Idea liberalisme telah dikembangkan Barat dan diresap dalam pemikiran umat Islam. Liberalisme ini lahir daripada sistem demokrasi yang tulen. Sistem demokrasi ini juga digunakan di Malaysia untuk mengatur kehidupan rakyat.
Jadi adakah layak sistem demokrasi ini digunakan untuk mengatur urusan umat Islam sedangkan al-Quran dan Sunnah itu ditolak ke tepi? Perkara ini sangat pentingsebab istilah demokrasi ini tidak pernah wujud dalam sejarah Islam dan khilafah.
Tiba-tiba setelah kemunduran umat Islam dan kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, sistem demokrasi masuk dan digunakan kebanyakan wilayah umat Islam. Sistem demokrasi bukanlah sistem Islam dan tidak boleh dikaitkan dengan sistem syura.
Sistem syura yang dipraktikkan pada zaman Nabi SAW adalah berbeza. Oleh kerana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, maksudnya: “Urusan mereka (diputuskan) dengan syura di antara mereka.” (Surah Asy-Syura : 38) ALLAH SWT memerintahkan kita untuk melakukan syura.
Syura bermaksud mesyuarat atau perbincangan. Disebut dalam hadis, perbincangan ini terdiri daripada orang yang cerdik pandai dan berilmu. Untuk perbincangan agama memerlukan ahli syura yang menguasai ilmu seperti syarie, al-Quran, hadis, fiqah dan bahasa Arab, barulah dia layak menjadi ahli majlis syura.
Demokrasi bukan sistem Islam. Demokrasi adalah sistem yang berasaskan suara majoriti dan bergantung kepada pemikiran dan hawa nafsu manusia. Pilihan dibuat mungkin berdasarkan rasa suka, hubungan keluarga, membalas budi atau kepentingan tertentu.
Hal ini berbeza sama sekali dengan kaedah syura di dalam Islam. Ahli majlis syura yang memilih pemimpin hendaklah daripada kalangan orang yang adil, berilmu dan beramal dengan agama, serta tidak mempunyai apa-apa kepentingan. Mereka inilah yang layak memilih. Itu asas dalam Islam yang tidak boleh diubah.
Kita kini duduk dalam sistem demokrasi. Adakah ini bermakna kita harus menerima apa sahaja yang datang daripada sistem ini seperti demokrasi mutlak di negara Barat contohnya Denmark?
Sehingga menyebabkan wujud di sana pelacuran terbuka, bertelanjang sesuka hati di mana-mana atas nama hak asasi. Adakah ini yang kita inginkan?
Kita berkeinginan mengubah sistem ini. Moga-moga ALLAH berikan kita kekuatan, memudahkan urusan agar sistem ini diubah suatu hari nanti kepada sistem Islam yang adil dan telus.
Cuma sepanjang berada dalam sistem ini, kita hendaklah meminimumkan kemudaratan yang datang akibat sistem ini yang bergantung kepada hak dan nafsu manusia, dan bukan pada pemilihan yang betul. Sebab itulah kita perlu meminimumkan keberadaan kita dalam demokrasi.
Bagaimana caranya? Kaedah Islam iaitu “addharurah tuqaddar biqadariha” (darurat itu diukur dengan kadarnya). Sebaik habis darurat kita hendaklah kembali kepada asal. Saya selalu menggunakan analogi ini sehingga ada sebahagian orang mengolokolokkannya.
Tetapi ini analogi yang tepat untuk difahami. Kita terperangkap di dalam hutan dan kehabisan makanan melainkan yang ada pada masa itu hanyalah seekor babi. Kalau tidak makan babi tersebut akan menyebabkan kita mati atau memudaratkan maka kita terpaksa tangkap dan makan babi itu, tetapi tidak boleh memakannya sehingga kenyang.
Apabila habis mudarat maka kembali kepada hukum asal iaitu babi itu haram dimakan. Begitu juga dengan demokrasi yang perlu kita berusaha meminimumkannya. Apabila hendak memilih, pilihlah orang yang adil, dan bermanfaat kepada masyarakat setempat. Apabila memerintah, memerintahlah dengan adil.
Kita boleh cuba meminimumkannya setakat mana yang kita mampu. Mengenai isu undang-undang perlembagaan al-Quran dan Sunnah, ya kita perlu meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah itu sebagai sasaran dan usaha untuk kita bergerak ke arahnya.
- Ust fathul Bari
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej