DETIK KEMATIAN BAGI GOLONGAN ISTIQAMAH
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
MARANG: Golongan istiqamah tidak perlu merasa bimbang dan sedih menghadapi kematian, kerana mereka akan didampingi para malaikat serta dijamin urusan mereka di sisi Allah s.w.t, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Memetik ayat 2 surah al-Mulk beliau berkata, Allah menjadikan mati dan hidup untuk menguji manusia terhadap amalan mereka, di mana kematian akan menamatkan kehidupan di dunia setelah diuji dan menjadi pintu kepada kehidupan manusia di akhirat dengan terdahulu menempuh alam barzakh.
Dengan kematian katanya, hilanglah peluang beramal di mana detik waktu tercabutnya nyawa berlaku tepat mengikut saat dan tempatnya.
“Ayat (32 surah an-Nahl) ini mengisahkan ada kalangan orang-orang yang mati itu yang beriman, mengerjakan amal yang soleh, malaikat datang dengan cara yang baik, cara yang lembut, yang halus dan Malaikat memberikan ucapan yang menggembirakan kepada si mati.
"Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan," ujar beliau yang mengukuhkan lagi penjelasannya dengan memetik ayat 30 hingga 32 surah Fussilat semasa menyampaikan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di sini baru-baru ini.
Hurainya, ayat tersebut menerangkan perihal mereka yang berjaya dalam menghadapi cabaran hidup, beristiqamah serta berada di jalan benar.
Seterusnya Tuan Guru memperincikan mengenai golongan istiqamah yang berada di jalan kebenaran sebagaimana terdapat pada ayat 5 hingga 7 surah al-Fatihah iaitu para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan orang-orang salih.
“Kita tidak ada harapan nak jadi Nabi, kerana tidak ada lagi Nabi selepas Muhammad s.a.w, Allah Taala dah tutup. Nak jadi Nabi bukan mudah, payah. Allah Taala pilih siapa yang dikehendaki di kalangan manusia. Cuma kita boleh jadi pengikut Nabi-Nabi.
“Pengikut Nabi-Nabi, yang ikut ajaran dan petunjuk Allah Taala dalam semua perkara kehidupan kita daripada dunia sampai mati. Tidak ada lepas sedikit pun dalam kehidupan kita ini mengikut ajaran Allah.
“Siddiqin, ialah orang-orang yang membenarkan Nabi-Nabi, dengan hati yang ikhlas. Allah Taala menunjukkan contoh Siddiqin ialah Abu Bakar As-Siddiq r.a,” ujarnya menambah ciri siddiqin sebagaimana terdapat pada ayat 15 surah al-Hujurat dan juga golongan peniaga yang jujur.
Manakala syuhada' katanya, ialah mereka yang mati dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, sementara solehin adalah orang-orang soleh dan baik.
Menurutnya, perkara itu berbeza dengan kematian dihadapi golongan kafir, zalim, fasik dan munafik.
“Kafir (ialah) yang tak percaya kepada Islam, ingkar akan Allah dan Rasulnya, menafikan Islam. Zalim (ialah) yang jahat, meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Islam, tetapi zalim. Fasik (ialah) yang mengerjakan maksiat yang jahat. Yang munafik, berpura-pura Islam, tetapi tak Islam,” jelasnya.
Tuan Guru memetik ayat 93 dan 94 surah al-An’am serta ayat 50 dan 51 surah al-Anfal yang menggambarkan kegerunan kematian golongan tersebut serta tindakan para malaikat terhadap mereka, selain didedahkan sikap-sikap buruk mereka dan pembalasan akan dilalui.
“Jadi istiqamah ini ialah mereka yang ikut ke jalan betul, mengikut golongan yang Allah sebutkan dalam ayat yang dibaca tadi. Mereka ini bila mati, malaikat memberi semangat. Jangan takut, selepas mati ini, Allah jagamu. Jangan sedih meninggalkan keluarga, anak, kawan dan sahabat. Allah peliharakan mereka.
“Bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu. Malaikat memberi jaminan, kamilah kawan-kawan kamu di dunia sehingga akhirat. Kami ini kawan-kawan kamu, teman-teman kamu yang mendampingi kamu di dunia sehingga hari akhirat. Kamu akan dapat apa yang tuhan janjikan kepada kamu. Itu semua adalah orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bila mati,” ujarnya menyuntik keyakinan.
https://m.facebook.com/harakah.kedah/posts/1013858998679379:0
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej