Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, January 28, 2015

Jangan menuduh seseorang melakukan dosa besar tanpa bukti yang sahaih

Oleh Dr. Ustaz Udah Mohsin


Jangan menuduh seseorang  melakukan dosa besar tanpa bukti yang sahaih

Sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang itu suka menonjolkan dirinya sendiri untuk mendapat sesuatu yang dia amat sukai, apatah lagi apabila  dia bersaingan dengan orang lain untuk mendapatkannya. Pada ketika  itu dia akan menunjukkan kebaikan-kebaikan dirinya, bahkan sanggup menisbahkan kepada dirinya perkara yang diaggapnya baik yang dia tidak melakukannya. Dia akan menutup dengan sekeras-kerasnya keburukan-keburukan yang dilakukannya. Di samping itu dia akan mededahkan keaiban pesaingnya itu jika dia mengetahuinya. Lebih buruk lagi jika pesaingnya itu tiada keburukan besar baginya, atau ada keburukan bagi pesaingnya itu tetapi tidak memuaskannya maka dia akan mereka-reka perkara yang tidak ada pada pesaingnya itu sehingga dia sanggup menuduh pesaingnya dengan melakukan perkara-perkara yang bukan-bukan. Seperti menuduh zina, rasuah, minum arak, liwat dan lain-lain, sehingga sanggup menuduh pesaingnya  itu kafir..
Ada kalanya juga dia tidak melakukannya sendiri tetapi dia mengupah orang lain untuk melakukannya.
Sewajibnya perkara-perkara  ini hendaklah dihentikan, kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam yang mulia yang menyuruh bersifat benar, berlaku adil sekalipun terhadap diri sendiri, jangan berbohong,  jangan membatu api dan dilarang keras dari menfitnah orang dengan melakukan zina sedangkan orang itu tidak melakukannya. Apatah lagi menuduh seseorang itu dengan kafir.


Hendaklah berkata benar, jangan sekali-kali berbohong.
Salah satu sifat yang mulia yang disuruh ke atas orang Mukmin bersifat dengannya ialah bersifat benar.
Apabila pembesar Rum yang bernama Hiraql bertanya kepada Abu Sufyan mengenai apa yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. kepada penganutnya, maka jawab Abu Sufyan, di antaranya ialah:
وَيَأْمُرُنَا بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالصِّلَةِ
صحيح البخاري - (1 / 8)
Bermaksud: Dan dia menyuruh kita mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, bersifat benar, `afaf dan menghubungkan silaturrahim.
Di antara pengajaran dalam hadith di atas ialah bersifat benar. Benar pada percakapan dan perbuatan. Benar pada percakapan termasuklah, tidak menisbahkan sesuatu kepada orang lain yang orang itu tidak melakukannya. Menuduh orang lain dengan rasuah sedangkan orang itu tidak melakukannya adalah tidak bersifat benar dan ia adalah pembohongan atau pendustaan yang amat dilarang oleh agama.

Allah s.w.t. menyuruh kita bersama-sama dengan orang yang benar. Firmannya:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ (119)} [التوبة : 119]
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan hendaklah kamu besama-sam dengan mereka yang bersifat benar.
Apabila Allah menyuruh kita bersama-sama dengan orang yang benar maka janganlah sekali-kali kita bersama-sama dengan orang yang pendusta.
Apabila ajaran Islam itu menyuruh bersifat benar maka orang yang melakukan pedustaan dia telah melakukan satu sifat dari safat-sifat orang munafiq. Sabda Rasulullah s.a.w.:
« أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا، أَوْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ أَرْبَعَةٍ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ، حَتَّى يَدَعَهَا إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ » (صحيح مسلم، المظالم)
Bermaksud: Empat perkara sesiapa yang ada padanya dia adalah munafik, atau sesiapa yang ada satu sifat dari empat perkara tersebut maka dia mempunyai satu sifat munafik sehingga diameninggalkannya. Apabila bercakap berdusta, apabila berjanjimemungkiri, apabila berjanji dia menipu dan apabila bertengkar dia melampau.

Di antara  apa yang dijelaskan dalam hadith di atas ialah berbohong itu adalah salah satu daripada sifat  orang munafiq, dan kepada orang yang memiliki empat sifat tersebut iaitu berbohong, memungkiri janji, menipu janji dan melampau dalam pertengkaran maka dia adalah benar-benar munafiq. Orang munafiq dari segi akidahnya adalah kafir kerana dalam hatinya dia adalah tidak beriman, hanya bepura-pura beriman dari segi zahirnya sahaja. Orang munafiq ini di akhirat tempatnya adalah dalam neraka yang paling bawah sekali iaitu yang paling teruk. Firman Allah:
{إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا (145)} [النساء : 145]
Bermaksud: Bahawasanya orang-orang munafiq itu adalah dalam neraka yang paling kebawah, dan engkau dapati tiada seorang pun penolong bagi mereka.
Mengenai suruhan bersifat benar dan larangan berbohong juga ialah:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
صحيح البخاري - (19 / 45)
Bermaksud: Daripada Abd Allah r.a., daripada Nabi s.a.w., sabdanya: Bahawasanya bersifat benar menunjukkan ke arah kebaikan, dan bahwasanya kebaikan itu menunjukkan ke arah syurga. Dan bahawasanya seseorang lelaki itu bersifat benar sehingga dia menjadi orang yang betul-betul benar. Dan sesunguhnya dusta itu menunjukkan ke arah kejahatan dan kejahatan itu menunjukkan ke arah neraka, dan bahawasanya seseorang lelaki itu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar-benar pendusta.

Nas di atas menunjukkan kepentingan bersifat benar dan larangan dari bersifat dusta. Benar akan mengarahkan orang yang bersifat dengannya ke syurga, manakala dusta pula akan mengarahkan orang yang bersifat dengannya ke neraka. Seseorang yang bersifat benar dan terus bersifat dengannya akhirnya dia akan menjadi orang yang betul-betul benar (siddiq), manakala orang yang berdusta lama kelamaan dia akan menjadi orang yang betul-betul pendusta. Oleh itu kita hendaklah menjaga diri kita supaya sentiasa bersifat benar, mudah-mudahan kita akan menjadi sebagai seorang yang betul-betul benar (siddiq). Kita juga hendaklah menjauhi berbohong kerana seseorang yang berbohong lama kelamaan berbohong itu telah menjadi amalannya ketika itu dia dengan sendirinya di sisi Allah dia telah dicap sebagai orang yang benar-benar pembohong (kadhdhab).

Rasulullah s.a.w. telah diperlihatkan balasan orang yang berbohong iaitu di antaranya dia akan diberi balasan sebagaimana nas di bawah ini.
أَمَّا الَّذِي رَأَيْتَهُ يُشَقُّ شِدْقُهُ فَكَذَّابٌ يُحَدِّثُ بِالْكَذْبَةِ فَتُحْمَلُ عَنْهُ حَتَّى تَبْلُغَ الْآفَاقَ فَيُصْنَعُ بِهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
صحيح البخاري - (5 / 183)
Bermaksud: Adapun orang yang engkau lihat dipecah mulutnya maka dia adalah orang yang amat berbohong dia bercakap bohong lalu disampaikan daripadanya sehingga sampai keseluruh pelusuk, maka si pendusta itu dilakukan demikian sehingga Hari Kiamat.

Keadilan hendaklah ditegakkan
Di antara ajaran Islam, di samping menyuruh bersifat benar, Islam juga menyuruh menegakkan keadilan.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) [المائدة : 8
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, sebagai saksi yang adil, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu mendurung kamu kepada tidak melakukan keadilan, Hendaklah kamu berlaku adil kerana sifat adil itu lebih hampir kepada takwa.

Ayat di atas dengan jelas memerintahkan orang yang beriman supaya menegakkan keadilan sehingga jika kita benci kepada seseorang pun maka kita hendaklah berlaku adil kepadanya. Kita dilarang menginyanya dan dilarang  tidak memberikan haknya. Kemudian di akhir ayat kita disuruh bertakwa kepada Allah dan Allah menjelaskan bahawasanya dia adalah Maha melihat apa yang kamu lakukan. Ini bererti bahawa bersifat adil itu adalah amat penting bagi seseorang yang hendak menjadi sebagai seseorang yang bertakwa. Jika kamu tidak berlaku adil ini semua diketahui oleh Allah dan Dia akan memberi balasannya.
Dalam ayat yang lain Allah menjelaskan:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَى أَنْ تَعْدِلُوا وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا (135)} [النساء :
Bermaksud: Wahai mereka yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah sekali pun terhadap diri kamu, kedua-dua ibu bapa kamu dan kaum kerabat kamu, sekali pun sekiranya dia itu (orang yang diadili)  kaya atau miskin, kerana Allah adalah lebih utama dengan kedua-duanya. Oleh itu janganlah kamu mengikut hawa nafsu supaya kamu berlaku adil. Maka jika kamu memutar belitkan keterangan atau kamu enggan menjadi saksi (supaya penghakimannya batal) maka sesungguhnya Allah adalah amat megetahui dengan apa yang kamu lakukan.

Ayat di atas adalah jelas menyuruh orang yang beriman untuk menegakkan keadilan walau terhadap siapa sekalipun, samaada kepada diri sendiri, ibu bapa dan seterusnya terhadap kaum kerabat. Dan janganlah sekali-kali kerana orang yang diadili itu kaya, atau miskin maka kamu tidak berlaku adil terhadap kedua-duanya. Allah melarang orang Mukmin dari mengikut hawa nafsu dari melaksanakan keadilan. Pada akhir ayat Allah menjelaskan  bahawa Allah adalah Maha mengetahui dengan apa yang kamu lakukan,  samaada kamu berlaku  adil atau tidak. Kamu akan diberi balasan terhadap perbuatan kamu.
  
Larangan mencela orang Mukmin dengan sesuatu yang dia tidak melakukannya (membuat fitnah)

Apabila Islam menyuruh bersifat adil maka sebarang bentuk kezaliman seperti membuat fitnah, iaitu menisbahkan kepada seseorang melakukan sesuatu perbuatan buruk sedangkan dia tidak melakukannya adalah amat dilarang.
Firman Allah:
{وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا (58) } [الأحزاب : 58 ، 59]
Bermaksud: Dan mereka yang menyakiti orang Mukmin lelaki atau perempuan dengan sesuatu yang orang Mukmin itu tidak melakukannya maka orang yang menyakiti orang Mukmin itu telah menanggug pendustaan dan dosa yang jelas.

Ayat di atas adalah jelas menyatakan keburukan mereka yang menisbahkan keburukan kepada  seseorang Mukmin  sedangkan sebenarnya orang Mukmin itu tidak melakukannya. Contohnya, mengatakan seseorang Mukmin itu minum arak, padahal itu hanya rekaannya sahaja, sedangkan yang sebenarnya adalah tidak. Orang ini telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas.
Di antara nas yang melarang menuduh seseorang Mukmin itu dengan melakukan kefasikan dan kekufuran ialah:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ
سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ
صحيح البخاري - (18 / 476)
Bermaksud: Daripada Abu Dhar r.a.`. bahawasanya beliau mendengar  Nabi s.a.w. bersabda: Tiadalah seseorang lelaki yang  menuduh lelaki yang lain dengan kefasikkan dan tiadalah dia menuduhnya dengan kekufuran, kecuali kefasikan dan kekufuran itu kembali kepadanya jika yang dituduh itu tidak seperti itu.

Nas di atas menjelaskan bahawa apabila seseorang Mukmin menuduh saudaranya Mukmin yang lain dengan kefasikan maka kefasikan itu akan berlaku, samaada kepada yang dituduh jika dia melakukannya jika tidak maka kepada yang menuduh. Begitu juga jika seseorang itu menuduh saudaranya yang Mukmin dengan kekufuran, maka kekufuran  itu berlaku samaada kepada yang dituduh jika dia melakukannya, jika tidak maka kepada yang menuduh.
Dengan ini janganlah seseorang itu dengan sewenang-wenangnya menuduh seseorang lain dengan fasik atau kafir kerana kefasikan dan kekufuran tetap berlaku, samaada kepada yang dituduh jika dia ada melakukannya, jika yang dituduh tidak melakukannya maka berlakulah kepada yang menuduh.
Nas yang lain:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا
صحيح مسلم – (1 / 194)
Bermaksud: Daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Apabila seseorang lelaki itu mengkafirkan sudaranya maka berlakulah kepada salah seorang daripada keduanya dengan kalimah kekufuran itu.

Hadith di atas menunjukkan apabila seseorang itu berkata kepada orang lain: Engkau kafir, maka kekufuran itu berlaku kepada salah seorang dari kedua-duanya. Jika orang yang dikata itu melakukan dengan perkataan,  perbuatan atau i`tiqad yang membawa kepada kafir maka kafirlah dia, sebaliknya jika yang dikata itu tidak melakukannya, maka kekufuran itu berlaku kepada yang berkata. Oleh itu orang yang kuat imannya dia tidak akan mengkafirkan orang lain jika dia tidak mempunyai bukti yang jelas samaada melalui perkataan atau perbuatan.

Takutlah kepada azab Allah
Orang Mukmin dia akan sentiasa menjaga dirinya dari sebarang dosa walau pun kecil. Ini ialah kerana apabila seseorang itu selalu melakukan dosa walaupun dianggap kecil maka mudah baginya terjerumus dalam dosa besar, dan apabila selalu melakukan dosa besar maka mudah baginya terjerumus di dalam kekufuran.
Oleh itu jauhilah dosa dan takutlah kepada azab Allah. Azab Allah itu adalah amat dahsat. Sebelum kedatangan maut yang boleh mendatangi seseorang pada bila-bila masa sahaja maka hendaklah bertaubat sekarang. Renungilah ayat al-Quran berikut:
{يَوَدُّ الْمُجْرِمُ لَوْ يَفْتَدِي مِنْ عَذَابِ يَوْمِئِذٍ بِبَنِيهِ (11) وَصَاحِبَتِهِ وَأَخِيهِ (12) وَفَصِيلَتِهِ الَّتِي تُؤْوِيهِ (13) وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ يُنْجِيهِ (14) كَلَّا إِنَّهَا لَظَى (15 [المعارج :]
Bermaksud: Orang yang melakukan kesalahan (dengan sebab kekufuran dan dosa) bercita-cita, kalaulah dia dapat menebus azab ketika itu, dengan anaknya, isterinya, sudaranya dan keluarganya yang melindunginya, seterusnya dengan semua menusia yang terdapat di atas muka bumi, kemudian  dapat menyelamatkannya (dari azab ketika itu). (Jawabnya): Tidak sekali-kali,  sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya.

Nas di atas menunjukkan bahawa orang yang melakukan kesalahan (dengan sebab kekufuran dan dosa) pada hari Kiamat nanti, dia berharap kalaulah azab yang dihadapinya itu boleh ditebus dengan anaknya, isterinya, sudaranya dan keluarganya yang melindunginya, seterusnya dengan semua manusia yang terdapat di atas muka bumi nescaya dia akan melakukannya (jika dia memilikinya) tetapi tidak boleh ditebus.
Jika dia memiliki perkara-perkara yang di atas tadi pun tidak boleh dijadikan tebusan, apatah lagi jika dia tidak memilikinya.

Segala perbuatan kita diketahui Allah
Sama-samalah kita ingat bahawa Allah adalah Maha mengatahui dengan apa sahaja yang kita lakukan.
{ إِنَّ اللَّهَ لَا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ (5) } [آل عمران : 5 ، 6]
Bermaksud: Bahawasanya Allah, tidak terlindung bagi sesuatu yang di bumi dan dilangit
Nas di atas menunjukkan bahawa Allah adalah amat mengetahui dengan segala sesuatu yang terdapat di langit dan di-bumi. Tiada ada sesuatu yang Allah tidak mengetahuinya.
Firman-Nya lagi:

{إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14)} [الفجر : 14]
Bermaksud: Bahawasanya Tuhanmu adalah amat memerhati.
Nas di atas juga menunjukkan tidak ada sesuatu pun yang terlepas pandang dari ilmu Allah.
Firman-Nya lagi:
{ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (74} [البقرة : 74]
Bermaksud: Dan tidak sekali-kali Allah itu lali dari apa yang kamu lakukan.
Nas di atas juga menunjukkan bahawa semu yang dilakukan oleh seseorang hamba itu diketahi Allah.
Dalam ayat yang lain Allah menjelaskan:
{وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا (49) } [الكهف : 49 ، 50]
Bermaksud: Dan buku amalan diletakkan, maka engkau akan melihat mereka yang melakukan kesalahan, merasa takut dari apa yang ada pada buku mereka itu,  lalu mereka berkata: Wahai celakanya kami, kenapa buku ini tidak meninggalkan segala kesalahan kecil dan besar, kecuali semunya dikira, dan mereka mendapati apa yang mereka lakukan (di dunia) semuanya ada, dan Tuhanmu tidak sekali kali-kali  menzalami seseorang pun.

Nas di atas menunjukkan bahawa segala keburukkan dosa yang dilakukan oleh seseorang yang derhaka kepada Allah itu semuanya dicatat samaada  yang besar atau yang kecil, maka ketika itu dia amat menyesal di atas perbuatannya itu.

Allah akan membalas segala yang kita lakukan
Apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu akan diberi balasan, sama ada baik atau buruk.
Allah dan Raul-Nya telah menegaskan bahawa keburukan yang dilakukan itu akan diberi balasan.
Firan Allah:
وَالَّذِينَ كَسَبُوا السَّيِّئَاتِ جَزَاءُ سَيِّئَةٍ بِمِثْلِهَا وَتَرْهَقُهُمْ ذِلَّةٌ مَا لَهُمْ مِنَ اللَّهِ مِنْ عَاصِمٍ كَأَنَّمَا أُغْشِيَتْ وُجُوهُهُمْ قِطَعًا مِنَ اللَّيْلِ مُظْلِمًا أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (27)} [يونس : 27]
Bermaksud:Dan mereka yang melakukan kejahtan-kejahatan  (syirik dan dosa) maka balasan kejahatan itu adalah dengan yang seumpamanya, dan mereka akan ditimpa kehinaan, bagi mereka tiada seorang pun yang boleh meyelamatkan dari (azab) Allah, seolah-olah muka mereka ditutup dengan sepotong malam yang amat gelap, mereka adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat di atas menunjukkan balasan mereka yang melakukan kejahatan-kejahatan (syirik dan dosa). Setiap kejahatan akan dibalas dengan kejahatan yang sebanding dengannya. Mereka akan diliputi kehinaan dan tiada sesiapa pun yang boleh menyelamatkannya dari azab Allah. Oleh itu jangan kita melakukan kejahatan dosa apatah lagi syirik.
Firman-Nya lagi:
) إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (19) [النور
Bermaksud: Bahawasanya mereka yang suka perkara keji itu tersebar di kalangan orang  yang beriman maka balasan mereka azab yang amat pedih di dunia dan akhirat, Allah adalah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.

Dalam hadith ada menyebut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ فَقَالَ إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَسَفَكَ دَمَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ
صحيح مسلم - (12 / 459)
Bermaksud: Daripada Abu Hurayrah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Adakah kamu mengetahui apa itu muflis? Parasahabat menjawab: Orang yang muflis di kalangan kami ialah orang yang tiada memiliki dirham (duit) dan harta, jawab Raulullah: Orang yang muflis di kalangan umatku pada Hari Kiamat ialah orang yang (di dunia) dia mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, tetapi dia juga memaki orang ini, menuduh orang ini, makan harta orang ini, mengalirkan darah orang ini dan memukul orang ini, maka dia memberikan orang ini kebaikan-kebaikannya, dan memberikan orang ini akan kebaikan-kebaikannya, maka apabila habis kebaikan-kebaikannya sebelum dapat dibayar kesalahan-kesalahan yang dilakukanmakanya (kepada orang lain) maka diambil dosa-dosa orang-orang itu dan diletakkan ke atasnya kemudian dia  dicampakkan ke dalam neraka.

Nas di atas menunjukkan bahawa orang yang mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain, tetapi dia juga melakukan kezaliman terhadap orang lain maka kebaikan-kebaikan orang itu akan diambil oleh orang yang dizalimi. Maka apabila kebaikan-kebaikan yang dilakukan itu habis sedangkan kezaliman-kezaliman yang dilakukan itu masih ada lagi, maka dosa-dosa orang yang dizalimi itu akan diberikan kepadanya, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka jahannam. Itulah orang yang benar-benar muflis. Muflis pada Hari Kiamat.

Marilah sama-sama muhasabah diri.
Dengan ini marilah kita sama-sama muhasabah diri kita supaya kita tidak terlibat menuduh saudara-saudara kita tanpa bukti yang sahih, hanya semata-mata untuk mendapatkan dunia yang fana’ ini sanggup menceburkan diri ke dalam neraka yang amat dahsat seksanya. Bagi mereka yang telah terlibat maka hendaklah bertaubat sekarang juga sebelum menyesal pada hari akhirat nanti.

http://alistiqamahsgmerab.blogspot.com/2013/04/fitnah-dosa-besar.html

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej