Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, November 20, 2014

USRAH ANAK BERANAK BERSAMA AYAH CHIK

USRAH ANAK BERANAK BERSAMA AYAH CHIK (PART II)
Apabila sesi soal jawab dibuka, lima soalan ditanya kepada Ayah Chik. Soalan berkisar mengenai dalam dan luar negara.
Soalan pertama:
Isu SIS dan sikap PAS terhadapnya kerana keliru dengan sikap 2-3 orang pimpinan yang seakan membela kumpulan ini.
"SIS sudah wujud pada awal 90an lagi. Mereka muncul dengan kontroversi mengikut musim. Sekarang muncul kembali dengan isu terbaru. Kebanyakan ahlinya adalah wanita-wanita Islam yang memperjuangkan hak wanita. Mereka terdiri di kalangan beberapa orang anak bekas PM dan juga ahli akademik." Jawab Ayah Chik yang selalu membangkitkan hal sejarah.
"Mungkin kita masih ingat salah seorang mereka adalah Amina Wadud, yang pernah menggemparkan dunia dengan khutbah jumaatnya dan mengimami solat jumaat yang dihadiri oleh lelaki dan wanita bercampur dahulu."
Sebenarnya gerakan sebegini ada di mana-mana negara. Dibandingkan dengan indonesia, di sana lagi teruk. Kebebasannya di luar kawalan. Malaysia boleh dikira yang paling baik lah diantara yang tak baik.
"Saya pernah beritahu Najib dahulu, UMNO ni zalim, tapi pemimpin arab lagi zalim" Ayah Chik berseloroh disambut tawa kecil dari kami.
"Presidennya, Zainah Anwar pernah datang ke Rusila ini. Waktu itu beliau sebagai wartawan NST."
"Antara yang mereka pertikaikan adalah hak pembahagian harta pusaka, aurat wanita dan juga hukum hudud. Mereka sebenarnya tidak memahami bahawa syariat Islam ini bertali antara satu sama lain. Hak tersebut perlu dibaca menyeluruh barulah adil" Kata Ayah Chik tegas.
Contohnya dalam isu pusaka. Benar wanita dapat separuh dari lelaki. Tapi jika melihat sudut lain dalam Islam, ia amat sesuai dengan tanggungjawab besar lelaki yang wajib menanggung anak, isteri dan ibubapa yang uzur. Harta pusaka mereka perlu digunakan pula kepada orang yang ditanggungnya. Wanita pula walaupun dapat separuh, tetapi itu hanya untuk dirinya sendiri. Tidak wajib berkongsi dengan sesiapa.
Katalah lelaki dapat 1000, wanita dapat 500. Lelaki perlu agih pada anak, isteri dan ibubapa. Mungkin hanya tinggal 100 atau 200 ringgit sahaja untuk lelaki itu. Tapi wanita itu sepenuhnya 500 ringgit hanya untuk dirinya. Untung wanita pula!
"Kita pernah panggil SIS untuk berdepan dalam isu hudud, tapi mereka tidak hadir." Jelas Ayah Chik lagi.
Kemudian Ayah Chik merujuk kepada dua tiga pimpinan yang berbeza pendirian pula.
"Dalam PAS pula ada orang baru dan orang lama. Macam-macam jenis orang ada. Dulu orang masuk PAS termasuk kaki laga ayam. Mereka masuk PAS sebab marah pada polis yang rampas ayam-ayam laga mereka (yang digunakan untuk bertaruh). Mereka tak tahu kalau kita yang memerintah, lagi teruk mereka kena". Ayah Chik ketawa lagi. Seronok kami melihat raut wajahnya.
"Semua yang masuk kita susun proses tarbiyah untuk mereka. Berselisih pendapat dalam PAS juga berlaku sejak dulu lagi. Cuma bezanya dulu tiada whatsapp. Perselisihan tak sampai ke pengetahuan umum."
"Jika dibanding dengan Indonesia, perpecahan di kalangan mereka cukup merugikan Islam. Parti politik mereka mencecah 20 buah. Jika dicampur undi 5 calon presiden dari parti Islam dalam pilihanraya presiden baru-baru ini, mereka dapat 31%. Jokowi hanya meraih 21% undi." Ujar Ayah Chik kesal.
"Mereka (pimpinan PAS) yang tak faham tentang SIS ini kita sudah buat perjumpaan. Kita berbincang dengan mereka. Ada yang berpendapat SIS sekarang sudah berubah. Kita nyatakan, jika benar mereka sudah berubah, masyarakat masih tidak tahu. Tindakan membela itu hanya merugikan sokongan umat Islam. Dan saya meneliti, sebenarnya mereka tidak berubah pun. Ini masalahnya apabila maklumat yang diterima tidak tabayyun dengan tepat."
"Kepelbagaian ini wujud zaman Nabi lagi. Ada orang munafiq, ada juga jenis lemah iman. Sebab itu dalam memahami Islam perlu dipelajari asbabul nuzul. Baru tahu ayat itu turun pada golongan mana." Jawab Ayah Chik. Kami mengangguk faham.
Kadang-kadang ilmu yang disampaikan Ayah Chik itu sudah kami pelajari sebelum ini namun kami mungkin tidak tahu bagaimana aplikasi terhadap keadaan sekeliling untuk memahami suasana. Itulah kelebihan beliau sebagai seorang Faqih.
Soalan Kedua:
Sepanjang pemerhatian Ayah Chik, ada tak negara Asia yang ada potensi utuk Islam bangkit setelah melihat kemelut di Timur Tengah?
"Semua itu dalam Ilmu Allah SWT. Bagi kita, dimana bumi dipijak disitulah kita berjuang." Jawab Ayah Chik ringkas. Pada saya jawapan tersebut sudah memadai untuk kita berhenti berteka-teki. Teruskan saja bekerja. Matlamat kita pahala dan syurga.
"Nabi SAW dalam satu khutbah jumaatnya menyatakan, khilafah selepasku bermula dengan manhaj Nubuwwah, kemudian muncul sistem beraja, kemudian muncul pemerintahan yang menggigit, dan kemudian akan kembali dengan pemerintahan yang mengikut manhaj nubuwwah. Ini bermaksid Islam akan kembali memerintah walau apapun yang kita lihat berlaku hari ini."
"Nabi juga bersabda, akan dibuka kota Costantinople dan Roman. Costantinople di Turki twlah dibuka di oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Kota Roman pula merujuk kepada pusat agama Kristian Roman Katolik iaitu Vatican City. Ia masih belum dibuka. Masanya akan tiba." Raut wajahnya Ayah Chik mempamerkan keyakinan beliau akan janji kemenangan itu." Tambah Ayah Chik penuh yakin. Meremang bulu roma saya.
"Di Eropah, Islam tidak mati. Umat Islam wujud di Bosnia sejak lama dulu menentang penjajahan Serbia. Turki, Saudi, Malaysia dan Iran turut membantu rakyat Bosnia sehingga termeterai perjanjian Dayton."
"Perjanjian itu adalah untuk membebaskan Bosnia, tetapi dengan syarat tidak menjalankan syariat Islam. Presiden yang dilantik pada waktu itu melihat keperluan untuk menerima dahulu perjanjian tersebut dengan keadaan yang berlaku. Keadaan perang yang begitu lama menyebabkan kebanyakan umat Islam tidak sempat belajar Islam. Yang tidak tahu babi itu haram pun ada." Jelas Ayah Chik.
Saya teringat cerita Mat Sabu waktu di Syria dahulu, dalam satu majlis makan malam, semasa beratur mengambil makanan, seorang rakyat Bosnia mencedok lauk babi dihadapan. Mat Sabu kata "No, its a pork.". Orang itu mengangguk, dia letak kembali babi, dia pergi cedok kuahnya. Aduyai.
"Adapun negara yang ada potensi kebangkitan Islam adalah negara arab, sebagai pusat Islam yang dikenali." Ayah Chik menyatakan pendapatnya. Beliau langsung tidak melihat peperangan yang berlaku di sana sebagai petanda buruk bagi Islam. Semestinya beliau sandarkan pendapat itu kepada hadis-hadis Akhir Zaman. Antaranya tentang Malhamah Kubra, kebangkitan Imam Mahdi dan turun Nabi Isa.
Kejayaan Islam tidak boleh diukur dengan kuat atau lemahnya fizikal umatnya. Sebaliknya ia ditentukan dengan Iman yang kental. Itulah punca yang menjemput pertolongan dari Allah SWT.
"Di Afrika, Nigeria memiliki majoriti penduduk Islam, walaupun pemerintahnya Kristian. Di Asia Tenggara pula, umat Islam seramai 300 juta orang melibatkan Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Kemboja dan sekitarnya. Suatu jumlah yang teramai di dunia."
"Perkara ini semestinya dikhuatiri oleh barat. Kerana itulah Amerika memindahkan pengkalan tenteranya dari Filipina ke Singapura. Mereka turut memaksa Malaysia memberikan bantuan melalui pengkalannya di Lumut."
Ayah Chik mula membuka isu politik Asia Tenggara pula.
"Malaysia negara kecil. Mudah dipermainkan kuasa besar. Nahas pesawat yang berlaku ada kaitan dengan politik antarabangsa ini. Sebagaimana kita ketahui, saingan terbesar Amerika dalam bidang ekonomi adalah China. Dahulunya Jepun menjadi musuh utama ekonomi barat tetapi kini menjadi sebahagian dari mereka. Singapura walaupun cina, mereka mengambil pendekatan untuk bersama Amerika."
"Barat menggunakan cara yang berbeza bagi menghadapi umat Islam di Asia Tenggara. Amat sukar bagi mereka menghadapi dari sudut ketenteraan. Indonesia memiliki puluhan ribu pulau-pulau kecil. Secara automatik ia bakal menjadi pengkalan tentera Islam yang sukar buat mereka. Sebab itulah hubungan serantau perlu sentiasa diperkuatkan." Ayah Chik seolah melihat jauh tentang masa depan dunia. Suatu perubahan besar bakal berlaku dalam kehidupan manusia.
"Dari sudut gerakan Islam yang ada di rantau ini, PAS dilihat mampu ke depan dengan suasana politik Malaysia. Sebab itu PAS menjadi perhatian ramai. Saya pernah dikunjungi duta Amerika sebelum PRU lepas. Asalnya beliau hendak berjumpa di Pejabat Agung kita, tetapi dibatalkan dan minta kita datang ke kediamannya."
"Saya pergi dan berdialog banyak perkara dengannya. Kami bertiga dan pihaknya bertiga. Beliau pernah tanya saya, kalau PR menang siapa jadi PM?" Ayah Chik pun senyap sekejap. Kami berdebar menanti jawapan.
"Saya tanya dia pula, dah tu Amerika mahu siapa? Terus dia senyap tak tekata." Berderai kami ketawa. Nampaknya orang putih itu silap pilih orang untuk menduga.
"Lee Kuan Yew, Bekas PM Singapura juga pernah mengunjungi saya. Asalnya kata nak datang Rusila. Saya kata jumpa KL lah. Nanti orang Rusila terkejut tengok dia." Ayah Chik ketawa lagi.
"Dia datang dengan menteri kanan dan intelligent sekali bertanya tentang dasar PAS. Saya nyatakan kita tidak boleh baca peta dunia mengikut perkiraan 200 tahun dahulu. Kalau baca juga, Amerika adalah kepunyaan Red Indian, bukan orang putih."
"Islam bawa hak yang adil untuk semua. Saya juga tegaskan umat Islam di selatan Thai perlu diberikan hak yang sepatutnya sebagai rakyat. Lee Kuan Yew cepat-cepat menyampuk: Kami di Singapura beri telah hak pada orang Islam!" Memang lucu ceritanya.
Soalan ketiga:
Bagaimana Isu umat Islam di Sarawak. Dengar cerita DAP Sarawak putuskan hubungan dengan PR?
"PAS mengambil jalan tahaluf siasi sebagai strategi semasa kerana melihat potensi sokongan daripada bukan Islam. Dahulu semasa zaman Mahathir, PAS lebih kuat di Kedah berbanding Kelantan. Malangnya Mahathir membuka penempatan bukan Melayu di setiap Parlimen di Kedah. Waktu itu bukan melayu tidak bersama kita. PAS kalah di Kedah dengan undi penentu dari kaum Cina. Satu kawasan kita kalah 500 undi, pengundi Cina ada 1000."
"Selepas dari tahaluf PR, PAS berjaya menang di Kedah." Sambung Ayah Chik ringkas.
"Walaupun begitu, kita harus memahami bahawa undi teras di Malaysia adalah undi Islam. Ini undi akidah. Adapun undi bukan Islam semata-mata undi kerana kepentingan. Sebab itu kita kena sedar, politik kaum Cina dipengaruhi oleh NGO, bukan parti politik. Kalau NGO suruh undi DAP mereka undi. Kalau suruh MCA, MCA lah. Orang melayu kita di dun Bandar (Terengganu) pilih MCA semacam." Tersengih Ayah Chik sinis.
"Sarawak agak berlainan suasananya. Islam bukan majoriti di sana. DAP pernah panggil PAS untuk berbincang soal Islam. Al-Marhum Ustaz Fadhil banyak wakilkan saya untuk berbincang dengan DAP waktu itu. Mereka minta PAS jangan bercakap berkenaan Islam. Kita kata tak boleh. Ini dasar PAS."
"Kita tanya apa mereka tidak setuju tentang Islam. Antaranya hudud dan hak asasi. Kita terangkan satu persatu pada mereka. Selepas itu mereka bermesyuarat menentukan nasib bersama PAS. Ada yang cadang keluar BA, dan sebenarnya ramai yang tidak setuju keluar, tetapi tidak hadir mesyuarat itu. Akhirnya pada tahun 2003, mereka isytihar keluar dari BA."
"Walaupun merugikan politik, hasil dialog itu menyebabkan ada pemimpin DAP yang menyertai dialog tersebut menghubungi kita dan memaklumkan mereka telah memeluk Islam." Terang Ayah Chik bangga. Ia satu kejayaan bagi Islam.
"Jangan bimbang. PAS ni laku sebenarnya. Ramai yang benci kepada UMNO pilih kita. Dulu masa Mahathir dipecat, beliau kerap berceramah di pentas PAS. Ku Li semasa keluar dari UMNO juga bersama dengan PAS. Anwar selepas dipecat buat kerjasama dengan PAS." Kata-kata Ayah Chik sangat bercahaya. Begitu besar jiwa orang lama ini. Kuasa politik bukan sasaran utamanya. Redha Allah lebih besar nilainya.
Soalan keempat:
Apakah sikap PAS terhadap PASMA?
"Ada orang kata PASMA ni 'PAS yang berMAsalah.' PasMa." Ayah Chik mulakan jawapan. Makin kelakar pula dia. Terasa memang benar-benar perkongsian anak beranak. Semacam dengar cerita dari seorang atuk pula. Ralit saya dibuatnya.
"Bila PAS jadi pilihan ramai, macam-macam orang masuk. Tapi bukan semua boleh bersama cara PAS. Ada yang rasa cara PAS lambat menang. Ada yang lihat kena tahaluf sampai mati. Ada juga yang rasa kena bersama UMNO."
"Kena faham konsep kerjasama dalam Islam bukan sekadar tahaluf. Ada ghidmah, himayah, zimmah, muahadah, istianah, suluh, muwadaah, wala' dan sebagainya."
"Himayah contohnya seperti hubungan Islam dengan Abu Talib. Zimmah dengan orang yang mahu bersama Islam sehidup semati, cuma tidak mahu peluk Islam. Muwadaah pula gencatan senjata. Istianah pula contohnya seperti hubungan Islam dengan Raja Najasyi." Ayah Chik mula membuka lembaran ilmu baru. Terbeliak mata saya mendengar penjelasan ditilnya. Banyak point saya terlepas tulis sebab fokus pada penyampaiannya.
"Hubungan-hubungan ini semuanya penting dan ada ketikanya. Tidak hanya sewaktu Islam kuat kita bekerjasama. Nabi pernah meminjam baju besi dari Safwan, seorang yahudi. Padahal baginda boleh saja pinjam dari orang Islam lain seperti Abdurrahman, Uthman dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menunjukkan akhlak Islam dalam berurusan.
"Nabi pernah pinjam alatan perang dari Hakim bin Hizam dalam perang Hunain. Waktu itu Islam telah menguasai Mekah. Nabi tidak perlu lagi meminjam. Namun hasil mempamerkan akhlak dalam urusan peminjaman itu, Hakim akhirnya memeluk Islam." Ilmu sirah yang dimilikinya mencurah keluar spontan. Sememangnya Ayah Chik pakar sejarah.
Kebanyakan kumpulan serpihan PAS ini muncul kerana tidak faham konsep kerjasama dalam Islam ini. Tetapi semuanya tidak bertahan lama. Sejak tahun 70an wujud pecahan seperti Parti Islah, Jemaah Ansar, Hamim. Ia muncul antaranya kerana kerjasama PAS dalam BN seterusnya APU. Ada juga yang muncul kerana tidak mahu PAS keluar BN. Tapi akhirnya ia lenyap. Sebahagian masuk PAS kembali, sebahagian pergi kepada UMNO.
"Al-Arqam juga serpihan PAS. Ramai yang tak tahu pengasasnya Ustaz Ashaari sebenarnya AJK PAS Selangor. Dia melihat tarbiah PAS terlalu longgar lalu membawa caranya tersendiri. Dua tiga orang pemimpin PAS (saya lupa nama yang Ayah Chik sebut) tertarik untuk menyertai Arqam. Namun setelah lama kumpulan itu semakin mengarut, sehingga wujud ajaran menunggu Imam Mahdi dan memuja beliau, orang tersebut kembali pada PAS dan meninggalkan Arqam." Kata Ayah Chik mengakhiri jawapan.
Saya ingatkan giliran saya untuk bertanya sudah tiba. Malangnya pengerusi terpaksa mengakhiri majlis segera. Saya lihat Ayah Chik masih belum puas berkongsi. Tergambar riak kekecewaan di wajah guru-guru kebanyakan. Mungkin kerana Ayah Chik puasa hari itu. Pengerusi mahu memberikan ruang yang lebih untuk beliau berehat.
Ya, cukuplah dulu untuk kali ini. Ayah Chik perlukan tenaga untuk hadapi pelbagai lagi manusia. Walaupun tamak pada ilmu itu terpuji, kami juga perlu meraikan orang lain.
Sejurus majlis ditangguh, Ayah Chik hulurkan tangan bersalaman dengan kami. Malu juga beliau sebagai tetamu kehormat yang memulakan salam. Itulah ajaran Islam. Pahala menghulur lebih besar dari yang menyambut. Akhlak beliau membuat orang sekeliling kenal ajaran Islam.
Dia kelihatan begitu gembira, senyumnya melebar luas terutama apabila bersalaman dengan guru-guru veteran yang sebaya dengannya. Lama beliau pegang tangan Ustaz Raja Sulong, rakan sebayanya sejak usia persekolahan. Mungkin kerana rindu dengan bekas rakan sejawatnya di MDQ dahulu. Beliau, Al-Marhum Ustaz Harun Taib dan Ustaz Husain Awang juga antara guru terawal mengajar di MDQ. Hanya Ustaz Raja Sulong yang kekal mencurah bakti.
Selepas sesi bergambar, kami terus bersurai. Saya berdoa Allah beri peluang lagi bersama Ayah Chik dalam majlis seumpama ini. Banyak lagi soalan yang berbuku di hati.
(Alang Ibn Shukrimun)

Ulama lah selama ini yg mempertahankan aqidah, kelangsungan Tauhid dan Islam.... tanpa mereka... dan kalau kita membelakangi mereka... apa akan jadi kepada Islam....?

Kalau setakat nak survive ism ism, sesebuah parti.... sesebuah kerajaan... ramai di luar sana yg bijak pandai... mereka bukan terdiri dari Ulama pun... mereka hanya menjaga bangsa, menjaga negara .... tapi ulama dlm politik ... selain dari menjaga agama dan bangsa... apa yg paling penting ialah mereka menjaga kelangsungan agama dan kesuciannya....

org sekular hanya mementingkan duniawi.....

org yg sayang dan komited agama ... mereka mementingkan kesemuanya... dunia dan akhirat

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej