Merenung Adab Ikhtilaf Dalam Isu Tawanan Perang Badar
This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday, 28 May 2013
IKHTILAF memberikan maksud percanggahan, perbezaan dan perselisihan pendapat, dan ikhtilaf ini berbeza dengan "TAFARRUQ" yang membawa erti perpecahan. Ini kerana, tidak semua perbezaan pandangan itu membawa perpecahan, tetapi kebanyakan perpecahan berlaku selalunya bermula daripada salah urus terhadap perbezaan pandangan tersebut. Allah Taala menciptakan manusia berbeza-beza dengan harapan agar mereka saling kenal-mengenali.
Dalam ilmu fikah, fenomena ikhtilaf atau perbezaan pendapat adalah fenomena klasik yang sudah lama menjadi asam-garam kehidupan sejak generasi Salaf sehinggalah sekarang ini, dan ia diterima di dalam ruang komuniti tersebut sebagai realiti yang tidak mungkin dapat disanggah atau dihilangkan sampai bila-bilapun, kerana suara-suara kritikan, penambah-baikan pasti akan berlaku dari semasa ke semasa. Para ulama menangani masalah-masalah tersebut dengan tenang penuh adab, sebagaimana pepatah Inggeris menyebut "a fault confessed is half redressed".
Sedangkan perselisihan suami isteri boleh tercetus, inikan pula perselisihan yang melibatkan sebuah institusi yang lebih jauh marhalahnya. Namun, persoalannya di sini bagaimanakah kita memupuk sikap rasional ketika berlakunya ikhtilaf? Kerana adakalanya yang lebih banyak berlaku ialah emosi mengatasi rasionalisasi, dan itulah yang sering menjadi naratif sesebuah keruntuhan.
Maka, dihidangkan di sini kisah adab ikhtilaf generasi terbaik Islam mengenai isu keputusan hukuman terhadap tawanan perang Badar. Perang Badar merupakan peperangan pertama di antara kaum Muslimin dengan kaum musyrikin. Jumlah kaum Muslimin sangat sedikit, sedangkan jumlah kaum musyrikin lebih ramai. Peperangan Badar telah memperlihatkan kekentalan iman Para Sahabat dan kecintaan mereka kepada Allah melebihi kaum kerabatnya sendiri.
Di dalam perang Badar, Abu Ubaidah Al Jarrah ra membunuh bapanya, Mus'ab bin Umair ra membunuh saudaranya, Umar Al Khattab ra dan Hamzah ra membunuh kaum kerabatnya, termasuk juga Ali bin Abi Talib ra yang turut membunuh saudara sekabilahnya.
Tegasnya, Islam mewajibkan umatnya menghubungkan silaturrahim dengan kaum keluarga, mempererat hubungan masyarakat walau berbilang kaum dan agama, serta wajib menghormati ibu bapa walaupun mereka menganut agama musyrik, tetapi apabila berlakunya pertembungan antara iman dan kufur, iaitu budaya jahiliyah yang mahu meranapkan cahaya tauhid, maka perjuangan ke atas iman mestilah dilaksanakan.
"Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya." (Al Mujaadilah:22)
Apabila pertempuran yang berlaku di Badar dimenangi oleh Islam, berkurangnya jumlah tentera musyrikin dalam peperangan tersebut telah berjaya melemahkan moral pemimpin musyrikin Quraish, menghina kesombongan dan keangkuhan mereka yang selama ini dijadikan bahan momokan bagi umat yang beriman. Kemenangan di Badar membuatkan kaum musyrikin berkira-kira bahawa kekuatan yang kini dimiliki oleh umat Islam bukanlah kekuatan fizikal dan kelengkapan, tetapi kekuatan motivasi dan keyakinan mereka yang dipimpin Rasulullah saw.
Seterusnya isu kemenangan tersebut beralih pula perihal hukuman ke atas 70 orang musyrikin yang menjadi tawanan perang, mereka dijaga dan dikawal oleh pihak tentera Islam, sehingga diriwayatkan tentera-tentera Islam sanggup memakan tamar sedangkan para tawanan diberikan roti di saat lapar.
Rasulullah saw meminta keputusan musyawarah Para Sahabat berkenaan dengan isu tawanan perang tersebut, lantas Abu Bakar ra berkata, "Wahai Rasulullah, mereka masih kerabat kita, kenapa kita tidak mengarahkan mereka membayar tebusan sahaja. Tebusan itu nanti dapat kita manfaatkan sebagai bekal memperkuat pasukan Islam. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada mereka, lantas mereka menjadi pendukung kita".
Manakala Umar Al Khattab ra mengeluarkan pendapat, "Demi Allah, saya tidak sependapat dengan Abu Bakar. Mereka telah mendustakan dan mengusirmu. Saya melihat Baginda Nabi perlu memberikan mandat agar tawanan dibunuh sahaja".
Keputusan yang seumpama Umar turut disampaikan oleh Abdullah bin Rawahah agar semua tawanan tersebut dibunuh kesemuanya. Setelah mendengar seluruh pendapat Para Sahabat, ada pendapat yang seperti Abu Bakar dan ada juga pendapat seperti Umar, kemudian Rasulullah saw bersabda,"Sesungguhnya Allah melunakkan hati seseorang sehingga menjadikan ia lebih lembut dari cairan susu. Sesungguhnya Allah juga mengeraskan hati seseorang, sehingga menjadikan hati mereka sekekar batu. Sesungguhnya kamu Abu Bakar, jiwamu lembut diibaratkan seperti lembutnya jiwa Nabi Ibrahim A.S, halus sifatmu seperti Nabi Isa A.S."
Baginda Ibrahim as mengatakan :
"Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (sekiranya dia insaf dan bertaubat)." (Ibrahim:36)
Nabi Isa as mengatakan :
"Manakala kamu wahai Umar, jiwamu diibaratkan sepejal jiwa Nabi Musa A.S, sifatmu tegas seperti Nuh A.S."
Nabi Musa as pernah mengatakan :
"Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan cerai-beraikan hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terhingga sakitnya." (Surah Yunus:88)
Manakala Nabi Nuh as pernah mendoakan kebinasaan kepada kaumnya :
"Dan Nabi Nuh (merayu) berkata; Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!" (Surah Nuh:26)
"Sesungguhnya kamu semua (Abu Bakar, Umar dan Para Sahabat) merupakan satu ikatan keluarga yang tidak dapat dipisahkan..." - Rujuk di dalam Musnad Imam Ahmad, At Tirmizi dan Hakim di dalam Mustadrak-nya.
Dipendekkan cerita, Baginda Rasulullah saw lebih cenderung memilih pandangan Saidina Abu Bakar, dengan harapan semoga tawanan sedar dan kemungkinan beriman kepada Allah Taala. Keputusan ini juga dibuat supaya dapat mengganti balik harta benda kaum Muhajirin yang tertinggal di Makkah sewaktu operasi "hijrah" ke Madinah, agar dengannya ia dapat memperbaiki urusan dunia kaum Muhajirin di Madinah. Kemiskinan yang dihadapi oleh kaum Muhajirin di Madinah jelas disebut dalam doa Baginda saw, "Ya Allah, mereka ini (kaum Muhajirin) berkaki ayam maka berilah kenderaan kepada mereka, Ya Allah mereka tidak berpakaian maka berilah pakaian kepada mereka, mereka juga lapar maka berilah mereka makanan...".
Begitulah kasih Baginda saw kepada umatnya. Lalu hukuman ke atas tawanan dilaksanakan sesuai dengan cadangan Abu Bakar. Harga tebusan ditentukan sekitar harga 4 000 dirham sehingga 1 000 dirham mengikut taraf dan kedudukan masing-masing. Ada juga di kalangan tebusan dibebaskan tanpa bayaran dengan syarat mengajar 10 orang kanak-kanak sehingga pandai seperti Al Muttalib bin Hantab, Saifi bin Abi Rifa'ah dan Abu Izzat Al Jamhi.
Sohail bin Amru, (sebelum Islam-nya - perunding perjanjian Hudaibiyah) terkenal dengan sikap suka mencela Nabi turut menjadi tawanan Badar. Umar Al Khattab meminta izin kepada Nabi untuk mencabut dua batang gigi Sohail dan menarik lidahnya supaya tidak dapat lagi mencela Baginda Nabi saw. Tetapi Rasulullah saw menolak cadangan Umar, dan mengusulkan Umar supaya membiarkan Sohail kembali ke Makkah selepas wang tebusan diberikan.
Hari kemudiannya wahyu turun kepada Baginda saw berkenaan keputusan hukuman tawanan Badar sehingga membuatkan merinding seluruh bulu roma. Allah Taala berfirman :
"Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah Taala menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
"Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah (keizinan tentera Islam untuk mendapat harta ghanimah), nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil." (Al Anfal:67-68)
Mendengar wahyu yang diturunkan Allah kepada Rasulullah saw itu, menyebabkan Baginda dan Abu Bakar menangis. Tidak lama kemudian Umar Al Khattab ra datang mengunjungi Rasulullah saw, dan beliau mendapati Baginda Nabi dan Abu Bakar sedang menangis.
Umar bertanya, "Ya RasulAllah, beritahulah tentang apakah yang menyebabkan kamu berdua menangis? Biar saya tahu sebabnya untuk saya sama-sama menangis".
Lantas Baginda saw membacakan ayat dari surah Al Anfal ayat 67 hingga ayat 69. Peringatan Allah Taala ini direkodkan di dalam Al Quran adalah kerana kebanyakan tawanan perang Badar merupakan penjenayah-penjenayah besar terhadap Islam (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir Jilid 4) dan juga segelintir manusia yang mengambil kesempatan memenuhkan nafsu keduniaan mereka.
Walau bagaimanapun, keputusan Rasulullah S.A.W ini terbit berdasarkan sifat kenabian Baginda saw yang luhur suci dan terpelihara dari dosa dan kesalahan, dan ia termasuklah hujjah yang terdapat pada ayat Allah perihal hukuman ke atas tawanan perang sebelum ini :
"Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya, sehingga apabila kamu dapat membunuh mereka dengan banyaknya (serta mengalahkannya) maka tawanlah (mana-mana yang hidup) dan ikatlah mereka dengan kukuhnya. Setelah selesai pertempuran itu maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusnya) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusnya. (Bertindaklah demikian terhadap golongan kafir yang menceroboh) sehinggalah berakhir peperangan jihad itu (dan lenyaplah sebab-sebab yang menimbulkannya). Demikianlah (diperintahkan kamu melakukannya). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia membinasakan mereka (dengan tidak payah kamu memeranginya); tetapi (diperintahkan kamu berbuat demikian) kerana hendak menguji kesabaran kamu menentang golongan yang kufur ingkar (yang mencerobohi kamu). Dan orang-orang yang telah berjuang serta gugur syahid pada jalan Allah (mempertahankan ugamanya), maka Allah tidak sekali kali akan mensia-siakan amal-amal mereka." (Surah Muhammad:4)
Lantaran itu, setelah Umar mengetahui pendapatnya yang sebelum ini mengenai tawanan Badar diketepikan telah dibenarkan di dalam surah Al Anfal, Umar tidak lantas kegirangan, merasa 'ujub apalagi sampai mengatakan, "Haa... kan aku dah cakap, pendapat aku lagi benar, cuba kalau dari dulu kata-kata aku dijadikan rujukan setiap permasalahan, sudah tentu tiada teguran seperti ini...".
Justeru sebaliknya, Umar bin Al Khattab turut menangis bersama Abu Bakar dan Rasulullah saw, ini kerana teguran Allah itu tidak hanya ditujukan kepada Rasulullah dan Abu Bakar sahaja, tetapi juga kepada seluruh kaum Muslimin. Kerana, kaum Muslimin itu ibarat satu organ yang jika sebahagiannya merasa sakit, maka pasti yang lainnya juga turut merasai kesakitannya. Jika sahabat seperjuangannya dikritik, mereka yang lain turut merasa kritikan tersebut dan masing-masing mahu membelanya. Itulah realiti perjuangan dalam jemaah, perjuangan dalam organisasi, perjuangan yang meneruskansunnaturrasul, ukhuwwah mendisiplinkan kita untuk saling bahu-membahu, bukannya jatuh-menjatuhkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej