Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, January 21, 2015

FAKTA INI AMAT NGERI BUAT RAKYAT MALAYSIA

FAKTA INI AMAT NGERI BUAT RAKYAT MALAYSIA
08:12 ISU SEMASA
Oleh Abu Hassan Adam
Hendak aku bercakap mengenai kejatuhan ringgit, aku tak pandai. Hendak aku cuba memperkatakan tentang kejatuhan harga petrol dipasaran dunia, pun juga aku tak tahu selok beloknya. Yang aku tahu dan yang boleh aku nampak ialah tentang keluhan demi keluhan rakyat tentang berbagai perkara yang menimpa negara ekoran daripada krisis ekonomi yang melanda negara sekarang ini.
Yang boleh aku tumpang rasa simpati dan yang juga menimpa diri aku dan keluarga ialah tentang kenaikan harga barang ekoran daripada kenaikan harga minyak di Malaysia beberapa bulan lalu. Dan malangnya apabila harga minyak telah turun, maka harga barang tidak pula diturunkan. Rakyat yang bodoh seperti aku tidak dapat mencari jawapannya. Mungkin Menteri yang bertanggungjawab boleh memberikan jawpaan kepada rakyat yang amat dahagakan jawapan sedemikian. Akhir kalam Dato A Kadir Jassin dalam artikelnya berjodol,’ Kita Mahukan Malaysia Yang Sejahtera’ bertarikh 17 Januari menyataakan, “ Antara 31 Disember 2013 dan 29 Disember 2014 Bursa saham Pakistan naik 26.3% dalam mata wang nasional dan (31.5%) dalam mata wang dollar. Bursa Indonesia naik 21.2% (18.5%), Bursa Thailand naik 15.4% (15%). Bursa India naik 29.4% (25.6%), Bursa Singapura naik 6.3% (1.5%). Bursa Malaysa JATUH 5.3% dalam mata wang ringgit dan JATUH 11.3% dalam mata wang dollar (Sumber The Economist 3 January 2015).
Untuk kita meneliti tentang harga minyak mentah pula YB Saudara Anwar Ibrahim menjelaskan juga tentang keadaan harga minyak yang terus menjunam. Katanya “Harga minyak mentah Brent terus menurun sebanyak 53% dari tahun lepas, yakni daripada purata AS$108 setong pada Januari 2014 kepada AS$51 secara purata bagi bulan Januari 2015.”
Dan sambung Dato’ A Kadir Jasin lagi,’ kalau kita faham ekonomi, banyak lagi khabar ngeri mengenai Malaysia tercinta. Sebenarnya aku yang tak faham mengenai ekonomi pun sudah merasa ngeri melihatkan akan keadaan negara yang sedemikian. Namun begitu aku merasa hairan juga melihat gelagat setengah pemimpin kita ( kebanyakannya), para menteri misalnya berlagak seperti biasa sahaja. Tidak pun menunjukkan kerisauan tentang keadaan ekonomi negara. Masih berbelanja seperti biasa. Masih mahu ke luar negara, dengan alasan untuk menghadiri mesyuarat. Apakah tidak bolehkah ditangguhkan pemergian ke luar negara untuk menghadiri mesyuarat itu. Apakah penting benar ke mesyuarat yang akan dihadiri itu pada negara kita. Apakah sekiranya dengan ketiadaan pemimpin dari Malaysia, apakah merupakan kerugian besar kepada dunia khususnya negara kita.
Dikhabarkan bahawa perbelanjaan untuk seorang Menteri ke luar negara memakan belanja yang begitu besar apatah lagi sekiranya yang ke luar negara itu Perdana Menteri dan rombongannya. Bukan bermakna rakyat tidak merelakan perbelanjaan sedemikian, namun dalam keadaan negara yang sedang menghadapi krisis ekonomi, dan kerajaan juga meminta kerjasama rakyat untuk melakukan penjimatan, apalah salahnya para pemimpin juga menunjukkan perihatin dan simpati mereka, sama berjimat demi kepentingan negara. Apa salahnya?
Aku pernah mengalami ‘penangan’ krisis ekonomi dan penurunan nilai mata wang tahun 1997. Aku masih teringat bagaimana kerajaan terpaksa menghadkan penghantaran pelajar ke luar negara khsusnya ke Great Britain. Ramai pelajar kita yang sepatutnya berpeluang menuntut di Great Britain terpaksa dibatalkan disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada ketika itu. Apakah keadaan kegawatan ekonomi yang akan melanda negara kali ini akan menjejaskan juga penghantaran pelajar ke luar negara?
Sudah sampai masanya kerajaan terpaksa menjelaskan keadaan sebenarnya kedudukan kewangan negara yang meruncing. Sudah sampai juga masanya rakyat diberitahu dengan sejelas-jelasnya berapakah hutang negara yang sedang dideritai kini supaya rakyat tahu tentang beban hutang yang ditanggung kerana rakyat dan anak cucu cicit kita juga yang akan sengsara untuk membayar hutang berkenaan.
Sudah sampai masanya juga agar media milik kerajaan bercakap betul dan benar tentang keadaan negara kini, tentang krisis ekonomi yang bakal kita harungi pada tahun 2015 ini. Tidak perlulah kita berlagak sebagai orang kaya sedangkan kita dalam keadaan miskin dan papa kedana.
Cadangan YB Saudara Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang untuk menubuhkan Jawatankuasa Krisis Nasional untuk menghadapi kelembapan ekonomi seharusnya mendapat perhatian pihak kerajaan. Demi untuk kepentingan rakyat terbanyak DS Najib seharusnya menerima pelawaan tersebut dan harus melupakan perbezaan fahaman politik buat sementara waktu.
Antara cadangan awal YB Saudara Anwar sebagai langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik ialah keperluan memangkas projek-projek mega disamping meneruskan perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.
Dan yang pentingnya ialah peihak kerajaan dan pembangkan duduk semeja membincangkan isu yang dideritai oleh rakyat ini. Semoga dapat dilakukan segera….

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej