Pakej Keadilan Kepada Non-Muslim dalam Pentadbiran Islam
This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 21 January 2016
Artikel ini patut dibaca oleh Muslim dan juga Non-Muslim untuk mempertingkatkan lagi pemahaman dalam kontek keadilan Islam di bidang ekonomi
************************************************************************************
Islam adalah agama yang datang dengan pakej keadilan kepada seluruh manusia tidak kira Muslim atau kafir. Keadilan ini merupakan dasar utama dalam setiap tindak-tanduk manusia sama ada dalam muamalat seharian apatah lagi dalam hal pentadbiran sesebuah kerajaan. Tuntutan berlaku adil ini disuratkan oleh Allah dalam firman-Nya;
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاء ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (surah al-Nahl ayat 90)
Sementara arahan berlaku adil dalam menetapkan hukuman dan pentadbiran dinyatakan dalam firman Allah Taala;
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (surah al-Nisa’ ayat 58)
Apabila Allah menyuruh untuk berbuat adil maka dengan sendirinya perkara yang zalim adalah ditegah sama sekali, bahkan Allah amat murka kepada manusia yang zalim sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
اتَّقُوا الظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Takutlah kamu daripada perbuatan zalim kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah gelap gelita di hari kiamat.” (riwayat Muslim)
اتَّقُوا دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ وَإِنْ كَانَ كَافِرًا فَإِنَّهُ لَيْسَ دُونَهَا حِجَابٌ
“Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi sekalipun yang berdoa itu orang kafir kerana sesungguhnya tiada hijab yang menghalang (tiada pembelaan) di antaranya dengan Tuhannya (saat manusia yang dizalimi itu meminta kepada tuhannya).” (riwayat Ahmad)
مَنْ أَعَانَ عَلَى خُصُومَةٍ بِظُلْمٍ أَوْ يُعِينُ عَلَى ظُلْمٍ لَمْ يَزَلْ فِي سَخَطِ اللَّهِ حَتَّى يَنْزِعَ
“Barangsiapa membantu sengketa dengan cara zalim, atau membantu kezaliman, maka ia akan sentiasa dalam murka Allah sehingga ia mencabut (bantuannya).” (riwayat Ibnu Majah)
Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 42;
وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ إِنَّمَا يُؤَخِّرُهُمْ لِيَوْمٍ تَشْخَصُ فِيهِ الْأَبْصَارُ
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).”
Sebuah ungkapan Arab ada menyebutkan;
لا تَظْلِمَنَّ إِذَا مَا كُنْتَ مُقْتَدِرًا، فَالظُّلْمُ آخِرُهُ يُفْضِي إِلَى النَّدَمِ
تَنَامُ عَيْنُكَ وَالمَظْلُومُ مُنْتَبِهٌ، يَدْعُو عَلَيْكَ وَعَيْنُ اللَّهِ لَمْ تَنَمِ
“Janganlah kamu berbuat zalim saat kamu berkuasa, kerana kezaliman itu membawa akibat penyesalan. Kamu mampu lelapkan mata tetapi yang dizalimi sentiasa berjaga. Dia berdoa ke atasmu dan Allah tidak pernah tidur.”
Orang Islam dituntut untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada manusia seluruhnya dengan meninggalkan anasir kezaliman walau sebesar zarah dalam mewujudkan “Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur”. Asas hubungan orang Islam dengan orang bukan Islam ialah firman Allah Taala;
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan meraka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (surah al-Mumtahanah ayat 8-9)
Ayat di atas tidak sekadar menyarankan agar orang-orang Islam berlaku adil dan jujur kepada golongan bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam dan tidak mengusir mereka (tidak menaruh prasangka dan permusuhan terhadap Islam), bahkan ayat tersebut memerintah umat Islam supaya berbuat baik kepada mereka. Perkataan “al-Birr” merupakan perkataan yang mempunyai pengertian yang luas meliputi semua nilai kebaikan. Begitu juga, kalimah “La Yanhaakum” (Allah tidak melarang kamu) bertujuan untuk menghilangkan perasaan bahawa orang yang berlainan agama tidak berhak mendapat penghargaan, keadilan dan pergaulan yang baik.
Berkata Imam al-Qarafi pada maksud perkataan “al-Birr” yang telah dinyatakan Allah dalam ayat 8 surah al Mumtahanah ialah, “Membela kedhaifan dan kefakiran yang menimpa mereka (non-Muslim), menjamu bila mereka lapar, meminjamkan keperluan kepada mereka dan berkata kepada mereka dengan perkataan yang tidak menyakiti hati, mendoakan mereka supaya diberi hidayah, memberikan nasihat dalam segenap aspek urusan mereka samada mengenai perihal agama mahupun perihal dunia, menjaga maruah mereka dari perbuatan orang yang cuba mengaibkan mereka, dan memelihara (tidak mengganggu) harta milik mereka, tanggungan mereka, maruah mereka dan seluruh hak-hak mereka dan kemaslahatan mereka dan membantu mereka dari perlakuan zalim yang ditujukan terhadap mereka...” (al-Faruq, jil.3, hlm.15)
Objektif Berlaku Adil Kepada Non-Muslim
Tuntutan agar berlaku adil dan membuat kebajikan termasuk kepada masyarakat non-Muslim juga ada objektif yang tersendiri yang melambangkan keunggulan Syariat Islam. Antara objektif utamanya ialah :-
(1) - Islam telah memuliakan mertabat manusia dengan tidak mengira wama kulit, bangsa juga agama. Firman Allah Taala;
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً
“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (surah al-Israk ayat 70)
Dengan kemuliaan inilah maka wajib kita menghormati dan berlaku adil sesama manusia walaupun berbeza agama.
(2) - Orang Islam bukan dicipta untuk menyalahkan dan menghukum kesalahan orang kafir kerana hukuman hanya ditentukan oleh Allah sebaliknya mereka wajib didakwah. Firman Allah Taala;
فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَقُلْ آمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِن كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ
“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - Wahai Muhammad - kepada agama yang benar), serta tetap teguhlah engkau (Muhammad) menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepada-Mu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah; Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami Dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan).” (surah al-Syura ayat 15)
(3) - Keimanan yang ada pada seseorang Muslim bahawa Allah menyuruh untuk berlaku adil dalam semua aspek, berakhlak baik walau dengan non-Muslim dan membenci serta menolak kezaliman sekalipun datang dari orang Islam. Firman Allah Taala;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (surah al-Maidah ayat 8)
Pakej Keadilan Dalam Pegurusan Harta
Islam menitik-beratkan hubungan amanah dan berlaku adil dalam pengurusan hal ehwal harta sekalipun dengan non-Muslim. Inilah ketinggian nilai yang terdapat dalam agama Islam sekalipun ia tidak disedari oleh golongan non-Muslim disebabkan keangkuhan mereka dari menerima kebenaran dan ketidakupayaan pendakwah Muslim menerangkan hakikat Islam kepada mereka. Banyak sekali contoh-contoh di zaman Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam yang membuktikan pakej ini dilaksanakan dalam urusan yang berkait dengan harta. Lihat sahaja perihal Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam selepas “Fathu al-Makkah” dan ketika ingin bergegas ke peperangan Hunain, disebabkan berhajat sangat kepada beberapa alat untuk berperang, Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah meminjam baju-baju besi daripada Sofwan ibn Umayyah, seorang musyrik, sehinggakan Sofwan pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam berulang kali kerana bimbang barangnya tidak dikembalikan semula kepadanya.
Tetapi, jawapan Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam kepada Sofwan menggambarkan satu jaminan yang menenangkan perasaannya. Sebagaimana dirakamkan kisah ini ketika Baginda sallallahu‘alaihi wasallam meminjam barang Sofwan yang ketika itu seorang musyrik;
يَا أبا أمية أَعِرْنَا سِلَاحَكَ هَذَا نَلْقَى فِيهِ عَدُوَّنَا غَدًا
“Wahai Abu Umayyah, pinjamkan kami perisai kamu (peralatan perang) ini untuk kami gunakan bertemu musuh esok.”
“Adakah (barang yang kamu pinjam) itu menjadi barang rampasan wahai Muhammad?”
Lalu Baginda sallallahu‘alaihi wasallam menjawab;
بَلْ عَارِيَةٌ مَضْمُونَةٌ حَتَّى نُؤَدِّيَهَا إِلَيْكَ
“Tidak (wahai Sofwan) bahkan ia pinjaman yang dijamin (pemulangannya) sehingga diserah semula kepadamu.” (riwayat Abi Daud)
Ahli Zimmah diberikan hak perlindungan dan penjagaan harta sama seperti perlindungan terhadap nyawa dan tubuh badan. Ini merupakan hukum yang disepakati oleh para ulama sepanjang zaman. Imam Abu Yusuf dalam kitabnya “al-Kharaj” telah meriwayatkan apa yang terkandung dalam perjanjian Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam dengan penduduk Najran;
“Untuk Najran dan wilayahnya, perlindungan Allah dan tanggungjawab Rasul-Nya untuk memelihara harta-harta mereka, agama mereka, tempat ibadat mereka dan setiap apa yang mereka miliki sama ada sedikit atau banyak...”
Pakej Keadilan Dalam Kehakiman
Islam amat teliti dalam menetapkan sesuatu hukum. Sebelum menjatuhkan hukuman tertentu segala bukti dan hujjah mesti dikenal pasti dengan jelas, baharulah proses menjatuhkan hukuman dibenarkan. Sehinggakan di zaman al-Risalah, Allah Taala sendiri menurunkan ayat demi untuk mengajar erti keadilan dan kewajiban untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan bukti yang terang.
Telah berlaku kisah pencurian baju besi daripada rumah Qatadah ibn Nu’man oleh seorang Muslim yang bernama Thu’mah ibn Ubairiq. Kebetulan baju besi berada di dalam guni gandum dan gandum keluar melalui guni tersebut kerana bocor sehinggalah sampai di sebuah rumah seorang Yahudi. Lalu Thu’mah meletakkan barang curian tersebut di rumah tersebut. Apabila dijumpai barangan tersebut lantas Yahudi tadi berkata, “Thu’mah yang bawa barang ini kepada saya.”
Setelah berlaku kekecohan maka datanglah puak-puak dari Bani Zufr iaitu penyokong Thu’mah dengan menidakkan dan menyanggah kata-kata Yahudi tadi serta mereka mahu lagi memberikan hujah yang kukuh bahawa Yahudi tersebut sebenarnya yang mencuri. Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam hampir-hampir menjatuhkan hukuman ke atas Yahudi kerana terdapat qarinah Yahudi tersebut-lah yang mencuri, namun Allah telah menurunkan ayat dalam surah al-Nisa’ yang membuktikan bahawa Muslim iaitu Thu’mah yang mencuri baju besi tersebut, ayat tersebut ialah;
إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا. وَاسْتَغْفِرِ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Nisa’ ayat 105-106)
Islam memperkenalkan konsep negara dan masyarakat berkebajikan. Berasaskan perkara ini Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam apabila berada di Madinah Baginda memperkenalkan konsep mempersaudarakan komuniti masyarakat Islam yang berhijrah dari Mekah dengan masyarakat tempatan di Madinah. Pelaksanaan polisi dan dasar ini adalah bagi menjadikan masyarakat muhajirin yang agak miskin kerana terpaksa meninggalkan hartanya di Mekah, dapat menikmati bantuan kebajikan melalui bantuan dari komuniti masyrakat Ansar. Bahkan konsep al-Mu’akhat juga mengaplikasikan kebajikan dalam bentuk pendedahan pengalaman dan kemahiran berbeza yang dimiliki oleh kedua-dua komuniti masyarakat Islam pada waktu itu.
Berbuat kebaikan dan membalas perbuatan orang lain dengan berakhlak akan memberi kesan yang besar dalam dakwah. Umat Islam haruslah teliti dalam perkara ini agar jalinan hidup aman dan bermasyarakat dapat berjalan dengan jayanya dalam sesebuah Negara. Lihatlah kepada contoh batang tubuh Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam yang mempunyai akhlak yang amat terpuji. Sekalipun Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam dihina dan di perlakukan tidak elok, namun Baginda sallallahu‘alaihi wasallam tetap membalas dengan penuh penghormatan walaupun datangnya dari golongan non-Muslim.
Lihat sahajalah kisah sekumpulan Yahudi yang datang bertemu Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam lalu menyuarakan perkataan yang tidak layak dengan Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam lantas Saidatina Aisyah membalasnya dengan ungkapan yang sama (menista Yahudi tersebut), lalu Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam melarang Aisyah dari berbuat demikian. Kisah ini dirakamkan dalam hadis berikut;
دَخَلَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا؛ السَّامُ عَلَيْكُمْ، قَالَتْ عَائِشَةُ؛ فَفَهِمْتُهَا فَقُلْتُ؛ وَعَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ، قَالَتْ: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؛ مَهْلًا يَا عَائِشَةُ، إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ. فَقُلْتُ؛ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا! قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ قُلْتُ؛ وَعَلَيْكُمْ
“Sebahagian orang Yahudi telah berjumpa dengan Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam dan mengucapkan; As-saam’alaikum (kematian untuk mu). Apabila Aisyah mendengar ucapan mereka, lantas membalasnya dengan ucapan; Untukmu kematian dan laknat wahai musuh-musuh Allah. Nabi sallallahu‘alaihi wasallam melarang Aisyah terhadap apa yang telah diucapkan dan memerintahkan bersabar kerana Allah suka kepada kelembutan pada semua perkara. Lantas Aisyah pun berkata; Wahai Rasul Allah, adakah engkau tidak mendengar apa yang mereka (Yahudi itu) ucapkan? Baginda sallallahu‘alaihi wasallam menjawab; Ucaplah sekadar wa’alaikum.” (riwayat Bukhari)
Jika dalam pergaulan dan percakapan pun ditekankan untuk menjaga tutur kata, maka apatah lagi dalam mengurus tadbir sesebuah negara yang besar sudah tentu penjagaan hak dalam semua aspek wajib dititik beratkan.
Pakej Perlindungan dan Jaminan
Hak perlindungan kepada mereka yang tidak bersalah wajib dipertahankan sekalipun orang yang dianiayai itu bukan islam. Inilah pakej yang diamanahkan oleh Allah kepada seluruh pemimpin atas muka bumi untuk dilaksanakan dalam pemerintahan mereka. Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam sendiri pernah membayar di’at sebagai menjaga hak keinsanan seorang Yahudi yang dituduh membunuh namun tidak mempunyai bukti yang kukuh.
سَهْلُ بْنُ أَبِي حَثْمَةَ أَخْبَرَهُ؛ أَنَّ نَفَرًا مِنْ قَوْمِهِ انْطَلَقُوا إِلَى خَيْبَرَ، فَتَفَرَّقُوا فِيهَا، وَوَجَدُوا أَحَدَهُمْ قَتِيلًا، وَقَالُوا لِلَّذِي وُجِدَ فِيهِمْ؛ قَدْ قَتَلْتُمْ صَاحِبَنَا، قَالُوا؛ مَا قَتَلْنَا وَلَا عَلِمْنَا قَاتِلًا، فَانْطَلَقُوا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالُوا؛ يَا رَسُولَ اللَّهِ انْطَلَقْنَا إِلَى خَيْبَرَ، فَوَجَدْنَا أَحَدَنَا قَتِيلًا، فَقَالَ؛ الْكُبْرَ الْكُبْرَ، فَقَالَ؛ لَهُمْ تَأْتُونَ بِالْبَيِّنَةِ عَلَى مَنْ قَتَلَهُ، قَالُوا؛ مَا لَنَا بَيِّنَةٌ، قَالَ؛ فَيَحْلِفُونَ، قَالُوا؛ لَا نَرْضَى بِأَيْمَانِ الْيَهُودِ، فَكَرِهَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبْطِلَ دَمَهُ فَوَدَاهُ مِائَةً مِنْ إِبِلِ الصَّدَقَةِ
“Sahl bin Abi Hatmah menyatakan bahawa dalam kes tersebut, terdapat beberapa orang daripada kaumnya (Ansar) bertolak menuju ke Khaibar. Mereka berpecah lalu tiba-tiba mereka mendapati salah seorang di antara mereka telah dibunuh. Mereka menuduh orang-orang (Yahudi) yang ditemui dengan mengatakan; Kalian telah membunuh sahabat kami. Lalu mereka (Yahudi) menjawab; Kami tidak membunuh dan kami tidak tahu siapa pembunuhnya? Mereka pun pergi kepada Nabi dan berkata; Ya Rasulullah, kami berangkat ke Khaibar lalu kami menemui salah seorang di antara kami telah dibunuh. Nabi bersabda kepada mereka; Yang tua, majulah (datang ke hadapan), yang tua, majulah (datang ke hadapan)! Nabi bertanya kepada mereka; Bolehkah kalian mendatangkan bukti siapakah yang membunuhnya? Mereka menjawab; Kami tidak mempunyai bukti. Nabi bersabda; Kalau begitu, mereka (Yahudi) harus bersumpah. Orang-orang Ansar itu berkata; Kami tidak mahu menerima sumpah orang-orang Yahudi. Rasul enggan untuk menumpahkan darah mereka (menghukum Yahudi tersebut), lalu Baginda sallallahu‘alaihi wasallam membayar di’at bagi pihak orang tersebut dengan 100 ekor unta sedekah.”
Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah melakukan suatu keputusan yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun. Bahkan, Nabi sallallahu‘alaihi wasallam sendiri telah membayar di’at orang tersebut daripada harta kaum Muslimin agar dapat meredakan kemarahan kaum Ansar dan pada masa yang sama tidak menzalimi orang-orang Yahudi yang tidak diketahui status kesalahannya kerana dituduh tanpa bukti dan saksi.
Inilah keadilan dalam memberi hak perlindungan dan jaminan kepada non-Muslim sekalipun sekumpulan besar dari umat Islam telah mengucapkan kesalahan namun dengan ketiadaan bukti jelas, tindakan ke atas non-Muslim tidak boleh diambil supaya hak mereka tidak dizalimi. Mereka telah dijamin oleh Islam bahawa diri mereka adalah terpelihara, begitu juga jiwa-raga, harta-benda dan kehormatan ahli Zimmah ini diharamkan oleh Islam seperti diharamkannya jiwa-raga, harta-benda dan kehormatan orang-orang Islam sendiri.
Tidak ada perbezaan antara orang-orang Islam dan ahli Zimmah dalam undang-undang awam dan kesalahan jenayah. Ketika Umar al-Khattab radhiallahu anhu dalam keadaan gering setelah ditikam oleh seorang Majusi yang bemama Abu Lu’lu’ah, sempat Umar berwasiat agar berkewajipan kepada setiap pemerintah memberi jaminan sejahtera kepada non-Muslim, perlindungan ke atas mereka, menunaikan hak perjanjian mereka, berperang bersama mereka dan tidak membebankan mereka di luar kemampuannya.
Islam juga turut memberi jaminan kepada non-Muslim khususnya kepada golongan lemah yang tidak terdaya untuk berkerja, tua dan yang teramat miskin. Islam menjadikan kedudukan mereka dalam hal ini sama seperti seseorang Muslim. Hak jaminan ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh pemerintah yang adil suatu ketika dahulu. Dalam perjanjian yang telah diadakan oleh Khalid bin al-Walid dengan penduduk Hirah di Iraq yang beragama Nasrani terdapat kenyataan berikut;
أيما شيخ ضَعُف عن العمل، أو أصابته آفة من الآفات، أو كان غنيًّا فافتقر، وصار أهل دينه يتصدَّقون عليه، طُرِحت جزيته، وعِيلَ من بيت مال المسلمين هو وعياله
“Siapa sahaja orang tua yang lemah yang tidak dapat bekerja atau ditimpa suatu kemalangan atau ia asalnya seorang kaya tiba-tiba jatuh miskin dan mengharapkan belas ihsan ahli agamanya sahaja, maka saya tidak akan mengambil jizyahnya dan dia berserta keluarganya akan ditanggung oleh Baitul-Mal orang-orang Islam.” - Imam Abu Yusof dalam kitab al-Kharaj
Akad ini dibuat pada zaman kekhalifahan Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu dengan diketahui oleh sebilangan besar para sahabat di mana Khalid al-Walid telah memaklumkan kepada Saidina Abu Bakar dan tidak ada sesiapapun di kalangan para sahabat yang membantahnya.
Pakej Hak Beragama dan Mentadbir
Islam tidak memaksa penganut lain agar memeluk Islam, sebaliknya usaha dakwah dan penerangan dilakukan bertujuan untuk menyedarkan manusia bahawa hanya Islam sahaja agama yang menyelamatkan manusia dari kemurkaan Allah Taala. Jadi paksaan untuk menyertai Islam tidak berlaku, begitu juga mereka tidak dikenakan sebarang tekanan supaya menukar agama mereka kepada Islam. Asas bagi hak kebebasan beragama ini dinyatakan secara jelas sebagaimana firman Allah Taala;
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 256)
Non-Muslim juga mempunyai hak untuk menjawat beberapa jawatan kerajaan seperti Muslim melainkan jawatan-jawatan yang menentukan wilayah keagamaan seperti Khalifah atau ketua negara, panglima perang, hakim di antara orang-orang Islam, pengurus sedekah/ zakat dan seumpamanya. Selain daripada itu, jawatan kerajaan lain harus diserahkan kepada ahli Zimmah sekiranya mereka mencukupi syarat-syarat iaitu mempunyai kelayakan, beramanah dan ikhlas serta jujur kepada negara. Apabila dikenal-pasti sifat ini mencukupi dan kriteria sebagai pentadbir dipersetujui maka baharulah mereka dibenarkan untuk berada diposisi penjawat awam.
Abu Musa al-As’yari radhiallahu anhu yang menjadi Gabenor Basrah pada zaman pemerintahan Saidina Umar telah mengambil seorang Nasrani sebagai tukang catitnya. Begitu juga Muawiyah bin Abi Sufian radhiallahu anhu telah melantik beberapa orang Nasrani iaitu Sarjun bin Mansur al-Rumi sebagai Setiausahanya. Khalid bin Abdullah al-Qusari Gabenor Iraq pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik telah mengambil seorang Majusi dalam kerja-kerja menguruskan dan memungut Kharaj. Bahkan, jika diteliti kepada pandangan Imam al-Mawardi dalam karangannya “al-Ahkam al-Sultaniah” mengharuskan perlantikan kafir zimmi dalam “Wizarah Tanfiz” di mana seorang menteri dalam kementerian ini hanya bertugas menyampaikan arahan-arahan juga perintah Khalifah atau Ketua Negara di samping melaksanakannya serta menjalankan apa sahaja hukuman yang telah diputuskan oleh Khalifah atau Ketua Negara.
Adapun “Wizarah Tafwidh” ia tidak harus diserahkan kepada orang bukan Islam kerana dalam kementerian ini Khalifah atau Ketua Negara memberi kuasa penuh kepada menteri berkenaan (sebagai wakilnya) bagi mengendalikan urusan-urusan politik, pentadbiran dan ekonomi menurut apa yang dipandang sesuai oleh menteri tersebut.
Syarat-Syarat Yang Melayakkan Non-Muslim Mendapat Pakej
Untuk melayakkan seseorang non-Muslim tersebut mendapat pakej keadilan dan kebajikan dalam sesebuah Negara Islam maka mestilah mereka menepati prasyarat yang ditetapkan. Imam al-Kasani dalam kitabnya “Badha’ie al-Shana’ie” menyatakan bahawa ahli Zimmah adalah merupakan ahli daripada Darul Islam dan mereka dikenakan enam syarat semasa permukiman mereka iaitu;
Tidak boleh menghina dan mendustakan al-Quran
Tidak boleh menghina Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam
Tidak menghina agama Islam
Tidak melakukan perbuatan zina dengan Muslimah apatah lagi berkahwin dengan mereka
Tidak membuat fitnah kepada khususnya golongan fakir miskin
Tidak memberi pertolongan kepada kafir harbi
Apabila prasyarat ini dilengkapi maka mereka wajib mendapat hak tadi. Bagi sesebuah negara Islam mesti dinyatakan dengan jelas dalam perlembagaan negara hak-hak non-Muslim meliputi hak negara terhadap mereka dan kewajipan mereka terhadap negara. Negara Islam bukanlah sebuah negara yang menutup pintu bagi kemasukan warga asing malah sebaliknya membuka pintu untuk menerima kemasukan warga asing terutamanya bagi mencapai maslahah Islam dan umat Islam di samping memperkenalkan keindahan serta keadilan Islam yang mendorong mereka untuk memeluk Islam.
Keadilan yang berkekalan akan membentuk kekuatan sesebuah negara yang didokongi oleh pemerintah dan rakyat pelbagai kaum. Dengan demekian, aspek pemerintahan berteraskan prinsip dan pakej keadilan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam wajib dibangunkan semula pada zaman kemunduran akhlak dan zaman kelesuan ilmu agama begitu ketara.
Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud merupakan lulusan M.A Kemahiran Fatwa Syar'ie, Pusat Fatwa, Mesir. B.A Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Syariah Islamiah) dan Diploma Pengajian Tinggi Islam, Pusat Pengajian Tinggi Zamalek. Beliau berpengalaman menulis beberapa buah buku yang telah terjual di seluruh Malaysia, antaranya; Pertentangan Islam dan Barat, Fenomena Riddah dan penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w, Kemuliaan al-Quran dan Sejarah Pemalsuannya, Israk Mikraj Menelusuri Hikmah dan Pengajaran. Beliau turut membentang kertas kerja akademik/ilmiah dalam bidang muamalat moden atau fiqh semasa atau siasah syariyyah dalam seminar kebangsaan dan luar negara.
http://www.tarbawi.my/2016/01/pakej-keadilan-kepada-non-muslim-dalam.html