Kesilapan Lakonan dalam Industri Filem Melayu yang tidak boleh dimaafkan
Khas untuk PASMA
Oleh : Papa Buwie
Syukur sejak akhir-akhir ini industri pembikinan filem di Malaysia semakin berkembang baik. Rata-rata filem dan drama kita telah mula diterima masyarakat awam yang sebelum ini banyak tertumpu kepada filem-filem luar negara seperti filem Hindi, China dan Barat.
Namun sejak 2-3 minggu kebelakangan ini telah wujud satu fenomena yang terbaru iaitu munculnya produksi masyarakat awam yang telah mula membikin filem untuk tatapan umum. Ini satu perkembangan yang luar biasa.
Sebagai pengkritik filem, saya suka menukilkan sedikit coretan berkenaan Filem (Drama pendek? ) yang diadaptasikan daripada filem-filem penyiasatan barat seperti HAWAII FIVE O. Berikut adalah kesilapan-kesilapan yang tidak harus berlaku dalam pembikinan filem. Harap pengarah filem terbabit memandang positif terhadap kritikan ini demi kemajuan industri filem negara ini.
Kesilapan lakonan :
1-Adegan Aksi ganas tapi " Manja "
Kes 1 : Adegan bakar - bakar sayang kenderaan
Saya tidak mahu menyebut nama khusus kepada filem tersebut tapi ianya baru sahaja berlaku beberapa minggu yang lalu. Dalam plot cerita filem tersebut sebuah kenderaan telah di"layu"kan dengan api secara manja.
Ianya satu kelemahan ketara dalam pemfilemam Melayu. Tidak mahu mengambil risiko akhirnya filem Melayu menjadi bahan gelak ketawa walaupun idea asalnya diadaptasi dari filem terkenal Hawaii Five O. Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana filem arahan Jackie Chan telah sanggup men' total lost' kan sebuah kenderaan BMW 7series semata-mata untusatu adegan dalam filem itu. Akhirnya filem itu meletup dipasaran.
Diharap filem Melayu usah mengulangi kesilapan ini lagi pada masa yang akan datang.
Kes 2 : Adegan pukul yang manja
Filem-filem barat sangat menitik beratkan aksi-aksi yang boleh menyentuh emosi penonton. Kecederaan yang dilakukan tersangat 'real' sehingga penonton seolah-olah merasainya sendirdan barangkali berteriak ketakutan.
Saya telah saksikan satu adegan pukul dalam filem negara kita yang masih panas di pasaran sekarang (Tanpa menyebut nama filem tersebut supaya tidak dianggap mematikan industri filem tempatan ). Malangnya pengarah filem gagal memahami kehendak dan selera penonton di Malaysia. Jalan cerita seolah-olah satu pembunuhan berlaku tapi ianya kesudahan dengan tampalan di salah satu area keluasan tak sampai satu cm persegi dibahagian dahi. Ianya satu perkara yang memalukan industri filem negara. Sepatutnya kesilapan kecil seumpama ini tidak berlaku untuk satu filem yang mensasarkan penonton sebuah negara yang mana rata-ratanya berpendidikan tinggi.
Pesanan saya kepada pengarah-pengarah filem negara agar lebih berhati-hati dalam membikinkan filem. Ianya melibatkan maruah negara khususnya kerajaan sedang berusaha dengan pelbagai suntikan insentif untuk memartabatkan filem negara.
2- Adegan tidak logik.
Ini juga adalah antara perkara yang menyumbang ke arah merudumnya penonton terhadap filem-filem keluaran tempatan. Filem-filem barat sangat menitik beratkan perkara ini. Hampir zero ketidaklogikan dalam filem negara mereka. Akhirnya kutipan panggung mereka mencecah ratusan juta di seluruh dunia.
Industri filem negara kita masih jauh mencapai kpi ini. Berikut adalah contoh ketidaklogikan yang berlaku :
Kes 1-Adegan layu api dan bukannya molotov
Dalam satu filem yang ditayangkan beberapa minggu yang lalu. Cara storyline filem seolah kebakaran secara 'total lost' bakal berlaku. Tetapi apabila menyaksikan filem tersebut dipanggung , ianya sangat menghampakan apabila hanya kelihatan asap kelam sahaja.
Penulis mencadangkan supaya filem lebih kelihatan real , pengarah sepatutnya membuat adegan nencampakkan molotov supaya adegan total lost boleh berlaku. Saya menyaksikan seorang penonton pawagam tergelak bila menyaksikan adegan tersebut. Kalau anda pergi ke pawagam di negara-negara barat , suara gelak hampir mustahil didengari dalam tayangan filem aksi !
Kes 2 : Pukulan sebesar ibu jari tetapi diberikan katil hospital
Ini adalah kemuncak kepada ketidaklogikan dalam industri pemfileman tanahair. Sepatutnya kesilapan seumpama ini tidak berlaku dalam filem-filem penyiasatan sekiranya kita mahu dibariskan bersama-sama filem penyiasatan antarabangsa seperti Hawaii Five O.
Barangkali para pembaca menganggapnya sebagai kecil, tetapi bagi kami sebagai pengkritik filem ianya adalah kesalahan yang tidak boleh dimaafkan apatah lagi skrip dan storylinenya dia buat oleh orang yang sangat berpengalaman dalam penyiasatan ala ala Hawaii Five O.
Rasanya setakat ini sahaja tulisan pada kali ini, sekiranya diizinkan Allah kita bertemu lagi dalam tulisan yag akan datang.
" Memartabatkan Industri Filem Negara "
Papa Buwie,
Pengkritik Filem.
6hb Februari 2015.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej