Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, September 11, 2020

Poltik pas yg dah banyak makan garam

Walau sebagai musuh politik, janganlah anda perli kerjasama PAS. Jangan underestimate PAS. Semua (ulang: semua) kerjasama parti ini membawa tuah dan keuntungan yang besar kepadanya.

PAS mungkin tidak bertanding di Sabah kali ini tetapi pelaburannya yang begitu lama pasti membuahkan hasil. Politik PAS ini politik kura-kura, politik marathon, atau politik makan senyap-senyap macam anai-anai.

Kerjasama dengan Semangat 46, melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU), pada 1990 menghadiahkan semula Kelantan kepadanya. Pada 1999, ia berjaya mendapat Terengganu, selain mengekalkan Kelantan, bersama Barisan Alternatif.

Pada 2008, parti ini ada tiga menteri besar termasuk di Perak walau jumlah kerusinya kecil sahaja di negeri ini. PAS ada Kelantan dan Kedah, dua kejayaan besar dalam sejarahnya (waktu itu).

Pada 2018, melalui kerjasama sulit dalam strategi tiga penjuru, PAS menguasai Terengganu semula. Melalui strategi "tebuk atap" pada 2020, ia juga merampas Kedah, selain tiga jawatan menteri.

Sejak kerjasama dengan Perikatan pada 1972 (kemudian Barisan Nasional hingga 1977), kedudukannya dalam kerajaan bertambah baik, perlahan-lahan. LIHAT pautan di bahagian komen.

Apa yang kita boleh faham daripada tuah politik PAS ini?

1. PAS bijak menghidu peluang dan cepat memanfaatkan krisis, khususnya krisis besar parti kerajaan.

Kita lihat latarnya: tragedi 13 Mei 1969, perpecahan Team A dan Team B pada 1987, pemecatan DS Anwar Ibrahim 1998, ketegangan Tun Abdullah Ahmad Badawi-Tun Dr Mahathir Mohamad 2005/6 dan DS Najib Razak-TS Muhyiddin Yassin 2015.

2. PAS bukan sekadar parti agama tetapi gerakan politik nasionalis dan konservatif yang menyedari kekananan ideologinya hanya menyudutnya di Kota Bharu. PAS cukup sedar keterbatasannya dan sentiasa mengatasinya, termasuk memulih imej luaran, meraikan ragam kelompok (termasuk apa yang dilabel "profesional") dan melebarkan kerjasama.

Di satu sisi, PAS ini parti yang mudah lentur, "pragmatik, oportunis dan Machiavellian"***, demi menguasai ruang dan peluang khususnya pilihan raya. Ia boleh "main kotor" sama dengan Umno dan kerajaan yang menindasnya. Ia sebuah parti resilient dan tough hasil tekanan Umno yang kotor terhadapnya.

3. Kerjasama PAS selalunya satu penggal (dan lebih sedikit, tidak sampai dua penggal). Hampir semua tahalluf siyasinya disemak semula dengan kadar segera jika ia rasa tidak cukup menguntungkannya.

Namun setiap kali ia mendapat manfaat besar daripada kerjasama tersebut, ia akan membolotnya dengan cubaan mengecilkan pengaruh rakannya.

Lihat apa jadi pada Semangat 46 di Kelantan selepas 1990, apa jadi pada gabungan NGO dan Keadilan di Terengganu selepas 1999? Lihat jenis "muafakat" antara PAS dan Umno di Terengganu saat ini. Senget sebelah.

DAP tidak untung dalam Barisan Alternatif tetapi PAS mendominasi kerjasama itu. Tidak lama selepas menang, ia menjerit kejayaan Islam melawan sekular. Menjelang 2004, ia melonjakkan manifesto Negara Islam, menyisihkan lagi DAP daripada PAS.

Semangat 46 dan DAP tidak untung pada 1990 dan 1999 tetapi PAS bernafas lega. Langkahnya makin panjang. Dalam strategi tiga penjuru, lihat nasib DS Najib dan Umno pada 2018 tetapi PAS menguasai Terengganu, sekali lagi.

4. (Huraian lanjut tiga isi di atas). Walaupun selalunya tidak panjang jodohnya, PAS ini parti yang sangat percaya pada kerjasama. Misalnya pada pilihan raya umum 1986 walau kecil dan kurang signifikan. Yang jelas, ia sedar perlunya membuka ruang dan peluang walau tinggal sekelumit harapan.

Memang PAS dijenakakan sebagai "parti pacak bendera BN" di Sabah saat ini tetapi kenyataan DS Abdul Hadi Awang tadi jelas sekali cuba memacak keyakinan parti itu sebagai sekutu yang berguna lagi diyakini demi diam-diam melebarkan pengaruhnya di Semenanjung.

Kenyataan Hadi dalam isu Sabah samalah sikapnya hadir bertemu Najib selepas dijatuhkan hukuman kes SRC, samalah sokongannya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri. Samalah sikapnya kekal bersama Muafakat Nasional dan cepat-cepat menyertai Perikatan Nasional.

5. Lihat beberapa keputusan licik PAS untuk cuba melentur dirinya tanpa melarutkan kepentingan dirinya. Kita ambil dua kes di Kelantan selepas pilihan raya 2004 dan menjelang 2008.

Sewaktu ia menang sangat tipis, PAS berunding dengan Umno agar tidak mencabar keputusan di mahkamah pilihan raya. Mereka seolah-olah "berdamai". Kenapa ia membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding di Pasir Mas pada 2008?

Dua keputusan di Kelantan ini mendedahkan kelicikan parti agama bertarung untuk kekal relevan/berkuasa. Slogan "PAS for All" dan tema "Negara Berkebajikan" sebahagian strategi ini. Menubuhkan Kelab Penyokong Bukan Islam pada 2004 (ditambah baik pada 2010) seumpama siri dialog Majlis Perundingan Cina (CCC) menjelang 1986.

Begitu juga keputusan mengizinkan pemimpin Dewan Muslimat menjadi calon pilihan raya mulai 2001. Pada 2018, PAS meletakkan seramai 210 calon wanita di peringkat DUN dan Parlimen. Malah, PAS mencipta rekod meletakkan wanita bukan Islam sebagai calonnya pada 2008!

Jadi tidak hairanlah PAS mahu/rela bertanding atas tiket BN di Sabah walau hasrat itu tidak kesampaian, kali ini. Sewaktu tidak dapat, mereka tidak mudah patah hati. Inilah semangat si kura-kura.

Kaum arnab tidak akan faham, mereka hanya mentertawakannya sebelum tertidur. Sama-sama kita tunggu saat sang kura-kura melepasi garisan penamat!

*** sebagai contoh, lihat evolusi sikap-sikap PAS yang berbolak-balik terhadap Amanat Hadi, fatwa syuhada' Memali, retorika hudud dan RUU 355, berpeluk dengan Lim Kit Siang dan berperang dengan DAP, berpisah daripada Pakatan Rakyat tetapi bersama DS Azmin Ali dalam kerajaan Selangor dan juga majlis simbolik berbaju Melayu sambil mengarak keris besar, termasuk untuk memotong pulut semangat (hijau putih). Sebenarnya PAS ini apa?
PAS sebagai parti otai yang dah lama makan garam, tahu benar apa yang mereka mahukan walaupun PRN sabah ini mereka dijadikan bahan jenaka.

PAS bijak... slow n steady... bkn mcm PAN PKR org tebuk atap pun tak sedar.. tau2 dah roboh rumah !

Politik "makan dalam"....Politik Pas ni umpama kura2 berlawan lari dgn kaum Arnab ....kaum arnab jangan terlalu seronok sangat menjenakakan Politik kura kura Pas...Panjang Akal politik Pas ni.

Itulah politik PAS yg dipimpin oleh Tghh

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3879649158718268&id=100000196668329

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej