Kes bunuh Altantuya dan seribu satu persoalan
KUALA LUMPUR 13 JANUARI: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan hukuman mati ke atas dua tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) itu.
altantuyaKedua-duanya dituduh membunuh wanita Mongolia itu antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006, di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam.
Bagaimanapun sehingga kini, kes pembunuhan yang pernah dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kenalan rapatnya, Abdul Razak Baginda itu masih menjadi misteri dan menimbulkan seribu tanda tanya.
Terdapat banyak persoalan daripada kes pembunuhan wanita cantik itu yang ditembak sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan peledak C4.
Bagi kebanyakan orang, ia menjadi kes pembunuhan paling kejam dalam sejarah jenayah pembunuhan di Malaysia.
Keadilan Daily menelusuri sekurang-kurangnya 10 keraguan terbesar kes berkenaan berdasarkan laporan media sepanjang perbicaraan yang memakan masa hampir 8 tahun .
1. Pada masa kejadian pembunuhan dikatakan berlaku, Azilah telah menelefon seorang individu yang tidak dikenali sebanyak dua kali dari tempat kejadian pada malam 19 Oktober 2006, berdasarkan rekod dari telefon bimbitnya.
Mahkamah tidak pernah membongkarkan dengan siapa dan apa tujuan Azilah menghubungi individu berkenaan. Persoalan yang timbul, siapakah individu yang dihubungi Azilah? Adakah dia mendapat arahan untuk membunuh wanita itu?
2. Kenalan rapat Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam kes itu, walaupun Abdul Razak pernah direman selama 5 hari kerana menculik dan berniat mengurung Altantuya. Tidak seperti kebiasaan, pihak pendakwa raya tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak oleh Mahkamah pada 2009.
3. DSP Musa Safri yang merupakan pembantu peribadi Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri tidak dipanggil memberi keterangan. Hanya Musa boleh mengesahkan kebenaran affidavit kontroversi yang difailkan oleh Abdul Razak. Afidavit itu juga tidak diperolehi sepenuhnya oleh pihak media.
4. Rekod telefon Razak menunjukkan lebih 30 mesej teks antara Razak dan Musa di antara 7 Oktober hingga 19 Oktober 2006. Sebanyak 12 mesej direkod pada malam Altantuya dibunuh.
5. Kes bunuh itu melibatkan anggota Unit Tindakan Khas Bukit Aman yang hanya ditugaskan untuk menerima arahan dari kerajaan. Apakah kedua-dua tertuduh bertindak sendirian tanpa arahan? Jika ya, untuk apa Altantuya dibunuh?
6. Wajah kedua-dua tertuduh yang sentiasa ditutup sentiasa membangkitkan persoalan kepada orang ramai. Sehingga kini tiada sesiapa mengetahui wajah sebenar mereka. Kenapa wajah mereka tidak didedahkan kepada umum?
7. Akuan Bersumpah pertama penyiasat persendirian, P Balasubramaniam yang pernah bekerja dengan Razak dan mengaitkan hubungan sulit antara Altantuya dan Najib. Dalam akuan bersumpah itu, Balasubramaniam menyatakan Najib ada memberitahu Abdul Razak bahawa mereka (Najib dan Altantuya) pernah melakukan hubungan seks.
8. Pengakuan Deepak Jaikishan iaitu rakan kepada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau membantu keluarga Najib untuk memujuk Balasubramaniam menukar akuan bersumpahnya kepada akuan bersumpah kedua.
9. Perubahan hakim dan pendakwa sepanjang perbicaraan kes itu berjalan. Kes yang pada mulanya didengar hakim KN Segara di Mahkamah Tinggi, dipindahan kepada Hakim Mohd Zaki Yasin. Segara kemudian dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
Pendakwa Salehhudin Saidin digantikan saat-saat akhir dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang dikenali rapat dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Sallehuddin akhirnya berhenti daripada Pejabat Peguam Negara.
10. Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaki dalam keputusan penghakimannya tidak menyentuh motif pembunuhan Altantuya, dan memutuskan bahawa ia bukan satu keperluan kepada kes pembunuhan itu. Mengapakah mahkamah tidak mendedahkan motif pembunuhan tersebut, dan jika tiada motif, mengapakah Altantuya dibunuh?
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=64787
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej