Persoalan Bai'ah Dalam Islam
Bai'ah bermaksud berjanji untuk taat. Bai'ah sememangnya wujud dalam amalan Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud:
"Bahawasanya mereka yang memberi bai'ah kepada kamu, sesungguhnya mereka memberi bai'ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Maka barangsiapa yang melanggar (bai'ah), sesungguhnya (akibat) melanggar bai'ah akan menimpa dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang menunaikan apa yang dia janjikan kepada Allah, maka Dia akan memberinya ganjaran yang besar." (Al-Fath : 10)
Dalam sebuah hadits Ibn Umar ada mengatakan yang bermaksud:
"Kami apabila membai'ah Rasulullah s.a.w adalah atas dengar dan taat dan dia berkata kepada kami Pada apa yang kamu mampu (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Bai'ah diamalkan dalam pelbagai bentuk kumpulan Islam. Ia bukan hanya diamalkan oleh oleh perkumpulan berorientasi politik tetapi juga amalan biasa dalam perkumpulan sufi.
Isu bai'ah ini amat relevan dalam usaha menangkis ideologi pelampauan kerana ia adalah satu amalan yang juga digunapakai oleh kumpulan-kumpulan pelampau. Walapun amalan bai'ah pada asalnya bkanlah satu pelampauan, tetapi dalam konteks kumpulan pelampau ia sering digunakan sebagai satu alat psikologi untuk mengekalkan kesetiaan anggota-anggotanya.
Ramai anggota-anggota kumpulan pelampau merasakan terperangkap setelah memberi bai'ah kepada kumpulan berkenaan. Merek amerasa takut sekiranya meninggalkan kumpulan berkenaan atau tidak taat pada arahan ketua, mereka telah melakukan satu dosa besar dan laknat Allah taala akan jatuh ke atas mereka kerana sumpah setia yang telah diberi atas nama Allah taala itu. Mereka takut dilabel sebagai pengkhianat agama.
Hakikat ini dilaporakan oleh Kertas Putih mengenai tangkapan anggota-anggota JI di Singapura.
Bai'ah dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua bentuk;
a. Bai'ah Kubra (besar), iaitu bai'ah kepada pemimpin negara Islam yang dilantik secara sah.
b. Bai'ah Sughra (kecil) iaitu bai'ah untuk bersepakat dan berjanji bersama-sama melakukan sesuatu kewajiban atau amalan.
Bai'ah Sughra ini diharuskna berdasarkan hadits yang bermaksud:
"Berkata Maimunah binte Raqiqah ‘Aku mendatangi Rasulullah s.a.w bersama kaum wanita. Kami membai'ahnya atas Islam. Lalu kami berkata ‘Wahai Rasulullah! Kami membai'ah kamu untuk tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kami tidak akan mencuri, kami tidak akan berzina, kami tidak akan membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan mendatangi cerita bohong yang kami reka di antara dua tangan dan kaki kami, kami tidak akan melakukan maksiat terhadap kau dalam perkara yang makruf’ Berkata Rasulullah s.a.w, ‘Pada kadar yang kamu mampu dan berupaya’....." (Riwayat Malik & At-Turmuzi)
Berkata Sheikh Waliyullah Ad-Dahlawi dalam mensyarahkan hadits ini:
"Di dalamnya ada dalil bahawa bai'ah tidak terhad pada penerimaan jawatan khalifah semata-mata."
Namun bai'ah seperti ini disyaratkan tiga syarat berikut:
a. Ia dilakukan bagi perkara yang syar'ii.
b. Ia dilakukan atas keperluan yang wujud secara yakin.
c. Ia tidak menyanggahi, menyalahi atau mengganti Bai'ah Kubra, jika ada.
Hukum Bai'ah Sughra adalah sunat sahaja sebagai menguatkan azam untuk melakukan kebaikan secara bersama dan menghayati sunnah Nabi s.a.w.
Namun bagi mereka yang telah memberi Bai'ah Sughra, wajiblah ke atasnya untuk memenuhi janji yang dibuat dalam bai'ah itu selama mana ia tidak bercanggah dengan syara’ dan syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Hal ini adalah kerana Allah taala berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Tunaikanlah janji-janji kamu." (Al-Maidah : 1)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
"Orang-orang Islam (diikat) bersama syarat-syarat mereka kecuali syarat-syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram."(Riwayat At-Turmuzi, Ibn Majah & Abu Daud)
Melanggar janji sedemikian bukan atas alasan yang syar'ii adalah berdosa. Oleh yang demikian, wajiblah bagi sesiapa yang ingin memberi bai'ah dalam apa jua perkara memberi pertimbangan yang berat terhadapnya dan tidak melakukannya secara mudah sahaja.
Namun tidak boleh sesiapa pun mewajibkan orang lain untuk mengikut jejaknya dalam memberi bai'ah dan menyalahkan orang lain yang tidak melakukannya dengan tuduhan bahawa matinya akan seperti mati jahiliyah.
Adapun orang yang telah memberi bai'ah kemudian melanggar bai'ahnya secara tidak syar'ii, walaupun dia berdosa kerana melanggar janji tetapi tidak dikatakan sebagai terkeluar dari agama dan masuk ke neraka. Dia tidak pula dituduh sebagai telah keluar dari jemaah kaum Muslimin.
Bai'ah yang diberi kepada kumpulan-kumpulan dakwah dan lain-lain pula tidak akan menjadi bermakna lagi jika kumpulan berkenaan telah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Bai'ah yang diberi kepada mana-mana individu pula tidak boleh membawa kepada ketaatan pada yang bukan makruf kerana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tiada ketaatan kepada sesiapa dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya taat hanya pada perkara yang makruf (baik)."(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Pemimpin dalam kumpulan dakwah atau tarikah yang diberikan bai'ah kepadanya ditaati sejajar dengan konsep ketaatan kepada pemimpin yang lain iaitu pada perkara yang makruf dan tidak pada perkara yang maksiat.
Bai'ah sedemikian pula tidak menjadikan seorang pemimpin itu sebagai sumber kebenaran atau dilihat sebagai maksum. Kebenaran yang datang dari pemimpin seperti ini, diterima kerana sandarannya pada dalil Al-Quran dan Sunnah bukan kerana ia datang dari dirinya. Menganggap pemimpin yang dibai'ah sebagai sumber kebenaran dan maksum adalah taksub dan pelampauan yang tercela.
Apabila seseorang telah memberi bai'ah lalu dia dapati sesuatu yang lebih baik dari apa yang dia janjikan dalam bai'ahnya, atau berjumpa dengan kumpulan yang lebih baik atau berjumpa dengan pemimpin yang lebih soleh dan baik, maka dia boleh dan dianjurkan dia untuk menerima apa yang lebih baik dan meninggalkan apa yang dia ada. Ini berdasarkan pada firman Allah taala yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu jadikan Allah sebagai sasaran bagi sumpah kamu untuk menghalang kamu dari melakukan kebaikan, bertakwa dan melakukan islah sesama manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah : 224)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Wahai Abdul Rahman! Janganlah kau meminta jawatan kepimpinan. Sesungguhnya jika kau diberi jawatan itu atas permintaan, nescaya kau akan dibiarkan dengannya. Jika kau diberi jawatan pemimpin bukan atas permintaan, kau akan dibantu untuk melakukannya. Jika kau bersumpah dengan satu sumpah, lalu kau lihat yang lain lebih baik, maka datangilah yang lebih baik dan kaffarahlah ke atas sumpah kau." (Riwayat Al-Bukhari)
Walau pun Islam membenarkan sedemikian tetapi ia hendaklah dilakukan secara beradab iaitu dengan meminta izin dari pihak yang diberikan bai'ah sebelum berpindah kepada bai'ah yang lebih baik[1].
[1] Seseorang yang meninggalkan bai'ah yang mengandungi lafaz sumpah (wallahi, billahi, tallahi) hendaklah ia melakukan kaffarah sebagaimana firman Allah taala yang bermaksud;
"Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kafarat (melanggar) sumpah itu, ialah memberi makan sepuluh orang miskin, yaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kafaratnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kafarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya)."
Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004