Ciri-Ciri dan Adab-Adab Seorang Ulama
Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Adab Belajar/Disiplin Ilmu
Penulis : Ustaz Buluh
Dimasukkan oleh IbnuNafis
Label: Adab Belajar/Disiplin Ilmu
Penulis : Ustaz Buluh
Assalamualaikum Warahmatullah.
PENGENALAN
Memandangkan terdapat beberapa ahli iLuvislam yang PM saya bertanyakan tentang ulama, maka saya mengambil kesempatan yang singkat ini untuk menjelaskannya secara ringkas mengenai ciri-ciri ulama. Selain itu juga, beberapa thread di iLuvislam juga turut membincangkan perkara ini dan saya melihat tiada kesudahan yang baik pada thread-thread berikut. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara ini agar semua pihak dapat mengambil manfaatnya. InsyaAllah.
MAKSUD PERKATAAN ULAMA
Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim bermaksud seseorang mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam. Ini berbeza dengan perkataan alim yang beerti orang yang mengetahui akan tetapi belum tentu orang itu mendalami. Perkataan ulama ini telah disebutkan pada beberapa tempat di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. samaada secara langsung ataupun tidak yang menunjukkan bahawa ulama adalah individu-individu terpilih yang menguasai ilmu Allah Taala dengan mendalam dan memiliki akhlak terpuji. Oleh itu, ulama yang saya maksudkan di sini ialah seseorang pakar yang mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan dengan agama Islam secara mendalam dengan syarat-syarat tertentu sebagai ulama.
Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan sempurna. Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah S.A.W. Agama Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis:
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
CIRI-CIRI RINGKAS ULAMA
Jikalau hendak disenaraikan ciri-ciri ulama satu persatu, sudah tentulah tidak terhitung banyaknya. Jadi saya nyatakan secara ringkasnya sahaja ciri-ciri seorang ulama sepertimana berikut:
– Sentiasa melakukan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya.
– Mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat mendalam berkenaan agama Islam di dalam segenap sudut.
– Beramal dengan segala ilmu yang dimilikinya.
– Berakhlak mulia.
– Tidak gentar untuk menegur dan berkata benar kepada sesiapa sahaja.
– Mempunyai sifat-sifat terpuji seperti: Zuhud, warak, sabar, jujur, ikhlas dan sebagainya lagi.
– Meninggalkan perkara-perkara mazmumah seperti: Riyak, takabur, sombong, angkuh dan sebagainya lagi.
– Sentiasa menyampaikan ilmu pengetahuan dan menyeru manusia kepada Islam.
– Dan banyak lagi.
ADAB-ADAB SEORANG ULAMA ATAU GURU
Seperti yang saya telah sebutkan di atas, jika hendak disenaraikan satu persatu ciri-ciri ulama, sudah tentulah akan mengambil masa yang panjang. Oleh itu, di sini saya nyatakan pula adab-adab bagi seorang ulama atau alim serta guru sepertimana yang telah diperkatakan oleh Imam Ghazali di dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah:
– Mampu menanggung kesusahan.
– Bersabar dengan kesulitan.
– Duduk dengan rasa hormat serta berkelakuan tenang ketika bersama manusia.
– Meninggalkan takbur di atas sekalian hambaNya kecuali terhadap orang yang zalim.
– Mencegah daripada kezaliman.
– Memilih tawaduk pada perhimpunan dan pada majlis orang ramai.
– Meninggalkan gurau-senda dan bermain-main.
– Melayan dengan baik pelajar yang kurang pandai.
– Membimbing pelajar yang angkuh.
– Memperbaiki pelajar yang bodoh dengan tunjuk ajar yang baik.
– Tidak marah kepada pelajar yang bodoh.
– Tidak malu daripada berkata ‘aku tidak tahu’.
– Memberikan perhatian kepada pertanyaan.
– Memahami soalannya.
– Menerima hujjah.
– Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika bersalah.
– Melarang pelajar daripada setiap ilmu merbahaya.
– Melarang pelajar daripada menghendaki dengan ilmu selain dari Allah Taala.
– Melarang pelajar daripada sibuk menuntut ilmu fardhu kifayah sebelum selesai menuntut ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain ialah berkenaan dengan membaikkan zahir dan batin dengan takwa.
– Memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu dengan takwa, supaya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya.
CIRI-CIRI ULAMA DUNIA
Berikut saya nyatakan juga ciri-ciri ulama dunia. Saya senaraikan di sini berdasarkan kitab Ulama al-Suq Ulama al-Dunya karangan al-Amin al-Haj Muhammad Ahmad sepertimana berikut:
– Menyembunyikan ilmu dan kebenaran.
– Cintakan dunia dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
– Mengikut hawa nafsu.
– Berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah.
– Berpura-pura di dalam masyarakat.
– Menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara-perkara dunia serta lainnya.
– Mengkaji dan menyelidik dengan kesalahan dan kekurangan.
– Fatwa dengan mengikut syahwat.
– Dengki dan benci serta tidak insaf.
– Berbeza amalannya dan kata-katanya.
– Berdolak-dalih dan berhelah.
– Menjawab sesuatu dengan akal dan mengingkari serta bongkak untuk menerima kebenaran.
PERANAN DAN KEPENTINGAN ULAMA
Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang daripada segolongan pihak yang cuba merendah-rendahkan keilmuan dan kemuliaan para ulama. Mereka ini berkata bahawa para ulama bukanlah maksum seperti Rasulullah S.A.W. Oleh itu, mereka menyarankan agar tidak perlu mengikut tunjuk ajar daripada ulama untuk memahami urusan agama Islam ini. Mereka berkata lagi bahawa boleh sahaja untuk mengambil terus daripada dalil-dalil al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan ini bertepatan dengan Islam?
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: Ayat 43).
Oleh itu, saya ingin mengajak para pembaca termasuklah diri saya sendiri bermuhasabah terlebih dahulu sebelum hendak mengatakan sesuatu kepada para ulama. Sila baca dan jawab dengan ikhlas soalan-soalan berikut:
Berapa banyak ayat al-Quran al-Karim yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak kitab-kitab dari ulama muktabar yang kita faham dan hafal?
Berapa banyak ilmu agama yang kita dalami dan fahami?
Berapa banyak ulama dan guru yang sentiasa kita lazimi untuk mendalami ilmu agama secara bersanad dan bertalaqi?
Dan pelbagai soalan lagi.
Jadi apakah jawapan kita terhadap soalan-soalan di atas? Mampukah kita duduk sama taraf dengan para ulama? Sedangkan mereka jauh lebih alim dan mengetahui daripada kita berkenaan agama Islam. Mereka memiliki segala ilmu yang cukup bagi membolehkan mereka mengeluarkan hukum-hakam agama untuk keperluan manusia. Mereka jugalah adalah dari kalangan hamba yang amat takutkan Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud:
Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.
(Surah Faathir: Ayat 28).
PERINGATAN PENTING
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi).
Kita mesti mengakui bahawa para ulama bukannya maksum dan mereka tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang tidak disengajakan. Namun jika hendak dibandingkan dengan kita, sudah tentulah mereka lebih layak untuk mengeluarkan hukum-hakam kerana mereka telah memahami ilmu agama dengan mendalam. Oleh itu, kita sebagai masyarakat awam ini, tidak perlulah kita merasa diri terlalu hebat daripada para ulama yang sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah Taala. Hormatilah para ulama dengan sebaiknya. Berakhlaklah kita kepada mereka jikalaupun mereka telah tersalah di dalam mengeluarkan pandangan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyanyangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami.
(Riwayat Ahmad).
Kadang-kala kerana terlalu ghairah segolongan puak ini melaungkan kata-kata ‘tidak perlukan para ulama’, mungkin mereka terlupa bahawa para ulama ini turut disebutkan di dalam al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. Tidakkah tindakan mereka ini sebagai menolak ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. juga? Oleh itu, saya sarankan agar serahkan urusan agama Islam ini kepada para ulama untuk menjelaskannya. Ingatlah peringatan dari Allah Taala ini:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah Taala sesuatu yang kamu tidak ketahui.
(Surah al-Aaraf: Ayat 33).
PENUTUP
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya.
(Riwayat ad-Dailami).
Saya berharap kita semua dapat menghormati ulama sebagai pewaris para nabi. Beradablah dengan mereka terutamanya ketika kita hendak memberikan pendapat yang berbeza dengan mereka dan bawakan sekali pendapat ulama lain untuk menyokong pendapat kita. Bagi sesiapa yang merasa diri terlalu hebat ataupun malas untuk menuntut ilmu, di sini saya ingin sarankan sebuah kitab bertajuk Safahat Min Sabr al-Ulama karangan Syeikh Abdul Fatah Abu Udah. Setelah membaca kitab kita, saya katakan bahawa betapa lemahnya dan kerdilnya kita berbanding para ulama yang sentiasa dibimbing oleh Allah Taala. Semoga aku boleh menjejak langkah mereka ini! Aminnn.
Sila rujuk link berikut untuk penjelasan tambahan:
Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!
ReplyDeleteAn Thái Sơn chia sẻ trẻ sơ sinh nằm nôi điện có tốt không hay võng điện có tốt không và giải đáp cục điện đưa võng giá bao nhiêu cũng như địa chỉ bán máy đưa võng ở đâu uy tín.