Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, February 17, 2017

SEPETANG BERSAMA AYAHANDA

SEPETANG BERSAMA AYAHANDA

Oleh : Dr Nur Ilyani

.
Ayahanda bercerita lagi. Pada ketika BERJASA menang besar menepati strategi UMNO/BN memecahkan kekuatan PAS, PAS membayar harga yang cukup mahal terhadap survival gerakan islam itu. Dalam jerih kepayahan, PAS berusaha mengumpulkan ahli-ahlinya yang istiqamah. Pada tahun 1978, segala kemudahan kerajaan tidak boleh digunakan oleh PAS walaupun PAS sebelum itu telah hampir 4 penggal memerintah Kelantan. Hatta, untuk menggunakan dewan untuk mengumpulkan ahli-ahlinya pun tidak boleh.

Mereka galak berkata, PAS akan mati sebagaimana PAS hanya memenangi 2 kerusi Dun yang digelar 2 batu nesan. Maka, apa pilihan yang ada ketika itu? Ahli perlu diberi pengisian, taujihat dan suntikan semangat. Ahli-ahli PAS yang berada di ceruk-ceruk kampung, ada yang dipulaukan, ada yang disindir, dihina anak-anak dan keluarga mereka, mereka ini perlukan sentuhan semangat agar tetap tegar menghadapi tahun-tahun yang sukar.

Sawah Padi Menjadi Saksi

Ayahanda masih ingat, setelah hampir tiada tempat untuk berkumpul, ada seorang budiman memberi laluan untuk pimpinan PAS dan ahli-ahlinya berkumpul di kawasan sawah padi yang telah siap dituai. Seorang demi seorang pimpinan memberikan taujihat. Ada memori yang ayahanda tidak lupa, terdapat seorang wanita, sedang mengendong anak kecil, tangan sebelahnya memegang payung di tengah hujan di dalam sawah, kaki beliau terendam di dalam air, namun tetap tegap berdiri mendengar pengisian demi pengisian dari pimpinan tanpa berganjak. Sungguh, betapa perjuangan itu Allah yang memilih siapa yang dikehendaki.

Kebun Getah yang Hening

Kemuncak perasaan resah ahli seolah dirasai pimpinan PAS ketika itu apabila PAS Negeri Kelantan menganjurkan ijtima bertempat di Kok Lanas. Maklum, bahawa tiada kemudahan prasarana kerajaan yang boleh digunakan, tempat ijtima pada kali itu ialah di sebuah kebun getah milik orang persendirian. Maka berkumpullah segala orang-orang PAS ketika itu dalam serba kesusahan, apabila tiba waktu solat, wudhu' diambil dari tali air kecil yang mengalir merentasi kebun tersebut. Namun, selepas itu pihak KADA telah menyekat aliran air ke tali air tersebut menyebabkan ahli-ahli PAS terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan sumber air untuk bersolat.

Antara kata-kata pimpinan yang ayahanda masih ingat ialah kata-kata dari almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, beliau berkata, " Kita ni kalu kita ukur kebenaran dengan kemenangan nescaya kita tidak akan tenang. Kerana walaupun kita kalah, hakikatnya jika kebenaran berada di sisi kita, kita tetap akan menang"

Ayahanda yang pada masa itu merasa ketat dada kerana kekalahan teruk PAS terus merasa lapang dan tenang. Dan pimpinan - pimpinan PAS yang lain turut memberikan pengisian.

Ayahanda bercerita lagi seingat beliau, ijtima` ketika itu berjalan lancar, semua ahli-ahli PAS yang masih setia begitu khusyuk mendengar taujihat dari pimpinan, langsung tidak berganjak di atas tanah di bawah rimbunan daunan pokok-pokok getah. Namun, berlaku sedikit kekalutan setelah itu kerana terdapat muslimat PAS yang mahu melahirkan kandungan.

Aku termenung jauh di sebalik kedinginan hujan musim tengkujuh. Begitu jauh lebih besar pengorbanan mereka orang terdahulu berbanding diri ini. Sanggup hadir semata-mata untuk mendengar kata-kata pimpinan walau diri sendiri sarat mengandung dan mungkin melahirkan kandungan pada bila-bila masa sahaja.

Kerana pada waktu itu, bukan kesenangan material daripada perjuangan islam yang diperlukan, kerana jika mahu jawatan, medannya ialah selain dari PAS. Semoga kita semua terus ikhlas & istiqamah dalam perjuangan islam.

Mereka berkata PAS mungkin pupus, namun cahaya Allah tetap tidak akan padam. Buktinya, lihatlah Parti Islam se-Malaysia kini. Siapakah yang hidup subur, siapakah yang karam?

Diceritakan oleh,
Ustaz Mohamed Nawawi Mohd Zain.
Ketua ,
Urusan Ulama',
Parti Islam se-Malaysia,
Kawasan Pasir Mas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej