BOLEHKAH KAFIR ZHIMMI MENJAWAT JAWATAN HAKIM ?
http://mahir-al-hujjah.blogspot.my/2008/12/bolehkah-kafir-zhimmi-menjawat-jawatan.html#!/tcmbck
1.0 PENGENALAN
Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang tertinggi di dalam
pentadbiran sesebuah Negara. Tugas mereka amatlah berat demi memastikan keadilan
dan kemaslahatan umum akan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Institusi
kehakiman seharusnya berada di tempat yang sepatutnya bagi mengekalkan status
mereka sebagai majlis pengadilan yang dihormati lagi disegani. Di dalam suasana
hidup bermasyarakat hari ini, kita pasti berdepan dengan pelbagai cabaran dan
dugaan terutamanya terhadap hubungan dan perpaduan masyarakat seperti
pertelingkahan, perbalahan dan sebagainya.
Hakim merupakan satu jawatan yang sangat penting dalam sistem kehakiman
dimana mempunyai tugas dalam memberikan penghakiman terhadap segala
persengketaan yang timbul. Dalam menegakkan keadilan kepada manusia, sesebuah
institusi kehakiman itu hendaklah mempunyai hakim-hakim yang cekap,
berketerampilan, berilmu, beretika, bijaksana dan bermoral tinggi. Ini adalah
supaya mereka terkawal sepanjang mereka menjalankan tugasnya dengan tepat dan
adil.
1.1 Struktur Kehakiman Islam Dan Organisasinya. Secara mudah, institusi
kehakiman bermaksud satu saluran untuk mengadili dan menyelesaikan kes kesalahan
menerusi penghakiman dan pemutusan hukum berdasarkan undang-undang yang sedia
ada satu ijtihad hakim. Justeru itu, organisasinya di dalam bentuk yang mudah,
sekurang-kurangnya meliputi hakim, para saksi dan pencatat. Hakim dan para saksi
adalah memainkan peranan yang sangat penting dalam penghakiman dan pemutusan
hukum. Jawatan hakim merupakan suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca
mata syarak, hingga dikatakan lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada
di antara ulama’ yang mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan
pemerintah atau sultan. dalam membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa
aspek yang perlu dititik beratkan antaranya hokum perlantikan hakim, kuasa
melantik hakim, cara pemilihan hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan,
syarat perlantikan dan permohonan jawatan hakim.
2.0 TUGAS SEORANG HAKIM Dr. Wahbah al-Zuhaili (6:487) telah menyenaraikan
sepuluh tanggungjawab yang dianggap sebagai tugas seseorang hakim:
1. Menyelesaikan pergaduhan di antara dua pihak sama ada dengan cara berdamai
atau menerusi hokum yang diwajibkan.
2. Membenteraskan kezaliman, pencerobohan dan lain-lain serta melindungi
mereka yang menzalimi disamping menyampaikan hak kepada yang berhak. 3.
Melaksanakan hudud dan memelihara kesemua hak Allah.
4. Menguruskan kes-kes jenayah nyawa dan kecederaan.
5. Menguruskan harta anak-anak yatim dan orang gila serta melantik pengawal
bagi memelihara harta benda mereka.
6. Menguruskan harta-harta wakaf.
7. Melaksanakan wasiat.
8. Melaksanakan akad perkahwinan bagi perempuan yang tidak mempunyai wali
atau walinya ingkar.
9. Mengawasi apa saja yang berkaitan dengan kepentingan umum seperti
pengawasan terhadap jalanraya dan lain-lain.
10. Menyuruh melakukan kebaikan (ma’ruf) dan melarang melakukan kemungkaran
(mungkar) sama ada menerusi ucapan atau perbuatan.
2.1 Syarat Kelayakan Menjadi Hakim Memandangkan kepada tugas-tugas di atas
dengan berdasarkan kepada nas-nas tertentu dan pemahaman mereka tentang tuntutan
syara’ (maqasid syari’ah), para fuqaha’ telah meletakkan beberapa syarat
kelayakan dirin yang ketat pada calon hakim yang berperanan di dalam penghakiman
sesuatu kesalahan, seperti:
1. syarat berakal,
2. baligh,
3. merdeka,
4. beragama Islam,
5. boleh mendengar,
6. melihat,
7. bercakap,
8. bersifat adil,
9. lelaki dan
10. mampu berijtihad
Tiga di antara syarat-syarat tersebut, iaitu bersifat adil, lelaki dan mampu
berijtihad adalah di antara syarat yang dipertikai oleh para fuqaha’ tetang
kepentingan dan keperluannya pada diri hakim.
Bersifat Adil: Ia menjadi syarat menurut mazhab Maliki, Syafi’I dan Hanbali.
Dengan itu mereka tidak mengharuskan seorang fasiq dan siapa saja yang tidak
diterima kesaksiaannya menjadi hakim. Berbeza dengan pendapat ulama mazhab
Hanafiyang menatakan seseorangitu biarpun fasiq adalah layak untuk menjadi
hakim. Walaupun begitu, mereka tidak menggalakkan tugas besar itu diserahkan
kepadanya (orang yang fasiq).
Lelaki: Hakim hendaklah seorang lelaki. Ini adalah pendapat ulama
mazhab-mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Kelemahan akal dan fizikal adalah di
antara sebab wanita tidak layak untuk menjadi hakim (pada sebahagian kes)
disamping itu kerja-kerja penghakiman sentiasa akan berdampingan dengan
orang-orang lelaki seperti fuqaha, para saksi dan mereka yang terlibat di dalam
dakwaan.
Ulama mazhab Hanafi membolehkan seorang perempuan menjadi hakim di dalam
kes-kes harta benda kerana kesaksiannya harus terima di dalam kes tersebut.
tetapi di dalam kes hudud dan qisas, mereka adalah sependapat dengan ulama-ulama
lain.
Hanya Ibn Jarir al-Tabari sahaja yang megatakan adalah harus secara mutlak
orang-orang perempuan menjadi hakim kerana jika mereka harus menjadi mufti maka
tentulah mereka diharuskan menjadi hakim.
Mampu Berijtihad: Kemampuan ini menjadi syarat pada diri seorang hakim
menurut ulama mazhab Maliki, Syafi’i, Hanbali dan sebahagian ulama mazhab
Hanafi.
Lantaran itu seorang yang jahil tentang hukum-hukum syara’ dan juga seorang
muqallid tidak harus menjadi hakim kerana kedua-duanya tidak layak untuk memberi
fatwa, maka sudah tentu mereka lebih tidaak berkelayakan untuk menjadi hakim.
Biarpun begitu, di dalam mazhab Maliki, seorang muqallid harus menjadi hakim
jika bersama-samanya terdapat seorang yang mampu berijtihad (mujtahid).
Menurut jumhur mazhab Hanafi, hakim tidak disyaratkan dari kalangan mujtahid.
Pada mereka, kelayakan beritihad itu hanya merupakan syarat utama sahaja. Dengan
itu adalah harus melantik seorang bukan mujtahid menjadi hakim dan dia
dibenarkan menjatuhkan hukum dengan cara bertaqlid kepada pandapat seorang yang
mujtahid dan dengan cara begini dia sudah mampu melaksanakan ytanggungjawabnya.
Tetapi keadaan sebegini tidaklah digalakkan. Sekalipun ulama mazhab Syafi’e
menekankan tentang perlunya syarat ini, tetapi di dalam suasana yang lain mereka
mengatakan, jika seorang pemerintah yang berkuasa di dalam sesebuah kawasan
melantik seorang fasik atau muqllid menjadi hakim maka penghakimannya adalah
diharuskan kerana darurat.
Beragama Islam: Syarat ini pada dasarnya diterima oleh semua
ulama, tetapi di dalam perlaksanaannya mereka telah berpecah kepada beberapa
kumpulan. Ulama mazhab Hanafi, misalnya membolehkan perlantikan seorang hakim
bukan Islam untuk mengendalikan kes-kes kesalahan mereka sendiri. Begitu juga
halnya dengan saksi-saksi bukan Islam, mereka dibenarkan memberi kenyataan di
dalam kes-kes yang khusus di dalam kelompok mereka kerana, pada pendapat ulama
mazhab ini, kelayakan menjadi hakim dibina atas kelayakan menjadi saksi,
sedangkan seorang Dhimmi adalah layak untuk memberi kesaksiannya terhadap dhimmi
yang lain.
Memandangkan hakim adalah satu jawatan dalam sebuah kerajaan kerana itu
ditentukan oleh kahalifah atau sultan sama seperti jawatan menteri, maka Islam
telah menetapkan syarat-syarat yang ketat kepada mereka yang ingin menduduki
jawatan tersebut. Jester itu, para khlifah dan pemimpi terdahulu sangat teliti
dan berwaspada dalam memilih calon yang benar-benar berkelayakan.
Oleh itu, perlantikan hakim-hakim perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib
dengan menetiliti sifat-sifat dan syarat-syarat yang digariskan oleh syarak.
Sharbini al-Khatib mengatakan: “tidak ada jalan yang lebih menonjol (dalam
menyelesaikan pertelingkahan) selain daripada kehakiman. Jadi, ia tidak boleh
diberikan kepada orang kafir kerana matlamatnya ialah menyelesaikan
pertelingkahan, sedangkan orang kafir jahil mengenainya.” Ini menunjukkan kepada
bahawa penegahan terhadap jawatan hakim di pegang oleh orang kafir.(al-syariah,
kehakiman Islam, jilid 2)
Namun demikian, mazhab Hanafi membolehkan orang bukan Islam menjadi hakim
untuk menyelesaikan pertelingkahan diantara mereka yang seagama dengannya kerana
perlantikan itu tidak mendatangkan kemudaratan sebagaimana perlantikan orang
Islam untuk menjadi hakim bago orang-orang Islam. Selain itu, mereka juga
berhujah dengan Qiyas iaitu, sekiranya persaksian orang bukan Islam sesame
mereka diterima, maka penghakiman sesame mereka juga seharusnya diterima.
Madkur, salah seorang ulama’ mutakhir memilih pendapat ini. Beliau juga
membolehkan penghakiman orang kafir ke atas orang Islam dalam masalah sivil,
tetapi tidak didalam masalah kekeluargaan.
Ulama mazhab Hanbali di dalam satu kes yang khusus telah mengharuskan
penerimaan kesaksian saksi seorang bukan Islam, iaitu kes wasiat seorang Islam
ketika di dalam perjalanan. Penerimaan ini, kemungkinan besar berdasarkan kepada
kesedaran mereka tentang suasana darurat yang berlaku. Begitu juga diriwayatkan
daripada Imam Malik, beliau telah mengharuskan kesaksian dua doktor bukan Islam
dalam menetukan kadar kecederaan dan sebahagian kecacatan anggota ketika
ketiadaan saksi-saksi Islam. Sikap ini juga boleh dianggap sebagai mengambil
kira suasana darurat seperti kes wasiat di atas. Jika di dalam suasana darurat
ulama telah mengharuskan penerimaan kesaksian saksi-saksi bukan Islam di dalam
kes-kes wasiat dan kecederaan, maka lanjutan keadaan ini apakah tidak harus
diterima kesaksian mereka di dalam kes-kes lain di mana tidak terdapat
saksi-saksi Islam? Ini juga merupakan suasana darurat.
Maka kita dapati bahawa Ulama mutakhir Hanbali membolehkannya. Di dalam
hubungan ini Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahamad Barakah berpendapat, setelah beliau
meneliti pelbagai nas berkaitan dengan saksi dan juga pendapat para fuqaha,
bahawa kesaksian saksi bukan Islam hanya tidak diharuskan terhadap orang-orang
Islam di dalam kes talak dan seumpamanya yang berkaitan dengan hukum-hukum
kekeluargaan. Tetapi dalam kes-kes kesalahan sivil lain, kesaksian harus
diterima tanpa mengambil kira perbezaan agama. Berdasarkan kepada kenyataan ini,
bolehlah dirumuskan dari sudut siyasah shar’iyyah, bahawa adalah tidak sah
pengahakiman hakim bukan Islam di dalam .kes-kes berkaitan dengan undang-undang
diri, sekalipun boleh dikatakan keharusannya di dalam kes-kes sivil dan
seumpamanya. Hal ini disebabkan realiti masyarakat memaksa syarat ini diberi
sifat murunah (flexibility) khususnya apabila sesuatu kes itu berlaku di dalam
masyarakat yang berbilang etnik dan agama seperti apa yang sedang kita hadapi di
Malaysia hari ini. Jika kita andaikan sesuatu kesalahan itu berlaku di kalangan
orang-orang Islam sahaja, maka sudah tentu syarat Islam seseorang hakim itu
dapat diselaraskan, tetapi bagaimana dengan kes yang berlaku di antara
orang-orang bukan Islam sahaja. Jika mereka merujuk kepada kehakiman Islam,
tentulah hakimnya seorang Islam. Tetapi bagaimana jika mereka merujuk kepada
kehakiman mereka (berdasarkan kepada pendapat yang mengharuskannya)? Tentulah
hakim mereka adalah ahli agama mereka sendiri yang tidak beragama Islam. Dengan
itu di dalam kes seperti ini, syarat beragama Islam pada diri seorang hakim
tidak dapat dipertahankan.
3.0 HAKIM BUKAN ISLAM
Pendapat fuqaha: Dalam isu perlantikan hakim bukan Islam ini didapati para
fuqaha mazhab-mazhab Islam telah berpecah kepada tiga kelompok besar, Kelompok
Pertama: Tidak harus sama sekali bagi pemerintah melantik hakim bukan Islam sama
ada untuk menghakimi kes orang-orang Islam atau bukan Islam. Mereka berhujah
dengan kedudukan seorang bukan Islam yang tidak layak untuk menjadi saksi
sekalipun ke atas orang-orang bukan Islam. Jika dia tidak layak untuk menjadi
saksi, maka sudah tentu dia tidak layak diterima untuk menjadi hakim. Ini adalah
pendapat jumhur fuqaha. Kelompok Kedua: Harus bagi pemerintah melantik seorang
bukan Islam menjadi hakim sekalipun penghakimannya tidak sah bagi kesalahan
seorang Islam. Pada mereka, seorang hakim dhimmi harus menghakimi kes ahl
al-dhimmiah.
Kedudukannya sebagai hakim khusus bagi mereka tidak menjejaskan apa-apa sudut
kuasanya (wilayahnya) sama seperti mengkhususkan hakim Islam menghakimi
kesalahan orang-orang Islam. Mereka berhujah dengan kedudukan seorang dhimmi
yang berkelayakan menjadi saksi bagi kes orang-orang dhimmi dan musta’min maka
sudah tentu dia berkelayakan untuk menghakimi kes-kes kesalahan mereka kerana
kelayakan seseorang menjadi hakim dibina atas kelayakannya menjadi saksi. Ini
adalah pendapat ulama mazhab Hanafi.
Kelompok Ketiga: Pendapat kelompok ini bertolak dari dua asas penting, iaitu
kelayakan menjadi saksi (pegangan kelompok kedua), harus menerima kesaksian dari
orang bukan Islam di dalam kes harta benda orang-orang Islam seperti saksi
kepada wasiat seorang Islam di dalam perjalanan, begitu juga di dalam kes
pepusakaan (menurut pendapat ulama mazhab Hanbali).
Bertolak dari dua asas ini, Ibn Taimiyyah berpendapat, kesaksian seorang
bukan Islam harus diterima sama ada sesuatu kes itu berlaku ketika di dalam masa
perjalanan atau bermukim apabila sempurna kesemua syarat-syarat penerimaannya
seperti yang ditentukan oleh fuqaha’. Di dalam pendapat lain, Imam Malik juga
mengharuskan diterima pakai kesaksian dua orang doktor bukan Islam di dalam kes
kecederaan kerana terdapat keperluan (al-hajah) kepada kesaksiannya. Berdasarkan
kepada semua di atas, ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah
dan lain-lain, telah berani mengesahkan perlantikan hakim bukan Islam di dalam
kes-kes sivil orang-orang Islam dan seumpamanya, melainkan kes-kes ahwal
shakhsiyyah dan lain-lain yang termasuk di dalam bidang urusan dan hukum
kekeluargaan Islam.
Kedudukan ini agak lebih ketara
(advanced) dari kedudukannya pada pendapat kelompok kedua yang membenarkannya
menghakimi kes-kes khusus mereka sahaja. Saya tidak mengatakan bahawa pendapat
ketiga itu ada rasionalnya (kemunasabahannya) kerana kita dapati ia bertentangan
dengan pendapat jumhur dan juga pendapat ulama mazhab Hanafi, satu kelompok yang
amat besar bilangannya. Tetapi jika kita berpegang kepada pendapat pertama, maka
sama sekali tidak ada ruang untuk kita menempatkan hakim bukan Islam di dalam
urusan kehakiman negara sekalipun kes-kes yang dibentangkan itu adalah kes-kes
mereka sendiri atau yang berkaitan dengan akidah dan urusan kekeluargaan mereka.
mereka sudah tentu di dalam keadaan ,begini dipaksa menerima pakai keputusan
hakim Islam yang berdasarkan kepada syariat Islam. Jika dilihat dari segi
kebebasan berakidah yang diperuntukkan bagi mereka, keadaan ini adalah
bercanggah.
Jika kita berpegang kepada pendapat
kedua, maka ruang akan terbuka untuk mereka berperanan di dalam kehakiman negara
setakat mana yang dibolehkan, iaitu bagi kes-kes khusus mereka. dengan itu
tokoh-tokoh agama di kalangan mereka akan bertindak sebagai hakim-hakim yang sah
di dalam menghakimi kes-kes tersebut. Tetapi pendapat ini juga tidak memberi
jawapan kepada kes yang berlaku di antara orang Islam dan bukan Islam? Adakah
dipisahkan kedua-dua yang terlibat di dalam penghakiman masing-masing? atau
dibentuk satu mahkamah campuran di mana kes itu diadili oleh hakim dari
kedua-dua belah pihak Islam dan bukan Islam ? Atau ia diadili di mahkamah Islam
berdasarkan kepada hukum Islam? Di dalam sebuah negara di Malaysia, apabila
sebuah perlembagaan bersepadu dapat diwujudkan, di mana tidak ada lagi
pertentangan-pertantangan di antara perlembagaan negara dengan Syari’ah, maka
pada peringkat ini mungkin akan timbul persoalan, bolehkah seorang hakim bukan
Islam menghakimi kesemua kes orang-orang Islam atau hanya pada kes-kes tertentu
sahaja? Inilah di antara sebahagian persoalan yang ingin dicari jawapannya oleh
kertas ini.
Sebelum kita menerima atau menolak
pandapat ketiga, saya rasa elok juga kita merenung kepada beberapa kenyataan
berikut:
1. Di dalam sebuah hadith,
diceritakan bahawa dua orang Yahudi yang berzina telah menawarkan kes itu untuk
diadili dan dihukum oleh ahli-ahli agama mereka, tetapi apabila terbukti di
hadapan baginda bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya kerana mereka sudah
menjadi lemah dan tidak gemar berbunuh-bunuhan, maka baginda meminta empat orang
saksi bagi menyabitkan kes tersebut, sesudah itu kedua-duanya diarahkan supaya
direjam. Di dalam peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa baginda telah
membenarkan orang-orang Yahudi merujuk kepada ahli-ahli agama mereka untuk
menghakimi serta menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua pesalah tersebut. Ini
ternyata sebagai satu keharusan yang membolehkan hakim-hakim bukan Islam
berfungsi di negara Madinah pada masa itu. (rujuk al-Qurtubi, 5:84 dan Dr. ‘Abd
al-Mun‘im Ahmad Barakah. 250).
2. Pada peringkat awal perkembangan
Islam, para penganutnya menghadapi dua empayar besar, iaitu Rom dan Parsi.
Kedua-duanya mempunyai sejarah dan tamadunnya yang tinggi mengatasi orang-orang
Arab di dalam urusan pentadbiran negara khususnya di dalam bidang kehakiman.
Sepanjang catatan sejarawan dan fuqaha, tidak ada kenyataan yang menyebut bahawa
para pemerintah Islam telah mengarahkan agar semua sistem kehakiman yang ada di
negara-negara yang mereka tawan seperti Iraq, Syria dan Sepanyol dihapuskan atau
diliucutkan hakim-hakimnya dari jawatan masing-masing. Begitu juga ketika
kekuasaan Islam sampai ke India dan lain-lain. Sebagai contohnya, ketika Mesir
ditawan oleh tentera Islam di bawah pimpinan ‘Amru bin al-‘As, beliau telah
melantik seorang hakim Qibti bagi setiap daerah di seluruh negara itu yang
bertugas menyelesaikan kesemua permasalahan sama ada keagamaan, urusan
kekeluargaan atau sivil bagi orang-orang bukan Islam bersesuaian dengan syari’at
mereka. Begitu juga halnya dengan orang-orang dhimmi lainnya selain dari
orang-orang Qibti. Mu‘awiyyah bin Abi Sufyan, ketika menjadi gabenor di Syria,
telah menyerahkan kesemua kes keagamaan orang-orang bukan Islam kepada
hakim-hakim mereka sendiri menyelesaikannya secara berasingan. Tetapi di dalam
kes-kes sivil yang lain, beliau melantik seorang hakim Islam disamping hakim
Islam untuk sama-sama bekerjasama menghakimi kes-kes tertentu. (Dr. ‘Abd
al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 250,251).
3. Prinsip kebebasan beragama yang
dipertahankan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam di sepanjang
sejarah mereka adalah satu suasana yang memaksa wujudnya hakim-hakim bukan Islam
bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan atau perbalahan yang berkaitan dengan
aqidah mereka, khasnya pada zaman-zaman permulaan Islam, kerana urusan-urusan
keagamaan yang sebahagiannya meliputi kekeluargaan hanya diketahui oleh
ahli-ahli agama mereka sahaja. Dengan kedudukan ini, amatlah tidak wajar jika
urusan-urusan mereka khususnya keagamaan diselesaikan oleh hakim-hakim Islam
yang kurang maklumat tentang akidah dan persoalan-persoalan lain berhubung
dengan agama mereka. Dengan itu, pendapat yang meletakkan beragama Islam sebagai
salah satu syarat kelayakan diri yang mutlak pada seseorang hakim khususnya yang
bertugas menyelesaikan pelbagai kes keagamaan orang-orang bukan Islam adalah
tidak tepat dan perlu dirujuk semula (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal:
251).
4. Pertentangan pendapat di kalangan
Imam-imam mazhab Sunni tentang tanggungjawab hakim Islam yang mengendalikan kes
orang-orang bukan Islam. Imam al-Shafi’I, misalnya, mengatakan bahawa seorang
hakim Islam boleh memilih, sama ada dia mahu menghakimi kes orang-orang dhimmi
atau menolaknya kepada hakim dan kehakiman mereka sendiri. Tetapi jika mereka
itu dari kalangan orang-orang musta’min, maka disyaratkan wujud kerelaan
kedua-dua belah pihak yang terlibat (pendakwa dan orang yang didakwa) terhadap
keputusan hakim Islam dan juga, pada waktu yang sama, memiliki hak pilihan sama
ada menghakimi kes mereka atau menolaknya. Imam Malik pula mengatakan, hakim
Islam wajib menerima kes orang-orang dhimmi dan menghakiminya.
Beliau mengkhususkan hak pilihan bagi
hakim Islam itu hanya pada aduan orang-orang musta’min sahaja. Imam Abu Hanifah
berpendapat, di dalam kes dakwaan perempuan bukan Islam, disyaratkan suaminya
bersetuju dengan keputusan hakim Islam. Tetapi jika suaminya tidak bersetuju,
maka hakim Islam tidak harus membuat apa-apa keputusan mengenainya (Dr. ‘Abd
al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 252).
Sekali imbas kita dapat membuat
kesimpulan dari pertentangan pendapat di atas, bahawa sebahagian ulama Islam
lebih cenderung tidak membenarkan hakim Islam menghakimi kes orang-orang bukan
Islam yang berlaku di negara Islam. Jika keadaan sedemikian maka siapakah yang
akan menghakimi kes-kes mereka? Tentunya hakim dari kalangan mereka sendiri.
Keadaan ini, menurut pandangan kita, tentulah mengharuskan pihak berkuasa Islam
melantik hakim-hakim bukan Islam dengan mengecualikan syarat beragama Islam di
dalam perlantikan itu. Pendapat sebahagian fuqaha seperti di atas, iaitu apabila
mereka membenarkan orang-orang Islam bebas dari keputusan hakim Islam,
kemungkinan juga dipengaruhi oleh prinsip kebebasan berakidah yang dipertahankan
Islam disepanjang sejarahnya.
Lagipun konsep kedaulatan
undang-undang, yang memaksa semua orang yang menetapdi dalam sebuah negara, sama
ada rakyatnya atau pendatang, patuh kepada satu institusi kehakiman negara
seperti yang diamalkan sekarang ini, belum lagi dikenali pada masa itu. 5. Jika
kita perincikan syarat-syarat kelayakan diri pada seorang calon hakim seperti
yang dibincangkan oleh fuqaha’, kita dapati bahawa syarat-syarat itu hanya
khusus bagi calon hakim yang akan melaksanakan hokum-hukum Islam sahaja, seperti
di dalam kes-kes kesalahan hudud, qisas, akidah, ibadat, kekeluargaan yang
termasuk juga pepusakaan dan seumpamanya. Ini terbukti apabila mereka
mensyaratkan seorang hakim yang perlu berilmu (mujtahid) dan mengetahui tentang
sumber-sumber hukum syara’ (al-Mawardi: 73,74; Dr. Muhammad Salam Madkur: 37 dan
Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 253). Sudah tentu seorang hakim yang akan
mengendalikan kes-kes hudud, atau menjatuhkan hukum di dalam kes-kes akidah,
ibadat dan urusan kekeluargaan (yang melibatkan urusan perkahwinan, perceraian,
pepusakaan dan seumpamanya) dikehendaki beragama Islam kerana seorang bukan
Islam tentulah tidak beriman dengan hukum-hukum Islam mereka, seperti yang kita
tahu, membohongi al-Qur’an dan al-Sunnah. Lagipun pengetahuan tentang
sumber-sumber hukum syara’ dan juga pengetahuan tentang ijtihad berkaitan dengan
hukum-hukum furu’ di dalam persoalan fiqh tidak mungkin berlaku dengan sempurna
kecuali apabila seseorang itu menganut agama Islam itu sendiri. Dengan itu jelas
kepada kita bahawa syarat beragama Islam yang dikehendaki oleh para fuqaha, itu
adalah kerana pengamalan hukum-hukum Islam itu sendiri yang memaksanya. Dengan
itu juga jelas bahawa syarat itu bukanlah syarat yang terasing dan tersendiri
dan yang membabitkan ke semua mereka yang bakal menjadi hakim. 6. Jika
diqiyaskan syarat-syarat kelayakan seseorang menjadi hakim kepada syarat-syarat
kelayakan menjadi saksi dan beragama Islam dijadikan salah satu syarat kelayakan
pada diri seorang saksi, maka sudah tentu ia juga akan menjadi syarat pada diri
bakal seorang hakim.
Tetapi pendapat ini mungkin tidak
tepat kerana di antara fuqaha ada yang berpendapat bahawa kesaksian bukan Islam
adalah sah diterima sekalipun ia berkaitan dengan kes seorang Islam. Begitu juga
beragama Islam bukanlah satu syarat berasingan dan memadai di dalam penerimaan
kesaksian seseorang kerana kesaksian seorang Islam yang fasiq tidak harus
diterima, begitu juga dengan kesaksian seorang Islam yang diragui, seperti
terdapat permusuhan diantaranya dengan orang yang didakwa dan seumpamanya.
Lantaran itu meletakkan syarat
beragama Islam sebagai sesuatu yang menghalang perlantikan seseorang bukan Islam
menjjadi hakim, biarpun di dalam kelompoknya sendiri, adalah satu pendapat yang
kurang tepat (Dr. ‘Abd al-Mun‘im Ahmad Barakah, hal: 254). Ibn al-Qaiyyim di
dalam rumusannya berkata: “Seorang kafir kadang-kadang merupakan seorang yang
adil di sisi agama dan kaumnya, benar tutur katanya, maka dengan itu
kekufurannya tidak harus menjadi penghalang untuk diterima pakai kesaksiannya ke
atas mereka apabila mereka bersetuju menerimanya. Sesungguhnya kita sering
melihat ramai orang-orang kafir yang benar tutur kata dan beramanah hinggakan
mereka menjadi terkenal dengan sifat itu di kalangan kaumnya dan juga
orang-orang Islam, hinggakan hati (kita ini) merasa mudah mempunyainya, menerima
berita dan kesaksiannya, sesuatu yang mungkin jarang berlaku pada diri
sebilangan mereka yang menganut agama Islam.
Sesungguguhnya Allah telah
mengharuskan kita bermua’malah dengan mereka, memakan makanan mereka dan Allah
juga telah menghalalkan perempuan-perempuan mereka (kepada lelaki kita untuk
dikahwininya). Keadaan sedemikian membolehkan kita merujuk kepada berita yang
mereka sampaikan. Apabila kita diharuskan bergantung kepada berita yang mereka
sampaikan yang ada kaitan dengan perkara-perkara halal dan haram, maka sudah
tentu lebih utama kita diharuskan merujuk kepada berita yang mereka bawa kepada
perkara-perkara berkaitan dengan diri mereka. jika anda berkata: ini adalah
kerana keperluan, maka dijawab: Itu (iaitu menjadi saksi atau hakim) lebih
tinggi keperluannya”. (Ibn al-Qaiyyim: 241,242).
4.0 ULASAN DAN RUMUSAN SEMENTARA
1. Di dalam sejarahnya, Islam tidak
pernah menghapuskan institusi kehakiman negara-negara yang didudukinya, malah ia
membiarkan orang-orang bukan Islam bebas dengan urusan agama dan kehakiman
mereka. Hakim-hakim mereka dikekalkan pada tempat dan tugas masing-masing
menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku di kalangan mereka, khasnya urusan
dalaman agama mereka sendiri.
2. Beragama Islam akan menjadi syarat
kepada sesiapa yang bakal menjadi hakim untuk melaksanakan hukum-hukum Islam
yang asas, sama ada di dalam kes-kes kesalahan hudud dan qisas atau urusan
ibadat atau urusan kekeluargaan seperti perkahwinan, perceraian, pepusakaan dan
seumpamanya, iaitu urusan-urusan yang tidak layak bagi seorang hakim bukan Islam
mengadilinya kerana dia tidak beriman dengan hukum-hukum tersebut.
3. Di dalam urusan sivil lainya,
selain dari urusan-urusan di atas (seperti urusan yang berkaitan dengan jual
beli dan seumpamanya), hakim bukan Islam adalah layak untuk mengadilinya
sekalipun ke atas orang-orang Islam jika seseorang itu dapat memenuhi pelbagai
syarat kelayakan yang diperakui oleh pemeritah Islam.
4. Jika pandangan di atas diterima,
sudah tentu akan wujud dua institusi kehakiman; Islam dan bukan Islam, dan dua
orang hakim; Islam dan bukan Islam. Adakah hakikat ini boleh diterima oleh
kedaulatan agama dan hukum Islam, negara dan masyarakatnya ? Bila kesemuanya
sudah dikanunkan serta mudah pula memperolehinya, adakah harus graduan bukan
Islam di pusat-pusat pengajian tinggi seperti U.I.A. di dalam bidang Ilmu Wahyu
Dan Undang-undang menduduki kerusi hakim serta menghakimi kes orang-orang Islam
dan bukan Islam setakat mana yang dibenarkan?
5. Bagi mengelak dari pelbagai
spekulasi yang negatif dan bertindihnya tanggungjawab di antara dua institusi
tersebut, dicadangkan agar institusi kahakiman bukan Islam hanya mengadili
kes-kes yang berkaitan dengan ibadat, akidah, kekeluargaandan pepusakaan mereka
yang tidak mampu diadili oleh hakim Islam.
6. Biarpun pandangan di atas ada
rasionalnya dari sudut sejarah dan amalan salaf, tetapi ia tidak disenangi oleh
sebahagian ulama mutakhir seperti Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dan lain-lain. Beliau
sama sekali tidak bersetuju untuk membenarkan perlantikan hakim bukan Islam
(dhimmi) biarpun tugasnya hanya mengadili kes orang-orang dhimmi sahaja. Di
dalam bukunya Ahkam al-Dhimmiyyah wa al-Musta’minini, antara lain beliau memberi
hujahnya: Jika diharuskan perlantikan seorang dhimmi menjadi hakim, menurut
pendapat ulama Mazhab Hanafi, ke atas orang-orang dhimmi sahaja, apakah
undang-undang yang akan digunakan ketika menjatuhkan hukumnya? Apakah dia akan
menjatuhkan hukum dengan berdasarkan undang-undang Syari’at Islam ataupun
syari’atnya sendiri ? Saya belum lagi menemui pendapat yang jelas dari ulama
Mazhab Hanafi di dalam masalah ini. Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi telah
menyebut, adalah harus bagi seorang pemeritah Islam mengendalikan kes
orang-orang dhimmi dan manjatuhkan hukum berdasarkan syari’at mereka kerana
seorang pemerintah Islam dituntut agar melaksanakan pelbagai kebajikan kepada
orang-orang dhimmi (Al-Sheikh ‘Abdullah al-Maraghi : 19,44). Walaubagaimanapun,
pendapatnya itu menimbulkan sedikit kemusykilan, kerana bagaimana harus di dalam
sebuah negara Islam hakim menjatuhka hukum bukan dari syariat Islam?
Bagaimanakah dilaksanakan hukum-hukum tersebut (hukum-hukum yang bukan dari
syari’at Islam) jika perlaksanaannya dikehendaki menerusi kuasa pemerintah
(Islam) ?
Bagaimana harus dibiarkan syari’at
bukan Islam dilaksanakan di dalam negara Islam, sedangkan Syari’at Islam adalah
universal, jika tidak kerana suasana darurat dan ketiadaan kuasa negara Islam ke
atas negara harbi, sudah tentu ia dilaksanakan di seluruh dunia, bagaimanakah
harus dikatakan syari’at ini tidak dapat dilaksanakan pada sebahagian kes atau
ke atas sebahagian orang yang menetap di dalam negara Islam, pada hal masih
terdapat kemudahan untuk melaksanakannya ?
Kemudian ulama Mazhab hanafi
menegaskan bahawa seorang hakim itu adalah pembantu kepada Imam (pemerintah) di
dalam menjatuhkan hukum di kalangan orang ramai, bagaimanakah harus bagi seorang
pembantu Imam menjatuhkan hukum bukan dari Syari’at Islam sedangkan Imam sendiri
adalah orang yang terikat dengan hukum itu dan dia dilarang menggunakan hukum
syari’at lain? Dan lagi ulama Mazhab Hanafi berkata, diantara syarat
penghakiman, hendaklah penghakiman itu dengan hukum yang hak/benar, iaitu yang
sabit di sisi Allah kebenarannya bagi sesuatu kes, sama ada qat’I ataupun
zahiri. Dengan itu jika seseorang hakim menjatuhkan hukum pada kes yang berbeza,
maka tindakannya itu adalahtidak diharuskan kerana ia merupakan tindakan yang
berasaskan kepada sesuatu yang batil, begitu juga jika dia menghakimi satu kes
yang menjadi tajuk pertelingkahan fuqaha’ dan menjatuhkan hukum yang terkeluar
dari pendapat seluruh fuqaha’, maka tindakannya itu tidak diharuskan kerana
kebenaran yang sebenar tidak terkeluar kesemua pendapat mereka. Ini adalah
pendapat ulama Mazhab Hanafi menurut laporan Imam al-Kasani. Mereka tidak
membezakan di dalam pendapat ini di antara hakim Islam dan hakim dhimmi di dalam
kes orang dhimmi. Seperti yang termaklum bahawa hukum yang diputuskan hakim
dhimmi berdasarkan hukum-hukum syari’atnya yang sudah mansukh adalah hukum yang
batil, dengan itu ia tidak diharuskan.
Dengan itu, menurtu pendapat yang
terkuat, adalah tidak harus menjatuhkan hukum berdasarkan kepada hukum syari’at
yang lain selain dari Islam di dalam Negara Islam sama ada dari pihak hakim
dhimmi atau hakim Islam. Ini menunjukkan bahawa pendapat ulama Mazhab Hanafi
lebih merupakan keharusan perlantikan bagi tujuan timbang tara (tahkim) sahaja
bukannya perlantikan hakim bagi tujuan menjatuhkan hukum. Pendapat ini adalah
sama seperti yang dikatakan oleh al-Mawardi… (Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan: 598-600
dan lihat ulasan ‘Abd Kahliq al-Nawawi: 230-234) Di sini kita berhadapan dengan
dua sikap, iaitu sama ada membolehkan perlantikan hakim bukan Islam atau tidak
membolehkannya. Di dalam realiti masyarakat di Malaysia hari ini, apakah amalan
pemerintahan Islam pada peringkat awal Islam tidak wajar diberikan perhatian ?
Atau kita tidak perlu kepada mereka kerana kita mampu menyelesaikan semua kes
kesalahan? Tidakkah boleh kita wujudkan satu akta kesalahan yang lengkap agar ia
dapat dirujuk oleh sesiapa saja sama ada hakim Islam atau bukan Islam ketika
menjatuhkan hukum? Dan pada saat ini hakim bukan Islam tidak melebihi
kedudukannya dari seorang wazir tanfiz di dalam Institusi Pentaadbiran yang
harus dilantik dari kalangan bukan Islam dengan tertakluk kepada syarat-syarat
peribadi seperti ikhlas, beramanah, jujur (berakhlak mulia), berpengalaman dan
mampu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.
5.0 PENUTUP Jawatan hakim merupakan
suatu jawatan yang tinggi kedudukannya dari kaca mata syarak, hingga dikatakan
lebih tinggi daripada jawatan menteri, malahan ada di antara ulama’ yang
mengatakan bahawa jawatan itu sama dengan jawatan pemerintah atau sultan. Dalam
membincangkan jawatan hakim ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dititik
beratkan antaranya hukum perlantikan hakim, kuasa melantik hakim, cara pemilihan
hakim, cara perlantikan, lafaz perlantikan, syarat perlantikan dan permohonan
jawatan hakim.Oleh itu, segala panduan dalam hendaklah berlandaskan diatas apa
yang ditunutkan oleh agama Islam itu agar segala kesempurnaan dapat di kecapi di
dunia mahupun akhirat.
RUJUKAN Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Fiqh
Al-Islami Wa Adillatuh, Damsyiq, 1405H/1985M.
Dr. ‘Abd Al-Mun’im Ahmad Barakah,
Al-Islam Wa Al-Musawah Bain Al-Muslimin Wa Ghair Al-Muslimin Fi ‘Usur Al-Takrikh
Al-Islami Wa Fi Al-‘Asr Al-Hadith, Mesir, Iskandariyyah:Mu’ssasat
Shabab Al-Jami’ah, 1410H/1990M. Dr.
Badranabu Al-‘Ainaian Badran, Al-‘Alaqat Al-Ijtim’iyyah Bain Al-Muslimin Wag
Hair Al-Muslimin, Mesir, Iskandariyyah: Muassat Al-Shabab Al-Jami’ah, 1984m.
‘Abd Al-Khaliq Al-Namawi, Al-‘Alaqat
Al-Daulaiyyah Wa Al-Nuzum Al-Qada’iyyah Fi Al-Shariah Al-Islamiyyah, Beirut: Dar
Al-Kitab Al-‘Arabi, 1394H/1974M.
‘Abd Karim Zaidan, Ahkam
Al-Dhimmiyyin Wa Al-Musta’minin Fi Dar Al-Islam, Beirut: Mu’assat Al-Risalah,
1396H/1976M.
http://mahir-al-hujjah.blogspot.my/2008/12/bolehkah-kafir-zhimmi-menjawat-jawatan.html#!/tcmbck
http://mahir-al-hujjah.blogspot.my/2008/07/syarat-syarat-menjadi-hakim-qadhi.html#!/tcmbck