Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, July 14, 2015

Ust Zaharuddin APA PENDIRIAN SAYA TERHADAP JEMAAH ISLAM YANG LAIN ?

APA PENDIRIAN SAYA TERHADAP JEMAAH ISLAM YANG LAIN? KENAPA IRC/HIS DIANGGAP PEROSAK?
Oleh: Zaharudin Muhammad.
Ramai yang menganggap seolah-olah hanya ada dua pendapat sahaja tentang berbilang-bilang Jemaah Islam, samada haram mutlak atau harus mutlak. Justeru itu, apabila saya membuat kritikan terhadap ulasan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Maza), saya dapati ramai yang paste terjemahan tulisan ulama dulu dan kini serta pendapat pelbagai individu tentang maksud sebenar Jemaah Islam melalui hadis Huzaifah. Seolah-olah Dr Maza bersetuju 'harus mutlak' berbilang-bilang jemaah manakala saya pula tidak bersetuju mutlak serta mengkritik pendapat Dr Maza.
Sedangkan dalam artikel itu, saya secara jelas telah menyatakan bahawa kritikan saya memfokuskan kepada 2 point yang yang dikemukakan oleh Dr Maza, yang dilihat cuba menyempitkan maksud Jemaah hanya kepada (1) zaman sahabat dan Khalifah sahaja serta (2) menafsirkan Jemaah Muslimin di dalam hadis dengan maksud bilangan. Dengan jelas saya telah menyatakan dalam artikel tersebut: Kesimpulannya, saya bukan bermaksud orang Islam hanya perlu ada satu jemaah sahaja atau bukan juga bermaksud orang Islam harus ada banyak jemaah sesuka hati. Di sana ada tempat yang wajib ada satu jemaah sahaja dan ada tempat yang harus ada banyak jemaah. Tetapi kalau nak lawan kezaliman tak boleh banyak jemaah, nanti akan berpecah dan lemah”.
Sebenarnya, mereka yang menukilkan pendapat kepelbagaian Jemaah Islam daripada pelbagai ulama seperti Dr Yusof Al-Qardhawi, Imam Syatibi dan lain-lain tanpa mereka menyedari sebenarnya mereka telah menyokong 2 point kritikan saya terhadap penjelasan Dr Maza yang membawa kepada fahaman sempit tentang Jemaah Islam, justeru ulama-ulama silam menukilkan dengan jelas maksud Jemaah Islam yang luas dan bukan terhad sebagaimana ulasan Dr Maza.
Jemaah Islam dalam erti kata yang dinyatakan di atas, berbilang-bilang itu bukan bersifat harus mutlak dan bukan bersifat haram mutlak justeru tiada nas yang jelas ke arah itu. Tetapi kedapatan nas yang menunjukkan bahawa nabi lebih cenderung untuk umat ini mempunyai seorang ketua dan dilihat sebagai tersusun dan tidak berpecah sebagaimana hadis yang menyebut: “adalah para sahabat R.A apabila mereka melalui sesuatu tempat (ketika musafir), mereka berpecah (apabila melalui) lorong-lorong bukit dan lembah. Rasulullah bersabda (menegur mereka): Sesungguhnya berpecahnya kalian di lorong-lorong dan lembah-lembah seperti ini sebenarnya sebahagian perbuatan syaitan. Selepas itu mereka tidak lagi melalui sesuatu tempat melainkan mereka akan bergabung antara satu sama lain sehingga (digambarkan) jika dihamparkan satu helai kain nescaya kain itu boleh memuati mereka.- (Abu Daud – Sanad Hassan).
Kalau bermusafir sekalipun mereka diperintahkan supaya bersatu dan bergabung, apatah lagi bergerak menentang kezaliman dan menegakkan syariat yang jelas nas yang menggesa supaya dilakukan dalam saf yang tersusun.
Jika kita mencari Illah, kita akan dapati di sana terdapat beberapa Illah yang melibatkan hukum; ikhtilaf, tanazu’, Iftiraq dan sof tersusun. Formulanya adalah seperti berikut:
A: Ikhtilaf: Ia bermaksud kepelbagaian yang tidak sama seperti A pakai baju hijau B pakai baju kuning tetapi A dan B tidak menafikan antara satu sama lain. Kepelbagaian ini adalah masyiatillah (kehendak Allah) yang manusia tidak mampu melawan kewujudannya sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Hud ayat 118-119. Perhatikan ayat Al-Quran dengan lafaz Ikhtilaf (اختلاف) pada firman Allah SWT bermaksud: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan (اختلاف). Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. – (Hud: 118-119).
Ikhtilaf ini asalnya harus kerana ia masyiatillah (kehendak Allah) kecuali apabila ikhtilaf itu antara pandangan manusia dengan Al-Quran seperti Al-Quran kata hudud itu wajib tiba-tiba ada yang kata tak perlu. Itu maksud “tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah).”
Dari sini menunjukkan bahawa ada perbezaan pendapat yang wajib bertolak ansur seperti uslub pelbagai, kecenderungan pelbagai. Tetapi di sana ada yang wajib kita tidak bertolak ansur seperti berhadapan dengan kezaliman dan kesesatan serta kebenaran akidah dan tauhid. Di sana juga ada tempat yang boleh kita sembunyikan pertembungan tetapi di sana wajib kita zahirkan pertembungan terbuka khususnya apabila melibatkan kebatilan terbuka yang boleh menyesatkan atau kesalah anggapan orag ramai terhadap yang kebenaran.
B: Tanazu’: Ia bermaksud kepelbagaian yang disertai dengan nafi-menafikan dan salah menyalahkan antara satu sama lain. Contohnya, A menafikan kesesuaian warna baju B dan B pula mempertikaikan warna baju A, maka itu dinamakan Tanazu’. Ia masih belum dianggap tercela sehingga perselisihan ini dibawa dan dirujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jika pebezaan itu dibenarkan oleh Al-Quran dan sunnah, maka pihak yang memaksa orang lain mengikut pandangannya adalah salah dan semua perlu bertoleransi. Tetapi jika di dapati A bertepatan dengan nas dan sebaliknya B adalah bersalahan dengan nas, maka B perlu mengikut A. Ini termasuk di dalam firmannya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. – (An-Nisa: 59).
Apabila Tanazu’ ini berlaku antara haq dan batil, maka pada masa itu haram bertoleransi. Firman Allah swt bermaksud: “Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini”. (Al-Baqarah: 251). Dengan kata lain, kalau Allah tidak mewajibkan pihak yang benar melawan pihak yang salah bumi ini akan rosak binasa. Iaitu apabila pihak yang hak berdiam diri terhadap kebatilan kerana takut bergaduh dan berpecah, pihak yang batil pula terus melebar luaskan kebatilan tanpa mempedulikan kerosakan dan perpecahan, maka kesannya yang batil itu akan berkembang. Oleh itu, Allah wajibkan pihak yang hak lawan pihak yang batil bagi memastikan yang batil itu tidak meluas. Dengan kata lain, hak dan batil tidak boleh bertoleransi dengan alasan takut berpecah.
Sekalipun tanazu’ itu belum membawa kepada pengharaman sehinggalah ia dirujuk kepada al-Quran dan Hadis, tetapi di sana kita semua digesa untuk tidak memperbanyakkan tanazu’ dan berbantah-bantahan. Firman Allah swt: “dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. – (Al-Anfal: 46).
C: Iftiraq: Ia bermaksud berpecah. Antara sebab tanazu’ itu wajib dielakkan justeru kebimbangan ianya membawa kepada perpecahan (iftiraq). Firman Allah swt: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai (berpecah / iftiraq)”. - (Aal-Imran: 103). Di sana terlalu banyak hadis yang melarang daripada berpecah dan hukuman berat bagi mereka yang memecah belahkan kesatuan umat Islam.
Daripada 3 istilah di atas, kita dapat simpulkan bahawa, seseorang muslim terlebih dahulu perlu mengetahui status perselisihan sama ada ia boleh ditoleransi atau tidak. Di sini akhirnya membentuk saf yang tersusun apabila ahli-ahlinya faham manakah tempat yang perlu bertoleransi dengan pemimpin dan jemaah lain dan mana tempat yang wajib dipertegaskan. Di sini pentingnya sesebuah organisasi Islam dan individu Islam dipimpin oleh orang mahir hukum (alim) bagi mengenal pasti tepat toleransi dan tempat bertegas menurut syariat, buka menurut akal.
D: Sof Tersusun: Perkara ini dinaskan di dalam surah Sof ayat 4 dan ianya menjadi salah satu illah yang perlu diambil kira di dalam penyusunan organisasi Islam. Berjuang menentang kezaliman dan berjihad menegakkan keadilan Islam perlukan kepada saf yang tersusun yang boleh dikatakan mustahil “saf tersusun” dapat di capai dengan adanya 2 kepimpinan atau lebih dalam satu-satu masa di satu-satu tempat. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. (Sof: 4). Dan saidina ali pernah berkata: “kebenaran tanpa organisasi tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang mempunyai organisasi tersusun”.
Untuk memastikan sof ini terus tersusun, kedapatan hadis yang meminta supaya umatnya bersabar terhadap pemimpin yang mereka tidak sukai dalam perkara teknikal, pendekatan dan lain-lain yang bukan bersifat usul Islam. Juseru, apabila ada yang tidak berpuas hati dengan pemimpin, maka ditubuhkan jemaah baru, ada ahli jemaah baru pula tak puas hati dengan pemimpin baru, maka ditubuhkan pula jemaah baru, seterusnya umat islam berpecah. Ini hikmahnya nabi memerintahkan umatnya bersabar dan patuh kepada pemimpin sekalipun dalam perkara yang ia tidak sukai.
Ketika berjihad, lawan kebatilan; perkara yang harus pada hari dan waktu-waktu biasa akan berubah menjadi wajib. Hukum asal pergi ke Mekah melalui mana-mana laluan adalah harus. Tetapi ketika pembukaan Kota Mekah (perjalanan perang) di zaman nabi SAW, masing-masing wajib mengikut arahan ketua masing-masing dan jalan yang ditetapkan oleh komander masing-masing, bukan pilih jalan ikut suka masing-masing. Tiada lagi hujah “hukum asal jalan mana-manapun menuju ke Mekah adalah harus” ketika menentang kebatilan. Inilah yang dimaksudkan oleh surah As-Sof ayat 4. Inilah antara konteks wajib taat kepada pemimpin sekalipun bagi pandangan kita ianya lemah dan kita tidak menyukainya.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang melihat pemimpinnya sesuatu yang ia benci (seperti pemimpinnya lemah, buat keputusan lembab dll), maka hendaklah ia bersabar, maka tiada seorangpun yagn meninggalkan jemaah walaupun sejengkal, melainkan matinya adalah mati jahiliah”. Kontek hadis ini ialah sabar terhadap kepimpinan yang memimpin jemaah Islam dalam perkara-perkara bukan usul. Adapun perlawanan kita dengan UMNO dan pemimpin negara ialah berkaitan isu usul, iaitu perlaksanaan serta penerimaan Syariat dalam konteks negara.
Arahan nabi supaya bersabar ini dilihat dengan jelas bertujuan untuk tidak memecahkan saf yang tersusun kerana perpecahan itu adalah tindakan yang lebih lemah daripada pemimpin yang lemah itu sendiri.
Dengan mengambil kira syarat-syarat dan garis panduan syariat berkaitan ikhtilaf, tanazu’, iftiraq dan sof tersusun, saya menyimpulkan bahawa kepelbagaian yang tidak membawa perpecahan perlu ditoleransi dalam konteks kewujudan pelbagai jemaah Islam di Malaysia hari ini. PAS, ABIM, Tabligh, PUM, ISMA, IKRAM dan lain-lain perlu bantu membantu antara satu sama lain, bukan bertanzu’ (berbantah-bantah) dalam perkara furu’ dengan syarat yang jelas, kepelbagaian yang tidak membawa kepada perpecahan dan kelemahan seluruh Islam dan umatnya di Malaysia. Ini yang menjadi kunci kepada slogan: “kita bekerjasama pada tempat yang kita sepakati”.
Dari satu sudut yang lain jika saya melihat dari sudut positif: bukankah lagi banyak Jemaah Islam yang menjalankan dakwah, menghidupkan masjid, membina hospital-hospital Islam dan sebagainya adalah lebih baik? Bukankah lagi banyak NGO yang mengfokuskan pembangunan mahasiswa supaya cintakan Islam, maka ia lagi baik?
Yang tidak baiknya apabila kepelbagaian membawa kepada perpecahan dan kelemahan seperti infiltration IRC dalam jemaah ABIM dan PAS bagi tujuan menguasai justeru mereka tidak dilihat sebagai jemaah Islam yang perfect. Modus operandi mereka ialah menguasai dari dalam dan sehingga tahap menyingkirkan kepimpanan Jemaah islam yang mereka susupi. (Rujuk Lampiran berkenaan Perkara ini). Ini yang saya kata tidak sihat. Kepelbagaian jenis ini yagn sentiasa ditentang oleh senior-senior di dalam PAS.
Saya yakin anda semua tahu apabila melihat fakta sejarah PAS, toleransi PAS dengan jemaah lain bukan sahaja berlaku sekarang, bahkan sewaktu awal-awal dahulu PAS pernah menyerahkan tarbiah perkaderan pelajar kepada IRC. Saya berpegang dengan prinsip yang sama; menghormati ABIM, Tabligh, ISMA, IKRAM dan sebagainya dan saya boleh berlapang dada dan gembira untuk bekerjasama antara satu sama lain. Tuan Guru Presiden PAS sendiri pernah menziarahi dan membuat kunjungan hormat dan pertemuan mahabbah dengan barisan Majlis Syura Jemaah Tabligh dalam kunjungannya ke Masjid Jamek,Bandar Baru,Sri Petaling pada 21 Februari 2013 (sebagaimana gambar).
Ada ahli jemaah PAS sewaktu saya belajar dahulu adalah merupakan ahli Tabligh yang masih aktif. Usrah, sokongan politik, program-program pengisian ilmiah PAS beliau ikuti dengan komitmen yang tinggi. Dalam masa yang sama beliau keluar bersama-sama dengan rombongan tabligh merantau ke masjid-masjid. Bukan setakat beliau tidak dipandang seorang oleh saya dan kawan-kawan jemaah yang lain, bahkan beliau juga adalah pemegang jawatan kepimpinan. Ini sikap keterbukaan PAS yang saya alami dan saksikan.
Ini realit dan sejarah toleransi PAS dengan Jemaah Islam lain di Malaysia. Tetapi akhirnya ianya telah dikhianati apabila kader-kader PAS ditarbiah mengikut acuan sempit mereka. PAS pernah mengalami peristiwa pengkhianatan seperti tahun 1980an dalam peristiwa yang dikenali kes pemecatan Mustafa Kadeer.
Pada zaman itu, Mustafa Kader adalah Exco Pemuda Selangor dan juga Ustaz Alias Othman sebagai murabbi besar IRC terbukti melakukan pengkhianatan melalui dokumen penting penglibatan IRC dalam strategi PAS yang dikemukakan oleh PAS Shah Alam pada waktu itu. Mereka akhirnya diambil tindakan tegas dibuang daripada ahli. Sikap mereka ini menyebabkan berlaku perpecahan dalaman parti justeru berlaku tanazu’ dalaman dalam perkara bukan usul serta berlakunya ahli yang tidak taat kepada arahan kepimpinan tertinggi parti yang mereka susupi, justeru mereka lebih taat kepada jemaah mereka dan kepimpinan, iaitu IRC atau HIS. Di sini punca perpecahan.
Jadi, bukan PAS tidak toleransi, tetapi sejarah mengajar saya supaya berhati-berhati khususnya dengan orang yang pernah khianati kita. Sebab itu, masalah yang sebenar bukan PAS tidak terbuka untuk jemaah Islam lain, tetapi realiti IRC serta sejarah dan orang-orangnya perlu dihati-hati. ABIM, Tabligh dan lain-lain jemaah selain IRC kita cukup terbuka dengan mereka. Tiada pandangan serong, sentiasa berlapang dada dan bekerjasama pada tempat-tempat tertentu.
Dalam isu zaman setahun dua ini, isu Kajang Move untuk jatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr Rahim Ghouse yang antara Master Mind projek ini adalah seorang IRC. Langkah dua Adun PAS; Saari Sugihb dan YB Hasnul Baharuddin selari dengan rancangan Rahim Ghouse daripada dalam PKR sehingga kedua-dua Adun ini engkar arahan kepimpinan tertinggi PAS. Dan semua tahu yang YB Saari Sughib adalah kepimpinan IRC dan dianggap murabbi penting yang menggunakan nama Abu Urwah. Saya secara peribadi tidak menganggap game ini adalah game PKR justeru YB Azmin dilihat dipinggirkan daripada arus perbincangan Kajang Move ini. Sikap IRC yang menyelinap dalam semua parti ini tidak menghormati keputusan kepimpinan tertinggi parti yang mereka sertai adalah antara punca besar kepada kekalutan dan perpecahan yang berlaku. Cuma saya tak pasti sejauh mana mereka telah masuk dalam DAP, justeru ada ahli PAS yang telah isytihar keluar PAS dan masuk DAP adalah daripada gerakan ini yang susur galur pentarbiahan dan murabbinya sampai kepada insan yang dikenali sebagai Alias Othman, murabbi agong IRC yang juga ahli PAS yang telah dipecat tahun 1980an. Juga seorang master mind kertas rancangan penyusupan dalam UMNO 1990 yang telah saya kongsikan dalam tulisan lepas.
Ditambah lagi apabila mereka mempunyai modus operandi ‘keluarkan ahli mereka beramai-ramai” apabila mereka gagal menguasai menguasai sesuatu entiti, satu modus operandi IRC yang terbocor dalam kertas ‘grand design’ yang dikenali Harakah Islamiah Syamilah (HIS).
Hari ini, rancangan pembentukan parti baru sebahagian besar pelopornya adalah ahli IRC, maka adakah anda jangka parti baru ia akan mengambil kerusi PKR, DAP, UMNO, MCA atau MIC dalam PRU akan datang? Jika mereka bertanding di tempat di mana PAS bertanding, maka semua tahu jawapannya, undi siapakah yang pecah dan siapa yang berpotensi untuk menang dan siapakah yang paling untung antara PKR, DAP, MCA, MIC dan UMNO?
Dengan kata lain, jika G18 ingin menubuhkan parti baru dengan nama Islam juga, adakah ia menambahkan undi menentang BN atau memecahkan undi menentang BN? Adakah matlamatnya memperkukuhkan Islam atau menjadikan jemaahnya sebagai jemaah unggul yang bersifat ekslusif?
Apa yang bagi saya tidak sihat ialah apabila ada kumpulan yang bersifat hanya jemaah aku sahaja yang betul dan terbaik dan berlaku pula penyusupan serta saraf untuk jatuh menjatuhkan, maka ini tidak sihat. Ini yang saya tegaskan ‘salah laku pada IRC’ di dalam rancangan HIS mereka. Tetapi ada pihak yang spin seolah-olah PAS tidak mengiktiraf jemaah-jemaah yang lain seperti ABIM, JIM, IKRAM, ISMA dan lain-lain.
Sebagai tambahan, IRC adalah golongan asal yang mempunyai agenda politik yang bersifat ananiyyah (keakuan – aku sahaja yang betul). Adapun JIM, IKRAM dan ISMA adalah evolusi daripada IRC yang bagi saya pendokong-pendokong jemaah ini adalah orang yang ikhlas sukakan kebenaran dan aktiviti-aktiviti Islam dan bukan sahaja tidak terlibat, tetapi mungkin langsung tidak mengetahui gerakan IRC / HIS ini. Dari segi yang lain, semua yang terlibat dengan ahli IRC pada tahun 1970 dan awal 1980an juga bukan semua tahu tentang rancanga HIS ini. Sebab itu, tulisan saya ini bukan bundle semua sekali, tetapi hanya IRC yang terlibat dengan HIS sahaja.
Sekian.
Lampiran-lampiran:
1. Bawah 1.1.3, penyusupan (infiltration) adalah salah satu strategi asas HIS.
2. Bawah 3.1.1.3 dengan jelas semua pertubuhan dakwah adalah wajihah (frot kepada HIS).
3. Sebelum 3.1.2, gambarajah HIS menguasai PAS dan ABIM yang dianggap sebagai front.
4. Di bawah 3.2.2.5 menyebut tentang usaha hasrat menyingkirkan kepimpinan ABIM.
5. Di bawah 3.1.2.3 dan 3.1.3 dengan jelas, antara 3 pilihan, IRC memilih untuk mengambil pendekatan menyusup masuk ke dalam PAS ABIM dll.
6. Dengan jelas, 3.2.2.6 menunjukkan IRC akan merosakkan dan melemahkan jemaah yang mereka susupi apabila mereka gagal menguasainya dengan mengeluarkan seramai mungkin ahli-ahli asal.
7. Gambar Presiden sewaktu pertemuan dengan pemimpin dan syura Tabligh.
Like · Comment · 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej