Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Thursday, January 29, 2015

Penggunaan nama 'ALLAH' oleh agama lain

Penggunaan nama 'ALLAH' oleh agama lain
Sunday, 09 May 2010 07:18 | Written by Nik Mohd Nazimuddin
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad, juga ke atas para sahabat baginda, kaum keluarganya serta mereka yang ikhlas beristiqamah dan beramanah dalam menegakkan agama Allah Taala hingga akhir hari kiamat.
Firman Allah :
انّماالله اله واحد سبحانه أن يكون له ولد
Maksudnya: “ Sesungguhnya hanya Allah itu, tidak lain melainkan adalah Tuhan yang Maha Esa. Maha Suci Dia (daripada tanggapan) mempunyai anak.” ( An-Nisa : 171 )
Isu penggunaan kalimah ‘Allah’ untuk agama selain daripada Islam hangat diperbahaskan, maka timbul pendapat yang mengharuskannya dengan bersyarat ataupun tanpa syarat dan ada pendapat yang melarangnya sama sekali.
Memandangkan ianya adalah perkara yang serius, yang melibatkan kesucian agama kita yang anuti dan berkenaan dengan diri Tuhan yang Maha Esa, maka menjadi tanggungjawab kami menerangkan persoalan ini, demi ilmu yang diamanahkan. Penjelasan ini tidak menyokong kepada mana-mana pihak dan tidak juga untuk menjaga hati mana-mana golongan, bahkan di atas penilaian keilmuan agama kita daripada keterangan ulama-ulama Islam yang muktabar berserta sumber-sumber daripada agama yang lain.
KALIMAH ‘ALLAH’ BAHASA ARAB, BAHASA QURAN
Pertama kali perlu diketahui bahawa setiap kitab yang diturunkan oleh Allah Taala adalah dalam bahasa masing-masing. Al-Quran di dalam bahasa Arab, Kitab Taurat – bahasa Ibrani, Kitab Injil – bahasa Syiriani, sebagaimana dinyatakan dalam kitab ‘Mawahibus Samad’ oleh Ahmad Bin Hijazi, ketika membicarakan sifat kalam Allah Taala, m/s 6:
والحق قول أهل الحق أنه تعالى متكلم بكلام قديم قائم بذاته فان عبر عنه بالعربية فالقرآن أو بالعبرانية فالتوراة أو بالسريانية فالانجيل الى غير ذلك من الاختلاف في التعبير
Bererti: “Pendapat yang benar adalah pendapat Ahli Sunnah Wa Jamaah bahawa Allah Taala ialah Suatu Zat yang bersifat dengan kalam (berkata-kata) yang qadim-sediakala, yang ada pada ZatNya. Lantaran itu, jika dibuat ungkapan dalam bahasa Arab, maka ianya adalah Al-Quran ataupun dalam bahasa Ibrani, maka ianya adalah Kitab Taurat atau dalam bahasa Syiriani, maka ianya adalah Kitab Injil. Seterusnya kitab-kitab lain di dalam bahasa masing-masing di mana berbeza-beza ungkapan bahasa…”
Begitu juga kalimah ‘Tuhan’ di dalam bahasa masing-masing mengikut bahasa kitab-kitab yang diturunkan pada sesuatu bangsa. Kalimah ‘Allah’ tidak terdapat satu pun disebutkan dalam kitab Taurat, Injil mahupun kitab-kitab lain. Ianya hanya terdapat di dalam Al-Quran yang diturunkan mengikut bahasa Arab dan khusus untuk Tuhan bagi aqidah pegangan orang Islam. Bagaimana mungkin dibenarkan agama-agama lain menggunakan kalimah ‘Allah’ sedangkan lafaz Tuhan adalah mengikut bahasa kitab masing-masing dan mengikut pertuturan bahasa sesuatu bangsa. Untuk membuktikan kenyataan ini, cuba teliti teks-teks berikut:-
1) Syeikhul Islam Zakaria Ansari menyebut dalam ‘Al-Muqaddimah Fil Kalam ‘Ala Basmalah’ m/s 3:
والله علم على ذات الواجب المستحق لجميع المحامد وأصله الاله ثم حذفت همزته وعوض عنها حرف التعريف ثم جعل علما وهو عربي عند الاكثر وزعم أبو زيد من المعتزلة أنه معرب وقيل عبراني وقيل سرياني
Bermaksud: “ Allah adalah nama bagi Zat Yang Wajib Wujud, Yang Berhak bagi sekalian pujian. Asal perkataannya adalah daripada ‘ilah’, kemudian dibuangkan huruf hamzahnya serta digantikan ‘Huruf Ma’rifah’ (Alif Dan Lam), selepas itu dijadikan satu nama (nama Allah) dan ianya (Lafaz Allah) adalah bahasa Arab mengikut kebanyakan Ulama. Abu Zaid daripada kalangan mazhab ‘Muktazilah’ menyangka tanpa bukti yang kukuh bahawa ianya bahasa asing yang dijadikan penggunaannya dalam bahasa Arab. Sesetengah pendapat menyatakan ianya dalam bahasa Ibrani. Ada satu pendapat pula, ianya dalam bahasa Syiriani….”
Huraian
Pendapat kebanyakan Ulama bahawa kalimah ‘Allah’ adalah dalam bahasa Arab, merupakan pendapat yang kuat. Ini kerana jika kalimah ini adalah bahasa Syriani atau Ibrani, nescaya ianya disebutkan dalam kitab Taurat yang berbahasa Ibrani dan juga disebutkan dalam kitab Injil yang berbahasa Syiriani. Pendapat yang menyatakan bahawa kalimah ini dalam bahasa lain seperti bahasa Ibrani dan lain-lain adalah pendapat yang sangat daif dan tidak diterima, sebagaimana yang dinyatakan dalam Tafsir Ibn Kathir pada surah Al-Fatihah, jilid 1, m/s 29:
وحكى الرازي عن بعضهم أن اسم الله تعالى عبراني لا عربي ثم ضعفه وهو حقيق بالتضعيف كما قال
Bermaksud: “ Imam Ar-Razi menukilkan daripada sesetengah ulama bahawa nama ‘Allah’ Taala adalah bahasa Ibrani, bukannya bahasa Arab, kemudian beliau (Imam Ar-Razi) mendaifkan pendapat ini dan ianya pendapat yang sebenar-benarnya berhak dikatakan daif, sebagaimana kata beliau.”
2) Dalam kitab Hasyiah Qalyubi atas Mahalli, kitab Nikah. Jilid 3, m/s 251:
اسم الله بالعربية الله وبالعبرانية ايل وآييل وايلا وبالسريانية ايلا او عيلا وبالفارسية خداى وبالخزرية تندك وبالرومية شمخشا وبالهندية مشطيشا والتركية بيات وبالخفاجية أغان بغين معجمة بعد همزة مضمومة وبالبلغارية تكرى وبالتغرغرية بمعجمتين ومهملتين بعد فوقية أله بهمزة ولام مضمومتين
والله أعلم
Bermaksud: “Nama Allah dalam bahasa Arab ialah ‘Allah’, dalam bahasa Ibrani ialah ‘iil’, ‘Aayiila’ dan ‘iila’, dalam bahasa Syiriani adalah ‘iila’ atau ‘iila’ (dengan huruf ‘ain), dalam bahasa Farsi: ‘Khuda’, dalam bahasa Khazariyyah: ‘Tandak’, dalam bahasa Rom Itali: ‘Sham-khi-sha’, dalam bahasa Hindi: ‘Mash-thi-sha’, dalam bahasa Turki: ‘Bayaat’, dalam bahasa Khafajiyyah: ‘Ughan’, (dibaca dengan huruf Ghain bertitik selepas huruf Hamzah yang berbaris hadapan), dalam bahasa Bulgaria: ‘Takra’, dalam bahasa Tagh-ragh-riyyah, (dibacakan dengan dua huruf Ghain bertitik dan dua huruf Raa yang tidak bertitik selepas huruf Taa bertitik atas) : ‘Uluh’ (yang dibacakan dengan huruf Hamzah dan huruf Laam yang dibariskan hadapan keduanya), Wallahu’aklam…..”
Kerana memahami bahawa kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Arab dan nama khusus bagi Tuhan Yang Esa, hanya untuk penganut agama Islam, tertera dalam Kamus Dewan edisi ketiga m/s 31, berbunyi:
“ Allah (Ar) Tuhan Yg Esa.”
# Singkatan (Ar) di atas merujuk kepada bahasa Arab.
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas, bahawa kalimah ‘Allah’ adalah dalam bahasa Arab yang merupakan bahasa Al-Quran. Ianya juga nama yang Khusus untuk mereka yang mempercayai dan berpegang dengan Al-Quran. Kalimah tersebut juga tidak terdapat dalam kitab-kitab lain dan tidak dituturkan oleh bangsa-bangsa selain Arab. Ini kerana lafaz Tuhan, disebut mengikut bahasa masing-masing. lantaran itu, apakah alasan untuk membenarkan penggunaanya bagi penganut-penganut selain agama Islam??
ALLAH TUHAN YANG ESA DI SISI KEPERCAYAAN AGAMA ISLAM (pengiktirafan daripada orang bukan Islam)
Pengiktirafan daripada kalangan orang barat sendiri yang beragama Kristian mengakui bahawa ‘Allah’ adalah nama Tuhan bagi orang-orang Islam seperti yang disebutkan dalam:
‘Oxford Student’s Dictionary Of Current English’ m/s 18:
“Allah / ‘aele / n name of God among muslims.”
Ertinya: “Allah adalah nama Tuhan di kalangan orang Islam.”
‘A Dictionary of Modern Written Arabic’ m/s 24, oleh Han Wehr edited by John Milton Cowan: “ الله allah Allah, God (as the one and only).”
Ertinya: “ Allah, Tuhan (Yang Esa dan Tiada Selain).”
‘The Little Oxford Dictionary’, m/s 13: “Allah / ‘aele / n. Muslim name of God.”
Ertinya: “ Allah ialah nama bagi Tuhan orang Islam.”
Kamus Dwibahasa Oxford edisi keempat oleh Joyce M. Hawkins, m/s 11: “Allah n. Allah, Tuhan orang Muslim.”
Kesimpulan
Pengiktirafan orang bukan Islam sendiri, sama ada dalam negara mahupun luar negara bahawa kalimah ‘Allah’ itu khusus untuk Tuhan Yang Esa bagi penganut-penganut Agama Islam. Maka bagaimana pula boleh timbul/tercetusnya tuntutan penggunaan kalimah tersebut daripada kalangan bukan Islam serta dibenarkan penggunaannya??? Ataupun ianya mempunyai suatu agenda disebaliknya???
NAMA TUHAN YAHUDI DAN KRISTIAN
Nama Tuhan bagi agama Yahudi dan agama Kristian yang terdapat di dalam kitab suci mereka ialah ‘iila’ atau ‘iila’ (dengan huruf ‘Ain) dan ‘iil’ atau ‘aayila’. Tidak terdapat satu pun kalimah ‘Allah’ sebagai Tuhan di dalam kitab-kitab mereka, sebagaimana tersebut:-
1. Dalam kitab Hasyiah Qalyubi (Syarah Mahalli), kitab Nikah, Jilid 3, m/s 251:
(قوله اسرائيل) معناه عبد الله وكذا كلّ ما أضيف الي ايل الذي هو اسم الله بالعبرانية نحو جبرائيل وميكائيل واسرافيل (فائدة مهمّة) اسم الله بالعربية الله وبالعبرانية ايل وآييل وايلا وبالسريانية ايلا او عيلا…
Ertinya: “(Katanya: ‘Israil’) Maknanya hamba Allah. Demikianlah juga setiap perkataan yang disandarkan kepada lafaz ‘iil’ yang mana ianya adalah nama ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani, contohnya; ‘Jibrail’, ‘Mikail’, ‘Israfil’. (Ini Suatu Faedah Yang Penting): Nama ‘Allah’ adalah dalam bahasa Arab, dalam bahasa Ibrani ialah ‘iil’ dan ‘iila’ dan dalam bahasa Syiriani ialah ‘iila’ atau ‘iila’ (dengan huruf ‘Ain)…..”
2. Tafsir Qurtubi, jilid 1, m/s 331:
قال ابن عباس اسرا بالعبرانية هو عبد وايل هو الله
Ertinya: “ Ibn Abbas berkata: Lafaz ‘isra’ adalah bahasa Ibrani iaitu maknanya ‘hamba’ dan lafaz ‘iila’ ialah ‘Allah’….”
3. Tafsir Imam Nasafi, jilid 1, m/s 44:
(يا بني اسرائيل) هو يعقوب عليه السلام وهو لقب له ومعناه في لسانهم صفوة الله أو عبد الله فاسرا هو العبد أو الصفوة وايل هو الله بالعبرية
Ertinya: “ (Wahai Bani Israil-keturunan Israil) iaitu Yaakub ‘alaihissalam. Ianya (Israil) sebagai gelaran untuknya (Yaakub). Makna ‘Israil’ mengikut bahasa mereka (bahasa Ibrani) bererti ‘pilihan Allah’ atau ‘hamba Allah’. Maka lafaz ‘isra’ itu maknanya ‘hamba’ atau ‘pilihan’ dan lafaz ‘iil’ bererti ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani….”
4. Tafsir Qurtubi jilid 8, m/s 79 pada surah At-Taubah ayat 8, ketika menerangkan lafaz ‘ill’:
الأزهري : اسم الله بالعبرانية وأصله من الأليل وهو البريق يقال ألّ لونه يؤلّ ألاّ أى صفا ولمع
Maksudnya: “ Al-Azhari (ulama bahasa Arab) menyatakan: ‘ill’ adalah nama ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani. Asal kalimah ini daripada ‘Al-Alil’ iaitu bererti: bergemilang cahaya, disebut dalam bahasa Arab: Alla launuhu, Yaullu; Allan ; bererti: Putih Bersih warnanya serta bergemilang…”
5. Kamus ‘Al-Munjid Fil Lughah’, oleh Paderi Loius Ma’luf , m/s 22:
ايل: اسم الله تعالى معناه في العبرانية القويّ القدير
Ertinya: “ Lafaz ‘iil’ adalah nama Allah Taala. Maknanya dalam bahasa Ibrani bererti ‘Yang Kuat dan Berkuasa’.”
# Perhatikan pengiktirafan daripada paderi Kristian sendiri iaitu Paderi Loius Ma’luf tentang lafaz ‘iil’ dalam bahasa Ibrani yang bererti ‘Yang Kuat dan Berkuasa’. Kenyataan beliau memberi faham bahawa:
‘iill’ adalah nama Tuhan bagi agama Kristian kerana kitab Bible adalah di dalam bahasa Syiriani atau Ibrani.
Lafaz ‘ill’ mempunyai makna asal yang tersendiri iaitu ‘Yang Kuat dan Berkuasa’ .Justeru, makna asalnya tersebut membawa maksud kepada nama Allah, bukannya bererti lafaz ‘iil’ itu terjemahan betul-betul kepada nama Allah.
Berdasarkan penjelasan paderi di atas, bagaimana boleh dikatakan bahawa kalimah ‘Allah’ adalah umum untuk agama Kristian atau untuk agama-agama lain???
6. Dalam Kitab ‘Al-Asna Fi Syarhi Asma-iLLah Al-Husna, m/s 493, oleh Imam Qurtubi yang menafsirkan ayat: ” لا يرقبون في مؤمن الاّ ولا ذمّة ” Ertinya: “ Mereka (orang-orang kafir) tidak memelihara nama Tuhan atau hubungan kerabat terhadap kaum mukmin dan tidak pula mengendahkan perjanjian (At-Taubah : 10) ,” di mana beliau mengemukakan dalil bahawa ‘ill’ adalah salah satu nama Allah, berbunyi:
قال الشعبي الالّ الله أو قال ربّ وعن مجاهد وابن زيد : الّ عهد وعن مجاهد أيضا هو اسم من أسماء الله عزّ وجلّ الأزهري هو اسم الله بالعبرانية وقال أبو بكر الصدّيق رضي الله عنه لماّ عرض عليه كلام مسيلمة لعنه الله : ان هذا الكلام لم يخرج من الّ أي من ربوبية وفي حديث لقيط عن النبي صلى الله عليه وسلم أنبئك بمثل ذلك في الّ الله يعني في قدرته والاهيّته قال الأقليشيّ : فاذا كان الالّ اسما لله تعالى فانه تسمّى به لقوته وشدة أيده وعظم بطشه….
Ertinya: “As-Sya’biy memberitahu: Lafaz ‘Al-illa’ ialah bererti ‘Allah’ atau mungkin beliau berkata (Perawi tidak pasti apa yang As-Sya’bi katakan): ‘Al-illa’ ialah bererti ‘Tuhan’. Dinukilkan daripada Mujahid (murid Ibn Abbas) dan Ibn Zaid: Lafaz ‘ill’ bererti ‘janji’ (maksud ‘ill’ untuk Ayat ini sahaja). Juga dinukilkan daripada Mujahid: Ianya (Lafaz ‘ill’) adalah satu nama daripada nama-nama Allah Azza Wajalla. Al-Azhari menyatakan: Ianya adalah nama ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani. Abu Bakar As-Siddiq r.a.d berkata ketika dikemukakan perkataan Musailamah la’natullah (yang dilaknat oleh Allah): Ini perkataan bukannya terbit daripada ‘ill’ iaitu daripada Ketuhanan. Terdapat dalam hadis Laqith dari Nabi saw bersabda, maksudnya: Aku akan beritahu engkau seumpama demikian tentang illal-Lah, (kata Perawi): yakni tentang kekuasaan Allah dan sifat ketuhananNya. Al-Uqlisyi menerangkan: Jika adalah ‘iil’ satu nama bagi Allah Taala maka sesungguhnya Allah diberi nama dengannya (‘iil’) kerana keperkasaanNya, bersangatan kekuasaanNya dan Maha Membalas /Mengazab…”
Perhatian
Segala nukilan yang menegaskan lafaz ‘ill’ itu bererti ‘Allah’, bukanlah bermaksud kalimah ‘Allah’ juga terdapat dalam kitab-kitab lain. Jika tidak, tentulah kalimah ‘Allah’ didapati tercatat di dalam kitab-kitab mereka. Begitu juga, bukannya lafaz ‘illi’ ialah terjemaahan betul-betul kepada kalimah Allah. Keterangan-keterangan ulama Islam terhadap lafaz ‘iil’ bermaksud Allah adalah nukilan secara ringkas dan secara kasar sahaja.
Sebenarnya kalimah itu mempunyai makna-maknanya yang tersendiri, di mana pergertian tersebut menunjuk kepada zat Allah. Makna-makna ‘ill’ yang dinukilkan di atas seperti Tuhan (Rabb), Berkuasa, Kuat, Maha Membalas/Bertindak-Balas/Mengazab dan sebagainya, adalah merujuk kepada Allah. Ini dapat dibuktikan dengan pengamatan yang betul-betul terhadap segala teks-teks ulama Islam berkenaannya, seperti teks nukilan daripada Al-Azhari no: 6 di atas secara ringkas, berbunyi: “Al-Azhari menyatakan: Ianya adalah nama ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani.” Manakala kenyataan daripada beliau juga yang dinukilkan secara terperinci no: 4, berbunyi: “ Al-Azhari (ulama bahasa Arab) menyatakan: ‘ill’ adalah nama ‘Allah’ dalam bahasa Ibrani. Asal kalimah ini dari ‘Al-Alil’ iaitu bererti: bergemilang cahaya…” Ini menunjukkan bahawa lafaz ‘iil’ mempunyai makna-maknanya yang tersendiri yang membawa maksud kepada Zat Tuhan.
Sebagai membenarkan kenyataan ini, dapat dibuktikan juga dengan teks Injil Matius/Matthew menurut bahasa Syiriani atau Ibrani itu sendiri (27:46, lihat Al-Kitab Al-Muqqadas, terbitan Darul Kitab Al-Muqqadas, Timur Tengah) yang berbunyi:
” ايلي ايلي لما شبقتني أى الهي الهي لماذا تركتني”
Bermaksud: “ E’li, E’li lama shabaqtani.” Ertinya: “ Ya Tuhanku, Ya Tuhanku! Kenapakah engkau tinggalkan daku?”
‘The Holly Bible Containing The Old And New Testaments’ oleh King James Version, terbitan American Bible Scociety New York, juga tercatat:
“ E’li, E’li, la’ma sa-bach’ tha-ni? That is to say, My God, My God, Why hast thou forsaken me? ”
Cuba lihat bahawa terjemahan Bible dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa English ketika menterjemahkan lafaz ‘iil’ mengikut bahasa Syiriani atau Ibrani dengan makna ‘Tuhan”. Lebih-lebih lagi, lafaz Allah tidak disandarkan dengan ganti nama, tidak pernah disebut : “Ya Allahku!”, bahkan di sini menyebut ‘ iilii/E’li ’ dengan ganti nama diri bererti: “Ya Tuhanku!”
Kesimpulan
Nama Tuhan bagi agama Yahudi dan agama Kristian adalah mengikut bahasa masing-masing.
Nama tersebut mempunyai makna-makna yang tersendiri, bukannya terjemahan betul-betul daripada kalimah ‘Allah’. Manakala kalimah Allah tiada terdapat satu pun dalam kitab-kitab mereka.
Berdasarkan kesimpulan tersebut, maka tiada sebab yang dapat ‘membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan oleh agama mereka, bahkan tidak bagi agama-agama lain daripada Islam, kerana ianya nama Tuhan yang khusus untuk agama Islam, di mana terpelihara Kitab Suci agama ini (Al-Quran) daripada ubahan dan penyelewengan.
LARANGAN MENGGUNAKAN NAMA ALLAH KEPADA SEBARANG SEKUTU
Allah Taala melarang namaNya disandarkan kepada segala bentuk kesyirikan dan segala perkara yang tidak layak dengan ZatNya Yang Maha Mulia. Pengharaman ini jelas, sebagaimana yang dinyatakan oleh dalil-dalil syara berikut:
Dalil Pertama
يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم ولا تقولوا على الله الاّ الحقّ انّما المسيح عيسى ابن مريم رسول الله وكلمته ألقاها الى مريم وروح منه فآمنوا بالله ورسله ولا تقولوا ثلاثة انتهوا خيرا لكم انّماالله اله واحد سبحانه أن يكون له ولد له ما في السموات وما في الارض وكفى بالله وكيلا
( النساء : 171 )
Maksudnya: “ Wahai Ahli Kitab (Penganut Kristian)! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu. Janganlah berkata pada Allah melainkan yang sebenar. Hanya ‘Al-Masih, Isa Bin Maryam itu’ adalah utusan Allah dan kalimahNya yang disampaikan kepada Maryam dan juga roh yang dijadikan olehNya (dengan memerintahkan Jibrail meniupkan roh tersebut kepada Maryam), Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Sekalian rasulNya, serta janganlah kamu mengatakan: “ Tuhan itu tiga,” Berhentilah daripada ucapan sedemikian. Itulah yang terlebih baik bagi kamu. Sesungguhnya hanya Allah itu, tidak lain melainkan adalah Tuhan yang Maha Esa. Maha Suci Dia (daripada tanggapan) mempunyai anak. MilikiNya-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Cukuplah Allah sebagai saksi terhadap demikian.” ( An-Nisa : 171 )
Keterangan
Ayat ini menyatakan bahawa Allah Taala memberi amaran keras dan tidak membenarkan menggunakan namaNya pada perkara-perkara syirik dan pada pengkongsian ‘sifat Ketuhanan’ yang hanya mutlak tertentu bagi ZatNya yang Maha Mulia dan Maha Suci.
Dalil Kedua
Menjadi kewajipan terhadap kita membersihkan nama Allah Yang Maha Mulia dengan menghalang sebarang perkara yang membawa kearah menyandarkan NamaNya Yang Maha Suci ini kepada segala bentuk pensyirikan terhadapNya, di antaranya seperti ‘membenarkan penggunaan namaNya bagi agama-agama lain.’ Firman Allah Taala:
سبح اسم ربّك الأعلى ( الأعلى:1 )
Ertinya: “Sucikanlah Nama Tuhan engkau Yang Maha Tinggi.”(Al-‘Aala:1)
Berkata Imam Qurtubi dalam tafsir beliau, (juzuk 20:m/s 14) :
وقيل نزّه ربّك عن السوء وعمّا يقول فيه الملحدون , وذكر الطبري أن المعنى نزّه اسم ربّك عن أن تسمي به أحدا سواه
Ertinya: “Satu pendapat menafsirkan ayat ini: Sucikanlah nama Tuhan engkau daripada perkara yang tidak elok dan daripada apa yang dikatakan oleh orang-orang kafir yang menyeleweng. At-Thabari menyebut bahawa makna ayat ini ialah Sucikanlah nama Tuhan engkau daripada engkau meletakkan namaNya kepada sesuatu yang selainNya…”
Dalil Ketiga
Allah Taala menegah kaum muslimin mencela apa-apa jua sembahan golongan kuffar yang boleh menyebabkan mereka akan mencela ZatNya, seperti firmanNya yang berbunyi:
ولا تسبّوا الذين يدعون من دون الله فيسبّوا الله عدوا بغير علم ( الأنعام : 108 )
Ertinya: “ Janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka (orang-orang kafir) sembah selain Allah, nescaya nanti akan membawa kepada mereka memaki Allah dengan melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan.” (Al-An’aam:108)
Imam Qurtubi menerangkan hukum berkenaan dengan ayat ini di dalam tafsir beliau, Juzuk 7 : 61:
” قال العلماء حكمها باق في هذه الأمة على كلّ حال فمتى كان الكافر في منعة وخيف أن يسبّ الاسلام أو النبي عليه السلام أو الله عزّ وجلّ فلا يحلّ لمسلم أن يسبّ صلبانهم ولا دينهم ولا
كنائسهم ولا يتعرّض الى ما يؤدّي الى ذلك لأنّه بمنزلة البعث على المعصية
Bermaksud: “ Para Ulama menyatakan: Hukum ayat ini masih kekal untuk umat ini dalam setiap keadaan. Maka ketika mana orang kafir kuat dan ditakuti mereka akan memaki agama Islam, memaki Nabi ‘alaihissalam atau Allah ‘Azza Wajalla maka tidak halal (haram) bagi seseorang muslim memaki salib-salib mereka, agama mereka dan gereja-gereja mereka. Juga, jangan membuka peluang kepada perkara yang membawa kepada demikian itu (makian terhadap Islam, Nabi atau Allah). Ini kerana, ianya menepati perbuatan mendorong atau mencetuskan perkara maksiat (iaitu dimaki Islam, Nabi atau Allah)….”
Sehubungan dengan ayat ini, Ibn Hajar Al-Asqalani dalam ‘Fathul Bari’ ketika menghuraikan hadis Bukhari, bil: 5973: Bab ‘Tidak Boleh Memaki Seseorang Lelaki Terhadap Kedua Ibubapanya’, ( Kitabul Adab, juzuk 10, m/s 487) menyatakan :
قال ابن بطال هذا الحديث أصل في سدّ الزرائع ويؤخذ منه أن من آل فعله الى محرم يحرم عليه ذلك الفعل وان لم يقصد الى ما يحرم والأصل في هذا الحديث قوله تعالى : ” ولا تسبّوا الذين يدعون من دون الله…اللآية “
Ertinya: “Ibn Battal menerangkan: Hadis ini sebagai dalil pada menutup segala pintu fitnah. Diambil hukum daripada hadis ini bahawa sesiapa yang perbuatannya membawa kepada perkara yang diharamkan, maka haramlah ke atasnya demikian perbuatan, sekalipun dia tidak niat/qasad kepada perkara yang diharamkan tadi. Asal dalil pada hadis ini ialah firman Allah Taala: ” ولا تسبّوا الذين يدعون من دون الله…اللآية “ Bererti: “ Janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka (orang-orang kafir) sembah selain Allah, nescaya nanti akan membawa kepada mereka memaki Allah dengan melampaui batas tanpa ilmu pengetahuan.” (Al-An’aam:108)
Kesimpulan
Ayat Suci di atas memberitahu bahawa diharamkan ke atas muslimin membuat sesuatu perkara yang boleh jadi sebab kepada mereka akan memaki Allah Taala, maka demikianlah bahawa haram hukumnya membenarkan golongan kuffar menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam agama mereka yang boleh menyebabkan disandarkan segala bentuk pensyirikan terhadapNya. Ini kerana, menyandarkan perkara-perkara syirik kepada Zat Allah adalah termasuk dalam kata memaki-makiNya. Ini dapat dibuktikan melalui dalil yang seterusnya.
Dalil Keempat
وعن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلّم قال الله تعالى شتمني ابن أدم وما ينبغي له أن يشتمني وكذبني وما ينبغي له أن يكذبني أمّا شتمه اياى فقوله ان لي ولدا وأنا الله الأحد الصّمد الذي لم ألد ولم أولد ولم يكن لي كفوا أحد وأمّا تكذيبه اياى فقوله لن يعيدني كما بدأني وليس أوّل الخلق بأهون عليّ من اعادته رواه البخاري وأحمد والنسائي
Bererti: “ Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkata: Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah Taala berfirman: Anak adam telah memakiKu. Tiada patut baginya bahawa dia memakiKu. Anak adam telah mendustaiKu. Tiada patut baginya (anak adam) bahawa dia mendustaiKu. Dan Adapun makian dia terhadapKu ialah kata-katanya bahawa Aku mempunyai anak, sedangkan Aku adalah ‘Allah’ Yang Esa, Tumpuan segala hajat, tidak beranak dan tidak diperanakkan serta tidak ada bagiKu sesuatu pun yang menyamaiKu. Manakala pendustaan dia terhadapKu ialah kata-katanya bahawa Allah tidak akan membangkitkan daku selepas mati, sepertimana Allah menciptakan daku permulaannya.Tidaklah mencipta awal kejadian adalah terlebih senang bagiKu daripada membangkitkan semula (yakni kedua-dua perkara itu sama di sisiNya).” (Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Nasaie).
Mulla Ali Qari menghuraikan hadis ini dalam kitab ‘Mirqatul Mafatih’, juzuk 1, m/s 82-83, bebunyi:
” الشتم توصيف الشيء بما هو ازراء ونقص فيه واثبات الولد له كذالك لأنّه قول بمماثلة الولد في تمام حقيقته وهى مستلزمة للامكان المتداعي الى الحدوث “
Maksudnya: “ (Definisi) ‘Makian’ ialah mensifatkan sesuatu dengan celaan dan kekurangan padanya. Demikian juga, mensabitkan anak bagi Allah termasuk dalam definisi tersebut. Ini kerana ianya kata-kata yang menyamakan Allah dengan anak tersebut daripada semua segi hakikat kejadian anak itu. Persamaan tersebut membawa kepada Allah baru wujud (seperti anak itu juga).”
Tersebut juga di dalam kitab ‘Mirqatul Mafatih’, juzuk 1, m/s 83 terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, berbunyi:
قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم: قال الله تعالى يؤذيني ابن أدم يسبّ ( روي : بسبّ) الدهر…
Bererti: “ Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Taala berfirman: Disakiti Daku oleh anak Adam kerana dia mencela ‘masa’.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad dan Abu Daud)
Hadis ini dihuraikan oleh Mulla Ali Qari dengan katanya:
” أى يقول في حقي (ابن أدم) ما أكره وينسب الىّ ما لا يليق بي…”
Ertinya: “ Bermaksud: Anak Adam berkata terhadap DiriKu sesuatu yang Aku benci dan dia menyandarkan sesuatu yang tidak layak bagiKu…”
Bersandarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan di atas, maka haram hukumnya mengizinkan, meredhai atau bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah untuk agama-agama lain. Janganlah kita terpedaya dengan sesetengah negara, contohnya Negara Mesir dan Indonesia yang membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain, kerana ini adalah penyelewengan yang nyata, bukannya berdasarkan kepada dalil-dalil syara’. Awas!!! Ianya adalah perkara serius yang perlu diambil perhatian.
Maksud Sebenar Surah Al-Ankabut
Berkenaan dengan surah Al-Ankabut : 61-63, tidak boleh membatalkan hukum tersebut yang bersandarkan dalil-dalil syara’ yang begitu jelas di atas. Surah itu yang berbunyi:
ولئن سألتهم من خلق السموات والارض وسخّر الشمس والقمر ليقولنّ الله فأنىّّ يؤفكون
قل الحمد لله بل أكثرهم لا يعقلون
Maksudnya: “Sesungguhnya jika engkau menyoal mereka (orang-orang kafir): Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan (memudahkan) matahari dan bulan (bergerak di atas paksi masing-masing)? Tentu mereka akan menjawab: Allah, maka betapa mereka dipalingkan daripada pengakuan ini??…… Katakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka): “Al-Hamdulillah!” Bahkan kebanyakkan mereka itu (golongan kuffar) tidak memahaminya.”
Tersebut dalam ‘Hasyiah Jamal’ dalam mentafsirkan ayat ini, berbunyi:
الاستفهام للانكار والتوبيخ “
Ertinya: “Pertanyaan ini (pada firman Allah: Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan…) adalah sebagai mengingkari dan mencela (pegangan orang-orang kafir).”
Tafsir ‘Marahul Labid’ oleh Nawawi Bantani juzuk 2, m/s 160:
فكيف يصرفون عن الاقرار بتفرّده تعالى في الالهيّة مع اقرارهم بتفرّده تعالى في الخلق والتسخير
Bermaksud: “Maka betapa dipalingkan mereka daripada pengakuan terhadap keesaan Allah Taala dari segi ketuhanan berserta pengakuan mereka terhadap ketunggalan Allah Taala pada menjadikan (langit dan bumi) dan memudahkan (mengerakkan matahari dan bulan).”
Di dalam Tafsir Jalalain menyebut: يصرفون عن توحيده بعد اقرارهم بذلك Ertinya : “(Betapa) Mereka dipalingkan daripada mentauhidkan Allah (tiada sekutu) selepas daripada pengakuan mereka dengan demikian.”
Tafsir Baghawi juga menghuraikan ayat ini , juzuk 5, m/s 165, berbunyi:
وقيل قل الحمد لله على اقرارهم ولزوم الحجة عليهم (بل أكثرهم لا يعقلون) ينكرون التوحيد مع اقرارهم أنه خالق لهذه الأشياء
Ertinya: “ Satu tafsiran menyebut: Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka itu (golongan kuffar), ‘Al-Hamdulillah’ terhadap pengiktirafan mereka dan terhadap hujah yang dapat membatalkan aqidah mereka (dalam pensyirikan). (FirmanNya: bererti: “Bahkan kebanyakkan mereka tiada memahaminya”) yakni bermaksud: mereka mengingkari mentauhidkan Allah (sebagai Tuhan Yang Esa tanpa sekutu), sedangkan mereka mengiktiraf bahawa Dia yang mencipta perkara-perkara tersebut (mencipta langit-bumi, mengerakkan matahari dan bulan serta memberi rezeki).”
Oleh itu, ayat ini sebagai hujah ke atas golongan kuffar yang mengiktirafkan Tuhan Yang Esa dalam ciptaan, kemudian Allah Taala mengherdik dan mencela pegangan mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak-isteri dan sebagainya. Keredhaan Allah terletak pada pengiktirafan mereka terhadap diriNya yang tunggal dalam penciptaan, manakala menyandarkan diriNya kepada sebarang sekutu tidak dibenarkan sama sekali. Begitulah juga, jika kita membenarkan namaNya digunakan oleh golongan kuffar yang mengakibatkan disandarkan kepadaNya segala perkara syirik yang Dia tidak meredhainya sama sekali. Pengharamannya sudah jelas berdasarkan ayat-ayat yang telah kami utarakan sebelum ini. Maka batallah menjadikan ayat ini sebagai dalil pada keharusan golongan kuffar mengunakan namaNya dalam agama mereka, bahkan ianya adalah dalil bagi ketiadaan harus penggunaan tersebut.
AKHIR KALAM
Demi kesucian agama Islam yang kita anuti, peliharalah kemurniannya serta peliharalah kesucian perkara-perkara yang dimuliakan olehnya. Jangan sampai ianya di nodai oleh tangan-tangan kita sendiri. Janganlah kerana hendak menjaga hati satu-satu pihak, hinggakan tergadai agama sendiri. Saidina Umar Al-Khatab pernah menegaskan:
انما ينقض الاسلام عروة عروة من نشأ في الاسلام ولم يعرف الجاهلية
Ertinya: “ Sesungguhnya yang merombak agama Islam satu-persatu ikatannya tidak lain, hanyalah dilakukan oleh mereka yang lahir dalam agama Islam sedangkan dia tidak mengerti ‘jahiliyyah’.”
Sebagai menutup tirai artikel ini, kami paparkan risalah yang telah kami jumpai sendiri pada tahun 1998 di tepi jalan berdekatan dengan sebuah gereja, di mana nama ‘Allah’ Yang Maha Suci telah digunakan dalam risalah tersebut. Al-Hamdullillah, Allah Taala telah mentakdirkan kami menyimpan risalah berkenaan sampai sekarang. Inilah contoh yang dapat kita lihat, apabila nama ‘Allah’ disandarkan dengan perkara-perkara yang tidak layak bagiNya, sedangkan Dia tidak meredhai kesucian namaNya yang khusus bagi penganut agama Islam itu tercemar. Walhal tiada satu sebab pun yang dapat membenarkan penggunaan tersebut, melalui hujah-hujah yang telah kami kemukakan. Lihatlah dengan mata kamu sendiri implikasinya, jika sekiranya dibenarkan penggunaan nama ‘Allah’ bagi agama-agama lain.
Wallahu’aklam…
Penyusun
Nik Mohd Nazimuddin Bin Nik Ibrahim
Tenaga Pengajar Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej