Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, December 17, 2014

Nursyahadah Saya tergamam lihat TG Nik Aziz

Nursyahadah
Saya tergamam lihat TG Nik Aziz .. itulah Ulama... dia bukan saja berdakwah melalui ajaran kitab...malah kehidupannya juga adalah dakwah
Like ·  · 

Hidayah: Doakan agar ibu bapa ikut jejak saya untuk memeluk Islam - Nur Alya MUHAMMAD FAIZAL "SAYA mendoakan agar kedua ibu bapa saya mengikuti jejak saya untuk memeluk Islam, kalau boleh sebelum saya memejam mata buat kali terakhir di dunia ini. "Saya berusaha menasihati meraka, walaupun tak mampu bercakap secara terus dan berharap kedua ibu bapa saya diberi hidayah dan dapat mengucapkan dua kalimah syahadah," kata Nur Alya Humaira Usun Abdullah ketika ditemubual pada program Nur Syahadah anjuran Harakahdaily dengan kerjasama MyHarakah Bazaar.
Nur Alya merupakan anak kedua bongsu hasil perkongsian Usun Oliong dan Rusiah Apak berasal dari Kudat, Sabah. Nur Alya atau Petronella Usun, nama yang digunakan sebelum beliau memeluk Islam merupakan penyanyi di kelab malam dan juga di sebuah gereja di Sabah. "Sebelum memeluk Islam iaitu selepas habis sekolah, saya bekerja sebagai pendandan rambut dan menyanyi di kelab malam di Labuan.
"Hampir dua tahun juga saya bekerja sebangai penyanyi sebelum berhenti dan datang ke Kuala Lumpur," katanya yang mengucap dua kalimah syahadah pada 14 Februari 2011 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi). "Sebenarnya sebelum saya memeluk Islam melalui perkahwinan, saya sudah lama berminat dengan Islam cuma keluarga saya didik saya benci Islam dan saya takut untuk mendekati Islam.
"Dalam diam-diam tanpa pengetahuan sesiapa, sebelum saya melafazkan kalimah syahadah, saya pernah pakai tudung dan pergi surau untuk mengetahui apa itu Islam yang sebenarnya, keluarga saya tidak tahu apa yang saya buat. "Saya suka sangat dengan Islam dan tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi tidak tahu hendak berjumpa siapa, hendak beritahu keluarga tetapi keluarga saya kristian sehinggalah saya berjumpa dengan suami saya dan beliau banyak membantu saya dalam hal ini.
"Allhamdullilah saya berjumpa dengan suami saya dan terus memeluk Islam, jika dulu saya sendiri-sendiri pergi belajar tanpa memeluk Islam, sekarang tidak lagi," sambung beliau yang berkahwin dengan Yunus Ismail pada 24 Februari 2014. Beliau yang turut berkata, tidak ada sesiapa pun yang mendorong beliau memeluk Islam tetapi yang membuatkan beliau ingin memeluk Islam adalah kerana mencari sesuatu yang hilang di dalam dirinya. "Ada orang tanya semasa menjadi penyanyi, kenapa nak mendekati Islam? Waktu itu saya tidak tenang macam mencari sesuatu yang hilang.
"Saya beli buku-buku agama yang berkaitan Islam dan dari situ saya belajar sedikit demi sedikit, saya terpaksa membaca secara sembunyi kerana takut keluarga saya tahu. "Sekarang tiada halangan lagi, keluarga sudah menerima saya dan apabila saya balik kampung mereka semua suka dengan penampilan saya. Cuma agak terkilan kerana mereka masih tidak bersama-sama saya memeluk Islam," tambah beliau. Nur Alya turut mengakui bahawa pada awal beliau memeluk Islam terlalu banyak cabaran yang perlu dilalui terutama apabila berhadapan dengan keluarga dan masyarakat sekeliling.
"Masa saya mula-mula memeluk Islam memang keluarga cukup marah, mereka perlu masa yang lama untuk mereka berbaik semula dengan saya dan itu belum lagi dengan rakan-rakan dan saudara mara yang menjauhkan diri. "Keluarga memang marah dan halang apa yang saya buat tetapi saya tetap berdegil dengan alasan ingin berkahwin. "Rahsia memeluk Islam ini saya simpan beberapa bulan dan orang pertama yang mengetahuinya adalah ibu saya, beliau ketika itu amat terkejut dan menangis sebab saya masuk Islam.
"Beliau beranggapan apabila beragama Islam saya akan berpisah dengannya. Saya masih ingat lagi pesannya memandangkan kamu sudah Islam jangan putuskan hubungan dan jangan tinggalkan dia serta keluarga," katanya dengan nada sedih. Namun, akhirnya Nur Alya tidak menjangka hubungan beliau dengan keluarga bertambah erat semenjak beliau memeluk Islam. "Hubungan kekeluargaan kami memang rapat, tetapi selepas saya memeluk Islam hubungan itu renggang sedikit. Saya belajar tentang akhlak dan hubungan keluarga dalam Islam dan tidak menjangka hubungan kami lebih erat daripada termasuk hubungan suami dengan keluarga saya.
"Sekarang sudah tiga tahun saya memeluk Islam, saya belajar tentang Islam di Jawi dan juga di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). "Pada masa yang sama saya turut ke majlis-majlis ilmu dan ke masjid, jika kita ingin mendekati Islam kita perlu banyak belajar dan mendekati majlis-majlis ilmu. "Pada peringkat awal memeluk Islam terlalu kuat cabaran, pada mulanya memang terasa terkongkong dengan Agama Islam itu sendiri, jika sebelum ini saya bebas melakukan apa saja, tetapi Islam tidak. "Namun saya terus belajar dan setelah memahaminya saya lebih bahagia dengan Islam serta lebih kuat untuk menghadapi cabaran hidup, saya tidak pernah rasa terbeban sebaliknya tenang dan gembira dan apa yang saya cari sebelum ini telah saya temui," jelas beliau. Nur Alya yang turut melahirkan rasa gembira ketika pertama kali melafazkan dua kalimah syahadah, namum dalam kegembiraan tersebut timbul juga perasaan takut jika pilihan yang dilakukan itu salah. "Selepas melafazkan kalimah itu perasaan gembira timbul di dalam diri saya, namun di saat itu juga terdetik perasaan takut sama ada pilihan itu betul atau tidak, tetapi itu hanya sementara sahaja saya sekarang betul-betul gembira bersama agama Allah.
"Orang kata apabila kita pertama kali memeluk Islam selepas melafaz syahadah kita diibaratkan bayi yang baru lahir tanpa sebarang dosa, tetapi saya rasa macam terlalu banyak dosa yang saya lakukan sebelum ini, kesalahan lalu masih lagi saya terasa. "Beryukur kerana dipilih Allah, dari penyanyi di gereja hingga memeluk Islam, mengikuti setiap ajaran Islam sehinggalah sekarang saya berpurdah dan tidak pernah menyesal dengan pilihan yang Allah berikan kepada saya," sambung beliau.
Nur Alya turut menegaskan kalau diberi pilihan RM1 juta dan kembali kepada agama asalnya, beliau tetap memilih bersama Islam dan hidup matinya bersama agama Allah.
"Siapa tahu mungkin esok hari, hari ini kita melihat dunia, adakah kita terfikir apa yang kita akan bawa ke alam barzakh. "Selama saya memeluk Islam, saya pernah berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan, walaupun sekejap tetapi saya gembira sangat kerana perwatakan yang beliau tunjukkan menyejukkan hati saya untuk terus bersama-sama Islam. "Sehinggakan semasa dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur mulut terdiam tak berkata memikirkan pesanan beliau, sebab siapa yang tidak mengamalkan Islam sedangkan beliau sudah lama Islam adalah mereka yang rugi, sedangkan saya masih baru terlalu jauh untuk saya mempelajari Islam sepenuhnya.
"Jangan terlalu ingatkan dunia kerana dunia ini hanya sementara," jelasnya lagi. Untuk makluman pembaca, Nur Syahadah merupakan program baru yang dikendalikan harakahdaily bagi mendekati saudara-saudara baru untuk kita mengetahui perjalanan hidup mereka sebelum dan selepas memeluk Islam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej