Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, February 18, 2016

Matang Dan Sejahtera : Pas Mulai Diiktiraf dan Diakui

Matang Dan Sejahtera : Pas Mulai Diiktiraf dan Diakui.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali Imran 159,

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

".. Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya..."

PAS sebuah parti yang berpaksikan konsep Tarbiyyah, Dakwah dan Siyasah sentiasa memberikan komitmen untuk berperanan sebagai sebuah parti dan jamaah yang menjadi harapan dan penyelamat kepada ummah.

Dalam situasi negara yang berdepan dengan pelbagai isu, seperti hutang negara yang terlalu tinggi, masalah sosial dan jenayah, ekonomi yang tidak menentu, hilang keyakinan rakyat terhadap kerajaan, peningkatan kos sara hidup rakyat, kedudukan agama Islam yang lemah dan tiada fungsi dan berbagai-bagai lagi masalah mendesak kepada pelbagai pihak untuk berperanan sebaik mungkin.

Sudah tentu PAS sebagai sebuah parti yang memiliki lautan pengalaman dan sejumlah  kepakaran dalam pelbagai bidang, apalagi semangat patriotisme cintakan bangsa dan negara juga, ingin turut sama terlibat dalam apa jua lapangan dan peluang yang ada untuk meletakkan PAS di persada utama politik, rakyat dan negara di tanahair tercinta ini.

Pendekatan terkini PAS, " Politik Matang dan Sejahtera " yang merupakan strategi terbaru yang diperkenalkan sedang menampakkan keberkesanannya apabila PAS tidak lagi sekadar di posisi membangkang sahaja tetapi dengan pantas mengambil peluang mengemukakan pandangan bernas dan idea yang sesuai dengan landasan syarak dan prinsip Islam di ruang-ruang yang datang di hadapan PAS.

Ahli Parlimen PAS apabila berbahas di Dewan Rakyat tidak sekadar mengambil trend "bangkang dan bantah" akan tetapi berjaya meng" improvisasi" peluang untuk berperanan sebaik mungkin untuk menyampaikan mesej Islam dan pendirian PAS yang meletakkan prinsip Islam, kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan. Sebagai contoh, PAS mengambil sikap berkecuali dalam Pembentangan Bajet 2016 yang lalu adalah merupakan salah satu idea kematangan dan mesej kesejahteraan yang dibawa oleh PAS yang akhirnya juga di"copy" oleh mereka yang menyindir dan menghentam PAS.

Terbaru, apabila Majlis Perundingan Islam MPI mengundang PAS dalam persidangan terkininya turut melibatkan PAS sebagai sebahagian anggota MPI yang seramai 80 orang daripada kalangan cendiakawan, ulamak, pemikir dan profesional Islam. Penyertaan PAS adalah buat pertama kalinya melibatkan parti politik pembangkang dan ianya merupakan satu kejayaan dan pengiktirafan serta sejarah yang perlu dibanggakan. PAS yang diwakili oleh Mursyidul Am Tuan Guru Dato Dr Haron Din, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Tuan Guru Dr Mahfoz Mohammad, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat YB Ust Dr Khairuddin Aman Razali dan juga Ustaz Taib Azamuddin. Tambahan pula Tuan Guru Dr Haron Din dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah MPI.

PAS sebagai parti politik berasaskan dakwah dan siyasah hendaklah melihat perkembangan terbaru ini sebagai peluang dan kalau dibaca dari sudut politik maka hendaklah ditafsirkan sebagai peluang dan politik juga adalah berkait rapat dengan soal " opportunity " yang mesti direbut dan digarap sebaik mungkin dengan penuh kebijaksaan agar peluang yang datang dapat memberi impak posiitif kepada perjuangan PAS dan juga Islam itu sendiri. Tidak dinafikan bahawa sebahagian pihak juga melihat dan mentafsirkan inisiatif ini adalah peluang yang dicari oleh pihak Kerajaan UMNO BN untuk memperkukuhkan kedudukannya, namun PAS juga ada strateginya sendiri dalam memeluk peluang ini. PAS melihat penglibatan ini adalah positif kepada perjuangan Islam yang mengutamakan pendekatan politik perdamaian mendahului politik provokasi dan kebenciaan.

Perlantikan Tuan Guru Dr Haron Din sebagai Ketua Kluster Dakwah hendaklah dipandang secara positif bersama 3 orang pimpinan yang lain sebagai anggota MPI hendaklah dilihat 3 poin penting.
Iaitu yang pertama, PAS sudah diiktiraf sebagai badan dakwah yang cukup berpengaruh dan dan ditambahlagi tokoh ulamak PAS adalah tokoh dakwah yang berpengaruh dalam negara ini. Atas faktor ini, bersesuaian dengan ciri utama PAS itu sendiri iaitu sebagai sebuah jamaah dakwah selain tarbiyyah dan siyasah. Dan ini sekaligus menafikan tuduhan yang pernah satu ketika dahulu dan juga yang baru-baru ini dilemparkan oleh PAN kepada PAS bahawa PAS adalah parti sesat dan juga terpengaruh dengan idea dan perjuangan ISIS. Mana mungkin parti yang dianggap sesat dan juga terlibat dengan ajaran songsang dan subversif dijemput sebagai anggota MPI.

Kedua, perlantikan PAS dalam MPI adalah bukti PAS sebuah jamaah atau kumpulan dakwah yang bersifat alami " universal ". Dakwah dan pendekatan penyebaran Islam dan mesej Islam yang dibawa oleh PAS sudah dirasai dan terkesan pada masyarakat dan negara ini dengan perlantikan wakil PAS sebagai ketua Kluster Dakwah MPI. PAS semenjak sekian lama sudah berperanan dengan dakwahnya di serata dunia dan seluruh pelusuk tanahair. Presiden PAS sendiri merupakan tokoh ulamak antarabangsa apabila dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusof Al Qaradawi. Tuan Guru Abd Hadi Awang menjadi pakar rujuk dunia Islam dan sering menyampaikan ucapan di persidangan antarabangsa dunia Islam dan juga tokoh rujukan konflik antarabangsa dunia Islam. Tuan Guru Dr Haron Din adalah tokoh dakwah dalam negara ini yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau selama ini menjadi rujukan dari pelbagai pihak samada dari kawan mahupun lawan. Ketokohan Ustaz Dr Haron Din dalam bidang dakwah yang satu ketika dahulu merupakan panel forum dakwah terkenal di rancangan televisyen yang menaikkan kepopularan rancangan tersebut dan kemudiannya digam oleh pihak televisyen disebabkan beliau terlibat dengan PAS. Boleh dikatakan dalam negara ini bahawa ketokohan dalam jurusan dakwah Islam Tuan Guru Dr Haron Din belum ada sesiapa yang menandingi beliau di negara ini dalam aspek tertentu. Begitu juga pimpinan dan aktivis PAS lain yang memainkan peranan menyampaikan dakwah Islam di serata pelusuk negara, masjid serta surau dan pelbagai lapangan termasuk dalam kalangan kelompok masyarakat UMNO, Bukan Islam dan juga ahli seni seperti pelakon dan penyanyi. Bermakna bahawa PAS sekarang ini telah mendapat pengiktirafan tinggi dalam sejarah perjuangannya.

Ketiga, ini adalah satu penghargaan buat PAS dengan penglibatan dalam MPI. Keilmuan dan kepakaran ahli PAS dalam agama dan hal ehwal agama telah diperakui dengan perlantikan ini dan ia adalah satu penghargaan yang cukup tinggi buat sebuah parti Islam dalam negara ini. Ia menunjukkan juga bahawa nama Islam pada PAS sudah tidak lagi boleh dimomokkan dan disindir kerana selayaknya PAS sebuah jamaah dan parti yang berasaskan Islam sudah diakui ke'Islaman'nya. Jelas sudah Islam yang asas perjuangan PAS tidak lagi dipandang sebagai perkara kecil dan tidak penting tetapi sekarang ia menjadi satu kekuatan yang ada pada PAS yang tidak dimiliki oleh parti dan kumpulan yang lain.

Marilah kita menghayati maksud dan mencungkil pemahaman daripada ayat diatas agar kita menjadi pejuang Islam yang berjuang atas paksi Feqah Jihad menerusi al Quran dan As Sunnah Nabi s.a.w.

Wallahua'alam

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan
Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.
Merangkap
Setiausaha
Dewan Ulamak PAS Selangor.
17 Febuari 2016 / 9 J. Awal 1437h.
https://www.pas.org.my/artikel-berita-dupp/7625-matang-dan-sejahtera-pas-mulai-diiktiraf-dan-diakui

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej