Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, January 4, 2017

ISU SAMAN SARAWAK REPORT: ZAID IBRAHIM MALUKAN INSTITUSI GUAMAN

ISU SAMAN SARAWAK REPORT:
ZAID IBRAHIM MALUKAN INSTITUSI GUAMAN

Semenjak musuh PAS beroleh peluru baru iaitu kunjungan TGHH ke Tehran, nampaknya isu saman Sarawak Report (SR) tidak lagi riuh seperti dahulu. Digunakan cukup-cukup isu tersebut untuk mengaitkan PAS dengan syiah. Namun begitu, masih ada memperkatakan isu SR tetapi kini dengan naratif yang berbeza. Jika dahulu mereka mencabar untuk saman, kini mereka mempertikaikan pula tindakan PAS itu kononnya tidak relevan. Seolah-olah mengharap PAS berundur dari keputusan menyaman SR.

Untuk pengetahuan bersama, melalui kenyataan YB Dato Takiyudin Hassan, Setiausaha Agung PAS yang juga merupakan seorang peguam, peguam yang mewakili PAS di UK sudahpun menghantar notis tuntutan kepada editor SR, Clare Rewcastle Brown. Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defamation" itu berkuatkuasa selama tujuh hari bermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016. Tuntutan tersebut adalah menuntut Sarawak Report membuang artikel itu daripada laman webya, menuntut SR menyiarkan satu permohonan maaf (apology) atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS dan menuntut SR memberi akujanji (undertaking) tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang. Namun begitu, Clare mendakwa dia tidak menerima apa-apa dokumen sehinggalah berakhir tempoh tuntutan iaitu pada 20 Disember 2016 yang lepas.

Respon Clare terhadap media seperti ini sebenarnya akan memerangkap beliau sendiri. Kenyataannya itu boleh didakwa sebagai meremehkan firma dan profesyen guaman di negara beliau sendiri, serta secara tidak langsung memperkecilkan sistem perundangan dan keadilannnya. Penghantaran dokumen tersebut dilakukan melalui kaedah-kaedah perundangan dan menggunakan sistem penyampaian dokumen di United Kingdom yang cukup cekap dan sistematik. Kedegilan beliau untuk berurusan dengan kaedah-kaedah perundangan seumpama ini akan menyebabkan kredebiliti SR terjejas teruk di samping beliau akan menghadapi tindakan susulan perundangan yang lebih tegas.

Ada pihak yang mengkritik PAS tidak bertindak apa-apa selepas surat tuntutan tersebut tidak ditunaikan SR. Untuk pengetahuan pihak-pihak terbabit, pada akhir Disember sehingga awal Januari setiap tahun di kebanyakan negara-negara Eropah khususnya di UK, firma dan agensi perkhidmatan lazimnya menghentikan operasi mereka buat sementara waktu bagi menyambut perayaan Krismas dan tahun baru. Tempoh cuti yang panjang ini sudah tentu membantutkan usaha PAS dalam berurusan dengan pihak mahkamah untuk tindakan lanjut.

Saya sebenarnya tertarik untuk menjawab artikel Zaid Ibrahim berkenaan isu ini. Beliau menyatakan dalam blognya bahawa tindakan PAS menyaman SR hanya gimik politik semata-mata. Nada tulisan yang sangat hebat bermain persepsi ‘su` zhon’ bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan pemerhati politik negara ini. Dikaitkan isu ini dengan berbagai perkara yang tidak munasabah tetapi cuba bermain psikologi. Bagi yang lemah capaian mindanya sudah tentu mudah diulik lenggok bahasa beliau.

Antaranya beliau menimbulkan isu kos guaman yang sangat tinggi. Tidak berbaloi bagi PAS mengeluarkan sehingga RM 1.5 juta untuk menyelesaikan isu ini. Perkara ini telahpun dijawab oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato Dr Mahfodz Mohamad bahawa saman ini adalah demi membela maruah PAS. Tindakan ini boleh memberikan pengajaran kepada pihak lain supaya tidak cuba bermain api dengan PAS. Fitnah bukan budaya sihat dalam politik di negara maju atau negara membangun. Oleh sebab itu ia tidak boleh dibiarkan sama sekali.

Atas keyakinan PAS berada di pihak yang benar, PAS bertekad meneruskan prosedur undang-undang ini walaupun terpaksa mengeluarkan sejumlah wang di peringkat awal. Lagipun, segala kos guaman akan ditanggung oleh SR setelah terbukti kenyataan mereka sebelum ini adalah fitnah dan berniat jahat terhadap PAS. Zaid sengaja buat-buat tidak mengetahui mengenai prosiding ini walaupun beliau sendiri seorang peguam.

Antara lain, Zaid mendakwa belum pernah melihat ada parti politik berjaya dalam kes saman di United Kingdom
khususnya di England. Sebenarnya persoalan itu sudah menjawab persoalan terdahulu yang beliau sendiri timbulkan berkenaan keputusan PAS menamakan Presidennya sebagai plaintif. Sekiranya beliau bermaksud belum ada mana-mana pihak luar yang menang dalam kes saman di UK melibatkan isu politik, bermakna beliau telah memalukan diri sendiri dan para pengamal guaman di Malaysia. Tercatat dalam lipatan sejarah, sudah banyak kes-kes seumpama ini berlaku di negara bekas penjajah Malaysia itu dan ia memihak kepada pihak luar yang memfailkan saman tersebut terhadap agensi tertentu dalam negara terbabit.

Bukti paling dekat adalah pada tahun 2007 di mana Tuan Guru Presiden PAS  sendiri pernah menyaman akhbar Daily Mirror yang juga beroperasi di UK kerana menyenaraikan beliau sebagai salah seorang pemimpin tinggi Al-Qaeda yang menyebarkan ideologi terrorisme. Akhbar tersebut siap menyiarkan gambar beliau bersama beberapa pihak lain yang dituduh. Keputusannya ialah Daily Mirror mengaku telah membuat kesilapan dan Daily Mirror telah mengeluarkan kenyataan maaf serta membayar pampasan dan kos guaman beliau. Penyelesaian ini telah dirakamkan di hadapan hakim di dalam mahkamah.

Selain beliau, pada tahun 2014 Rashid Ghanouchi juga pernah menang dalam kes samannya terhadap agensi penerbitan Michel Lafon. Ghanouchi yang merupakan pemimpin parti Ennahda, parti terbesar Tunisia telah didakwa menerima dana daripada kerajaan Qatar bagi menghadapi pilihanraya Tunisia 2011.

Presiden Turki kini, Recep Tayip Erdogan juga pernah menang samannya terhadap akhbar British Daily Telegraph yang mendakwa AK Parti menerima dana USD 25 juta daripada Iran. Akhbar yang sama juga telah disaman oleh isteri Emir Qatar, Sheikha Mouza atas dakwaan fitnah terhadapnya.

Selain kes-kes di atas, banyak lagi kes seumpama yang tidak sempat saya huraikan di sini. Saya cadangkan Zaid membuka arkib firma guaman Carter-Ruck yang mengendalikan kes Tuan Guru Presiden terhadap Daily Mirror dahulu dan juga kes-kes tokoh lain. Sikap lancang menulis tanpa mendahulukan kajian dan fakta hanya akan menjatuhkan airmuka sendiri dan seluruh pengikut di belakang.

Kesimpulannya, tulisan Zaid jelas menunjukkan kebimbangan beliau dan mereka yang seumpamanya, jika PAS berpendirian untuk meneruskan kes ini. Setelah terbukti PAS tidak bersalah lalu menang sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini, sudah tentu nama PAS melonjak naik hingga ke mata dunia dan menenggelamkan segala parti-parti picisan yang cuba berpaut pada pengaruh PAS. PAS tidak sepatutnya melayan segala keraguan yang ditimbulkan musuh politiknya, bahkan melayarkan bahtera ini menuju matlamat yang kian dekat dan jelas.

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej