LARANGAN BENCI MEMBENCI ANTARA SATU SAMA LAIN
https://ashabulyaminblog.wordpress.com/category/bab-larangan/
by ashabulyaminblog in Bab Larangan
Daripada Abu Hurairah ( r.a ), Rasulullah SAW telah bersabda:
“ Janganlah kamu saling dengki mendengki, janganlah kamu saling tawar menawar harga yang lebih tinggi tanpa ada niat untuk membelinya, janganlah kamu saling benci-membenci….”
( Diriwayatkan oleh Muslim )
Takrif
Kebencian adalah satu perasaan tidak sukakan sesuatu atas sebab sesuatu yang buruk. Rasulullah SAW telah melarang kaum Muslimin dari benci-membenci sesama mereka yang bukan kerana Allah SWT, sebaliknya disebabkan hawa nafsu, lantaran kaum Muslimin itu adalah bersaudara yang saling berkasih sayang.
Allah SWT berfirman, maksudnya:
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”
( Surah al-Hujurat: 10 )
Rasulullah SAW bersabda:
“ Seorang muslim adalah saudara kepada muslim lainnya.”
( Diriwayatkan oleh Muslim )
Benci membenci terjadi di antara dua orang, sama ada berpunca dari satu pihak atau satu pihak yang lain. Jika membenci bukan kerana Allah SWT maka hukumnya adalah haram, Allah SWT berfirman, maksudnya:
“… wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman-teman setia…”
( Surah al-Mumthahanah: 1 )
Wajib ke atas setiap Muslim untuk menasihati dirinya sendiri dan berjaga-jaga terhadap rasa benci semata-mata kerana hawa nafsu dan persahabatan serta adat kebiasaan. Kerana semua ini menghalang terjadinya kebencian itu semata-mata kerana Allah SWT, bahkan termasuk ke dalam kategori marah yang diharamkan.
Pengharaman atas semua perkara yang menyebabkan permusuhan dan kebencian
Allah SWT mengharamkan ke atas orang-orang yang beriman setiap perkara yang menjatuhkan mereka atau menjerumuskan mereka ke dalam permusuhan dan kebencian, antaranya Allah SWT mengharamkan arak dan judi. firmanNya yan bermaksud:
“ Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran ( meminum ) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu ( dari mengerjakan pekerjaan itu ).”
( Surah al-Ma’idah: 91 )
Allah SWT juga mengharamkan menyebarkan “ namimah “ ( mengada-adakan cerita dan memfitnah orang lain ), justeru padanya wujud punca berputiknya permusuhan dan kebencian. Manakala Allah SWT memberi rukhsah ( kelonggaran ) untuk berdusta demi memperbaiki perhubungan antara sesama manusia. Allah SWT menggalakkan perbaikan hubungan sesame insan dan meninggalkan perpecahan.
Allah SWT berfirman, maksudnya:
“ Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia ) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia….”
( Surah an-Nisa’: 114 )
والله أعلم
semoga Bermanfaat…
LARANGAN MEMBUNUH KATAK
by ashabulyaminblog in Bab Larangan
Daripada Abdurrahman bin Uthman al-Quraisyi ( r.a ) bahawa seorang tabib pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang katak yang dijadikannya ubat penawar penyakit. Rasulullah SAW melarangnya membunuh katak.
( Diriwayatkan oleh Ahmad dan dinilai shahih oleh al-Hakim sedangkan Abu Daud dan an-Nasa’i turut meriwayatkannya )
Keterangan
Al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis didalam kitabnya al-Sunandaripada Ibnu ‘Umar ( r.a ) secara mawquf:
“ Janganlah kamu membunuh katak, kerana bunyinya merupakan tasbih.”
( al-Baihaqi menilai shahih sanadnya )
Manakala daripada Anas ( r.a ) secara mawquf:
“ Janganlah kamu membunuh katak, kerana ia pernah melintas di atas api yang membakar Ibrahim. Katak itu membawa air dari mulutnya dan menyiramkan air itu ke atas bara api.”
Imam al-Shan’ani berkata:
“ Barangkali atas pertimbangan inilah dilarang membunuh katak.”
Kesimpulan
Dilarang membunuh dan memakan katak.
والله أعلم
Sumber:
Subulus Salam: 4/ 260-261
LARANGAN MEMELIHARA ANJING
by ashabulyaminblog in Bab Larangan
Daripada Abu Hurairah ( r.a ), Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesiapa memelihara anjing selain anjing penjaga haiwan ternak, anjing berburu dan anjing penjaga sawah, maka akan dikurangi pahalanya setiap hari sebanyak satu qirath.”
( Diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih )
Keterangan
Dalam hadis diatas dinyatakan bahawa satu qirath, manakala didalam riwayat yang lain dinyatakan dengan lafaz dua qirath.
Imam Ibnu Hajar berkata: “ Ulama berbeza pendapat tentang maksud qirath disini sama ada ia sama dengan apa yang dimaksudkan Nabi SAW ketika membahas tentang solat jenazah yang besarnya umpama gunung Uhud atau sebaliknya.”
Ada yang berpendapat qirath yang dimaksudkan sama dengan qirath yang disebutkan Nabi SAW. Ada pula yang berpendapat qirath yang termaktub dalam bab solat jenazah adalah lebih besar kerana bab jenazah bercerita tentang keutamaan, sedangkan di sini berkaitan dengan hukuman.
Menurut Imam Ibnu Hajar lagi, ulama berbeza pendapat tentan dua riwayat yang berlainan mengenai qirath. Ada yang mengatakan dua qirath yang ada dalam bab solat jenazah tujuannya menjaga diri daripada seksaan api neraka. Ada pula yang berpendapat pengurangan dua qirath itu apabila terjadi banyak kemudharatan dan pengurangan satu qirath apabila tidak terjadi banyak kemudharatan.
Beberapa ulama mengatakan, pahala akan dikurangi apabila memelihara anjing di kota Madinah atau kota selainnya. Ada pula yang mengatakan, pahala dikurangi apabila memelihara anjing di tempat yang membuat anjing itu bercampur dengan manusia ataupun tidak.
Kemudian, ulama juga berbeza pendapat dalam perkara pengurangan pahala, sama ada yang dikurangi itu adalah pahala daripada amalan yang telah lalu ataupun amalan yang akan datang.
Imam al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “ Ramai ulama yang memfatwakan untuk membunuh anjing selain anjing yang disebutkan oleh hadis di atas sebagaimana pendapat Imam Malik dan pengikutnya. Tetapi ada pula ulama yang membolehkan memelihara anjing secara mutlak dan tidak boleh dibunuh, melainkan anjing hitam yang ganas.”
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh lagi, larangan memelihara dan perintah membunuh itu asalnya bersifat umum. Kemudian datang lagi larangan membunuh anjing-anjing itu selain anjing hitam yang ganas. Jadi semua jenis anjing tidak boleh dipelihara kecuali anjing-anjing yang dikhususkan oleh hadis tersebut.
Imam al-Shan’ani berkata: “ Hikmah daripada pengharaman ini adalah sekiranya anjing itu tetap berada di rumah, maka ia membuat orang lain merasa takut, di samping malaikat tidak mahu memasuki rumah yang ada anjing. Bukankah apabila malaikat masuk ke suatu rumah, maka orang yang tinggal di rumah itu mudah berbuat taat dan jauh daripada maksiat? Selain itu, memelihara anjing juga dapat mengotori ( meninggalkan najis ) di pelbagai tempat.”
Kesimpulan
Dilarang memelihara anjing kecuali dengan tujuan berburu, menjaga haiwan ternakan atau menjaga sawah dan kebun. Mazhab Syafi’i menyebutkan anjing yang dipelihara untuk dididik juga dibolehkan. Menurut mereka, larangan yang terdapat di dalam hadis ini bermaksud haram.
Ibnu Abdul Barr berkata: “ Ulama bersepakat anjing yang dibolehkan untuk dipelihara adalah anjing yang tidak dilarang membunuhnya oleh ulama, seperti anjing ganas.”
والله أعلم
Semoga Bermanfaat…
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej