HADI TIDAK MAHU AHLI PAS SOKONG LELAKI BERPAKAIAN WANITA
politik
Ahli PAS kini diberi amaran oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu lelaki berpakaian seperti wanita dan sebaliknya, termasuk berkaitan golongan Mak Nyah agar tidak melanggar dasar dan peraturan parti.
Abdul Hadi ketika dalam satu temu bual dengan media Harakah menyebut sesiapa daripada ahli parti yang melanggar dasar dan peraturan tersebut dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin.
"PAS ada dasar. Saya beri peringatan kepada ahli PAS. Jangan terlajak lebih daripada dasar parti. Kalau terlajak, kita tidak teragak-agak membawa kepada Jawatankuasa Disiplin. Itu saya tegaskan," kata Hadi dipetik daripada Harakah.
Peringatan kepada pemimpin PAS turut diberi oleh beliau bagi menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam mengatasi masalah berkaitan Mak Nyah dan pada masa yang sama beliau mendakwa kerajaan pusat tidak bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi keadaan tersebut.
"Bukan kerajaan saja. Kita sendiri pun, termasuklah orang PAS sendiri. Saya tahu, di kalangan orang PAS pun ada yang ikut juga. Itu tidak boleh."
"Saya terang-terang kena sebut juga, PAS ada Jawatankuasa Disiplin. Kalau ada orang PAS yang terikut-ikut, saya tidak teragak-agak bawa ke Jawatankuasa Disiplin," katanya mengulangi amarannya seperti dilaporkan akhbar rasmi parti itu.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau itu bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu yang mengatakan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah di Negeri Sembilan tidak berperlembagaan dalam melarang tiga lelaki Islam berpakaian dan berlagak seperti wanita.
Memetik kenyataan Hadi, percanggahan itu tidak sepatutnya terjadi kerana hukumnya sudah jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.
Berhubung isu tersebut, beliau berkata, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri.
"Perkara ini sudah jelas dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Diharamkan perlakuan orang lelaki tukar kepada perempuan, perempuan kepada lelaki. Itu diharamkan. Sudah nyata benda itu.'
"Jadi, oleh kerana Islam sebagai agama persekutuan, sepatutnya perkara ini dirujuk kepada Majlis Fatwa (sama ada) kebangsaan (dan) negeri masing-masing," katanya.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu turut dibidas oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada Ahad lepas yang menyifatkannya mencabar undang-undang Islam dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, disebabkan keputusan sebulat suara mahkamah tersebut, kedudukan undang-undang Islam yang diiktiraf Perlembagaan kini tercabar
Tambahnya, keputusan itu turut menimbulkan keraguan sejauh mana kedudukan Islam di negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan menegaskan Islam sebagai agama persekutuan.
Keputusan itu juga tidak disokong oleh Khairuddin kerana menurutnya Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi Malaysia tidak wajar dilihat daripada sudut kaca mata penjajah. - Azlin Hussain / UtaraNews.com
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej