Teguran Ikhlas Buat Dr Rozaimi
Pertamanya saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada beberapa tokoh dakwah dalam negara khususnya Dr Rozaimi dan beberapa figura bersamanya yang berjiwa besar, sudi untuk bermuzakarah berbincang dengan pihak Pas khususnya pimpinan pemuda mereka dalam pertemuan beberapa hari yang lalu.
Saya kira, ini suatu perkara yang perlu disuburkan dalam masyarakat kita. Suatu suasana yang tentunya sangat diraikan oleh ummat islam khususnya di tanah air kita.
Walaupun saya jarang mengikuti perkembangan Dr Rozaimi, namun saya menghormati kesarjanaan ilmu yang dimiliki oleh beliau. Tidak ramai anak muda yang mempunyai PhD dalam bidang hadis sebagaimana beliau. Secara peribadi, dalam banyak isu, saya kira pandangan saya bersama beliau. Pada pandangan saya (yang tentunya tidak layak diambil sebagai hujjah), jika beliau meriwayatkan sesuatu hadis, maka rantaian perawi dalam hadis tersebut tidak akan jadi dhoif disebabkan adanya beliau, dengan kata lain, pada saya Dr Rozaimi adalah seorang yang tsiqah.
Walaubagaimanapun saya agak terkilan dengan pendirian Dr Rozaimi dalam isu RUU355. Saya merujuk kepada ucapan al-Fadhil Dr yang tersebar dalam YouTube
(https://m.youtube.com/watch?v=1N4OJMVMKFk). Saya fikir, Dr Rozaimi keliru dalam menyatakan pendirian. Isu RUU355 tidak dinafikan mempunyai latar dari sudut politik serta akademik yang perlu diteliti secara terperinci.
Beliau ada menyatakan pendapat beliau dalam isu pelaksana Undang-Undang syariah. Al-Fadhil Dr mengatakan, hudud sepatutnya dikenakan juga kepada bukan islam supaya ia lebih adil dan dilihat adil.
Kenyataan ini dari segi akademiknya, memang tak dinafikan ada pandangan yang menyokong pendapat Dr. Namun jika dilihat dari konteks perlembagaan, pandangan ini sangat dilihat sebagai pandangan orang yang naif dalam berpolitik.
Saya tidak berhajat menghuraikan setiap perkara dalam tulisan ringkas ini. Secara umumnya, saya mohon al-Fadhil Dr muhasabah diri. Dr Rozaimi seharusnya merujuk perkara ini kepada mereka yang berada dalam bidang tersebut sebelum menyatakan apa-apa pendirian. Lebih-lebih lagi pendirian tersebut bercanggah dengan aspirasi kebanyakan ummat Islam di tanah air sekarang ini. Banyak forum, wacana, ceramah dan sebagainya yang telah dicernakan oleh mereka yang mempunyai autoriti dalam isu ini. Daripada pakar-pakar undang Islam di universiti sehinggalah ahli-ahli yang berhormat di parlimen, semuanya telah menyatakan hujjah masing-masing.
Kita tidak nafikan perbezaan pendapat antara para ulamak itu memang wujud sejak daripada dulu lagi. Ia suatu kebiasaan dalam Islam. Namun janganlah kita menjadikan alasan ini untuk kita tidak cuba mencari titik-titik persamaan demi kepentingan ummah.
Pada pandangan saya, kritikan secara sinis Dr Rozaimi dalam rakaman kuliah beliau adalah terlalu tajam untuk mereka yang selama ini bertungkus-lumus untuk memartabatkan syariat Islam di tanah khususnya para pendokong dan penyokong Pas.
Dr Rozaimi perlu belajar menghormati apa yang orang lain lakukan untuk agama. Kita mungkin bijak dalam sesuatu bidang, tapi kita tidak bijak dalam semua bidang. Saya yakin dan percaya, dalam pada kita semua belajar sehingga mendapat PhD dalam bidang agama, di sana terdapat saham buat mereka yang berjuang islam dalam Pas sejak di awal kemerdekaan negara kita.
Saya teringat kata-kata guru saya, Maulana Shaari. Katanya,
_"Orang salafi jangan sibuk sangat nak ulas isu politik, sebab kadang-kadang bila orang yang bukan ahlinya bercakap bukan bidangnya, akan nampak sangat kebodohannya. Bab politik, biar mereka yang mahir yang uruskan"_.
Saya fikir Dr Rozaimi perlu mencontohi beliau, khususnya bila bercakap soal politik. Jangan sinis, jangan hina, jangan memperkecilkan usaha yang dilakukan mereka yang ahlinya. Risau jika usaha mereka itu mendapat keredhaan Allah, sedangkan kita berada di pihak yang menentangnya.
Dr Rozaimi perlu ingat, dalam Pas ada lebih sejuta ahli (saya tak pasti berapa jumlahnya sekarang). Mereka terdiri mempunyai pelbagai latar belakang. Jangan disebabkan ulasan yang tidak cermat terhadap isu ini (yang Dr Rozaimi bukanlah ahlinya) menyebabkan mereka menjauhi manhaj salaf yang diperjuangkan.
Banyak perkara saya ingin ulas, namun saya tak punya kesempatan masa untuk berbuat demikian. Cukuplah tulisan ringkas ini menjentik pemikiran al-Fadhil Dr agar dapat muhasabah diri. Jangan diperkecilkan usaha pihak yang lain, jika diri sendiri belum tentu mampu melakukan perkara tersebut.
Dalam politik ada sepak terajangnya. Usah bicara soal berpolitik ajaran sunnah sekiranya diri sendiri tidak mahu terlibat secara langsung dengannya. Hanya jauhari mengenal manikam.
Wallahu'alam.
_-al-_
Dr Muhd Al-Aarifin Ismail
28 Oktober 2018 | Kuah, Langkawi
https://m.facebook.com/paskawasanputrajaya/photos/a.376508142422.168019.93670242422/10154022281047423/?type=3