Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Friday, April 1, 2016

PERTEMUAN MAHABBAH BERSAMA SDR SYED SADDIQ – PAS KOMITED SELAMATKAN MALAYSIA DENGAN ISLAM

PERTEMUAN MAHABBAH BERSAMA SDR SYED SADDIQ – PAS KOMITED SELAMATKAN MALAYSIA DENGAN ISLAM

Alhamdulillah. Pada 30 Mac lepas, Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang dinobatkan Pendebat Terbaik Asia menulis di Facebook beliau dan dipetik oleh media-media perihal luahan kekecewaannya terhadap PAS terutama sekali Presiden PAS. Hari ini Jumaat, 1 April 2016, bertempat di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berlangsung pertemuan mahabbah dan perbincangan bertukar-tukar fikiran dengan beliau untuk merungkai salah faham dan melihat perspektif yang lebih benar. Pertemuan hari ini disertai oleh saya (Mukhtar Suhaili, AJK PAS Pusat dan Bendahari DPPM), Sdr Nurul Islam Mohammad Yusuf (Penolong Setiausaha 1 DPPM), Sdr Mohd Shahir Abu Hassan (AJK Jabatan Penerangan PAS) dan Sdr Abdul Malik Abdul Razak (Staff Pejabat Presiden PAS).

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kini semakin mendapat perhatian dari pemain-pemain politik negara dan masyarakat umum Malaysia. Bahkan mutakhir ini, PAS melakukan pelbagai pertemuan-pertemuan (engagements) dan dikunjungi oleh pelbagai pihak dalam dan luar negara. Lebih dari itu, tindakan-tindakan dan keputusan-keputusan politik PAS dewasa ini sering menjadi bahan perbincangan pro dan kontra, dinilai penganalisis-penganalisis politik bertauliah dan pinggiran serta banyak gerak-gerak geri politik PAS yang kadang-kadang lari dari kebiasaan politik konvensional yang diamalkan di negara ini dipolemikkan.

Politik Malaysia semakin dinamik dan terbuka. Bagi saya ia sesuatu yang positif dan saya optimis ia budaya yang subur dalam kerangka demokrasi yang digunapakai. Lebih menarik lagi, banyak gagasan politik yang dicetuskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang pada awalnya dicemuh oleh musuh-musuh politik beliau akhirnya diikuti, dipersetujui secara tindak langsung dan diperakui sebagai langkah yang wajar meskipun tidak dizahirkan secara nyata.

Berbalik kepada pertemuan DPPM dengan Sdr Syed Saddiq, saya ingin memberi kredit dan nyatakan bahawa beliau adalah anak muda intelektual yang mempunyai potensi dan bakat besar. Atas segalanya dari perspektif perbincangan hari ini, yang jelas bagi saya ialah beliau tidak mendapat maklumat yang menyeluruh tentang perjuangan PAS dan catatan beliau sebelum ini adalah berasaskan persepsi.

Saya telah nyatakan kepada beliau bahawa dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang diterajui oleh PAS kini, terdapat 9 ciri (iaitu bertunjangkan prinsip, poltik dakwah, amar ma’ruf nahi mungkar, fokus penyelesaian Islam, pertantangan dasar bukan fizikal, utamakan kepentingan rakyat dan kurangkan politicking, politik aman dan diplomasi (muwajahah silmiyah), politik sebenar dan bukan persepsi serta politik rasional dan professional) dan ciri utama yang saya tekankan kepada beliau ialah politik sebenar dan bukan sekadar persepsi. BPMS ini ialah salah satu subset kepada satu agenda besar PAS yang dinamakan Wawasan Induk Negara (WIN).

Dalam perbincangan hampir sejam setengah tersebut, kami setuju dan setuju untuk tidak bersetuju dalam dua (2) perkara. Kami bersetuju bahawa reformasi institusi (institutional reform) adalah sesuatu keperluan mendesak di dalam negara ini dalam menukar sistem yang korup yang sedia ada dan kami PAS tekankan betapa penyelesaian Islam adalah jalan ke hadapan. Namun seperkara yang kami gagal mencapai kata sepakat ialah untuk PAS menyertai gerakan Deklarasi Rakyat yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir dan didokong kuat oleh Pakatan Harapan. Bagi Sdr Syed Saddiq, Deklarasi Rakyat ini dan inisiatif selanjutnya Konsensus Nasional Rakyat yang katanya akan digerakkan adalah satu keperluan ke arah reformasi institusi dan #SelamatkanMalaysia.

Namun PAS melihat sebaliknya bahawa ianya tidak lebih dari sekadar memenuhi agenda dan cita-cita politik pihak tertentu dan pada akhirnya ianya menjadi usaha #SelamatkanUmno dengan sekadar menurunkan seorang Perdana Menteri dan diganti dengan Perdana Menteri yang lain namun masih dari parti dan sistem korup yang sama. Kita tidak mahu keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut harimau. Ia tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa kepada perubahan yang lebih sejahtera.

PAS sebagai Gerakan Islam yang berpegang kepada prinsip demokrasi melihat bahawa apa jua perubahan yang berlaku perlulah dalam kerangka demokrasi. Ini sama ada melalui undi tidak percaya di Parlimen (jika benar ada cukup Ahli Parlimen untuk menyokongnya) atau melalui pembubaran parlimen yang membawa kepada pilihanraya umum (yakni memberi mandat kepada rakyat memilih melalui jalan peti undi). Lebih penting dan apa yang utama kita hajati  ialah perubahan sistem secara total dari sistem yang korup kepada sistem yang terbaik dan kepercayaan PAS ialah #SelamatkanMalaysiaDenganIslam.

Melalui BPMS, PAS akan mengatakan yang benar itu benar dan menyebut yang salah itu salah. PAS akan mengiyakan yang benar dan menidakkan yang bukan. Kita akan menyokong keadilan dan menentang kezaliman tidak kira siapa jua pelakunya. Dan prinsip yang sihat inilah yang kita akan kita pegang utuh dalam semua tindakan dan keputusan politik tanpa ada piawaian berbeza (double standard).

Selain itu, satu perkara yang kami boleh sepakati ialah perlunya pendirian dan kenyataan PAS dirujuk dari sumber primer (www.pas.org.my dan Akhbar Harakah) dan bukan dari media-media yang berkepentingan yang sering sahaja mengangkat berita yang memberi persepsi negatif terhadap PAS khususnya Presiden PAS. Lebih malang banyak berita tentang PAS diputar-belit (spinned), diambil secara sekerat-kerat dan seolah-olah trend terkini tajuk berita sengaja dibuat gempak namun sebenarnya tidak mewakili isi keseluruhan berita.

PAS sejak penubuhannya sehingga kini istiqamah menentang segala kezaliman, salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan ketidakadilan yang dilakukan oleh parti pemerintah Umno-Barisan Nasional. Untuk rekod juga, PAS konsisten menentang salah laku yang diwar-warkan berkenaan 1MDB, berhimpun membantah pelaksanaan GST, menolak pelaksanaan PPSMI (kini dijenamakan sebagai DLB), membantah kenaikan harga utiliti, barangan, kadar tol, pengangkutan awam dan lain-lain, berdemonstrasi membantah perjanjian TPPA yang merupakan satu bentuk penjajahan baru, menyelongkar pelbagai skandal berkaitan salahguna dana KBS, PKFZ, FELDA, MARA, Tabung Haji dan lain-lain serta banyak lagi. Semuanya kita laksanakan meski kebanyakan media (tidak semua) tidak begitu adil dalam melaporkan hal-hal berkaitan aktiviti-aktiviti dan perjuangan PAS.

Secara kesimpulannya, pertemuan hari ini adalah pertemuan yang konstruktif dan membina. Semoga dengan pertemuan hari ini, Sdr Syed Saddiq mendapat gambaran yang lebih baik tentang PAS. Di akhir pertemuan, saya mengambil kesempatan mengajak Sdr Syed Saddiq untuk bersama-sama PAS. Harapan saya sekiranya beliau tidak bersama PAS sekalipun, semoga beliau tidak membenci PAS dan dapat terus bersangka baik dalam usaha PAS meski berbeza dari sudut pendekatan. Pada akhirnya kita mempunyai matlamat yang sama ingin membina Malaysia Sejahtera yang lebih baik. Menarik bila beliau menyebut bahawa pada pandangan beliau Pakatan Harapan tidak perlu bertanding di Kelantan kerana ia hanya akan memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Umno-BN. Ini saya sangat bersetuju. Senyum. ��

Di akhir pertemuan, DPPM menghadiahkan beberapa naskah buku tulisan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang selain beberapa edisi Akhbar Harakah sebagai cenderahati kenang-kenangan kepada Sdr Syed Saddiq. Selepas pertemuan, beliau menghantar mesej WhatsApp kepada saya: “Terima kasih Tuan kerana sudi meluangkan masa. In shaa Allah kita boleh bergerak bersama pada masa hadapan untuk negara tercinta”. Dan saya balas: “Alhamdulillah, thanks brother in Islam. Seronok dapat berdiskusi dan bertukar-tukar pandangan. PAS and I are committed in building a better Malaysia. In shaa Allah.”

Ayuh fastabiqul khairat (berlumba-lumba membuat kebajikan). Siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan!

[Nota: Sdr Syed Saddiq adalah graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) iaitu alma mater saya juga. Kami sama-sama produk Taman Ilmu dan Budi, jadi ianya pertemuan senior dan junior. Antara kenangan saya di UIA ialah pernah memimpin sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Students’ Representative Council (SRC) sesi 2003/2004. Namun kelebihan Sdr Syed Saddiq ialah beliau berjaya merangkul gelaran Pendebat Terbaik Asia, sedang saya hanya pernah bertanding dalam Debat Piala Ketua Menteri Sarawak suatu masa dahulu. ��☺ Sekadar perkongsian juga, antara kenangan manis saya ialah pernah dianugerahkan tempat kedua The Asian Most Outstanding Youth pada tahun 2007. Syukur Alhamdulillah. ����]

#IslamRahmatUntukSemua
#UntukmuMalaysia
#MalaysiaSejahtera
#SayaSokongPAS
#BudayaPolitikMatangDanSejahtera
#MempersiapGenerasiKemenangan
#BeristiqamahHinggaKemenangan

Dicatat Oleh:
Muhtar Suhaili As-Sarawaki
1 April 2016 = 23 Jamadil Akhir 1437H

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej