Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, April 24, 2018

Golongan sesat akan menyesal di akhirat kelak

Golongan sesat akan menyesal di akhirat kelak

Syeikh al-Maghari dalam tafsirnya berkata: “Selepas Allah s.w.t menyebut alam zahir yang menunjukkan tauhid khaliq dan rahmatnya, begitu juga hal mereka yang tidak berakal dengan ayat-ayat yang dibuktikan Allah s.w.t atas keEsaannya, sehingga mereka menjadikan dengan Allah s.w.t sekutu-sekutu yang lain untuk mendapat kebaikan dan menolak kejahatan dan menjauhkan daripada mereka syariah dan agama.
Lantas Allah s.w.t menerangkan kepada orang yang mengikut dan diikut (ketua) pada hari kiamat hingga terdedah hakikat yang sebenarnya pada sudut manusia melihat depan mata mereka azab Allah s.w.t.”
Firman Allah: Iaitu ketika pemimpin-pemimpin (sesat) yang diikuti itu berlepas diri dari mereka yang mengikutinya dan (ketika mereka) melihat azab dan terputus segala hubungan di antara mereka.
Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu; andainya kami mendapat peluang kembali ke dunia, tentulah kami akan berlepas diri dari mereka sebagaimana sekarang mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan-penyesalan kepada mereka dan mereka tidak sekali-kali akan keluar dari neraka. (Al-Baqarah: 166-167)
Firman Allah s.w.t: Iaitu ketika pemimpin-pemimpin (sesat) yang diikuti itu berlepas diri dari mereka yang mengikutinya.
Berkenaan dengan maksud yang diikuti, mempunyai dua pendapat:
Mereka adalah pemimpin atau ketua - inilah pendapat Ibn Abbas, Abu al- Aliah, Qatadah, Muqatil, al-Zajjaj.
Mereka ialah syaitan-syaitan.
Firman Allah s.w.t: Dan (ketika mereka) melihat azab dan terputus segala hubungan di antara mereka.
Perkataan asbab di sini ada empat pendapat:
1. Segala kasih sayang - pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Qatadah.
2. Segala amalan seperti riwayat as-Suddi daripada Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas - pendapat Abi Solih dan Ibn Zaid.
3. Ia adalah hubungan kekeluargaan seperti riwayat Ibn Suraij daripada Ibn Abbas. Pendapat semua di atas.
4. Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya berkata, sesungguhnya setiap yang menghiasi kekufuran dan maksiat kepada yang lain pasti akan berlepas diri daripada mereka hingga syaitan sekalipun, benarlah firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud, Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu yakni setelah selesai masing-masing dihitung amalnya dan menerima balasan, sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar yakni Allah berjanji melalui rasul-rasul-Nya akan menyelamatkan orang-orang yang beriman dan taat dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu, lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku maka janganlah kamu salahkan daku, tetapi salahkan diri kamu sendiri, Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan perintah tuhan yang kamu sekutukan daku dengan-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
Ibn Qutaibah berkata: “Ia adalah sebab-sebab yang mereka berhubung dengannya di dunia. Adapun dinamakannya dengan sebab-sebab kerana pada bahasa sebab, maksudnya tali kemudian dikatakan setiap yang bersambungan dengannya kepada maksud atas sebagai sebab.”
Firman Allah s.w.t: Dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut itu; andainya kami mendapat peluang kembali ke dunia, tentulah kami akan berlepas diri dari mereka sebagaimana sekarang mereka berlepas diri dari kami. Demikianlah Allah memperlihatkan amalan-amalan mereka menjadi penyesalan-penyesalan kepada mereka dan mereka tidak sekali-kali akan keluar dari neraka.
Tertipu
Di sini timbullah kemarahan para pengikut yang tertipu kepada pemimpin-pemimpin yang sesat itu, dan mereka berangan-angan hendak membalas perbuatan pemimpin itu andainya mereka dapat pulang semula ke dunia untuk menyatakan bahawa mereka berlepas tangan dari pemimpin-pemimpin yang lemah yang telah menipu mereka di hadapan pemandangan azab.
Ini adalah satu pemandangan yang mengharukan, iaitu pemandangan perbalahan dan perseteruan di antara para pengikut dengan para pemimpin, di antara para pencinta-pencinta dengan orang-orang yang dicinta. Di sini datanglah satu ulasan yang pedih.
Menjadikan daripada mereka syariah dan agama. Lantas Allah s.w.t menerangkan kepada orang yang mengikut dan diikut (ketua) pada hari kiamat hingga terduduk hakikat yang sebenarnya pada sudut manusia melihat daripada mata mereka azab Allah s.w.t.
Ibn al-Anbari berkata: “Allah s.w.t memperlihatkan kepada mereka segala amalan yang buruk dalam kerugian ke atas mereka apabila mereka melihat balasan kurniaan Allah s.w.t terhadap orang yang beriman daripada amalan soleh mereka.
Beliau berkata: “Dan harus dengan maksud begitu juga Allah s.w.t memperlihatkan mereka segala amalan dan balasan kepada mereka, dihapuskan balasan dan didirikan amalan pada tempatnya.”
Al-Imam al-Qurtubi berkata: “Dengan menaqalkan pendapat Rabi’, iaitu amalan-amalan yang rosak dan buruk yang telah mereka kerjakan menyebabkan mereka dihukum masuk ke neraka.” Ibn Mas’ud dan al-Suddi berkata: “Segala amalan soleh yang mereka tinggalkannya menyebabkan mereka terlepas daripada menghuni syurga.” Diriwayatkan mengikut pendapat ini banyak hadis.
Al-Suddi juga berkata: “Diangkat bagi mereka syurga kemudian mereka melihat kepadanya serta istana-istana di dalamnya kalau mereka taat kepada Allah. Kemudian diberi kepada orang-orang beriman, maka sebab itu mereka berasa amat sesal.”
Iktibar dan pengajaran ayat:
1. Wujudnya azab neraka yang wajib kita imani. Ia termasuk daripada rukun iman, iaitu beriman dengan hari akhirat.
2. Kehidupan manusia tidaklah terhad dan terbatas hanya di dunia sahaja, tetapi jauh daripada itu wujudnya kehidupan yang abadi, iaitu kehidupan di syurga dan neraka. Justeru hendaklah kita berusaha menuju ke syurga dengan beriman dan beramal soleh.
3. Manusia terbahagi kepada dua: iaitu ketua dan pengikut, ketua yang beriman dan soleh sudah pasti membawa pengikutnya ke arah keredaan Allah s.w.t, yang pasti bahagia di dunia dan akhirat, sebaliknya jika tidak masing-masing akan melaknati antara satu sama lain di hari akhirat kelak.
4. Manusia dikurniakan akal fikiran, justeru perlulah lahirkan yang terbaik dalam tindakan, mudah-mudahan boleh memberikan kebaikan dan manfaat di akhirat.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Df5EbvSB 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

Tinggalkan Mesej