Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, July 20, 2016

POLITIK TURKI: APA SELEPAS INI? Muhammad Khalil Abdul Hadi

POLITIK TURKI: APA SELEPAS INI?
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Dua minggu sebelum berlakunya cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera, saya mengikuti perkembangan politik Turki dan mendapati beberapa polisi luar negara yang berubah secara drastik oleh kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyib Erdogan. Perubahan-perubahan ini agak kontra dengan pendirian Turki sebelum ini yang menjadi rakan sekutu pihak Barat pimpinan Amerika Syarikat (AS) khususnya dalam isu-isu yang sedang bergolak di Syria, Iraq dan di Timur Tengah secara umumnya.

Sejak dahulu Turki menjadi alat kepada AS untuk mengekal dan melebarkan kuasanya di rantau yang sentiasa bergolak ini. Semua kerajaan yang menerajui Turki mestilah mengikut landasan ini jika sekiranya mahu terus berkuasa termasuklah Erdogan dan Parti AK yang diterajuinya. Faktor inilah yang menjadi salah satu sebab pertikaiannya dengan guru dan mursyidnya almarhum Profesor Najmuddin Erbakan yang mahu Turki keluar dari pergantungan dan menjadi "Pak Turut" kepada AS sementalah lagi mengiktiraf negara haram Israel. Mengikut beliau, Turki dan negara-negara Islam mestilah membina kekuatan sendiri dan mengatur strategi berbaik dengan musuh AS khususnya Rusia bagi mengimbangi pengaruh kuasa di Timur Tengah. Ia tidak diendahkan oleh Erdogan yang mempunyai seni dan permainan politiknya sendiri.

Kebetulan pada Mac 2003 (seminggu sebelum AS melancarkan serangan ke atas Iraq) saya mengikuti rombongan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa (ketika itu Setiausaha Agung PAS), Dato’ Mustafa Ali (ketika itu Naib Presiden PAS) dan Cg. Hussein Ismail ke Turki. Ketika itu Erdogan baru beberapa bulan menjadi Perdana Menteri selepas partinya AK memenangi pilihan raya. Antara misinya ialah untuk memperdamai dan meredakan pertikaian antara almarhum Erbakan dan Erdogan. Almarhum memberikan pandangan politiknya selama enam jam bermula dari jam 5 petang sehingga 11 malam. Ada baik dan buruk tindakan yang dilakukan oleh Erdogan dan kaitannya dengan percaturan politik Timur Tengah dan dunia Islam secara umumnya.

Walaupun mereka berbeza pandangan akan tetapi Erdogan sentiasa menghormati murabbinya sehingga ke akhir hayatnya.

Kenapa Turki?

Turki sentiasa menjadi sasaran sejak dahulu kerana beberapa faktor. Pertama; kedudukannya yang strategik menghubungkan antara benua Asia dan Eropah dan menjadi pintu kepada negara-negara yang sedang bergolak pada hari ini. Kedua; sejarah politiknya yang sangat hebat menjadi pusat pemerintahan khilafah Islam Uthmaniyyah selama ratusan tahun. Ketiga; tenteranya yang kuat menjadi alat untuk menjaga kepentingan Barat di Timur Tengah melalui keahliannya di dalam NATO. Keempat; rakyatnya yang rajin, produktif dan tidak mengalah bukan sahaja di dalam Turki bahkan di serata dunia khususnya di beberapa buah negara Eropah seperti Jerman yang mempunyai lebih 4 juta bangsa Turki Muslim yang bekerja dan bermastautin di sana.

Justeru Barat sama sekali tidak akan mengizinkan kepada Turki untuk bangkit kerana kebangkitannya akan mengembalikan kegemilangan tamadun Islam. Beberapa percubaan pernah dilakukan sebelum ini akan tetapi kesemuanya menemui kegagalan. Pada tahun 1960, Perdana Menteri Adnan Menderes digulingkan oleh pihak tentera dan akhirnya dihukum bunuh kerana dituduh mahu merubah dasar sekularisme Turki. Pada tahun 1997 Erbakan dilantik menjadi perdana menteri melalui kerajaan campuran yang hanya bertahan selama setahun dan akhirnya juga digulingkan oleh pihak tentera.

Turki dan Dasar Luar

Semenjak memegang tampuk pemerintahan bermula dari tahun 2002 sehingga sekarang, kerajaan pimpinan Erdogan telah melalui beberapa fasa hubungan luar negara dengan pihak lain. Bermula dari tahun 2002 sehingga 2011, Turki mengambil sikap berbaik dengan semua pihak khususunya hubungan diplomatik dengan Israel (sehingga 2010) yang sudah sedia terjalin sejak sekian lama membuka pintu seluasnya kepada pelawat-pelawat dari negara-negara jiran khususnya Iran, Syria dan negara-negara Arab lain dengan tidak mengenakan visa untuk mengunjungi Turki.

Selepas berlakunya Arab Spring pada 2011, Turki telah merubah dasar luarnya dengan agresif; menyokong kebangkitan rakyat yang berjaya menjatuhkan kerajaan-kerajaan boneka Barat di negara-negara Arab dan selepas itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Mesir dan Syria sejurus berlakunya kudeta terhadap Presiden Mohammad Mursi oleh Jeneral as-Sisi dan perang Basyar al-Assad terhadap kebangkitan rakyat yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Dalam masa yang sama ia merenggangkan hubungannya dengan Iran yang dilihat menjadi sekutu rapat Syria. Sikap ini melonjakkan populariti Erdogan di mata umat Arab dan Islam secara umumnya dalam masa yang sama tidak merubah pandangan mereka yang menentangnya kerana masih lagi mempunyai hubungan dengan Israel.

Dalam isu Syria, gerakan Islam mendesak supaya ia diselesaikan secara diplomasi bukan dengan kekerasan. Pada awal 2013, PAS dan Parti Saadat (parti yang diasaskan oleh Prof Najmuddin Erbakan) mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan isu Syria dengan cara diplomasi iaitu dengan melibatkan Rusia, Turki dan Iran. Pimpinan Parti Saadat mengadakan lawatan ke Syria dengan bantuan kerajaan Turki dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan pelan damai ini kepada Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad tetapi usaha terputus di tengah jalan kerana pertembungan sesama kumpulan Islam dan jalan-jalan yang terhad untuk pergi dengan lebih jauh.

Hubungan dengan Rusia

Turki tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Rusia selepas campurtangan Rusia dalam isu Syria dan kemuncaknya ialah insiden tembakan jet pejuang Rusia di ruang udara Turki. Hubungan menjadi getir sehingga hampir tercetusnya perang antara kedua-dua negara. Akan tetapi ia berubah dengan mendadak dalam masa dua minggu yang agak singkat ini. Pada 27 Jun 2016, Presiden Erdogan memohon maaf kepada Rusia terhadap insiden yang berlaku dan dua hari selepas itu Erdogan menghubungi Presiden Vladimir Putin dan berbincang selama 40 minit melalui telefon dan bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan isu serantau khususnya isu Syria, Iraq dan ISIS.

Susulan daripada itu satu pertemuan diadakan pada 1 Julai 2016 antara Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatannya Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang diadakan di Moscow. Pada 6 Julai Presiden Iran, Hassan Rohani menghubungi Erdogan dan kedua-duanya berbincang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. Ini disusuli pula dengan kenyataan Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Syria dan menyelesaikan isu Syria dengan jalan damai.

Kesemua ini jika dicantumkan sekali akan memberikan gambaran yang jelas perubahan halatuju baru Turki untuk beralih kepada blok Rusia berbanding sebelum ini menjadi sebahagian blok Amerika Syarikat.

Peralihan Turki kepada blok Rusia akan lebih menguatkan ekonomi Turki, justeru tidak pelik apabila Turki memberi amaran kepada Kesatuan Eropah untuk menghentikan perundingan kemasukannya ke dalam EU pada tanggal 23 Jun 2016, peralihan dasar luarnya yang begitu drastik. Ayat mudahnya; Turki sudah mempunyai rakan baru dan tidak perlu lagi kepada EU. Berbaiknya Turki dengan Rusia lebih menguntungkannya kerana sebahagian besar daripada wilayah-wilayah di dalam Rusia atau di bawah "naungannya" adalah negara-negara umat Islam dan mempunyai pertalian yang sangat rapat dari sudut agama, kaum, bahasa dan adat bertutur dalam bahasa Turki seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Azerbaijan

Politik Turki Pasca 7/16

Seluruh dunia tertumpu kepada Turki, apa yang berlaku seterusnya? Saya melihat, kegagalan rampasan kuasa ini sudah tentu akan memberikan masa depan yang lebih baik kepada Turki. Dari sudut politik dalaman, inilah peluang kepada kerajaan pimpinan Erdogan untuk merombak pasukan keselamatan dan tentera yang menjadi halangan utama sejak berzaman. Sehingga artikel ini ditulis, seramai 10 ribu anggota tentera dan polis yang ditangkap kerana dituduh bersubahat dalam rampasan kuasa ini. Dari sudut politik luaran pula, sewajarnya Turki meneruskan polisi luar bersama blok Rusia untuk mengimbangi kuasa hegemoni AS. Apa-apa pun kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya? Apakah langkah dan pendirian yang akan diambil oleh AS dan EU ? Dan apakah pendirian yang akan diambil oleh negara-negara Arab yang menjadi sekutu rapat AS? Menariknya, selepas kegagalan cubaan rampasan kuasa ini, negara terawal yang menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Erdogan ialah Iran dan Qatar. Apakah ini permulaan kebangkitan Islam yang lebih menyeluruh. Kita doakan insya Allah.

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej