Cara Politik Dunia Ketiga
-
Apa dia Dunia Ketiga
-
Hishamuddin Rais | 11:23PM Sep 10, 2014
Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya sering menerangkan kepada
pembaca bahawa Malaysia adalah sebuah negara Dunia Ketiga. Saya juga selalu
menyanggah pandangan-pandangan dari ahli akademik, profesor atau pemerhati
politik. Saya menyangkal pandangan itu kerana mereka gagal mentakrifkan
Malaysia sebagai negara Dunia Ketiga. Saya anggap analisa mereka lompong
kerana tidak berasaskan politikal ekonomi Dunia Ketiga. Malah saya 'menghampehkan'
pandangan para pakar ini.
Maka adalah adil untuk diri saya menerangkan sejelas mungkin kepada para
pembaca apakah itu negara Dunia Ketiga. Dan kenapa saya memasukkan Malaysia
ke dalam bakul Dunia Ketiga. Pencerahan ini saya harapkan akan mendewasakan
pandangan politik kita. Akan membolehkan kita membaca politik dan siasah
negara Dunia Ketiga termasuk Malaysia.
Pertama-tama, jangan sesekali tersilap faham, tersilap baca - hanya kerana
Malaysia ada bangunan KLCC maka Malaysia dianggap sebagai sebuah negara
maju. Kerana Malaysia ada elektrik dan air paip maka Malaysia negara maju.
Kerana ramai warganya menggunakan telefon bimbit maka Malaysia ini bukan
negara Dunia Ketiga. Kerana Malaysia ada kereta Proton dan ada Lebuh Raya
Plus maka Malaysia bukan negara Dunia Ketiga. Semua ini tidak betul.
Bangunan tinggi, kereta, telefon bimbit, elektrik atau lebuh raya bukan satu
ukuran untuk menilai sesebuah negara itu. Semua ini adalah benda dan
barangan luaran yang dapat dilihat dan dapat dipegang. Benda-benda ini kita
panggil infrastruktur atau struktur luaran. Struktur ini ada di mana-mana
dalam dunia ini. Di Dubai, di India, di Tanzania ada jalan raya, ada
elektrik tetapi ini bukan bermakna negara ini bukan negara Dunia Ketiga.
Dalam memahami politik sesebuah negara yang wajib dilihat ialah apa dalaman
negara itu. Melihat luaran sesebuah negara itu samalah seperti pelancong
melihat Kuala Lumpur sepintas lalu. Para pelancong ini hanya melihat
infrastruktur tetapi gagal melihat 'superstructure'.
Apa itu 'superstructure'? Superstruktur adalah lembaga-lembaga
daulah, jentera daulah, politik, budaya warga, tahap fikrah warga, kesedaran
sosial dan tanggungjawab warga. Apa yang jelas semua ini adalah
perkara-perkara yang tidak dapat dilihat, dipegang atau dilukis. Tetapi
inilah asas sesebuah negara bangsa. Inilah asas terdirinya sebuah negara.
Jika Malaysia ini ditakrif sebagai negara Dunia Ketiga, apa pula negara
Dunia Pertama dan negara Dunia Kedua? Dalam takrifan politikal ekonomi
negara Dunia Pertama ialah Amerika Syarikat dan Rusia. Inilah dua negara
super yang memiliki kekuatan ekonomi dan bala tentera. Negara Dunia Kedua
ialah negara-negara Eropah Barat. Selain dari itu, semua negara Asia, Afrika,
Amerika Latin dan Eropah Timur adalah negara Dunia Ketiga.
Paling jelas, ciri dan watak pertama negara Dunia Ketiga ini wujud atau
diwujudkan oleh kuasa kolonial. Negara penjajah seperti Belanda, Sepanyol,
Portugis dan British telah mewujudkan negara-negara Dunia Ketiga ini. Secara
jelas negara Asia, Afrika dan Amerika Latin – kesemuanya wujud pascakolonial.
Tanah Melayu, Malaya atau Malaysia diwujudkan oleh British. Tanah Melayu
wujud atas runtuhan kerajaan Melayu Melaka. Begitu juga Indonesia diwujudkan
oleh Belanda atas keruntuhan kerajaan Jawa Majapahit.
Apa yang jelas pertembungan anak tanah jajahan dengan kuasa kolonial telah
melahirkan Dunia Ketiga. Umum mengetahui bahawa kuasa kolonial menjajah
dengan tujuan untuk menjarah ekonomi, memunggah hasil mahsul, merompak bahan
galian, emas, perak, bijih dan minyak.
East India Company yang mendahului Baginda Queen telah datang ke Tanah
Melayu untuk mencari harta kekayaan. Apabila mereka berundur maka Britian
telah meninggalkan kuasa pentadbiran kepada budak suruhan yang setia untuk
menjamin harta kekayaan British – ladang getah dan lombong bijih - akan
terus selamat. Justeru United Malays National Organisation telah dipilih
sebagai budak suruhan yang setia.
Perkara yang sama berlaku di India, di Afrika, di Kepulauan Indies Barat dan
di negara-negara Timur Tengah termasuk Iran. Paling jelas untuk memahami
hakikat ini ialah melihat begitu banyak negara-negara Arab Teluk diwujudkan
oleh British sebelum atau sesudah Perang Dunia Kedua.
Negara Dunia Ketiga memiliki beberapa lagi watak dan perangai yang
mengabsahkan kedudukan mereka. Semua watak dan perangai dikongsi bersama. Di
Nigeria, di Kenya, di Indonesia atau di Malaysia, watak, pola dan ciri Dunia
Ketiga ini jelas. Ciri dan pola inilah yang memberi takrifan bahawa Malaysia
ini adalah negara Dunia Ketiga.
Asas ekonomi negara Dunia Ketiga ialah mengeksport bahan mentah. Negara
Dunia Ketika bukan negara pengeluar tetapi negara pengguna. Ekonomi negara
Dunia Ketiga bergantung kuat dengan ekonomi negara Pertama dan Kedua.
Ekonomi negara Dunia Ketiga adalah ekonomi ekor – mengekor keperluan negara
Pertama dan Kedua.
Justeru, kerana asas ekonomi yang lemah dan bergantung maka dalam negara
Dunia Ketiga semua lembaga-lembaga daulah lemah. Lembaga daulah seperti
badan kehakiman, SPR, SPRM, media, polis, tentera, raja, al-malik atau
sheikh semuanya gah dalam bentuk tetapi kosong dan hampeh.
Lembaga-lembaga daulah yang lemah menjemput rasuah. Justeru rasuah adalah
ciri yang amat penting dalam negara Dunia Ketiga. Kesemua negara Dunia
Ketiga mengamalkan rasuah dalam pelbagai bentuk.
Badan kehakiman, polis, pegawai kerajaan dan apa saja lembaga daulah yang
diwujudkan 'boleh dibeli'. Malah ada lembaga-lembaga ini diwujudkan untuk
menjadi lukah dan jerat sebagai cara untuk mengambil duit rasuah. Cara
rasuah berjalan dan tujuan pemberian rasuah ini sama sahaja. Yang berbeza
hanyalah rasuah dilakukan dengan dinar, ringgit, rupiah, dolar atau riyal.
Negara Dunia Ketiga semuanya mengakui menjalankan sistem demokrasi. Ada
demokrasi berparlimen, ada yang menggunakan sistem presiden, ada yang
menggunakan sistem Persekutuan, ada negara raja berperlembagaan. Dari buku
rujukan semuanya memang indah, di Kenya ada pilihan raya. Di Pakistan juga
ada pilihan raya.
Tetapi sistem pilihan raya dalam negara Dunia Ketiga semuanya tipu. Pilihan
raya itu hanya prosedur sahaja. Bukan satu proses memperkasa warga. Bukan
menjalan pemilihan mengikut suara ramai. Pilihan raya dalam negara Dunia
Ketiga hanya sandiwara.
Kes kajian yang paling molek untuk memahami ini ialah pilihan raya di
Malaysia sendiri. Bukan sahaja SPR Malaysia didakwa telah menjalankan
pelbagai bentuk penipuan malah Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus undi
rakyat. Tetapi dalam negara Dunia Ketiga adalah mustahil pilihan raya akan
mengubah kerajaan. Suara undian majoriti 52 peratus ini tidak akan mengubah
apa-apa.
Dalam negara Dunia Ketiga jika pilihan raya itu boleh menukar kerajaan maka
pilihan raya itu akan diharamkan. Tak percaya? Sila rujuk apa yang sedang
berlaku di Pakistan sekarang? Islamabad sedang dikepong oleh para pengundi
yang telah ditipu undi mereka.
Apa itu prosedur demokrasi yang sering saya paparkan?
Prosedur demokrasi ini adalah salah satu watak penting Dunia Ketiga. Segala
lembaga dan peraturan demokrasi wujud tetapi semuanya hampeh tidak boleh
dipakai. Prosedur, lembaga dan kaki tangan wujud tapi kosong. Inilah garis
pemisah negara Dunia Kedua dengan negara Dunia Ketiga.
Contoh yang paling baik untuk kita memahami apa itu prosedur demokrasi dalam
Dunia Ketiga ialah kita membuka mata melihat apa yang sedang berlaku di
Selangor.
Kerajaan Selangor ditubuhkan melalui PRU13. Ini prosedurnya. Menteri besar
dan exco dipilih dari parti yang memiliki suara terbanyak. Ini prosedurnya.
MB dan exco yang dipilih oleh undian ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Ini
prosedurnya. Nama-nama yang diundi akan dimaklumkan kepada sultan. Ini
prosedurnya.
Semua prosedur akan berjalan baik jika kepentingan kaum pemodal, para
perasuah, agen jual kontrak, pencari kontrak tidak tergugat. Apabila
kepentingan ini tergugat maka kita akan melihat demokrasi ini hanya berak
lembu. Ini satu watak demokrasi dalam negara Dunia Ketiga.
Tetiba warga Selangor dan rakyat Malaysia diberitahu sultan mahu nama bakal
MB Selangor. Ini demokrasi hampeh namanya. Saya berkata hampeh kerana
Pakatan Rakyat telah memilih sosok yang wajib dinobatkan sebagai MB
Selangor. Dalam negara yang mengamalkan demokrasi suara terbanyak wajib
dinobatkan.
Dr Wan Azizah Ismail mendapat sokongan 30 ahli Dewan Undangan Negeri
Selangor. Ini jumlah majoriti. Tetapi dalam negara Dunia Ketiga ini tidak
berlaku. Tetiba dunia diberitahu sultan akan memilih. Perbuatan sultan
memilih siapa MB Selangor yang baru ini adalah contoh prosedur demokrasi.
Dari sini maka timbullah soalan hakiki untuk kurun ini. Soalan yang tidak
ada jawapan tetapi soalan yang akan mendidik kita semua untuk mengabsahkan
bahawa Malaysia ini adalah negara Dunia Ketiga.
Jika sultan yang memilih siapa yang akan menjadi MB Selangor atau siapa yang
menjadi PM Malaysia, mengapa kita menghabiskan duit, masa dan tenaga membuat
pilihan raya. Kenapa dari awal lagi tidak kita serahkan nama si polan dan si
polan untuk sultan membuat pilihan. Kenapa kita terus berberak lembu kepada
orang ramai. Ops, maaf, berak lembu inilah yang membuktikan bahawa Malaysia
ini negara Dunia Ketiga.
http://m.malaysiakini.com/columns/274281.html
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Mesej