Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, February 28, 2016

Bahasa merupakan jalan untuk mendapatkan ilmu di mana setiap bangsa mesti belajar dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing

BAHASA IBUNDA ASAS PELAJARI ILMU – Presiden PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KUANTAN: Bahasa merupakan jalan untuk mendapatkan ilmu di mana setiap bangsa mesti belajar dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ujar beliau, memaksa bangsa lain meninggalkan bahasa mereka adalah bercanggah dengan konsep di bawa al-Quran kerana asas-asas ilmu terutama di peringkat rendah lebih mudah difahami menerusi pembelajaran dengan menggunakan bahasa ibunda.
“Kalau belajar dengan bahasa-bahasa asing, orang Cina belajar dengan Bahasa Tamil, orang Tamil belajar dengan Bahasa Cina, orang Melayu belajar dengan Bahasa Inggeris, ini akan ambil masa.

“Bila untuk tambah ilmu kepakaran (lanjutan bidang khusus), ini (baru guna) bahasa asing. Kalau kita nak ambil (lanjutan ilmu) pakar daripada negara Bahasa Inggeris, kena tahu Bahasa Inggeris. (Ambil ilmu) Kepakaran daripada Jepun, (kena belajar) Bahasa Jepun. Kepakaran daripada Perancis, bahasa Perancis.
“Ini diizinkan untuk kepakaran dengan bahasa yang berbagai. Di mana, bahasa adalah (anugerah) Tuhan beri hak kepada bangsa masing-masing. Masing-masing negeri ada bahasa dia, ada budaya dia. Setiap bangsa ada kefahaman budaya negeri dia dan kebolehan dia masing-masing.

“Memang dalam sebuah negara masih ada bahasa rasmi. Kalau Negara Arab, bahasa rasminya Arab. Kalau negeri China, bahasa rasminya Cina. Negeri Malaysia, bahasa perantaraan ialah Bahasa Kebangsaan,” ujarnya pada Dialog Rakyat: Jaminan Sosial Islam Untuk Masyarakat Bukan Islam di Hotel Seri Malaysia, di sini baru-baru ini.

Pandangan Presiden PAS itu jelas merupakan jawapan terhadap isu Program Dwi Bahasa (DLP) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai “Inisiatif Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris Murid di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2015”.

Menerusi program itu, sekolah diberikan peluang menawarkan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Rekabentuk dan Teknologi dalam dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Sebaliknya program tersebut dilihat mengulangi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah dibantah rakyat serta dimansuhkan kerajaan pada tahun 2012 dahulu.

Tuan Guru dalam dialog itu turut memberi jaminan pemeliharaan terhadap sekolah-sekolah aliran bahasa ini.
“Kalau kita memerintah negara, kita tak tutup sekolah bahasa-bahasa ini, bahkan kita bantu, insya-Allah, kita bantu lagi. Bahkan kita galakkan rakyat Malaysia tahu bahasa yang banyak untuk menambahkan ilmu mereka daripada orang Cina, orang India, orang Melayu dan berbagai kaum lagi.

“Ini galakan yang kita akan beri. Masalah bahasa bukan menjadi satu masalah yang besar. Dan saya tertarik (dengan) orang Cina, dia berbangga dengan bahasa dia. Orang Jepun dengan bahasa dia. Kita orang Melayu yang tinggal bahasa kita sendiri.

“Kita tengok hari ini kedai Cina tak tinggal tulisan Cina. Tetapi orang Melayu dah tinggal Bahasa Melayu, tulis Bahasa Inggeris, orang Cina tak tinggal tulisan Cina dia. Orang Tamil tak tinggal tulisan Tamil dia. Walaupun orang Melayu kata, tulisan Cina ini macam kunyit berbelit-belit, bersimpul, cabang-cabang sikit.
“Tak tinggal dia punya bahasa dia, tulisan dia. Ini identiti-identiti. Dalam hal ini, kita akan tabik kepada orang Cina dan India kerana dia ada keperibadian dia sendiri mempertahankan budaya dia.

Orang Melayu, dia longgar sangat, orang Melayu ini. Ini kita kena sebut, saya pun Melayu juga, saya kata pada diri saya sendiri lah dalam masalah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej