Iblis dan keturunannya yang terdiri daripada syaitan dan jin tidak pernah berhenti memerangkap mangsa dan menyesatkannya. Mangsa syaitan tidak mengira sesiapa pun sama ada orang alim atau jahat.
Biodata Iblis
Nama : Iblis La’natullah
Tarikh Lahir : sejak membantah dan eggan sujud kepada nabi Adam.
Status dan martabat diri : Fasiq Kelas Pertama
Agama dan keyakinan : Kufur
Kawasan / daerah jajahan : semua tempat yang tiada disebut nama Allah dan
kemungkaran bermaharajalela
Tempat tinggal tetap : Neraka jahanam
Perhiasan dunia : semua wanita yang tidak menutup aurat
Sahabat handai : golongan penguasa yang zalim
Rakan kongsi : syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia
Kaedah komunikasi : mengumpat, mengadu domba, dan mengintip
Tempat tinggal : Tandas, pasar, pusat beli belah dan tempat-tempat maksiat
Kesukaannya : orang yang lalai dari mengingati Allah
Kelemahan : Istighfar
Sumber rezeki : Harta haram
Tempoh perkhidmatan : hingga hari kiamat
Teman sejawat : orang yang berdiam diri yang tidak mengatakan kebenaran
Makanan disukai : daging orang mati
Yang ditakuti : mukmin yang bertaqwa
Cita-cita : supaya semua orang menjadi kafir
Para penghiburnya : seniwati dan seniman
Buku bacaan dan muzik : syair, sajak, kata-kata kesat, seruling
Tipu Daya Syaitan
Terdapat 7 cara dalam menjayakan cita-citanya untuk menyesatkan manusia dan jin untuk dijadikan mereka sebagai penduduk neraka. Cara-cara syaitan termasuklah melarang manusia beribadat kepada Allah, sentiasa memujuk manusia agar tidak taat, mendorong manusia agar tergesa-gesa, mandorong agar beramal kerana manusia, memuji amalan seseorang, menyebarkan penyakit riya’, dan menanamkan keraguan.
1) Melarang manusia beribadat kepada Allah
Kerja harian syaitan adalah melarang seseorang melakukan amal ibadat kerana Allah. Tetapi jika seseorang itu dipelihara oleh Allah akan menolak seruan syaitan dan megatakan “ aku mengharap pahala dari Allah dengan melakukan pelbagai ketaatan dan amal ibadat, aku harus mempunyai bekalan demi akhirat yang kekal”.
2) Memujuk manusia agar tidak taat
Syaitan akan berbisik kepada seseorang “Nanti sahaja atau sudah tua kelak”. Orang – orang yang terpelihara dari Allah akan menolak dan megatakan “ kematianku bukan berada ditangan mu. Jika aku melengah-lengahkan amalan hari ini atau esok hanya mendapat kerugian. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal yang berlainan. ”.
3) Mendorong manusia agar tergesa-gesa
Syaitan tidak suka manusia yang menggunakan masa untuk beramal, oleh itu syaitan mendorong manusia supaya tergese-gesa dalam beramal dan mengerjakan kebaikan. Syaitan mengatakan “ cepatlah beramal agar engkau dapat mengejar amalan-amalan yang lain. ”. Tetapi bagi orang-orang yang dipelihara Allah akan mengatakan “ Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna”.
4) Mendorong agar membuat amalan kerana manusia
Syaitan akan menyuruh manusia melakukan amalan baik dengan sempurna supaya tidak dicela oleh orang. Ini kerana syaitan tidak mahu manusia membuat sesuatu amalan kerana Allah. Tetapi bagi seseorang yang amalannya dipelihara Allah akan mengatakan “ bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah. Dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia. ”.
5) Memuji amalan seseorang
syaitan tidak suka melihat manusia yang taat melakukan ibadat, apabila seseorang itu beribadat maka syaitan akan berbisik “ betapa tinngi darjatmu kepada orang yang beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurna dirimu”. bagi orang dipelihara oleh Allah akan mengatakan bahawa keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah, bukan kekuatan dan kekuasaanku. Dari Allah lah yang melimpahkan taufik kepadaku agar Dia dapat redhai amalanku, dan memberi pahala yang besar. sekiranya tanpa kurnia-Nya, apalah erti amalanku ini, dibandingkan dengan banyak nikmat Allah yang diberikan kepadaku, di samping dosa aku yang banyak pula.
6) Menyebarkan penyakit riya’
Jika syaitan tidak berjaya melakukan tipu daya dengan memuji seseorang, syaitan akan menyebarkan penyakit riya’ tanpa manusia sedari kecuali orang-orang yang cerdik dan dapat berfikir. Syaitan akan berbisik “ bersungguh-sungguh engkau beramal dengan Allah, jangan sampai diketahui orang lain. Sebab Allah jualah memberitahu kepada orang lain bahawa engkau seorang hamba yang ikhlas”. Dengan kata-kata ini, syaitan dapat menjadikan seseorang itu menjadi riya’. Tetapi kata-kata tersebut tidak akan berjaya kepada orang-orang yang dipelihara Allah kerana orang-orang ini akan mengatakan “ Hai mal’un(yang dilaknat), tiada hentinya engkau menggodaku dan merosakkan amalanku, kini kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku padahal kau bermaksud merosaknya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Dan jika berkehendakkan, Allah akan melahirkan atau menyembunyikan amalanku. Dan jika menghendaki, Allah akan menjadikanku mulia dan hina. semuanya adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia. ”.
7) Menanamkan keraguan
Syaitan sentiasa menjadikan manusia melakukan amal ibadat dalam keadaan ragu-ragu. Syaitan mengatakan “ Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sebab jika Allah telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka mennggalkan ibadah pun tidak menjadi mudarat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia. Dan jika sebaliknya, tidak guna engkau beribadah kerana engkau tetap celaka. ”. bagi orang-orang yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan “ aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintah-Nya. Allah Maha Mengetahui dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendak-Nya. Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku tetap beribadah untuk menambahkan pahala. Dan jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku juga tetap akan beribadah agar aku tidak menyesal. Sekiranya aku masuk ke neraka, padahal aku taat, itu lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana berbuat maksiat. ”.
Pintu-pintu yang dimasuki syaitan
Syaitan akan cuba menguasai dan menakluk manusia jika seseorang itu tidak dapat mengawal sifat-sifat mereka sendiri. Sifat-sifat yang tidak dapat dikawal inilah merupakan pintu-pintu yang dimasuki syaitan. Antara pintu-pintu tersebut ialah nafsu marah dan syahwat. Perasaan marah akan meyebabkan kita kurang sedar serta menjadikan akal lemah dan ketika inilah syaitan menyerang. Hasad dengki dan ketamakkan keduniaan menjadikan pintu-pintu tertutup dan syaitan mengambil kesempatan untuk mengaburi mata manusia.
Pintu kedua ialah orang-orang yang banyak makan. Kekenyangan makanan meyebabkan hilang rasa takut pada Allah, kurang rasa belas kasihan terhadap orang lain, malas menunaikan kewajipan, tidak tertarik dengan kata-kata yang berhikmat, tidak menarik perhatian orang lain ketika memberi nasihat dan ajaran, banyak makan juga mengundang pelbagai penyakit.
Kegemaran menghias diri dan rumah tangga membuatkan manusia mengikut hawa nafsu kerana terkena hasutan syaitan. Seseorang yang berkeinginan dipuji juga mudah dimasuki syaitan.
Pintu keenam ialah sikap gopoh dan tidak menyelidik terlebih dahulu. Sikap ini menghalang seseorang berfikir dan memerhati sesuatu perkara. Manusia yang tidak pernah cukup harta dan wang akan menyebabkan hatinya tidak bersih dan syaitan akan terus menghasutnya.
Sikap kedekut dan takut kemiskinan juga mudah dimasuki syaitan kerana menghalang seseorang itu berbelanja dan bersedekah serta mendorong seseorang mengumpul harta. Selain itu, keterlaluan fanatik atau taksub kepada mazhab serta mendendam dan menghina lawan adalah pintu yang dimasuki syaitan. Sikap keterlaluan ini adalah salah satu cara syaitan merosakkan manusia berilmu yang kurang takutkan Allah, yang lemah penglihatan mata hati terhadap agama dan sangat gemarkan keduniaan.
Perbuatan memikirkan tentang zat dan sifat-sifat Allah tanpa ilmu pengetahuan akan menimbulkan keraguan tentang keaslian agama dan seterusnya boleh menjadikan orang tersebut kafir. Pintu yang kesebelas adalah sikap orang yang sentiasa menyangka buruk sesama kaum muslimin. Sesiapa yang suka menuduh orang lain itu jahat, syaitan akan menghasutnya supaya meneruskan tuduhannya serta menganggap diri sendiri lebih baik. Inilah sebahagian pintu-pintu yang dimasuki syaitan.
Walaubagaimanapun, pintu-pintu ini dapat ditutup dari dimasuki syaitan jika sentiasa berzikir dan mengamalkan ayat kursi. Tetapi zikir mengingati Allah perlulah dipenuhi taqwa dan dibersihkan dari sifat-sifat keji.
Strategi menewaskan syaitan
Allah selalu mengingatkan kita tentang godaan syaitan. Setiap insan ada syaitannya yang selalu menggoda, menyesat dan menghiasinya dengan maksiat. Kita dapat mempertahankan diri dari hasutan dan tipu daya syaitan dengan meminta pertolongan Allah S.W.T. Untuk mendapatkan pertolongan dari Allah S.W.T, kita mestilah melakukan perkara-perkara berikut:
1) Menganggap syaitan sebagai lawan kita
Syaitan mengetahui segala kelemahan jiwa manusia. Oleh itu, kita hendaklah menganggap syaitan adalah musuh utama yang nyata di dunia ini. Iblis bukan sahaja menderhakai Allah tetapi juga bersumpah dengan kekuasaan Allah bahawa ia tetap menggoda segala makhluk Allah melainkan hamba-Nya yang ikhlas dan taat. Al- Quran ada menyebut dalam Surah Shaad, ayat 82-83: “Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba- hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka (orang-orang yang telah diberi taufik untuk mentaati segala petunjuk dan perintah Allah). ”
2) Membaca Al- Quran dan Azan
Syaitan tidak suka orang-orang yang sentiasa menyebut nama Allah. Apabila seseorang itu membaca ayat-ayat suci Al- Quran, syaitan akan menjadi kecil seperti saiz seekor lalat dan apabila mendengar seruan azan, ia berlari lintang-pukang.
3)Membaca ayat kursi
Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid Tsabit menulis serta menyebarkannya. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s.w.t. Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud:"Sesiapa pulang kerumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran didepan matanya. Sabda baginda lagi; "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar. "
4) Menggunakan masa sebaik-baiknya
Allah berfirman supaya kita menggunakan masa dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan salah satu senjata untuk melumpuhkan perangkap syaitan. Allah bersumpah bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali 4 golongan iaitu orang yang beriman, beramal soleh, menasihati atas kebenaran, dan menasihati atas kesabaran. Mereka yang tidak tergolong dari 4 golongan tersebut akan menjadi mangsa dan perangkap syaitan sekiranya mereka terus membazirkan masa dan waktu.
5) Mensyukuri nikmat Allah
Sejak dilahirkan lagi dan hingga sekarang kita diberi bermacam-macam nikmat kurniaan Allah tetapi kita seolah-olah lupa dengan anugerah kenikmatan yang diberi oleh Allah S.W.T. Allah masih sayang kepada hamba-hamba-Nya walaupun masih ramai yang tidak bersyukur. Sebagai menunjukkan kesyukuran terhadap Allah, kita hendaklah mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala amalan ibadat dan meninggalkan segala larangan-Nya.
6) Bertaubat
Manusia diberi akal yang meletakkan kita sebagai makhluk yang berada di kedudukan paling tinggi dan mulia. Manusia dapat menggunakan akal untuk mencipta, menyelidik, dan berfikir sesuatu perkara supaya kehidupan manusia lebih baik. Namun, akal yang diberi itu telah disalahgunakan oleh manusia itu sendiri sehingga menyebabkan manusia berada dalam keadaan jahil. Oleh itu, kita perlu kembali kepada Allah dengan bertaubat, beriman, serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya.
7) Menguasai diri sendiri dengan mengalahkan hawa nafsu
Kita perlu menguasai diri dengan hati yang lembut, bersih dan cekal untuk memerangi hawa nafsu. Orang yang beriman akan berasa gementar hati mereka apabila disebut nama Allah, dan iman mereka akan bertambah kuat. Setiap insan telah diberi akal untuk mendalami ilmu-ilmu islam supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah dan dapat membezakan antara yang baik dan buruk bagi membina kekuatan insan di dalam diri manusia.
8) Mengenali diri sendiri
Untuk mengenali diri sendiri, kita hendaklah menganalisa diri ataupun bermuhasabah. Setiap masa kita perlu mengimbas kembali segala perbuatan yang kita lakukan. Adakah kita menambahkan potensi kekuatan diri kita dan mengurangkan kelemahan diri kita? Jika perbuatan yang kita lakukan adalah amalan yang baik, hendaklah memuji Allah. Tetapi jika kita melakukan sesuatu yang dilarang dalam islam, kita hendaklah memohon ampun kepada Allah dan berdoa kepada Allah S.W.T.
Kesimpulan
Syaitan adalah makhluk ghaib yang perlu wajib kita percaya kerana kewujudannya adalah lebih awal dari manusia. Kita perlu menganggap syaitan adalah musuh paling utama di dunia ini kerana ia mampu menguasai manusia dengan menghasut, menggoda dan melakukan tipu daya terhadap manusia. Tidak hairan lah, ramai yang melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti mencuri, berzina, melakukan penipuan dan lain-lain. Namun bisikan syaitan dapat dihalang jika kita sentiasa mengingati Allah S.W.T dalam apa jua perkara yang kita lakukan.
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA
013-4006206
011-1070-4212
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
https://www.facebook.com/abdaziz.harjin
http://abdazizharjin.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej