Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, April 20, 2015

Gabungan politik baru cadangan Kit Siang

Gabungan politik baru cadangan Kit Siang
Meneliti kenyataan Lim Kit Siang dalam blog beliau yang melahirkan kekecewaan dan tiada harapan bagi Pakatan Rakyat menghadapi PRU akan datang, lalu dicadangkan gabungan baru antara ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat.
Terbaru, beliau turut menyatakan kesanggupan beliau untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir demi ‘menyelamatkan’ negara.
Cadangan Kit Siang adalah rentetan daripada bantahan keras bertubi-tubi terhadap kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS mengusulkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Shariah Islam II dan inisiatif PAS mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) terhadap Akta 355 bagi membolehkan penjenayah beragama Islam boleh dikenakan hukuman yang menepati syariat (apa yang disarankan Allah).
Semalam, Kit Siang mengeluarkan kenyataan lagi bahawa RUU persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS mungkin tidak akan dibahaskan di parlimen selama-lamanya.
Jika begitu, mengapa DAP dan Kit Siang sebegitu marah dan risau terhadap usaha PAS yang hanya dikhaskan terhadap para penjenayah beragama Islam?
Cadangan Kit Siang untuk menubuhkan gabungan baru di kalangan ahli parlimen BN dan PR rentetan daripada EKJS Kelantan ini kelihatan agak pelik kerana pada waktu yang sama, beliau juga menyerang PAS kerana kononnya Presiden PAS telah mengadakan kerjasama dengan Umno. Yang lagi pelik ialah keputusan DAP untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, tapi tidak dengan PAS.
PAS telah menegaskan berkali-kali bahawa tiada kerjasama antara parti PAS dan Umno. Yang wujud hanyalah kerjasama antara Kerajaan Kelantan dengan Kerajaaan Pusat (G to G, Government to Government) bagi menjamin pelaksanaan EKJS Kelantan dapat dilaksanakan. Kerjasama G to G berlaku dalam semua negeri PR samada secara langsung atau tidak langsung.
Timbul juga pertanyaan apakah kesudian Kit Siang untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir timbul daripada kehampaan melihat pencalonan Tuan Guru Haji Hadi sebagai Presiden PAS yang sangat tinggi setakat ini kerana ia tidak seiring dengan keputusan DAP yang ingin meneruskan kerjasama dengan PAS tapi tidak dengan TGHH?
Timbul juga persoalan, tidakkah Kit Siang sedar bahawa Dr Mahathir hanya berminat untuk menyelamatkan Umno supaya rahsia-rahsia para pemimpin BN tidak jatuh ke tangan pembangkang apabila berkuasa nanti?
Ada juga yang terasa mengapa Kit Siang sanggup bekerjasama dengan mereka yang sering digelar sebagai perompak wang rakyat dan perosak sistem negara hanya semata-mata salah seorang rakan di dalam PR sekadar ingin menunaikan tanggungjawab mereka kepada pencipta dengan mengusahakan agar penjenayah seagama dikenakan hukuman mengikut syariat yang ditentukan Allah secara demokratik?
Kami tahu kami tidak sempurna sebagai manusia biasa. Tapi apakah kerana PAS memperjuangkan EKJS, PAS sekarang ini telah menjadi lebih teruk daripada mereka yang merompak negara?
Masalah utama negara hari ini ialah ketiadaan media yang saksama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang benar-benar adil dan satu sistem kehakiman yang bebas dari campurtangan pemerintah. Kesan daripada ini ialah demokrasi negara terbantut kerana pembangkang terpaksa bersaing dengan pemerintah dalam keadaan padang tidak sama rata.
Rakyat inginkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membela nasib mereka. Rakyat benci kerajaan yang rasuah, salah urus tadbir negara, penyelewengan dan pembaziran. Realitinya, kerajaan yang ada hari ini gagal menjaga kebajikan rakyat dan pentadbirannya ditumbuhi dan dicemari rasuah serta pembaziran.
Persoalan besar ialah tanpa media yang saksama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang benar-benar adil dan satu sistem kehakiman yang bebas dari campurtangan pemerintah, apakah dengan wujudnya satu kerajaan campuran baru dengan pemerintah hasrat rakyat akan tercapai?
Atau ia sekadar memenuhi cita-cita politik orang tertentu dan keuntungan politik yang pendek yang akhirnya membawa lebih banyak keseksaan dan kekecewaan kepada rakyat?
Jika begitu, mengapa tidak terus menaruh harapan dalam kerjasama Pakatan Rakyat yang telah dibina selama 7 tahun dengan menguruskan perbezaan yang ada? Ataupun syaratnya sekarang ialah sesiapa sahaja boleh bekerjasama dengan DAP asalkan ia tidak menyokong EKJS seperti Dr Mahathir? Sama-sama kita bahaskan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej