Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Tuesday, February 9, 2016

Pembekal 1.5 juta pekerja Bangladesh bakal kaut untung, kata kesatuan

Pembekal 1.5 juta pekerja Bangladesh bakal kaut untung, kata kesatuan
OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Published: 15 January 2016 8:52 AM

Keuntungan luar biasa yang akan diperoleh syarikat pembekal pekerja asing mula menjadi perhatian apabila Putrajaya merancang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh walaupun kebanyakan syarikat mula mengecilkan jumlah kakitangan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016.
Keuntungan luar biasa yang akan diperoleh syarikat pembekal pekerja asing mula menjadi perhatian apabila Putrajaya merancang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh walaupun kebanyakan syarikat mula mengecilkan jumlah kakitangan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016.

Keupayaan membuat keuntungan sehingga 50% daripada perkhidmatan perniagaan pembekal pekerja asing menjadi penyebab industri berkenaan begitu menguntungkan dan terdedah kepada penyalahgunaan kuasa walaupun Putrajaya cuba mengawalnya, kata kesatuan sekerja.
Pembekal tenaga buruh asing mampu mengaut keuntungan antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk setiap pekerja asing yang dibawa masuk, kata pakar dan syarikat dicaj antara RM8,000 hingga RM12,000 sekepala.

Keuntungan luar biasa industri berkenaan mula menjadi perhatian apabila Putrajaya merancang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh walaupun perniagaan semakin perlahan dengan syarikat mula mengecilkan jumlah pekerja tempatan.

Memetik kesatuan sekerja, The Malaysian Insider semalam melaporkan keuntungan berbanding keperluan pasaran mungkin menjadi faktor rancangan untuk membawa 1.5 juta pekerja warga Bangladesh itu dibawa masuk ke negara ini walaupun perniagaan menghadapi cabaran tahun ini.
Pengkritik polisi pekerja buruh mendakwa pembekal perkhidmatan buruh asing sedang berusaha mengaut keuntungan daripada kemasukan pekerja Bangladesh itu.

Antara yang turut mengaut keuntungan adalah permohonan pengurusan atas talian untuk membawa pekerja berkenaan ke dalam negara ini, dan diserahkan kepada syarikat Synerflux Sdn Bhd.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, N Gopal Kishnam berkata syarikat tempatan cenderung memilih pekerja asing kerana mereka lebih mudah diuruskan berbanding pekerja tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, N Gopal Kishnam berkata syarikat tempatan cenderung memilih pekerja asing kerana mereka lebih mudah diuruskan berbanding pekerja tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Januari, 2016.

Menggaji pekerja asing adalah lebih murah antara RM200 hingga RM300 seorang berbanding pekerja tempatan, menjadikan mereka lebih popular untuk diambil bekerja, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, (MTUC) N Gopal Kishnam.
"Syarikat-syarikat ini gemar menggaji pekerja asing kerana mereka lebih mudah diuruskan berbanding pekerja tempatan. Mereka kurang merungut sebaliknya bekerja keras," katanya.

Sebagai contoh, syarikat tidak perlu membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sumbangan Keselamatan Sosial (Socso) bagi menggaji pekerja asing, kata Gopal.

Malah, gaji mereka juga tetap selama 3 tahun kontrak tanpa sebarang kenaikan, manakala pekerja tempatan kebiasaannya meminta kenaikan gaji setiap tahun. Pekerja tempatan dan warga asing juga dibayar pada kadar berbeza untuk kerja lebih masa.

Gopal mengesyaki rancangan membawa 1.5 juta pekerja warga Bangladesh berkait rapat dengan pemberhentian pekerja tempatan pada 2015, trend yang dijangka berterusan tahun ini.

Tahun lalu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan 20,000 tenaga kerja diberhentikan. Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk 6,000 pekerja Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang sedang menjalankan penstrukturan semula.

Gopal berkata, jumlah itu dijangka meningkat 2 kali ganda kerana syarikat menawarkan pemberhentian secara sukarela. Tidak seperti pemberhentian, syarikat tidak memerlukan kebenaran Jabatan Buruh untuk melaksanakan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) dan Skim Pelepasan Sepakat (MSS).

"Namun hasilnya sama kerana syarikat mahu mengeluarkan kakitangan yang tidak lagi mereka mahukan. Kemudian bila pekerja asing dibawa masuk, mereka gajikan mereka untuk tugas sama tetapi gaji lebih rendah."

MEF turut menolak dakwaan berkenaan, sebaliknya berkata undang-undang memastikan pekerja asing akan menjadi mereka yang diutamakan untuk diberhentikan.

"Undang-undang sangat ketat, pekerja asing perlu diberhentikan terlebih dahulu. Kita tidak boleh berhentikan pekerja tempatan dan gantikan dengan pekerja asing.

“Malah, untuk mendapatkan pekerja asing syarikat perlu membuat permohonan terlebih dahulu kepada Jabatan Buruh," kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.

Pekerja asing juga sering kali melalui perjanjian sukar, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, kerana dalam majoriti kes, levi mereka dicaj syarikat kepada pekerja asing.

"Synerflux membuat untung hampir RM3,000 bagi setiap pekerja asing. Walaupun duit itu dicaj kepada syarikat, pekerja akan membayarnya melalui potongan gaji."

Juga terdapat pelbagai kes pembekal pekerja asing mendera pekerja mereka, tidak memberikan kerja yang dijanjikan dan paling teruk tidak dibayar gaji, kata Santiago.

Beliau berkata, akhirnya pekerja tempatan juga akan terkesan dengan ketagihan pekerja asing yang lebih murah. – 15 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pembekal-1.5-juta-pekerja-bangladesh-bakal-kaut-untung-kata-kesatuan#sthash.BtEp98o2.dpuf

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej