Ini adalah tulisan sekular yg sangant anti Islam
***
Sekularisme: Mengapa masa depan politik Melayu? – Farouk A Peru
Published: 18 April 2014 7:51 PM
Beberapa hari lepas, “Harimau Jelutong”, Saudara Karpal Singh pulang ke rahmatullah secara mengejut dalam kemalangan jalan raya. Semoga Allah cucuri roh Saudara Karpal dan memberinya salam di akhirat. Salam takziah kepada keluarganya. Saudara Karpal telah menjadi salah satu benteng perlaksanaan hukum hudud di Malaysia dan kematiannnya telah diraikan oleh pihak-pihak Islamofasis (Islamofascist) di serata tanahair.
Apakah kesudahan isu hukum hudud di Malaysia? Sepanjang beberapa dekad ini, isu ni tenggelam timbul mengikut angin para ahli politik. Sekarang ini, ia sudah timbul kembali dan seperti rentak tarian, ahli politik lantang menyuarakan ya atau tidak mereka. Rakyat jelata pun ikut sama menari dan kita boleh lihat respons mereka di alam siber.
Apabila kita memikirkan hukum hudud, wajarlah kita mengingati peristiwa bulan lepas, iaitu penahanan Dr Kassim Ahmad. Melihat gambar Pak Kassim ditahan oleh pegawai-pegawai Jakim memang menghancurkan hati.
Pihak-pihak yang mengambil tindakan sebegini adalah pelampau agama yang hanya cuba melindungi periuk nasi mereka semata-mata. Ini baru “hudud lite”, belum hudud yang asli lagi. Jikalau hudud yang asli wujud di Malaysia, Pak Kassim akan dihukum bunuh jika sabit kesalahan.
Pada saya, peristiwa pahit ini adalah hanya satu gejala yang muncul kerana kita sudah lama mempolitikkan agama. Ia boleh berlaku kerana para agamawan sudah tidak terkawal. Mereka sudah dianggap sebagai maksum seperti imam-imam mazhab Syiah pula (yang ironiknya telah dianggap sesat oleh mereka sendiri!).
Kalau Rasulullah sendiri dinampakkan kesalahan-kesalahannya (Al-Quran Surah 66/ Ayat 1, 33/37, 9/43) mengapa pula agamawan-agamawan tidak boleh dikritik?
Jawapannya adalah mudah sekali – kerana jalan yang diambil oleh politik bangsa Melayu telah lama disulami agama. Parti-parti yang terbesar yang mewakili bangsa Melayu menggunakan agama sebagai “matawang politik” (political currency) mereka.
PAS memang jelas sekali berbuat demikian kerana mereka sudah menamakan diri mereka Parti Islam Se-Malaya. Kita juga pernah mendengar ceramah-ceramah di mana mereka mendakwa yang sesiapa yang tidak mengundi PAS adalah kafir. Begitulah keyakinan mereka dengan penampilan mereka sebagai wakil Allah! Tapi bagaimana pula dengan sikap diam diri PAS terhadap Ketuanan Melayu? Adakah itu tidak kufr pula?
Umno juga sejak beberapa dekad yang lampau ini cuba menandingi PAS dalam peraduan “siapa lebih Islam” walaupun sejak merdeka mereka memperjuangkan negara Malaysia yang sekular.
Parti Melayu ketiga yang diterajui Anwar Ibrahim juga tidak ketinggalan. Anwar yang selalu membebel tentang “maqasid shariah” (tujuan atau sasaran tinggi hukum syar’i) iaitu satu pendekatan yang melibatkan banyak penyoalan tentang kesahihan hadis , telah turut sama dalam kritikan terhadap Pak Kassim. Begitu dangkalnya politik Anwar sehingga gajah di hadapan mata tak nampak tapi nyamuk yang jauh berani dikritik.
Begitulah nasib agama Islam di Malaysia dan kalau kita jujur kepada diri sendiri, di serata dunia. Agama Islam adalah “sacred cow” (objek yang terlalu suci dan tak diboleh dipersoalkan) yang digunakan untuk perkara yang jijik iaitu meraih kuasa. Ini adalah kerana peranan agama Islam tidak jelas. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir pernah berkata dalam tahun 2002 yang Malaysia adalah negara Islam (Islamic state).
Inilah kenyataan yang paling samar. Apakah implikasi kenyataan ini? Malaysia tidak mempraktikkan hukum syar’i sebagaimana negara Arab Saudi di mana wanita tak boleh memandu. Menurut Mohd Hashim Kamali (sarjana perundangan Islam UIA), sebenarnya negeri-negeri di Malaysia pun tidak ada kesatuan dalam pemahaman hukum Syariah.
Jadi kalau di Malaysia pun ada kecelaruan, bagaimana pula di pelusuk dunia? Bagaimana pula hukum-hukum ini daripada Allah?
Jadi apakah itu perundangan Syariah? Kebanyakan hukum-hakam syariah bukan daripada Al-Quran malahan juga bukan daripada hadis Nabi. Cuba kita fikirkan, takkanlah Nabi Muhammad menghukum yang wanita tak boleh memandu kereta pula! Zamannya telah berlalu dan cara hidup manusia telah berubah. Hukum-hukum ini hanya mencerminkan sikap konservatif si penghukum, itu sahaja.
Sebenarnya, di belakang tabir “hukum Tuhan”, hukum-hakam syariah hanyalah formulasi manusia. Ia mengambil nama Tuhan untuk meyakinkan umat Islam yang hukum-hakam ini adalah wajib dan penolakan mereka samalah seperti menolak Tuhan dan RasulNya.
Kita tidak diberitahu yang sebenarnya, ada banyak perselisihan dalam formulasi hukum-hakam ini. Bukan saja itu, hukum-hakam ini juga bercanggah dengan nilai-nilai yang diutarakan oleh Al-Quran sendiri, yang dikatakan sebagai sumber primer dalam syariah.
Percanggahan yang paling jelas ialah dalam kebebasan agama. Al-Quran memberi kekebasan yang mutlak kepada individu sama ada mau percaya atau tidak tapi hukum syar’ie pula memerintahkan yang umat Islam membunuh orang yang murtad dan tidak bertaubat.
Bagi saya, masa depan politik Melayu terletak di medan sekularisme. Kaum Melayu tidak mampu membuang masa untuk memikirkan isu hukum hudud yang tiada kesudahannya. Dunia sudah bergerak pantas ke hadapan tapi kita masih lagi bergelut dengan isu yang sama seperti adaka anjing itu haram di simpan dalam rumah atau tidak!
Kalau benar para agamawan berguna untuk manfaat masyarakat, mereka patut memberi jalan penyelesaian kepada masalah pencemaran alam sekitar dan masalah kegawatan ekonomi dunia sejak tahun 2008. Adakah Islam hanya menangani masalah seperti kalau tudung kepala itu wajib atau tidak?
Sekularisme menjadi perkataan jijik pada lidah-lidah umat Islam kerana dimomokkan oleh para agamawan. Kononnya sekularisme ini adalah hukum manusia dan bukan hukum Tuhan. Dakwaan ini salah semata-mata.
Sekularisme tidak semestinya satu ideologi (iaitu ideological secularism) tapi mungkin juga satu set prosedur (procedural secularism). Kita tidak payah menjadi seperti Turki pada era Kemalisme yang mengharamkan pemakaian tudung atau menjadi seperti Tunisia pada zaman Habib Bourgiba mengharamkan berpuasa di bulan Ramadhan. Tindakan-tindakan itu pun ekstrim juga, seperti hukum hudud sendiri.
Kita hanya perlu membersihkan ruang politik daripada diperagamakan. Procedural secularism membolehkan kita berbuat demikian kerana sesuatu usul dalam sistem ini diterima kerana rationalnya, bukan kerana sentimen agama.
Adakah agama Islam akan dibelakangkan kalau kita menerima sekularisme? Saya fikir , yang sebaliknya adalah benar. Bukan sahaja islam tidak dibelakangkan tapi ia akan dibawa ke hadapan. Ini adalah kerana yang islam yang sebenar menekankan etika manusia. Kita tak akan bimbang tentang anjing, tudung, kalau makanan yang dipegang oleh bukan Islam halal atau tidak dan isu-isu remeh-temeh sebegitu.
Sebaliknya fokus kita akan kepada isu-isu yang penting seperti halatuju umat manusia.
Lebih baik lagi daripada itu, kita tak akan lagi terperangkap dalam kancah politik Umno/PAS/PKR. Politik Melayu sekarang adalah tak lebih daripada isu ketuanan melayu dan hukum hudud. Adakah itu saja modal politik kita? Sekularisme akan membebaskan kita daripada kemelut ini. Kita akan dapat membincangkan isu-isu semasa dengan rasional kerana tiada sentimen bangsa dan agama.
Adakah ini bermakna sekularisme pun tak boleh mengambil dewa-dewanya (tuhan-tuhan palsu) sendiri? Tidak juga. Sekularime kemalisme di Turki mendewakan Attaturk sehingga idea-ideanya tak boleh disentuh.
Kemalisme pun telah menjadi satu “agama” sendiri sebelum kejatuhannya. Kita perlu prihatin kepada bahaya ini dan sentiasa memantau diri. Bagaimanapun, sekularisme merupakan “fresh start” untuk politik Melayu. Terlalu banyak dewa-dewa lama dalam politik agama mahupun bangsa.
Saudara Karpal Singh telah menjadi dinding yang menghalang kemaraan hukum hudud. Sekarang dia telah tiada maka tibalah masa orang Melayu-Islam sendiri bangun menentang hukum-hukum jumud ini. Rest In Peace, Karpal Singh. – 18 April, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej