Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, February 17, 2016

PAGI YANG SYAHDU BERSAMA AYAH CHIK

PAGI YANG SYAHDU BERSAMA AYAH CHIK ( Tok Guru Haji Hadi )

Oleh : Alang Ibn Shukrimun

Pagi ini, kami penduduk Rusila memulakan hari dengan suasana yang penuh syahdu dan sayu. Alhamdulillah Ayah Chik berkesempatan untuk mengimami solat Subuh kami berjemaah. Seperti biasa, para jemaah yang tenang menunggu ketibaan kelibat beliau dari pintu khas yang dibuat berdekatan dengan rumahnya.

Rakaat yang pertama, Ayah Chik memilih untuk membaca firman Allah di akhir surah al-Baqarah bermula ayat 284. Beliau memulakannya seperti biasa. Sampai pada ayat terakhir, dengan tiba-tiba suara beliau berubah. Nafasnya jadi tersekat-sekat dan sebak ketika melafazkan ayat
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengambil kira kesalahan kami jika kami lupa atau kami tersalah."

Selepas itu beliau berhenti seketika. Kemudian menyambung lagi:
رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا
"Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami."

Ayah Chik berhenti lagi. Suaranya bertambah sebak dan sayu. Hati saya sudah mula diruntun kalam-kalam tuhan yang dialunkannya. Kemudian beliau meneruskan:
رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya."

Sekali lagi beliau berhenti. Kali ini panjang daripada biasa. Nampaknya beliau benar-benar menghayati maksud setiap yang dilafaznya. Seolah lafaz itu dipendam begitu lama dalam hatinya sebelum punya kekuatan untuk menuturnya.

Tidak lama selepas itu beliau menyambung.
وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ
"Maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan rahmatilah kepada kami"

Seperti sebelumnya, beliau juga berhenti. Tetapi kali ini beliau mengulang ayat ini sebanyak dua kali. Kali kedua itu lebih nyaring, kasar dan sebak suaranya dari yang pertama. Lalu beliau mengakhiri ayat sebelum rukuk dengan firman Allah:
أَنْتَ مَوْلَانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Pada rakaat kedua pula, suaranya berubah menjadi semangat. Beliau membacakan surah al-Hajj bermula ayat 38. Apabila tiba di hujung ayat 40, suaranya semakin ditekan iaitu ayat:
وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
"sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa"

Apabila menyambung ayat 41, suaranya makin ditekan tanda semangat. Lafaz Firman Allah itu berbunyi:
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."

Saya yang berada di belakang beliau juga berubah mood selari apa yang dibaca. Daripada memanjat pengharapan pada Allah di rakaat pertama, kepada membugar semangat untuk menuntut kemenangan di jalanNya.

Sesiapa yang pernah solat di belakang Ayah Chik, pasti akan mendapati hampir setiap ayat yang dipilih untuk dibaca adalah berkenaan dengan jihad. Sesuailah dengan keadaan dirinya yang telah menginfakkan seluruh usiamya di medan jihad.

Memandangkan pagi itu adalah giliran saya menyampaikan tazkirah Subuh, usai solat saya terus naik ke meja kuliah dan memulakan tugasan yang diamanahkan. Hari ini cerita berkenaan seorang sahabat bernama Abu Talhah Zaid bin Ashal al-Ansari.

Membacakan kisah sahabat agung itu, sekali lagi jiwa saya bergetar, mengenangkan pendirian sahabat ini dan sosok Ulama yang sedang memimpin kami kini. Detik ketika usia sahabat itu menjelang tua, beliau masih memiliki semangat bagai anak muda. Ketika Khalifah pada waktu itu iaitu Saidina Uthman merancang sebuah angkatan jihad melalui jalan laut, seperti biasa Abu Talhah terus mempersiapkan kelengkapannya untuk memenuhi perintah tuhan. Beliau tidak pernah terlepas satupun peperangan sejak Badr

Namun anak-anaknya pula keberatan membenarnya bapanya pergi. Sebelum bertolak,  mereka berkata kepada ayahnya.
"Wahai Ayah. Bukankah kamu sudah begitu tua? Kamu telah berjuang dari zaman Rasulullah, Abu Bakar dan kemudiannya Umar. Biarlah kamu berehat saja sekarang dan biarlah kami sahaja yang berjuang untukmu"

Mendengar rayuan anaknya itu, Abu Talhah dengan tegas menjawa  menjawab:
"Bukankah tuhan telah berfirman:
"انفروا خفافا وثقالا"
(Keluarlah kamu berjuang samada dalam keadaan ringan mahupun berat.)

Tuhan memerintahkan kepada semua untuk keluar berjuang walau apa jua keadaan. Tidak kira muda mahupun tua. Tuhan tidak pernah mengehadkan umur!"

Lalu beliau terus melangkah kaki menuju kapal yang bersedia untuk berlayar.

Namun takdir Allah, beliau jatuh sakit di atas kapal dan mati di sana. Selepas tujuh hari, barulah para sahabat lain menemui sebuah pulau lalu jenazahnya disemadikan di sana.

Ketika menyampaikan kisah ini, hati saya membayangkan sosok yang mengimami solat Subuh tadi. Mungkin beginilah imannya. Beliau sudah berada di jalan perjuangan ini sejak zaman belajarnya lagi. Daripada peringkat cawangan, kepada kawasan, menjadi wakil rakyat, pesuruhjaya negeri seterusnya Menteri Besar, Timbalan Presiden, Presiden sehinggalah dilantik sebagai ulama no.2 di dunia. Pasti sekali beliau ingin perjalanannya ini berterusan hingga akhir hayatnya.

Semoga tuhan sentiasa mengiringi perjalanan mu untuk menuntut janji tuhan. Aku jua akan sentiasa mengiringimu di jalan ini segagah kudrat yang ada, dan akanku tetap teruskannya selepas dikau tiada lagi...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej