mentaati.” Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui) akan segala isi hati.
5-8: Wahai orang yang beriman! Jadilah kamu orang yang menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil, dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Tegakkanlah keadilan, itulah yang lebih hampir dengan takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah adalah al-Khabir (Maha Mengenal) terhadap apa yang kamu lakukan.
5-9: Allah telah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih (bahawa) untuk mereka keampunan dan ganjaran yang besar.
5-10: Dan orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), mereka itulah ahli (penghuni) neraka.
5-11: Wahai orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu, tatkala satu kaum bertekad mengenakan tangan mereka ke atas kamu, maka Allah menghalang tangan mereka daripada (sampai kepada) kamu. Dan bertakwalah kepada Allah; dan kepada Allah semata-mata hendaknya orang Mukmin bertawakal.
5-12: Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian daripada Bani Isra’el, dan Kami (Allah) telah mengangkat di kalangan mereka dua belas orang ‘naqib’ (ketua-ketua), dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku (Allah) beserta kamu. Jika kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, kamu beriman kepada para rasul-Ku (rasul Allah), kamu membantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, (nescaya) sesungguhnya Aku (Allah) akan mengampunkan kesalahan-kesalahan kamu dan Aku (Allah) akan memasukkan kamu ke dalam jannah (taman/syurga) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Dan sesungguhnya sesiapa di kalangan kamu yang kufur sesudah itu, maka sungguh dia tersesat daripada jalan yang lurus.
5-13: Maka disebabkan mereka memungkiri janji mereka, Kami (Allah) melaknat mereka, dan Kami (Allah) jadikan hati mereka keras. Mereka mengubah-ubahkan kalimah-kalimah (dalam Tawrat) daripada tempatnya, dan mereka sengaja melupakan (meninggalkan) sebahagian daripada apa yang telah diperingatkan mereka dengannya. Dan engkau akan melihat pengkhianatan berterusan daripada mereka, kecuali sedikit sahaja daripada mereka (yang tidak berkhianat). Maka maafkanlah mereka dan tinggalkanlah mereka. Sesungguhnya Allah menyukai orang ‘muhsinin’ (yang melakukan kebaikan).
5-14: Dan sebahagian daripada mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami adalah orang Nasrani,” Kami (Allah) telah mengambil perjanjian mereka tetapi mereka sengaja melupakan sebahagian daripada apa yang mereka diperingatkan dengannya. Maka Kami (Allah) timbulkan di kalangan mereka permusuhan dan kebencian sehingga hari kiamat. Dan Allah akan menyatakan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.
5-15: Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu rasul Kami (Allah), menerangkan kepada kamu banyak daripada isi kitab yang kamu sembunyikan, dan Dia (Allah) memaafkan kebanyakan daripadanya. Sungguh sudah datang kepada kamu daripada Allah cahaya dan kitab yang terang.
5-16: Dengan kitab itu Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang menuruti keredaan-Nya (keredaan Allah) kepada jalan keselamatan, dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izin-Nya (izin Allah), dan Dia (Allah) memberi mereka petunjuk kepada jalan yang lurus.
5-17: Sesungguhnya telah kafir orang yang mengatakan bahawa Allah itu adalah Almasih ‘ibn Maryam. Katakanlah: “Jika demikian, siapakah yang berkuasa menahan jika Dia (Allah) hendak membinasakan Almasih ‘ibn Maryam, ibunya serta orang yang ada di bumi sekaliannya?” Kepunyaan Allah kekuasaan di langit dan di bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya. Dia (Allah) menciptakan apa yang Dia (Allah) kehendaki dan Allah atas segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).
5-18: Orang Yahudi dan Nasrani mengatakan: “Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-Nya (kekasih Allah).” Katakanlah: “Kalau begitu, mengapa Dia (Allah) mengazabkan kamu kerana dosa-dosa kamu? Bahkan (sebenarnya) kamu (hanyalah) manusia (biasa) daripada makhluk yang Dia (Allah) ciptakan.” Dia (Allah) memberikan keampunan kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan Dia (Allah) menyeksa sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki. Dan kepunyaan Allah kekuasaan di langit dan di bumi dan juga segala yang ada di antara kedua-duanya, dan kepada-Nya (kepada Allah) tempat kembali.
5-19: Wahai Ahli Kitab! Sudah datang kepada kamu rasul Kami (Allah), memberikan penjelasan kepada kamu sesudah terputus para rasul, agar kamu tidak mengatakan: “Tiada seorang pun pembawa khabar gembira atau pembawa ancaman diutuskan kepada kami.” Sesungguhnya sudah datang kepada kamu pembawa khabar gembira dan pemberi ancaman, dan Allah atas segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).
5-20: Dan (ingatlah) perihal Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Ingatlah nikmat Allah kepada kamu. Dia (Allah) memilih (ramai) nabi-nabi dari kalangan kamu, dan Dia (Allah) menjadikan kamu penguasa-penguasa, dan Dia (Allah) telah memberikan kepada kamu apa yang belum pernah diberikan kepada seorang jua daripada isi alam ini.”
5-21: “Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah untuk kamu, dan janganlah kamu berpaling (melarikan diri kerana takutkan musuh), kerana (jika kamu berbuat demikian) kamu akan kembali sebagai orang yang rugi.”
5-22: Mereka menjawab: “Wahai Musa! Di sana ada satu kaum yang kuat, sesungguhnya kami tidak akan masuk ke sana sehinggalah mereka keluar daripadanya. Maka jika mereka meninggalkannya (tanah suci itu) kami akan memasukinya.”
5-23: Berkatalah dua orang laki-laki daripada kalangan orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah berikan nikmat kepada kedua-duanya: “Masuklah menghadapi mereka dari pintu itu. Jika kamu telah memasukinya tentu kamu akan menang, dan bertawakallah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
5-24: Mereka (kaum Musa) berkata: “Wahai Musa! Sesungguhnya kami tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka (musuh kami) masih berada di sana. (Oleh itu) pergilah engkau bersama Rab (Tuhan) engkau dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami menanti di sini.”
5-25: Dia (Musa) berkata: “Rabbi (wahai Tuhanku)! Sesungguhnya aku tidak mampu menguasai (kaumku) kecuali diriku dan saudaraku, maka pisahkanlah kami daripada orang yang fasik itu.”
5-26: Dia (Allah) berfirman: “Maka sesungguhnya ia (tanah haram itu) diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, dan mereka mengembara (terumbang-ambing) di bumi. Lantaran itu janganlah engkau berdukacita terhadap orang yang fasik itu.”
5-27: Dan bacakanlah kepada mereka cerita (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) dengan sebenarnya, perihal kedua-duanya mempersembahkan korban, lalu diterima (korban) salah seorang daripada mereka dan tidak diterima daripada yang seorang lagi. Dia (yang korbannya tidak diterima, iaitu Qabil) berkata: “Aku pasti akan membunuh kamu.” Dia (yang korbannya diterima, iaitu Habil) menjawab: “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) daripada orang yang bertakwa.”
5-28: “Sesungguhnya jika kamu melepaskan tangan kamu buat membunuh aku namun, aku tidak akan melepaskan tanganku buat membunuh kamu, kerana sesungguhnya aku takutkan Allah, Rab (Tuhan) sekalian alam.”
5-29: “Sesungguhnya aku mahu kamu memikul dosaku dan dosamu, lalu kamu menjadi ahli (penghuni) neraka, dan demikian itulah balasan bagi orang yang zalim.”
5-30: Tetapi nafsunya (Qabil) mempermudahkan baginya buat membunuh saudaranya (Habil), lantas dia (Qabil) membunuhnya (Habil), lalu jadilah dia (Qabil) termasuk golongan orang yang rugi.
5-31: Maka Allah menghantar seekor burung gagak mengorek-ngorek bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana cara menguburkan mayat saudaranya itu, lalu dia (Qabil) berkata: “Aduhai, celakanya aku! Mengapa aku tidak berdaya melakukan seperti burung gagak itu buat menimbuskan mayat saudaraku?” Maka jadilah dia (termasuk) golongan orang yang menyesal.
5-32: Oleh kerana itu, Kami (Allah) mewajibkan (hukum) ke atas Bani Isra’el, bahawa sesiapa membunuh seseorang yang bukan pembunuh, atau (bukan kerana) membuat kerosakan di bumi, maka seakan-akan dia membunuh manusia sekaliannya. Dan sesiapa memelihara kehidupan manusia, maka seakan-akan dia memelihara kehidupan manusia sekaliannya. Dan sesungguhnya sudah datang kepada kamu para rasul Kami (Allah) dengan keterangan-keterangan yang nyata, kemudian sesudah itu kebanyakan daripada manusia di bumi ini melampaui batas.
5-33: Sesungguhnya pembalasan (yang layak) bagi orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya (rasul Allah) dan melakukan kerosakan di bumi, hanyalah mereka dibunuh, atau disalib, atau dipotong tangan-tangan dan kaki-kaki mereka bersilang-silang, atau dibuang dari negeri (tempat tinggalnya). Yang demikian itu suatu penghinaan buat mereka di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan menerima azab yang besar.
5-34: Kecuali orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkap mereka. Ketahuilah, Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
5-35: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang menyampaikan kamu kepada-Nya (kepada Allah), dan berjihadlah pada jalan-Nya (jalan Allah), semoga kamu memperolehi kejayaan.
5-36: Sesungguhnya orang yang kafir, sekalipun mereka memiliki segala yang ada di bumi ini, dan (ditambahkan) sebanyak itu buat menebus diri mereka daripada seksaan hari kiamat, nescaya (penebusan itu) tidak akan diterima daripada mereka. Dan bagi mereka adalah seksaan yang tidak terperi sakitnya.
5-37: Mereka sangat ingin keluar daripada neraka tetapi mereka tidak akan dapat keluar daripadanya, malah mereka akan menerima seksaan yang kekal.
5-38: Dan laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan itu, sebagai contoh yang menakutkan daripada Allah. Dan Allah adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).
5-39: Sesiapa bertaubat selepas melakukan kezaliman dan memperbaiki dirinya, sesungguhnya Allah bersedia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
5-40: Apakah kamu tidak mengetahui bahawa kepunyaan Allah kekuasaan di langit dan di bumi. Dia (Allah) menyeksa sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki dan Dia (Allah) mengampunkan sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki. Dan Allah atas segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Kuasa).
5-41: Wahai rasul! Janganlah berdukacita lantaran (melihat) orang yang bersegera kepada kekafiran setelah mereka mengucapkan dengan mulut mereka: “Kami telah beriman,” sedangkan hati mereka tidak beriman. Dan di kalangan orang Yahudi (ada) yang gemar mendengar pembohongan dan suka mengambil perkataan orang yang tidak pernah menemui engkau. Mereka mengubah-ubah kalimah-kalimah (Tawrat) daripada tempatnya. Mereka berkata: “Jika ini (kalimah yang sudah mereka ubah) diberikan kepada kamu, maka terimalah tetapi jika (yang demikian) tidak diberikan kepada kamu, maka berhati-hatilah.” Dan sesiapa yang Allah berkehendak mengujinya, engkau sekali-kali tidak berdaya menolak sesuatu apa jua (yang datangnya) daripada Allah. Itulah orang yang Allah tidak berkehendak membersihkan hati mereka. Bagi mereka di dunia ini ialah kehinaan dan di akhirat kelak azab yang besar.
5-42: Mereka suka mengambil perkataan dusta dan banyak memakan harta yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepada engkau (meminta pengadilan), maka buatlah pengadilan antara mereka atau berpalinglah daripada mereka. Dan jika engkau berpaling daripada mereka, mereka tidak mampu mendatangkan kemudaratan kepada engkau sedikit pun, tetapi jika engkau memutuskan (hukum) antara mereka, maka putuskanlah secara adil. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.
5-43: Dan bagaimana mereka (mahu) melantik engkau menjadi hakim, sedangkan pada sisi mereka ada Tawrat yang dalamnya (terkandung) hukum-hukum Allah, kemudian mereka berpaling (tidak menerima-pakai hukum Tawrat) sesudah itu? Dan mereka itu (sebenarnya) bukanlah orang yang beriman.
5-44: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan Tawrat yang dalamnya (terkandung) petunjuk dan cahaya, (yang dijadikan sumber) mengadili orang Yahudi oleh para nabi yang Islam (berserah diri kepada Allah), dan (demikian juga) orang ‘alim dan pendeta-pendeta mereka, dengan apa yang mereka diamanahkan daripada kitab Allah, dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Maka janganlah kamu takutkan manusia tetapi takutlah kepada-Ku (kepada Allah), dan janganlah kamu menjual ayat-ayat-Ku (ayat-ayat Allah) dengan harga yang sedikit. Dan sesiapa enggan menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang yang kafir.
5-45: Dan Kami (Allah) telah menetapkan ke atas mereka dalamnya (Tawrat) bahawa jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka juga ada ‘qisas’nya (balasannya). Sesiapa melepaskannya (hak membalas), maka ia menjadi penebus dosa baginya. Dan sesiapa tidak menghukum menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang yang zalim.
5-46: Dan Kami (Allah) telah iringi jejak-jejak mereka (para nabi daripada Bani Isra’el) dengan (mengutuskan) ‘Isa ‘ibn Maryam yang membenarkan apa (kitab) yang sebelumnya, (iaitu) Tawrat dan Kami (Allah) telah berikan kepadanya (‘Isa) Injil. Dalamnya (mengandungi) petunjuk dan cahaya dan membenarkan apa (kitab) yang diturunkan sebelumnya, (iaitu) Tawrat, dan menjadi petunjuk serta pengajaran bagi orang yang bertakwa.
5-47: Maka hendaklah Ahli Injil (pengikut-pengikut kitab Injil) menghukum menurut apa yang Allah turunkan dalamnya (Injil itu). Dan sesiapa menghukum dengan apa yang tidak diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang fasik.
5-48: Dan Kami (Allah) telah turunkan kitab (al-Qur’an) itu dengan kebenaran, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya dan sebagai penjaga atasnya (rujukan dalam meneliti kebenaran kitab-kitab terdahulu). Maka hukumlah  antara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu mereka, yang akan memalingkan kamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat itu Kami (Allah) telah adakan syari’at (peraturan) dan jalan yang terang. Dan jika Allah kehendaki nescaya Dia (Allah) menjadikan kamu sebagai satu umat sahaja, tetapi Dia (Allah) hendak menguji kamu dengan apa yang diberikan-Nya (diberikan Allah) kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan. Hanya kepada Allah tempat kembali kamu sekaliannya, lalu Dia (Allah) menjelaskan kepada kamu tentang apa yang kamu perselisihkan.
5-49: Dan hendaklah engkau menghukum antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menuruti hawa nafsu mereka, dan berwaspadalah engkau terhadap mereka agar mereka tidak dapat memalingkan engkau daripada apa yang telah Allah turunkan kepada engkau. Jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah berkehendak mendatangkan bencana kepada mereka disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan kebanyakan manusia itu adalah sungguh-sungguh fasik.
5-50: Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, sedangkan siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang yang berkeyakinan?
5-51: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin kamu, kerana sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Dan sesiapa antara kamu menjadikan mereka sebagai pemimpin maka sesungguhnya orang itu (termasuk) daripada golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
5-52: Maka engkau akan melihat (keadaan) orang yang dalam hati mereka ada penyakit (orang munafik), mereka bersegera (memihak) kepada mereka (musuh Islam), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana (jika tidak memihak kepada musuh Islam).” Maka mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada kaum Muslimin) atau (mendatangkan) sesuatu keputusan daripada sisi-Nya (sisi Allah). Maka (kerana itu) mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka sembunyikan dalam hati mereka.
5-53: Dan orang yang beriman akan mengatakan: “Inikah orangnya yang sungguh-sungguh bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka beserta kamu?” Gugurlah amalan mereka, lalu mereka menjadi orang yang rugi.
5-54: Wahai orang yang beriman! Sesiapa antara kamu murtad daripada al-din-Nya (agama Allah), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang dicintai-Nya (dicintai Allah) dan mereka mencintai Allah, yang berlemah-lembut terhadap orang yang beriman, tegas dalam menghadapi orang kafir. Mereka berjihad pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang Dia (Allah) kehendaki. Dan Allah adalah al-Wasi’ (Maha Luas), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).
5-55: Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah, rasul-Nya (rasul Allah) dan orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat dan mereka itu semuanya rukuk (tunduk kepada Allah).
5-56: Dan sesiapa menjadikan Allah dan rasul-Nya (rasul Allah) dan orang yang beriman sebagai pemimpin, maka sesungguhnya mereka itulah ‘Hizballah’ (golongan Allah) yang akan menang.
5-57: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan pemimpin orang yang membuat al-din (agama) kamu menjadi ejekan dan permainan, (iaitu) orang yang telah diberi kitab sebelum kamu itu dan orang kafir. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.
5-58: Dan apabila kamu menyeru mereka kepada solat, mereka menjadikannya (seruan itu) ejekan dan permainan. (Mereka bersikap) demikian itu kerana mereka benar-benar (merupakan) kaum yang tidak menggunakan akal.
5-59: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Bukankah kamu benci kepada kami hanyalah kerana kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan sebelumnya?” Dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.
5-60: Katakanlah: “Mahukah kamu jika aku beritahukan kepada kamu apakah yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? (Iaitulah) orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya (dimurkai Allah), dan antara mereka ada yang Dia (Allah) jadikan kera-kera dan babi-babi dan hamba abdi Taghut (pertuhanan selain Allah).” Mereka itulah orang yang lebih buruk kedudukannya dan tersesat jauh daripada jalan yang lurus.
5-61: Dan jika mereka datang kepada engkau mereka mengatakan: “Kami telah beriman,” padahal (sebenarnya) mereka datang dengan kekafiran dan (demikian juga) mereka keluar. Dan Allah lebih mengetahui (kekafiran) yang mereka sembunyikan.
5-62: Dan engkau akan melihat kebanyakan daripada mereka bersegera kepada berbuat dosa dan permusuhan, dan memakan yang haram. Sungguh buruk apa yang mereka kerjakan.
5-63: Mengapa orang ‘alim dan pendeta-pendeta mereka tidak melarang mereka mengucapkan kata-kata dosa dan memakan yang haram? Sungguh buruk apa yang mereka kerjakan.
5-64: Dan orang Yahudi berkata: “Tangan Allah terbelenggu (kurang memberikan rezeki),” padahal tangan merekalah yang terbelenggu, dan mereka menerima kutukan disebabkan perkataan mereka itu. (Bukan begitu) tetapi kedua-dua tangan-Nya (tangan Allah) terbuka. Dia (Allah) menafkahkan sebagaimana yang Dia (Allah) kehendaki. Dan apa yang Rab (Tuhan) engkau turunkan kepada engkau, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran pada kebanyakan daripada mereka. Dan Kami (Allah) akan timbulkan permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga hari kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah akan memadamkannya. Dan mereka bersungguh-sungguh melakukan kerosakan di bumi, sedangkan Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan.
5-65: Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa nescaya Kami (Allah) hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan nescaya Kami (Allah) akan memasukkan mereka ke dalam jannah (taman/syurga) yang penuh kenikmatan.
5-66: Dan sekiranya mereka bersungguh-sungguh menegakkan (ajaran) Tawrat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Rab (Tuhan) mereka, nescaya mereka akan mendapat makanan daripada atas mereka dan daripada bawah kaki mereka. Di kalangan mereka ada orang yang adil tetapi kebanyakan mereka (merupakan) orang yang buruk amalannya.
5-67: Wahai rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepada engkau kerana jika engkau tidak kerjakan (yang diperintahkan itu), maka (bermakna) engkau tidak menyampaikan risalah-Nya (risalah Allah). Dan Allah akan melindungi engkau daripada (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
5-68: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak (dikira) atas sesuatu (al-din) sehinggalah kamu menegakkan (ajaran) Tawrat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada kamu oleh Rab (Tuhan) kamu.” Dan apa yang diturunkan oleh Rab (Tuhan) kepada engkau hanya menambahkan kederhakaan dan kekufuran bagi kebanyakan daripada mereka, maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
5-69: Sesungguhnya orang yang beriman, orang Yahudi, Sabi’in dan Nasrani, sesiapa sahaja beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mengerjakan amal salih, maka tidak ada ketakutan bagi mereka dan mereka tidak akan berdukacita.
5-70: Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengambil perjanjian daripada Bani Isra’el, dan Kami (Allah) utuskan kepada mereka para rasul. Setiap (kali) datang seorang rasul kepada mereka membawa apa yang tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka, sebahagian (daripada para rasul itu) mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka bunuh.
5-71: Dan mereka menyangka tidak akan berlaku satu bencana (akibat perbuatan jahat mereka), mereka menjadi buta dan tuli. Kemudian Allah menerima taubat mereka, (tetapi) kemudian kebanyakan daripada mereka (kembali) menjadi buta dan tuli. Dan Allah adalah al-Basir (Maha Melihat) terhadap apa yang mereka kerjakan.
5-72: Sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu ialah Almasih ‘ibn Maryam,” sedangkan Almasih telah berkata: “Wahai Bani Isra’el! Abdikan dirimu kepada Allah, Rab (Tuhan) aku dan Rab (Tuhan) kamu.” Sesungguhnya sesiapa mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan baginya jannah (taman/syurga) dan tempatnya ialah neraka. Dan tidak ada untuk orang yang zalim itu seorang penolong.
5-73: Sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan: “Allah itu salah satu daripada tiga,” padahal tidak ada Ilah (Tuhan) melainkan Ilah (Tuhan) al-Wahid (Yang Maha Esa). Jika mereka tidak hentikan perkataan mereka itu, nescaya orang yang kafir di kalangan mereka itu akan ditimpa azab yang pedih.
5-74: Maka mengapa mereka masih tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan-Nya (keampunan Allah), padahal Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani)?
5-75: Almasih ‘ibn Maryam itu tidak lain melainkan seorang rasul yang telah pun didahului oleh beberapa orang rasul, dan ibunya adalah seorang perempuan yang sangat benar; kedua-duanya (Almasih dan ibunya) memakan makanan (sama seperti manusia lain). Perhatikanlah bagaimana Kami (Allah) menjelaskan kepada mereka dan perhatikanlah ke mana mereka berpaling.
5-76: Katakanlah: “Mengapa kamu mengabdikan diri kepada yang selain Allah, yang tidak berkuasa memberikan mudarat kepada kamu dan tidak (pula) berkuasa memberikan manfaat? Dan Allah adalah al-Sami’ (Maha Mendengar), lagi al-‘Alim (Maha Mengetahui).
5-77: Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau pada al-din (agama) kamu yang bukan kebenaran, dan janganlah kamu menuruti hawa nafsu orang yang telah sesat dahulunya dan mereka (pula) menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka telah tersesat jauh daripada jalan yang lurus.
5-78: Orang kafir daripada Bani Isra’el telah dilaknat dengan (melalui) lidah Daud dan ‘Isa ‘ibn Maryam. Berlaku demikian disebabkan mereka telah derhaka dan melampaui batas.
5-79: Mereka tidak mencegah kemungkaran yang (antara) mereka lakukan, sesungguhnya sangat buruk apa yang mereka lakukan itu.
5-80: Engkau akan melihat kebanyakan daripada mereka itu menjadikan orang kafir sebagai pemimpin. Sungguh amat buruk apa yang mereka sediakan buat diri mereka sendiri, (iaitu) kemurkaan Allah atas mereka dan mereka kekal dalam azab.
5-81: Dan sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (nabi itu), tentulah mereka tidak menjadikan orang kafir itu sebagai pemimpin, tetapi kebanyakan daripada mereka adalah fasik.
5-82: Sesungguhnya engkau akan mendapati golongan yang paling kuat permusuhannya dengan orang yang beriman ialah orang Yahudi dan orang musyrik. Dan sesungguhnya engkau akan mendapati (golongan) yang paling hampir persahabatannya dengan orang yang beriman ialah mereka yang mengatakan: “Kami adalah Nasrani.” Berlaku demikian adalah kerana di kalangan mereka terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, dan mereka tidak menyombongkan diri.
 
JUZUK 7
5-83: Dan apabila mereka (orang Nasrani itu) mendengar apa (al-Qur’an) yang diturunkan kepada rasul (Muhammad saw), kamu melihat air mata mereka mengalir disebabkan sebahagian daripada kebenaran yang telah mereka ketahui, mereka berkata: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Sesungguhnya kami telah beriman, maka catatkanlah kami bersama-sama orang yang menyaksikan.”
5-84: “Bagaimana (mungkin) kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, sedangkan kami sangat merindukan agar Rab (Tuhan) memasukkan kami ke dalam golongan ‘salihin’ (orang yang salih).”
5-85: Maka Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan apa yang mereka ucapkan, (iaitu) jannah (taman/syurga) yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah ganjaran bagi orang ‘muhsinin’ (yang melakukan kebaikan).
5-86: Dan (perihal) orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), mereka itulah ahli (penghuni) neraka.
5-87: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan yang baik-baik yang dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.
5-88: Dan makanlah apa yang Allah rezekikan kepada kamu, yang halal lagi baik. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya (kepada Allah) kamu beriman.
5-89: Allah tidak menyalahkan kamu disebabkan sumpah kamu yang tidak disengajakan, tetapi Dia (Allah) mempertanggungjawabkan kamu dengan sumpah yang sungguh-sungguh, maka ‘kafarah’ (denda)nya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang kamu biasa berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian kepada mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Sesiapa tidak berkeupayaan (memenuhi yang demikian), hendaklah berpuasa tiga hari. Demikian itulah ‘kafarah’ sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah (dan melanggarnya). Dan peliharalah sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) kepada kamu agar kamu bersyukur.
5-90: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, sembelihan untuk berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan, maka jauhilah ia supaya kamu mendapat kejayaan.
5-91: Tiada lain tujuan syaitan itu melainkan menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu (melalui) arak dan judi, dan (juga) menghalang kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berhenti?
5-92: Dan taatilah kamu kepada Allah dan taatilah kamu kepada rasul serta berhati-hatilah kamu. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa (kewajipan) rasul hanyalah menyampaikan dengan terang.
5-93: Tidaklah berdosa orang yang beriman dan beramal salih disebabkan makanan yang telah mereka makan dahulunya, apabila mereka telah bertakwa, beriman dan beramal salih, kemudian mereka (tetap) beriman dan memperbaiki. Dan Allah menyukai orang ‘muhsinin’ (yang berbuat kebaikan).
5-94: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan (melarang) sesuatu daripada binatang buruan yang (mudah) dicapai oleh tangan dan panah-panah kamu, kerana Allah hendak menyatakan siapakah yang takut kepada-Nya (kepada Allah) dengan ghaib. Sesiapa melanggarnya (peraturan tersebut) sesudah itu, untuknya azab yang pedih.
5-95: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang buruan ketika kamu berihram, dan sesiapa membunuhnya (binatang buruan) dengan sengaja dendanya ialah binatang ternak seumpama yang dibunuh, yang diputuskan oleh dua orang yang adil di kalangan kamu, sebagai korban buat disampaikan ke Ka’bah, atau dendanya memberi makan orang miskin, atau digantikan yang demikian itu dengan berpuasa, supaya dia merasai akibat perbuatannya. Allah telah memaafkan apa yang telah lalu tetapi sesiapa mengulanginya, maka Allah akan menyeksanya. Dan Allah adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi memiliki kuasa membalas.
5-96: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanannya, sebagai bekal bagi kamu dan bagi orang yang dalam pelayaran, tetapi diharamkan buruan darat selama kamu dalam ihram. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, yang kepada-Nya (kepada Allah) kamu akan dikumpulkan.
5-97: Allah telah menjadikan Ka’bah, Baytu’l-Haram (rumah suci) itu, untuk ditegakkan (peraturan ibadah) oleh manusia. Begitu juga bulan suci, korban (biasa) dan korban yang diberi tanda. Demikian itu agar kamu mengetahui bahawa Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi. Dan sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui).
5-98: Ketahuilah, bahawasanya Allah sangat keras seksaan-Nya (seksaan Allah) dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Rahim (Maha Mengasihani).
5-99: Tidak ada kewajipan rasul melainkan menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu zahirkan dan yang kamu sembunyikan.
5-100: Katakanlah (wahai Muhammad saw): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun kamu tertarik oleh banyaknya yang buruk itu. Bertakwalah kamu kepada Allah, wahai ‘ulul-albab’ (ahli fikir), agar kamu beruntung.”
5-101: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, tetapi jika bertanyakan (mengenai ayat-ayat) tatkala diturunkan al-Qur’an, maka akan diperjelaskan kepada kamu. Allah memaafkan kamu pada yang demikian. Dan Allah adalah al-Ghafur (Maha Pengampun), lagi al-Halim (Maha Penyantun).
5-102: Sesungguhnya kaum sebelum kamu telah bertanyakan hal-hal demikian (kepada nabi mereka), kemudian mereka menjadi kafir kerananya.
5-103: Allah tidak mengadakan (mensyari’atkan) ‘bahirah’ (unta yang dipotong telinga), tidak juga ‘sa'ibah’ (unta yang tidak boleh diganggu) dan juga tidak ‘wasilah’ (anak kambing jantan tunggal) dan (seterusnya) tidak ‘ham’ (unta yang dilarang daripada mengangkut barang), tetapi orang kafir yang mengadakannya atas nama Allah (dengan mengadakan binatang-binatang sebagai persembahan untuk berhala), dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikiran.
5-104: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah kepada apa yang diturunkan oleh Allah dan kepada (mentaati) rasul itu,” mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami warisi daripada bapa-bapa kami.” Apakah (mereka mentaatinya) walaupun bapa-bapa mereka tidak mengetahui dan tidak mendapat petunjuk?
5-105: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu. Orang yang sesat itu tidak mampu memudaratkan kamu apabila kamu sudah mendapat petunjuk. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu, kemudian Dia (Allah) akan menerangkan kepada kamu tentang apa yang kamu kerjakan.
5-106: Wahai orang yang beriman! Apabila berwasiat salah seorang daripada kamu yang menghadapi kematian, (hendaklah) adakan dua orang saksi yang adil antara kamu (menyaksikan wasiat tersebut), atau dua orang yang bukan dari kalangan (agama) kamu, jika kamu dalam perjalanan di bumi, lalu bahaya kematian menimpa kamu. (Jika perlu) kamu tahan kedua-duanya (saksi tersebut) sesudah kamu bersolat, lalu keduanya bersumpah dengan nama Allah; (kamu lakukan demikian) sekiranya kamu ragu-ragu (terhadap saksi-saksi berkenaan). (Dan sumpah mereka ialah): “Kami tidak akan menjualnya (wasiat ini) dengan harta, walaupun kepada keluarga yang dekat, dan kami tidak akan menyembunyikan kesaksian terhadap Allah, kerana sesungguhnya jika kami (berbuat) demikian kami akan tergolong orang yang berdosa.”
5-107: Tetapi jika ternyata kedua-duanya (saksi itu) berbuat dosa (sesudah mereka bersumpah), maka adakan dua orang (menggantikan) kedua-duanya (saksi pertama tadi), daripada orang yang berhak, yang lebih hampir (dari segi kekeluargaan dengan orang yang berwasiat itu), lalu kedua-duanya (saksi yang baharu itu) bersumpah dengan nama Allah: “Sesungguhnya kesaksian kami lebih benar daripada kesaksian mereka berdua, dan kami tidak melanggar batas, sesungguhnya jika kami (berbuat) demikian, jadilah kami orang yang zalim.”
5-108: Cara demikian lebih dekat agar mereka datang dengan kesaksian sebagaimana sepatutnya, atau supaya mereka takut dikembalikan sumpah-sumpah mereka (kepada ahli waris) sesudah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah serta dengarkanlah (perintah Allah), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.
5-109: Pada hari Allah akan kumpulkan para rasul lalu Dia (Allah) bertanya: “Bagaimanakah sambutan terhadap (seruan) kamu?” Mereka (para rasul) menjawab: “Tidak ada pengetahuan kami (mengenainya), sesungguhnya Engkau (Allah) jua yang mengetahui perkara yang ghaib.”
5-110: (Ingatlah) tatkala Allah berfirman kepada ‘Isa ‘ibn Maryam: “Ingatlah nikmat-Ku (nikmat Allah) kepadamu dan kepada ibumu, tatkala Aku (Allah) menguatkan engkau dengan Ruhu’l-Qudus, (lalu kerananya) engkau dapat bercakap-cakap dengan manusia dalam buaian dan sesudah dewasa. Dan (ingatlah) tatkala Aku (Allah) mengajarkan kepada engkau kitab, hikmah, Tawrat dan Injil, dan tatkala engkau membentukkan daripada tanah seperti bentuk burung, dengan izin-Ku (izin Allah); kemudian engkau meniup padanya lalu jadilah ia burung (yang hidup) dengan izin-Ku (izin Allah); dan engkau sembuhkan orang buta dan yang berpenyakit sopak dengan izin-Ku (izin Allah). Dan (ingatlah) tatkala engkau menghidupkan orang yang sudah mati dengan izin-Ku (izin Allah); dan (ingatlah) tatkala Aku (Allah) menghalang Bani Isra’el daripada (memudaratkan engkau) ketika engkau datang kepada mereka dengan (membawa) keterangan-keterangan, lalu orang kafir di kalangan mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata.”
5-111: Dan (ingatlah) ketika Aku (Allah) mengilhamkan kepada ‘Hawariyun’ (pengikut setia ‘Isa): “Hendaklah kamu beriman kepada-Ku (kepada Allah) dan kepada rasul-Ku (rasul Allah),” mereka menjawab: “Kami telah beriman dan saksikanlah bahawa kami adalah Muslimin (orang yang menyerah diri).”
5-112: (Ingatlah) ketika ‘Hawariyun’ itu berkata: “Wahai ‘Isa ‘ibn Maryam! Adakah Rab (Tuhan) engkau sudi menurunkan suatu hidangan dari langit untuk kami?” Dia (‘Isa) menjawab: “Bertakwalah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.”
5-113: Mereka berkata: “Kami ingin memakan makanan itu supaya tenteram hati kami dan supaya kami yakin bahawa engkau telah berkata benar kepada kami, dan (dengan demikian) kami menjadi orang yang benar-benar menyaksikan.”
5-114: ‘Isa ‘ibn Maryam berdoa: “Allahumma (Ya Allah), Rabbana (wahai Tuhan kami)! Turunkan kepada kami makanan dari langit, agar ia menjadi hari raya bagi kami, iaitu orang yang pertama daripada kami dan yang terkemudian sesudah kami, dan sebagai satu tanda daripada Engkau (Allah), dan berikanlah kami rezeki kerana Engkau (Allah) adalah yang sebaik-baik pemberi rezeki.”
5-115: Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku (Allah) akan menurunkannya (makanan itu) kepada kamu, (oleh yang demikian) sesiapa antara kamu yang kufur sesudah itu, Aku (Allah) akan mengazabkannya dengan azab yang belum pernah Aku (Allah) timpakan kepada sesiapa jua daripada isi alam.”
5-116: Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai ‘Isa ‘ibn Maryam! Adakah engkau pernah katakanlah kepada manusia: Jadikanlah aku dan ibuku sebagai Rab (Tuhan) selain Allah?” Dia (‘Isa) menjawab: “Subhanaka (Maha Suci Engkau)! Tidaklah patut aku mengatakan apa yang tidak benar tentangku. Jika aku pernah mengatakannya tentulah Engkau (Allah) mengetahuinya, (kerana) Engkau (Allah) mengetahui apa yang ada pada diriku sedangkan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau (Allah). Sesungguhnya Engkau (Allah) jua yang mengetahui perkara yang ghaib.”
5-117: “Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka (sesuatu) kecuali apa yang Engkau (Allah) perintahkan kepadaku: (Iaitu) hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah, Rab (Tuhan)ku dan Rab (Tuhan) kamu. Dan aku menjadi saksi atas mereka selama aku berada bersama mereka. Apabila Engkau (Allah) mematikan daku, maka Engkau (Allah) sendiri yang menjadi pengawas mereka, dan Engkau (Allah) menjadi saksi terhadap segala sesuatu.”
5-118: “Jika Engkau (Allah) menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau (Allah). Dan jika Engkau (Allah) ampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkau (Allah) adalah al-‘Aziz (Maha Perkasa), lagi al-Hakim (Maha Bijaksana).”
5-119: Allah berfirman: “Inilah hari yang mendatangkan manfaat kepada ‘siddiqin’ (orang yang benar) oleh kebenaran mereka; bagi mereka adalah jannah (taman/syurga) yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepada-Nya (kepada Allah); itulah kemenangan yang paling besar.”
5-120: Kepunyaan Allah semua kekuasaan di langit dan di bumi dan apa yang ada di dalamnya dan Dia (Allah) terhadap segala sesuatu adalah al-Qadir (Maha Berkuasa).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej