Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, April 23, 2018

8.9 Juta Melayu Tidak Daftar Undi

8.9 Juta Melayu Tidak Daftar Undi


KUALA LUMPUR: Ke mana menghilang 8.9 juta orang Melayu yang berumur 21 tahun ke atas? Mengapa mereka masih belum mendaftar sebagai pengundi? Malaskah? Liatkah? Perkara remehkah? Atau memang tak mahu sebab pemikiran tidak mencapai tahap sehebat kaum Cina yang tahu tanggungjawab mendaftar. Itu baharu benda mudah mendaftar pengundi. Kalau untuk mencecah tahap hebat sebagai pemain ekonomi macam orang Cina, baru melangkah setapak dua, sudah tersungkur.
Bukan sengaja atau sahaja-sahaja untuk dibangkitkan ingatan ini, tetapi fakta ini turut diluahkan oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Rashid Abd. Rahman.
Sepanjang penulis berurusan dengan Abd. Rashid semasa dalam SPR, beliau berperawakan serius. Tidak suka cakap berlapik. Kalau hendak bertanya kepadanya dalam sidang akhbar atau menerusi te­lefon, mesti yang bertanya itu perlu ada pengetahuan. Kalau tidak, sengaja buka ruang untuk ‘dicilinya’.
Marilah kita ambil serius dan renung dalam-dalam apa kata Abd. Rashid yang kini Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Katanya, bilangan pemilih pada 2013 adalah 13.2 juta. Pengundi Melayu berdaftar sebanyak enam juta tetapi bilangan orang Melayu berjumlah 8.9 juta berumur 21 tahun ke atas, lenyap entah ke mana.
“Orang Melayu adalah 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Kalau semua yang layak ini menunaikan hak, jumlah itu sepatutnya 65 peratus tetapi hakikatnya tidak begitu.
“Segelintir pemimpin Melayu berbangga dengan kuasa yang ada sekarang tetapi lupa untuk menambah pengundi. Sedangkan DAP sedang giat mencari pengundi baharu untuk ditempatkan di kawasan tertentu bagi memenangi pilihan raya akan datang,” kata Abd. Rashid.
Ya, memang benar, DAP menang besar pada pilihan raya umum 2013 kerana orang Cina adalah kaum nombor satu yang begitu rajin men­daftar sebagai pengundi. Le­bih-lebih lagi orang Cina di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
Tetapi bagi orang Melayu, cukup sedih sekali. Mereka tidak rajin mendaftar. Malah, amat malang sekali, ada orang Melayu yang bekerja di dalam kerajaan sendiri tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi kerana malas. Mereka ini terlampau yakin Barisan Nasional (BN) masih akan menerajui negara lagi. Inilah sikap orang Melayu yang suka ambil sikap sambil lewa. Akibatnya, berdikit-dikit DAP sapu kerusi-kerusi Melayu daripada sekutu-sekutu Melayu mereka juga.
Cuba ambil contoh nyata di Pulau Pinang. Kaum Cina hanya 45 peratus komposisi penduduk. Secara logiknya mereka tidak boleh memenangi pilihan raya sendiri. Bagaimanapun apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah Cina adalah 53.38 peratus daripada pengundi berdaftar. Sedangkan jumlah penduduk kaum Cina hanya 45 peratus.
Hal ini berlaku kerana orang Cina di negeri-negeri lain membantu dan menukarkan alamat mereka supaya dapat mengundi di Pulau Pinang. Matlamatnya hanya mahu ‘parti mereka’ memerintah negeri itu.
Cuba lihat orang Melayu di Pulau Pinang. Mereka membentuk lebih 46 peratus daripada jumlah penduduk di Pulau Pinang. Namun orang Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi hanyalah 35.7 peratus. Jadi, walaupun kesemua 35.7 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi memilih BN, mereka tidak akan menang berdepan dengan DAP kerana orang yang mendaftar mengundi hanyalah 35.7 peratus daripada 46 peratus.
Jika berdasarkan jumlah penduduk Melayu di Pulau Pinang, mereka mempunyai peluang untuk menakluki seluruh Pulau Mutiara asalkan dengan syarat kesemua 46 peratus orang Melayu mestilah mendaftarkan diri sebagai pengundi dan mengundi BN. Tetapi ini tidak akan terjadi kerana orang Melayu yang berminat mengundi hanyalah sebanyak 35.7 peratus, ditambah dari 35.7 peratus terpecah undi pula kepada empat, yakni undi Melayu BN, undi Melayu untuk Pas, PKR dan Parti Amanah pada pilihan raya umum ke-14 nanti.
Di Kuala Lumpur pula, lebih mengejutkan. Berdasarkan statistik pendaftaran pengundi Cina di ibu negara, sejumlah 52.15 peratus orang Cina mendaftarkan diri meskipun penduduk kaum Cina di Kuala Lumpur hanyalah 43.2 peratus. Ini sekali lagi terjadi kerana hampir kesemua kaum Cina di situ sudah mendaftar. Mungkinkah juga mereka sekali lagi mendapat bantuan dari penduduk Cina dari negeri lain untuk mengukuhkan DAP di Kuala Lumpur?
Orang Melayu yang tinggal di Kuala Lumpur pula mempunyai majoriti penduduk sebanyak 50 peratus. Peratusan ini lebih besar dari majoriti orang Cina di ibu negara. Tetapi Melayu yang mendaftarkan diri sebagai pengundi di Kuala Lumpur hanyalah sebanyak 37.5 peratus.
Sedih, cukup sedih melihat perangai orang Melayu yang malas menjadi pengundi ini. Sudahlah berpecah-belah, hendak daftar mengundi pun malas. Bukan setakat itu sahaja perangai orang Melayu. Sudah mendaftar, malas pula mengundi.
Di depan mata penulis sendiri, di mana-mana sahaja kawasan dan negeri dalam setiap pilihan raya negeri atau umum yang penulis buat liputan, perangai mahu mengundi di awal pagi boleh dikatakan tidak ada dalam kalangan orang Melayu. Apabila mereka melihat ramai sudah beratur panjang, sebahagian besarnya pengundi Cina, orang Melayu akan melekat di kepalanya, ‘tunggulah nanti tengah hari, ada masa lagi ni’. Tetapi menjelang tengah hari, cuaca tiba-tiba mendung, hujan.
Dengan sebahagian besar orang Melayu yang ambil sikap lewa ini penulis percaya mereka ini tidak mengikuti laporan kaji cuaca atau kini meteorologi. Akibatnya alasan hujan, mereka ‘bermalas-malasan’ di rumah. Natijahnya, kuasa diambil dek orang di atas kertas undi. Diri sendiri hanya menjadi ‘tunggul, melihat kejayaan orang lain sahaja’.
Selama mana parti Melayu mahu bergantung kepada sokongan orang Melayu di luar bandar. Rekod menunjukkan sokongan orang Melayu bandar kepada BN (yang perlu dibaca kepada UMNO sebenarnya) menurun secara besar di kawasan bandar pada 2013. Contohnya Selangor. Pada PRU-13 itu, terdapat 119 daerah Melayu dan hanya 20 dianggap bandar.
BN menyapu bersih 78 daripada 99 kerusi Melayu luar bandar tetapi di bandar, BN hanya mampu me­raih lima daripada 20 kerusi bandar. Sudah-sudahlah Melayu berpecah-belah.
Kalau kamu hanya sibuk hendak memeriahkan atau menyemarakkan majlis, perhimpunan atau demonstrasi tetapi malas hendak mendaftar sebagai pengundi dan kemudian, serius mengundi dari awal pagi lagi, kelak gigit jarilah kamu. Menang sorak kampung tergadailah kamu. Jangan mudah lupa. Jangan jadi pengkhianat kepada tumpah darah kamu sendiri.
-Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej