Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Sunday, February 28, 2016

TOLAK IDEALISME UMNO : SELAMATKAN AHLI UMNO

TOLAK IDEALISME UMNO : SELAMATKAN AHLI UMNO

Sikap PAS dari dahulu sentiasa konsisten dalam perjuangannya. Bahawa perjuangan Islam adalah perjuangan bukan berlandaskan emosi, kebencian, dendam kesumat dan juga adu domba.

PAS sebuah parti dakwah di samping parti atau jamaah yang bergerak di lapangan siyasah sentiasa berjalan dalam lapangan ini mengikut lunas dan garis panduan hukum syarak dan juga ilmu siyasah syarieyyah daripada apa yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w.

Teringat kata-kata Al Marhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, bahawa kalau UMNO menerima Islam sebagai dasar bernegara dan bermasyarakat, PAS akan dibubarkan. Ini bermakna bahawa dasar UMNO adalah dasar yang jauh menyimpang daripada Islam dan perlu diperbetulkan.

Tuan Guru Presiden apabila menyatakan bahawa PAS tidak akan turut serta dalam himpunan Anti Najib pada 27 Mac depan adalah mesej jelas satu pendirian yang amat wajar untuk difahami bahawa PAS tidak sama sekali mengamalkan sikap berdendam dan membenci batang tubuh manusia yang melakukan kesalahan mahupun kezaliman. PAS hanya menbenci perbuatan kezaliman, kekufuran, maksiat dan juga penyelewengan. UMNO yang hidup dengan sistem nasionalisme sempit dan mengamalkan sistem sekularisme dalam pemerintahan negara perlu diubah dan digantikan keseluruhan pendominasian itu dengan sistem Islam.

Tidak akan memberi apa-apa kesan apabila hanya sekadar kita menggantikan orang yang memimpin UMNO dan negara ini masih lagi kekal dengan sistem  penjajah dalam UMNO yang mentadbir negara. Selalu ditegaskan oleh PAS bahawa jangan digantikan sistem jahiliyyah atau penjajah dengan jahiliyyah atau penjajahan yang lain dalam bentuk baru.

Inilah perjuangan PAS.

Dakwah PAS terhadap rakyat dalam politik ialah untuk mengajak dan menyeru seramai-ramainya masyarakat dalam negara ini untuk bersama dengan Islam dan kesyumulan Islam samada mereka yang berada dalam UMNO, orang Islam yang lain dan juga bukan Islam.

Dalam kaedah berdakwah, diajar oleh Islam bahawa kita ditugaskan untuk menyeru umat manusia kepada Islam, mendidik dan menanam kecintaan kepada Islam dalam jiwa manusia, menerima sesiapa sahaja bersama Islam selama dia setuju dan menerima kesyumulan Islam sekalipun dia memiliki rekod buruk dalam sejarah peribadinya.
Kata-kata P Ramlee dalam salah satu filemnya, "..sedangkan Nabi memaafkan ummat, apatalagi kita..". Bukankah akhlak ini diajar oleh Nabi s.a.w. kepada kita apabila Nabi s.a.w. sentiasa berdoa agar dikurniakan hidayah iman kepada salah seorang musuh Islam pada waktu itu.? Iaitu Abu Jahal dan Umar Al Khattab agar pengIslaman mereka dapat membantu perjuangan Islam. Maka Allah s.w.t. memaqbulkan doa Baginda s.a.w. dengan pengIslaman Saidina Umar Al Khattab.

Inilah dakwah dan politik Islam yang wajib difahami oleh umat Islam yang ingin dibawa oleh PAS. PAS sebuah parti Islam yang tidak sama seperti parti politik yang lain. PAS akan mendokong kaedah politik ini yang sekalipun janggal dan gagal difahami oleh mereka yang enggan mahu mengerti.

Inilah Islam dan politik Islam yang didokong oleh PAS.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al Anfal ayat 33,

وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

BerIstiqamah sehingga Kemenangan.

Al Faqir Ila Robbihi

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan DUPP
20 J. Awal 1437h bersamaan 29 Febuari 2016.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej