Presiden PAS Bawa Mesej Kehebatan Islam
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
KLANG: Masyarakat Tionghua menunjukkan kehadiran luar jangkaan pada Sambutan Tahun Baru Cina 2016 PAS Selangor bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berlangsung di Dewan Hokkien Klang, di sini semalam.
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Muhammad Najhan Halim berkata, majlis tersebut telah menjadi ruang kepada PAS menerangkan hakikat Islam kepada masyarakat Cina dan bukan Islam.
Menurut beliau, Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan disampaikan pada majlis itu telah menjelaskan kesempurnaan Islam dan pendirian Islam terhadap orang bukan Islam dan Cina.
Ujarnya, antara disebutkan Tuan Guru adalah keadilan dibawa oleh Islam dan hak bukan Islam yang dijamin oleh Islam.
"Tuan Guru Presiden menyatakan perbezaan penciptaan kaum dan bangsa adalah ciptaan Allah, maka hak bukan Islam untuk mengekalkan bahasa dan adat mereka termasuk dalam jaminan Islam.
"Tuan Guru turut menceritakan bahawa terdapat sejarah lama yang membuktikan bahawa negara China sudah lama melakukan hubungan dengan Islam.
"Malah ia melibatkan hubungan perdagangan dengan Arab termasuk pada zaman Nabi s.a.w. masih hidup," terangnya mengimbas ucapan tersebut.
Menurutnya, Tuan Guru turut mengimbas sejarah negara dan masyarakat yang pernah menggunakan sistem seperti Sosialis dan Kapitalis, akhirnya sistem tersebut menindas mereka.
Oleh itu katanya, Presiden PAS melontarkan renungan buat hadirin supaya menerima Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap.
Tuan Guru menurutnya turut mengungkap perbezaan antara Melayu dan Islam.
Jelasnya, dengan merujuk negeri yang kuat pegangan Islam seperti Kelantan Terengganu dan Kedah di mana terdapat banyak pengajian Islam dan pondok, Tuan Guru menegaskan di negeri-negeri tersebut masyarakat Cina dan bukan Islam boleh hidup dengan aman.
"Tuan Guru mengingatkan bahawa umat Islam berpendidikan dan pegangan Islam yang kuat tidak menzalimi bukan Islam.
"Bahkan pada peristiwa 13 Mei, negeri-negeri itu tidak berlaku rusuhan kaum sekali gus membuktikan keharmonian Islam," terang Ustaz Najhan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej