Whatsap Saya

Jawatan Kosong Kerajaan & Swasta Terkini 2020

koleksi kitab

Wednesday, May 18, 2016

PAS mempunyai peranan sangat besar dalam cabaran pilihan raya akan datang untuk memastikan kerusi Islam dimenangi dengan sebanyak-banyaknya bagi membolehkan usaha mengubah politik negara

SHAH ALAM: PAS mempunyai peranan sangat besar dalam cabaran pilihan raya akan datang untuk memastikan kerusi Islam dimenangi dengan sebanyak-banyaknya bagi membolehkan usaha mengubah politik negara kepada keadaan yang lebih positif. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan demikian ketika berucap pada Makan Malam Amal anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu dan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini 15 Mei lalu. “Bukan sahaja kepada Islam, bahkan kepada masyarakat majmuk di Malaysia ini kerana mengikut sejarahnya, yang boleh membimbing masyarakat majmuk ialah Islam. Lain daripada Islam tak boleh. Bukan saya kata, Quran yang kata,” ujarnya memetik ayat 40 dan 41 surah al-Hajj. Terdahulu dalam ucapan tersebut, beliau menempelak kesilapan strategi BN yang melakukan pembahagian kerusi dengan meletakkan jumlah pengundi sekitar 20,000 dalam setiap parlimen di negeri-negeri Umno kuat dan kawasan campuran demi menjamin kemenangan. Sedangkan menurutnya, di Kedah, Terengganu, Kelantan dan Utara Perak diletakkan sehingga mencecah 100,000 pengundi bagi setiap parlimen. “Di Kedah, walaupun kita kalah majoriti 1,000 undi, 500 undi, 100 pun ada, mereka meletakkan undi bukan Islam yang jumlahnya 2,000 atau 3,000, menjadi undi penentu semata-mata untuk menghalang kita,” ujarnya menerangkan ketidakseimbangan demokrafi parlimen. Begitu juga maklumnya, keputusan PRU13 menyaksikan perolehan dalam Pakatan Rakyat cuma 39 kerusi Islam, berbanding 50 kerusi bukan Islam di mana ia sudah tentunya boleh mempengaruhi kedudukan Islam. Sedangkan tegasnya, Allah Taala tidak mengizinkan orang Islam dikuasai oleh bukan Islam dalam sebuah negara sebagaimana pada ayat 141 surah an-Nisa dan amalan Siyasah Syar’iyyah. “Bukan kerana kita fanatik kaum, tetapi mengikut konsep politik yang adil, demografi penduduk Malaysia 60 peratus orang Islam. Ini canggung berlaku. Maka kita mengambil tindakan yang tegas supaya Pakatan Rakyat membuat muhasabah. “Namun, ada kalangan pimpinan Pakatan Rakyat yang tak setuju, yang berdegil, mahu ke Putrajaya dengan cepat dalam keadaan kedudukan kerusi yang begini rupa, menyebabkan PAS mengalami serpihan. “Serpihan, bukan pecah, tidak. Serpihan. Yang serpih itu tak sampai 1 peratus daripada 1.3 juta ahli PAS seluruh negara, tak sampai 1 peratus,” ceritanya dan memaklumkan bahawa kalangan parti rakan Pakatan Rakyat bertindak mendokong serpihan tersebut. Dengan itu katanya, memerlukan PAS menjadi satu parti bermaruah, ada sikap, mempunyai kedudukan yang teguh dan kuat dengan mesti bertegas dalam pendiriannya dan istiqamah dengan perjuangannya. Maka dengan sebab itulah menurutnya, PAS mesti berperanan menguasai politik negara dengan memenangi sebanyak-banyaknya kerusi Islam agar dapat menangani masyarakat Malaysia yang majmuk. Katanya, sekiranya agama lain memerintah, akan menekan agama yang tidak sehaluan dengannya, bahkan Kristian juga tidak mengizin golongan tidak semazhab untuk bersama. Terang beliau, berbeza dengan Islam yang mengikut konsep al-Quran iaitu tidak ada paksaan dalam agama dan adil untuk semua, selain boleh menangani masyarakat majmuk. “Allah menolong sesiapa yang menolong menegakkan agama-Nya, Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang Kami (Allah) berikan punya kuasa pemerintah, ini ialah acuan kerajaan yang diatur oleh Allah, yang dikehendaki oleh Allah kepada orang Islam. “Pemerintahannya, mendirikan solat, pemerintahan yang ada hubungan dengan Allah SWT, bukannnya pemerintahan yang tidak ada hubungan dengan Allah. Yang menunaikan zakat, mengambil harta mereka yang berada untuk menyumbang kepada mereka yang tidak berada. “Yakni pemerintahan dalam konsep ekonomi yang adil yang tidak menindas, menjadikan tanggungjawab masyarakat di antara kaya dan miskin, berbeza dengan sosialis, berbeza dengan komunis, berbeza dengan yang lain,” jelas beliau. Perinci Tuan Guru lagi, pemerintahan itu juga tidak mengenakan cukai, melainkan dibebankan cukai sebagaimana zakat kepada mereka yang berada sahaja, serta pelaksanaan ekonomi secara adil. Juga terangnya, pemerintahan yang menyuruh kepada kebaikan, menegakkan kebajikan untuk semua, mencegah kemungkaran, kehebatan undang-undang hingga menakutkan penjenayah. “Dan bagi Allah sahaja akibat segala urusan, iaitulah wawasan bertemu dengan Allah, wawasan hari akhirat, bukan wawasan 2020 sahaja. Inilah perjuangan yang mesti kita faham, yang mesti kita dokong, yang mesti kita puja, yang mesti kita sehidup semati dengannnya,” seri beliau memahamkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Mesej