Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, March 28, 2017

Sultan Terengganu perkenan enakmen hudud


Sultan Terengganu perkenan enakmen hudud

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHMAD
KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Hrkh)-Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Julai lalu telah pun diperkenankan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ini bermakna, Undang-undang tersebut akan digazet dan diwartakan pada bila-bila masa sahaja untuk dilaksanakan di negeri Terengganu Darul Iman.
Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.
“Kita (kerajaan) telah mendapat perkenan Sultan Terengganu dan undang-undang ini akan digazet bila-bila masa sahaja untuk dilaksanakan, “Undang-undang telah ada dan Tuanku telah pun menandatanganinya dan mengikut peraturan ianya akan terus menjadi undang-undang,” tegasnya.
Menurutnya, menjadi hak negeri sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang bahawa negeri berhak menggubal undang-undang syariah sendiri.
Sehubungan itu, kata beliau pada peringkat pelaksanaannya kerajaan telah membuat persediaan dengan menyediakan hakim-hakim yang berwibawa.
Menurutnya, satu program sedang diatur supaya rombongan pelaksanaan syariah ini mengunjungi negara-negara yang telah melaksanakan undang-undang hudud dan qisas itu.
“Rombongan itu akan diketuai oleh Exco Dato’ Haji Harun Taib ke negara Arab Saudi, Iran dan Sudan yang telah melaksanakan undang-undang hudud dan qisas.
“Semasa saya berada di Arab Saudi baru-baru ini pun saya telah mendapat jaminan untuk diberikan kemudahan kepada rombongan kita,” ujarnya.
Katanya, tujuan rombongan tersebut dihantar supaya mereka dapat melihat secara langsung daripada pihak kehakiman yang ada di sana.
Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu mengemaskini dan melihat pengalaman semua negara yang telah melaksanakan undang-undang jenayah syariah tersebut.
Dato’ Seri Tuan Guru berkata, meskipun hakim-hakim yang dilantik telah mempunyai ilmu pengetahuan tentang hukum syarak, hukum jenayah dan pelaksanaanya.
Namun demikian, katanya masih perlu pada pendedahan untuk melihat secara dekat di negeri-negeri yang sudah melaksanakan undang-undang tersebut.
Ketika ditanya pemberita, beliau menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan negeri belum bersedia untuk mewartakan undang-undang hudud dan qisas.
Katanya, tidak timbul soal belum bersedia sebab sebelum digubal undang-undang itu kerajaan negeri telah mengadakan banyak dialog dengan semua pihak.
“Kita mengadakan dialog dengan rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),parti-parti politik, ahli akademik dan lain-lain,” ujarnya.
Penguatkuasa syariah sukarela
Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu akan mengadakan kursus kepada 274 orang penguatkuas syariah sukarela yang dilantik di negeri ini.
Kesemua penguatkuasa sukarela tersebut perlu mengikuti kursus dari segi undang-undang sejauh mana bidang kuasa masing-masing.
Ketika mengulas laporan akhbar mengenai kuasa penguatkuasa syariah sukarela Terengganu terhad yang dilantik oleh kerajaan negeri Menteri Besar menafikan kenyataan tersebut.
“Saya difahamkan bahawa kenyataan itu tidak betul dan telah pun diberi penjelasan oleh Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Engku Mohamed Engku Abdul Rahman kepada Exco Pelaksanaan Syariah, Dato’ Haji Harun Taib,” ujarnya.
Yang sebenar, katanya penguatkuasa syariah sukarela itu boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan oleh JHEAT.
Menurutnya, kerajaan negeri telah membuat pindaan undang-undang dalam sidang dewan yang lalu berkait dengan keterangan termasuk perkara tersebut.
Katanya, kerajaan juga telah diberi nasihat oleh penasihat Undang-undang negeri sendiri dalam perkara berkenaan.
“Penguatkuasa sukarela ini boleh mengambil tindakan bagi mencegah kesalahan mengikut Enakmen Hal Ehwal Agama Islam yang telah diluluskan dan dikuatkuasa pada 1 Ogos lalu.
“Cuma mereka perlu diberi kursus dari segi undang-undang sejauh mana bidang kuasa masing-masing ketika menjalankan tugas mencegah maksiat,” jelasnya.
Katanya, melalui undang-undang yang pinda itu juga orang ramai boleh mengambil inisiatif dalam mencegah kemungkaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej