Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, December 19, 2017

Dr Mahathir hari ini yang bertajuk "The Destruction of Democracy"

Catatan Khas: Adakah Pelangi Indah Muncul atau Ribut Petir Yang Akan Melanda.?

1. Sungguh geli hati apabila membaca blog Calon PM Idaman Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir hari ini yang bertajuk "The Destruction of Democracy".
Tun M menulis mengenai kemusnahan demokrasi di Malaysia.
Beliau turut berkongsi 7 taktik yang BN lakukan demi kekal berkuasa.
Apa yang menarik ialah kesemua taktik yang disenaraikan itu bukanlah perkara baru kerana ianya telah pun digunapakai oleh dirinya sendiri dahulu ketika berkuasa sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun.
2. Berikut adalah senarai 7 taktik yang dilaksanakan bagi memastikan kemenangan BN;
a) Persempadanan semula
b) Rasuah pengundi
c) Gangguan terhadap parti lawan
d) Sumber dana pembangkang dihalang
e) Kemudahan awam dihalang
f) Undi bukan rahsia
g) Penggunaan pegawai kerajaan

3. Tun Mahathir sememangnya patut bercakap dengan cermin agar beliau sedar dan ingat kembali apa yang dilakukannya dahulu.
Tun M mendakwa Malaysia kini ditadbir oleh PM Najib yang kleptokrat. 

Namun, Tun M usahlah menyangka rakyat terlupa akan sejarah bahawa dulu Malaysia pernah ditadbir oleh seorang PM yang mengamalkan pemerintahan autokratik ala diktator.

4. Mari kita imbau kembali serba sedikit sejarah pemerintahan Tun M. 

Berikut merupakan soalan yang patut dijawab oleh sekalian pencinta Tun M dan pemimpin PH yang sudah bertukar menjadi penyanjung Tun M sekarang.

a) Adakah demokrasi subur dan berkembang mekar ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?
Bukankah pada zaman beliau ramai pemimpin pembangkang yang ditangkap dan dikenakan tahanan tanpa bicara (ISA) kerana berani menentang kezaliman pemerintah BN-UMNO.?
Dulu,media arus perdana dikawal ketat sepenuhnya oleh Tun M. 

Operasi media alternatif diganggu, disekat dan ditarikbalik permit oleh Tun M yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri. 

Prinsip separation of power tidak diamalkan, kebebasan institusi kehakiman musnah.Pelantikan Ketua Hakim Negara disusun atur agar mengikut selera eksekutif. 

Suruhanjaya Diraja Siasatan Klip Video V K Lingam pada 2008 pun mengesahkan kewujudan amalan sedemikian rupa. 

Prinsip Federalisme dicabul oleh Kerajaan Pusat pimpinan Tun M.
Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS disekat dan dihalang daripada peruntukan kemajuan dan pembangunan.

Wang Royalti Minyak Petronas dihentikan pembiayaan kepada Terengganu apabila PAS menang sebagai Kerajaan Negeri.

b) Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berfungsi dengan adil dan bebas ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya pada tahun 2003 dibuat memang bagi mencipta kemenangan besar UMNO-BN pada PRU 2004. 

Tidak ada penambahan kerusi Parlimen di negeri majoriti Melayu-Islam yang agak kuat PAS seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Rekabentuk Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya 2003 diolah mengikut selera UMNO-BN yang sudah merasa tempias kekalahan apabila ditolak oleh ramai orang Melayu-Islam pada PRU 1999.
Cerita Pengundi Hantu bukanlah mitos kerana sememangnya wujud individu yang berbeza mengundi atas 1 nama yang sama.

c) Adakah Kerajaan BN-UMNO tidak mengamalkan rasuah pengundi ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

Setiap kali menjelang Pilihan Raya, sudah menjadi tradisi wajib Kerajaan BN-UMNO menabur projek mee segera, wang bantuan, barangan dan janji manis agar rakyat rasa terhutang budi kepada kerajaan. Amalan ini dilakukan sejak zaman berzaman pemerintahan BN-UMNO.

d) Adakah Kerajaan BN-UMNO tidak mengamalkan gangguan terhadap parti pembangkang ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

PAS merupakan parti pembangkang yang teruk diserang dan dihalang gerakerjanya ketika Tun M berkuasa dahulu. Bukan mudah hendak dapat permit ceramah PAS.
Bahkan, ceramah di dalam Markaz PAS pun diganggu oleh pihak polis yang mendapat arahan Menteri KDN. 

Para ahli dan penyokong PAS diugut agar tidak berani menentang Kerajaan.

e) Adakah Kerajaan BN-UMNO tidak mengganggu sumber dana pembangkang ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.? 

Dulu, mana ada pihak yang berani memberi sumbangan kepada parti pembangkang.
Oleh sebab itu, sejak sekian lama PAS bergerak atas sumbangan dan infak ahli yang cintakan perjuangan Islam. 

Walau ditekan dan dihalang, mereka tidak pernah berhenti memberi sumbangan ikhlas sekadar termampu. 

PAS bukanlah seperti Kerajaan BN-UMNO yang sering mendapat tajaan dan dana daripada sekalian taikun besar dan kroni yang mendapat habuan projek BN.

f) Adakah Kerajaan BN-UMNO membenarkan kemudahan awam digunakan oleh pembangkang ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

Ianya bagaikan bermimpi di siang hari sahajalah jikalau mahu melihat parti pembangkang mendapat akses penggunaan dewan dan padang awam. 

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak semudahnya memberi permit kepada parti pembangkang .
Oleh sebab itu, PAS biasanya menjalankan program dan aktiviti di premis milik sendiri iaitu Markaz kerana PAS bukan seperti Kerajaan yang sewenangnya menggunakan premis awam seperti dewan sekolah untuk Mesyuarat Agung UMNO.

g) Adakah Kerajaan BN-UMNO tidak menakutkan rakyat berkenaan kerahsiaan undi ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

Mereka yang cuba menzahirkan sokongan kepada parti pembangkang pasti diganggu dan diugut. Tidak kurang yang ditukarkan ke kawasan pedamanan, tidak mendapat kenaikan pangkat hanya kerana pendirian politik cenderung kepada pembangkang.
h) Adakah Kerajaan BN-UMNO tidak mempergunakan pegawai Kerajaan ketika zaman pemerintahan Tun M dulu.?

Para penjawat awam sering diingatkan agar taat kepada pemerintah Ulil Amri seolah-olah undi pun wajib kepada UMNO-BN.
Para pegawai agensi kerajaan turut dikerah bagi meramaikan dan menjayakan program kempen Kerajaan UMNO-BN. 

Undi Pos ibarat undi percuma dan fixed deposit selamanya bagi menguntungkan parti pemerintah.
Cuba tanya tentera dan polis, adakah kesemua mereka dibenarkan mengundi dengan bebas tanpa sebarang tekanan dan ancaman pihak atasan.?

5. PM Najib hari ini adalah penyambung legasi Tun M.
Segala kemusnahan demokrasi, kehancuran institusi dan kebobrokan sistem sudah berlaku sejak sekian lama. 

Jadi, Tun M tidaklah perlu berlakon suci dan mencuci tangan daripada segala kerja jahat dan zalim yang dilakukan oleh dirinya ketika di puncak kuasa dahulu.

Apabila Tun M menjadi Pembangkang hari ini, baru beliau terasa peritnya apa yang sudah pun PAS lalui puluhan tahun lamanya. 

Pepatah Inggeris ada menyebut, "the pot calling the kettle black", yang diterjemahkan kepada "Periuk kata cerek hitam". 

Semakin banyak lagi Tun M berkata, semakin banyak air yang terpercik ke muka sendiri tatkala menepuk air di dulang.
6. Pakatan Harapan bukannya mahu membina Malaysia Baru, tetapi hakikatnya merencana ke arah Malaysia Lama apabila mahu menobatkan Tun Mahathir kembali bergelar sebagai Perdana Menteri.
Usahlah kita mengharap sinar pelangi indah akan muncul kerana sebenarnya awan gelap bersama ribut petir yang akan tiba. 

PAS sedar akan hakikat peritnya bersendiri tetapi PAS tahu bahaya sedang menanti seandainya memilih untuk bersama Pakatan Harapan yang diterajui gandingan Tun M dan Lim Kit Siang.
PAS juga sedar tidak ada faedahnya menyertai BN-UMNO kerana ia ibarat menjadi tongkat penyelamat bahtera kerajaan yang kian tenggelam. 

PAS tetap istiqamah atas landasan perjuangan Gagasan Sejahtera bersama Islam samada menang ataupun kalah.

Catatan oleh;

Syed Ahmad Fadhli
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
19 Disember 2017

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej