Adakah PAS sudah masuk perangkap Umno? Atau apakah isu hudud hanyalah retorik politik yang dimainkan oleh PAS? Atau adakah PAS akhirnya mengalah dengan tekanan demi tekanan yang dilancarkan oleh DAP dan PAN?
Untuk makluman, sebenarnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang selaku ahli parlimen Marang sudah pun dua kali mengemukakan notis bagi usul Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di parlimen.
Notis pertama adalah semasa Persidangan Dewan Rakyat pertama bagi tahun 2015 (9 Mac hingga 9 April) sementara notis kedua adalah semasa Persidangan Dewan Rakyat yang kedua (18 Mei hingga 18 Jun).
Usul tersebut telahpun disenaraikan dalam Kertas Aturan Mesyuarat pada kedua-dua sidang terbabit, namun ia tidak sempat dibahaskan. Ini kerana urusan kerajaan (rang undang-undang yang dibentangkan oleh menteri kabinet) lebih diutamakan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum rang undang-undang persendirian boleh dibincangkan.
Dan pada 4 Jun 2015, empat individu, iaitu Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany Jamaluddin telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan Setiausaha Parlimen Datuk Ismail Mohamad Said, bagi menghalang rang undang-undang hudud daripada dibentangkan di parlimen.
Injunksi bermaksud arahan mahkamah yang ditujukan kepada orang tertentu sama ada menghalangnya daripada melakukan sesuatu tindakan (injunksi larangan) atau mengarahkannya melakukan sesuatu tindakan (injunksi mandatori). Dalam kes ini, empat individu di atas telah menuntut injunksi larangan bagi menyekat rang undang-undang hudud daripada dibentangkan di Dewan Rakyat.
Injunksi berkenaan juga menghalang rang undang-undang tersebut dari dibahaskan sehinggalah kes mahkamah selesai.
Dengan kata lain, usul undang-undang berkaitan hudud tidak akan dapat dibawa ke parlimen sehinggalah perbicaraannya di mahkamah tamat.
Biasanya kes mahkamah akan mengambil masa bertahun-tahun malah mungkin lebih daripada itu sebelum sesuatu keputusan dapat dibuat.
Di sini kita dapat lihat sendiri betapa berat dugaan yang dihadapi PAS dalam usaha menegakkan hukum Islam di negara ini. Ia diserang dari setiap penjuru dan setiap waktu. Sebelum hudud dibentangkan, PAS awal-awal lagi kena hentam oleh DAP, MCA dan proksinya. Sebahagian ahlinya pula khianat lalu menubuhkan parti baru.
Ketika hendak dibentangkan, gilirannya dilengah-lengahkan oleh pemerintah yang diketuai oleh Umno sehinggalah mesyuarat parlimen tamat. Selepas itu Presiden PAS pula disaman di mahkamah kerana mahu membawa usul rang undang-undang Islam.
Selepas usul hudud tertangguh akibat halangan-halangan ini, sekali lagi PAS disindir dan dicemuh oleh pihak tertentu yang menuduhnya hanya bermain politik dengan isu hudud.
Justeru amat penting bagi para penyokong PAS dan umat Islam di Malaysia memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan Parti Islam dalam sama-sama mengharungi cabaran yang besar ini. Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan bagi meneruskan perjuangan berliku ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej