Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Monday, April 20, 2015

Kepimpinan PAS tidak boleh dipisahkan daripada ulama tanpa menafikan sumbangan golongan bukan ulama


SELAYANG: Kepimpinan PAS tidak boleh dipisahkan daripada ulama tanpa menafikan sumbangan golongan bukan ulama kepada parti Islam itu, tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, PAS tidak pernah menafikan golongan profesional dan aktivis dalam parti namun parti itu mesti dipimpin oleh golongan ulama.
"Kekuatan kita yang sebenar berada pada Islam. Islam pada asasnya dipimpin oleh ulama. Sebab itulah PAS dan ulama tidak boleh dipisahkan dengan tidak menafikan sumbangan mereka yang bukan ulama.
"Kita tidak pernah menafikan sumbangan orang-orang yang kita tidak panggil ulama sama ada profesional, aktivis, kita tidak pernah menafikan sumbangan mereka. Tetapi untuk memimpin parti Islam tentulah seorang yang mempunyai kelayakan sebagai ulama," kata beliau sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Selayang Kali Ke-32, dekat sini, hari ini (Ahad).
Beliau berkata, dalam pada ada PAS dikritik teruk ketika ini, pendaftaran keahlian PAS semakin bertambah menunjukkan masih ramai orang yang berminat dengan PAS.
"PAS parti yang tak pernah luntur. Dalam keadaan hari ini orang pertikai PAS, orang pertikai pembawaan Presiden PAS tetapi setiap bulan kita luluskan ribuan ahli baru. Mesyuarat PAS baru-baru ini meluluskan 8,000 ahli baru.
"Angka keahlian PAS mencecah 1 juta seluruh negara. Dalam keadaan orang kata PAS lemah, Presiden PAS tak mampu bawa PAS dengan baik, PAS kelam kabut tetapi jumlah orang yang mahu menjadi ahli PAS bertambah seluruh negara," katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Beliau turut mengingatkan ahli PAS agar berhati-hati dalam mengatur strategi politik agar tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan dalam Islam bagi memastikan kemenangan PAS kelak akan mendapat keredhaan Allah.
"Politik Islam mesti berbeza dari orang lain. Strategi yang kita rancang tidak boleh meniru orang lain. Dalam PAS ada batas. Kita mesti menang bermaruah, menang dengan mendapat keredhaaan Allah. Ada sebahagian daripada kita tidak faham.
"Sebab itu apabila ulama bercakap soal ini ada orang mempermainkan kenyataan ulama. Kalau macam ini mereka kata tak payah bertandinglah, tak payah susun strategilah kerana yang kita nak cari ialah mencari keredhaaan Allah. Ini orang yang singkat pemikiran. Tidak sepatutnya orang-orang begini ada dalam PAS. Ini bukan cara orang PAS berfikir," tegasnya.
Dalam pada itu Mohd Amar turut mempertahankan kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan meminta ahli PAS lebih beradab dalam menegur pimpinan tertinggi parti.
"Hari ini ada sebahagian orang PAS bertukar presiden, bertukar bapa. Ini bukan sikap yang betul. Boleh jadi ayah kita buat silap tapi dia adalah ayah kita yang mesti dihormati.
"Saya tidak kata presiden ini sempurna, maksum tak ada salah dan silap. Dia manusia biasa macam kita, ada salah dan silap tetapi kita sebagai orang di bawah mestilah menghormatinya," katanya. -HARAKAHDAILY 19/4/2015

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej