Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, October 23, 2015

ADA PIHAK MAHU TOLAK MAJLIS SYURA ULAMAK

ADA PIHAK MAHU TOLAK MAJLIS SYURA ULAMAK
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KUBANG KERIAN: Antara keutuhan dan kekuatan PAS ialah memiliki Majlis Syura Ulamak yang menjadikannya istimewa berbanding jamaah, gerakan atau parti Islam lain di seluruh dunia.
Malangnya, terdapat usaha pihak tertentu mahu meminda Perlembagaan PAS dengan menjadikan Majlis Syura Ulamak sebagai badan penasihat semata-mata, demikian didedahkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Kononnya dia tahu undang-undang, cuba nak pinda Perlembagaan PAS supaya Majlis Syura ini menjadi penasihat sahaja kepada PAS. Penasihat ini boleh dengar, boleh tak dengar, ini makna penasihat. Sedangkan mengikut Perlembagaan PAS, pemimpin PAS mesti tunduk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak.
“Ini yang ada dalam PAS, ‘mulzim’ kena patuh kepada keputusan Majlis Syura Ulamak mengikut syariat dan dasar-dasar Islam. Dia nak ubah perlembagaan ini. Kerana apa? Kerana dia anggap ini menjadi penghalang nak pergi ke Putrajaya. Penghalang nak menang cepat, nak menang laju deras sangat, penghalang,” ujarnya pada Ijtimak Ulama dan Guru-guru Pondok Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh, di sini 16 Oktober lalu.
Terang Tuan Guru, PAS sejak ditubuhkan tahun 1951 telah meletakkan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dalam perlembagaannya, selaras pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jelas beliau, untuk menjamin Perlembagaan PAS berjalan dengan betul, maka ditubuhkan Majlis Syura Ulamak dengan melantik mereka daripada yang mengaji agama dan segala bidang serta kepakaran berkaitan.
Iaitulah menurutnya, mereka yang menguasai ilmu Tafsir, ilmu Hadis, ilmu Bahasa Arab, ilmu Quran, ilmu Usul Fiqh, Ilmu Siasah Syariah, selain boleh mengkaji nas-nas dalam kitab Muktabar.
“Kalau ada masalah khilaf, boleh mentarjihkan masalah yang khilaf. Kalau tidak ada dalam kitab, mereka berijtihad secara jama'ie, secara berjemaah. Kita payah nak cari ulama alim yang boleh berijtihad macam Syafie, Hanafi, Hambali, Maliki, payah. Macam Nawawi pun payah.
“Kalau ada masalah baru, mereka berijtihad jama'ie. Boleh dibuat begitu, tak jadi salah, kumpul ulama-ulama. Ini keutuhan yang ada dalam PAS. Dalam dunia, parti Islam seluruhnya, hanya PAS sahaja yang ada Majlis Syura Ulamak.
“Ikhwanul Muslimin tidak ada Majlis Syura Ulamak, Parti Islam Indonesia tidak ada, Jemaah Islam Pakistani India tidak ada, parti Islam di Tunisia tidak ada, yang ada Majlis Syura Ulamak parti PAS. Ini keistimewaan Parti PAS kita daripada parti-parti yang lain,” ujarnya yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
Menurutnya, sehingga hari ini para musuh Islam telah berjaya memecahkan parti-parti Islam, selain terdapat banyak parti Islam di di dalam satu-satu negara umat Islam di seluruh dunia.
Perpecahan itu katanya, menyebabkan musuh-musuh boleh masuk, tetapi di Malaysia ini, usaha untuk menubuhkan parti Islam lain belum berjaya.
Tuan Guru turut menegaskan bahawa perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang mesti menang dengan mendapat keredaan Allah.
“Jangan percaya kemenangan kita dengan sebab manusia sahaja. Ini mengharapkan manusia sahaja. Kita kena sedar, kemenangan Islam ini benda yang bergantung dengan pertolongan Allah. Peranan manusia ada bukan tak ada, kita kena cari, tetapi Allah yang lebih besar.
“Dengan sebab itulah, syiar kita adalah “Allahuakbar!”, Allah Yang Maha Besar. Ini kita kena faham, ini hakikat yang kita kena sedar,” ujarnya menempelak golongan yang gopoh mahu menang segera ke Putrajaya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej